Friday, August 4, 2017

MASA DEPAN YANG GEMILANG DALAM PERSURATAN MELAYU

Menerusi Gagasan Persuratan Baru (seterusnya PB) persuratan Melayu moden menghadapi masa depan yang gemilang.  Kegiatan kreatif dalam bentuk sastera yang dipraktikkan sekarang akan meneruskan hayatnya untuk dinilai daripada perspektif PB, dengan itu pilihan terbaik bagi para sasterawan ialah memperdalam kefahaman mereka tentang konsep ilmu yang benar yang bersumber dari al-Quran.  Itulah pilihan terbaik bagi sesiapa saja yang pernah mendengar suara azan dan pernah mengucapkan dua kalimah syahadah. Apakah yang menghalang mereka daripada memuliakan azan dan syahadah mereka?  Memang para sasterawan boleh terus bersastera dan pada masa yang sama menolak hakikat ilmu yang bersumberkan al-Quran, tetapi itu bukanlah pilihan yang bijak dan terbaik setelah pilihan terbaik itu sudah disediakan untuk menjadi ikutan mereka. Kecuali mereka boleh menelurkan satu teori sastera yang boleh mengatasi PB, dan ketika itu PB akan tunduk kepada kebenaran. Sia-sialah sesiapa yang tahu makna kebenaran tetapi tidak mahu mengikutnya. Bilakah teori yang canggih itu akan dilahirkan oleh para sarjana sastera atau para sasterawan supaya PB tidak membuang masa meneruskan usahanya untuk mencerdikkan umat Melayu dan umat Islam dalam dunia kreatif.  Terlanjur para sarjana sering kali menyebut nama Bakhtin dalam tulisan mereka, dalam konteks dialogic imagination, maka mereka mempunyai pilihan sama ada mahu mengikut Tolstoy atau Dostoevsky, dengan itu mereka boleh memilih untuk menulis “Hadji Murad” atau The Brothers Karamazov, dua karya besar Russia yang memberi perspektif yang tidak boleh tidak akan menjadi persoalan besar kepada para sasterawan jika mereka faham implikasinya. Adakah mereka akan berpindah arah untuk menulis karya yang mirip Pujangga Melayu atau Naratif Ogonshoto?  Jika anda betul-betul faham maksud dialogic imagination seperti yang dibincangkan oleh Bakhtin, anda akan mengerti mengapa saya membawa dua contoh ini kepada anda. Dan anda juga akan risau bila Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menekankan peri pentingnya hegemoni dalam bersastera ini, tanpa beliau faham apakah maksud hegemoni itu dalam konteks pemikiran Barat, terutama seperti yang diajarkan oleh Foucault. Jika anda menerima saranan aktivis sastera yang sudah tenggelam dalam hegemoni Foucault ini, maka anda seolah-olah tidak pernah mendengar azan dan tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah. Fikirkan kembali persoalan ini supaya anda tidak terus menerus mengarut dalam tulisan anda, tanpa memahami implikasinya. Semua ini boleh dielakkan jika anda punya sedikit sifat siuman untuk mendekati PB dan melihat persoalan ini dalam konteks ilmu yang benar. Jalan keluar kepada persoalan ini sudah tersedia supaya anda meneruskan usaha anda untuk kembali siuman dalam sastera Melayu. Bilakah anda akan mula menjadi siuman dengan memahami (kalau dapat secara mendalam)  teori sastera Barat yang amat jelas kehilangan arah itu, padahal kita yang pernah mendengar azan dan mengucap dua kalimah syahadah sudah diberitahu dan sudah pun mengucapkan supaya ditunjuki jalan yang benar (dan seterusnya..)  Apa gunanya anda memohon ditunjuki jalan yang benar jika dalam kegiatan akademik dan seni anda, bukan itu yang anda lakukan. Sekiranya anda faham maksud saya, anda akan menghantukkan kepada anda ke dinding masjid sambil menjerit, “Bodohnya aku!”. Jeritan itu adalah permulaan untuk anda menjadi siuman, seperti yang diajarkan oleh syahadah anda. Demikian pentingnya menjadi siuman dengan memahami konsep ilmu yang benar dan sedar bahawa sumber ilmu itu bukan tokoh-tokoh yang anda sebut dengan bangga yang anda dapat dalam buku-buku kritikan Barat, tanpa menyedari anda sedang diheret untuk masuk gaung kejahilan. Adalah aneh jika anda memilih untuk menjadi bodoh setelah al-Quran mengajar nada untuk menjadi cerdik.

Ke mana pun anda hendak lari, tidak mahu bertembung dengan PB, anda tidak dapat  mengelak. PB berada di mana-mana, memperingatkan anda betapa perlunya bertindak siuman dalam dunia akademik dan kreatif. PB tidak keberatan jika anda ingin terus menjadi hamba teori sastera Barat, tetapi jadilah sebagai pengikut yang berilmu, yang benar-benar memahami selok belok teori Barat ke akar umbinya, supaya anda sekurang-kurangnya menjadi lebih terbuka kepada ilmu yang benar, jika pun mahu terus tidak mahu menjadi cerdik seperti yang diajarkan oleh azan dan syahadah yang anda sebut dan dengar setiap hari.  Sebenarnya lebih mudah menjadi siuman daripada tidak siuman.  (Istilah siuman ini telah dijelaskan dalam entri “Nota kritis untuk diri …” bertarikh 25 Julai 2017.)

Mengenai Tolstoy (“Hadji Murad”) dan The Brothers Karamazov, ada pendapat yang menarik daripada seorang tokoh estetika bernama Eliseo Vivas, seperti yang dilapor (diberi komen) oleh George Dickie dalam bukunya, Aesthetics: An Introduction (Pegasus: 1971), hal. 52-53.

Contoh ini penting untuk difahami oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia.  Dickie mengkritik Vivas seperti dalam kutipan ini: “One startling clue that something is wrong with the disinterested-attention theory is Viva’s claim that his conception of the aesthetic posits ‘that The Brothers Karamazov can hardly be read as art …’ that is, can hardly be experienced as an aesthetic object.  Since The Brothers Karamazov is a great novel, it must surely be a paradigm case of an aesthetic object, and any theory that denies this must be suspect.” (hal. 54).

Yang menarik dalam kutipan ini ialah keyakinan Dickie bahawa teori Vivas tidak tepat, salah, kerana seolah-olah telah menolak sebuah karya besar yang memang diakui sebagai sebuah karya besar.  Sekarang timbul pertanyaan, Siapa yang memberi kuasa kepada Dickie untuk menyalahkan Vivas yang tidak mengiktiraf keistimewaan novel itu? Inilah masalah yang membuat para sarjana Barat serabut sepanjang masa. Salah menyalah sesama mereka adalah permainan akademik mereka, seperti yang anda boleh lihat dalam buku Frank Lentricchia, After the New Criticism. Tetapi bagusnya pula mereka terbuka untuk berdialog, sesuatu yang tidak terdapat di Malaysia. Ini dengan jelas membuktikan betapa ceteknya pengetahuan para sarjana sastera Malaysia, sehingga membuat mereka jadi penakut untuk berdialog dengan tegas dengan sesiapa juga yang menyanggah pendapat  atau pendirian mereka. Dari segi akademik, mereka bacul.  Sepatutnya mereka tidak bacul, kerana, seperti saya tegaskan, mereka setiap hari mendengar azan, membaca al-Fatihah, dan membaca syahadah. Sepatutnya mereka menjadi sarjana yang berani dan bertanggung jawab, kerana mereka sentiasa meminta dikekalkan dalam petunjuk yang betul yang mereka baca dalam al-Fatihah. Mengapa tidak ada kesan itu? Ini yang mereka banggakan, sehingga membenarkan mereka menulis novel picisan yang karut seperti Naratif Ogonshoto dan pujian yang juga karut seperti yang ditulis oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam rencananya yang menang hadiah rencana terbaik itu.  Ada satu perkara yang saya tunggu lama untuk disebut oleh para sarjana, pengkritik dan sasterawan tentang novel agung ini. Hairan mengapa tiada siapa pun terlintas untuk menyebut bahawa karya agung ini adalah karya “Seni Untuk Seni”. Yang boleh menentukan adakah Anwar Ridhwan mewarisi idea ini daripada Asas 50 atau ciptaan beliau sendiri ialah para sarjana dan pengkritik sastera. Saya telah membayangkan perkara ini ketika saya menyentuh atau lebih tepat menegur kelantangan karya ini menyamakan kisah al-Quran dengan kisah rekaan si resi yang disetarafkan Banjir Besar Nabi Nuh ‘a.s. dengan tsunami sang resi. Apa kaitannya dengan “Seni untuk Seni”?  Lebih baik saya biarkan jawapannya diberikan oleh para sarjana yang mengangkat novel ini melepasi langit ke tujuh. Ada tidaknya perkara ini saya bayangkan ialah dalam Gagasan Persuratan Baru edisi 2008 lagi tentang “seni untuk ilmu” sebagai ejekan kepada slogan “seni untuk seni” dan “seni untuk masyarakat” yang bagi saya kedua-duanya palsu.

Saya yakin mereka tidak faham apa yang saya maksudkan. Mereka bukan golongan yang tahu berfikir secara sistematik.  Inilah puak yang dengan angkuh mengisytiharkan “sastera teras negara bangsa”, walaupun sastera yang mereka banggakan itu tidak memberikan apa-apa yang meyakinkan bahawa itulah yang terbaik.  Kita telah mempunyai ukuran yang jelas untuk menentukan mana yang baik dan mana pula yang karut dan palsu. Maka apabila sebuah hasil “kajian” peringkat Ph.D. yang diterbitkan diberi hadiah istimewa sebagai buku terbaik, walaupun isinya picisan dan sikapnya terhadap ilmu adalah nihilistic secara total, yang menjadikan karya lucah sebagai penggalak kebebasan berfikir dan keberanian  bertindak dalam sastera, merujuk kajian Dr. Norhayati Ab. Rahman yang terkenal itu. Bagaimana karya lucah Ayu Utami boleh dijadikan contoh kebebasan seks wanita dan novel Ayu Utami itu sendiri menjadi contoh gaya baru dalam sastera Indonesia?  Inilah salah satu contoh tindakan tidak siuman yang dijadikan hujah untuk membina puitika sastera wanita.

Saya memberikan contoh-contoh ini untuk membawa anda kepada persoalan, Apakah yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu? Satu-satunya jawapan yang pasti telah diberikan oleh Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau tahun 1972, yang memang diketahui umum.  Hingga kini belum ada penafian; tidak juga berlaku apa-apa perubahan yang sepatutnya boleh membaiki kelemahan yang disebut oleh Prof. Naquib.  Malah keadaan menjadi lebih buruk dengan wujudnya sasterawan negara mulai tahun 1981. Setiap sasterawan negara itu adalah gambaran tepat kesimpulan 1972 itu. Tidak berlebihan jika kita membuat kesimpulan bahawa pada umumnya para sarjana dan sasterawan menerima kesimpulan 1972 itu sebagai suatu kelebihan kepada mereka. Organisasi yang besar milik kerajaan seperti DBP digunakan sepenuhnya untuk membina budaya mediocre dengan mengadakan peraduan, anugerah, hadiah, persidangan, seminar dan sebagainya untuk mempertahankan kesimpulan 1972. DBP memainkan peranan yang agak aneh dalam perkembangan budaya mediocre ini, yang telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan Harga Sebuah Maruah yang memenangi satu sayembara besar DBP. (Lihat Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, bab 10).  Saya sendiri menulis mengenai persoalan yang sama dalam sebuah kertas kerja 2003 di Universiti Malaya (Seminar Jenaka Nusantara). Tulisan itu disiarkan dalam buku yang sama, bab 4: “Unsur Jenaka dalam Novel Kawin-kawin: Kegagalan Intelektual Seorang Sasterawan”.

Tentu saja peranan paling istimewa dalam pembinaan budaya mediocre ini ialah peranan Panel Anugerah Sastera Negara, yang boleh anda lihat dalam semua laporan mereka.  Segan saya hendak menyebut lagi keselekehan laporan mereka; tetapi sekadar untuk mengimbas kembali jenaka pandirisme dalam laporan mereka tentang Kemala, bacalah kembali ulasan ini, yang lebih hebat kelucuannya daripada segala lawak jenaka A.R. Tompel sekali pun. Kalau anda biasa mendengar lawak Tompel, anda akan membuat penilaian yang tepat dengan mengatakan lawak Tompel lebih intelektual daripada laporan Panel. Inilah contoh kehebatan laporan Panel: “Sebagai penyair yang berjiwa besar,  Kemala juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada Mark Antony dan Cleopatra. … Justeru, alusi daripada berbilang budaya ini menjadikan karya penyair ini universal” (Laporan 2012, hal. 20). Apakah yang lucu di sini? Panel memuji Kemala sebagai satu-satunya “penyair” sufi di Malaysia. Adakah sufisme Kemala bersumber kekuatan hawa nafsu? Panel tidak menjelaskannya, tetapi pemilihan contoh Mark Antony dan Cleopatra itu nampaknya lebih tepat untuk mengejek Kemala, bukan bertujuan memujinya.  Barangkali lebih munasabah jika kita membuat kesimpulan bahawa Panel sebenarnya amat naif ketika memberi pujian yang tidak sepatutnya itu. Apa pun tujuannya, kedua-duanya, Panel dan Kemala, sebenarnya membuka tembelang mereka dengan menggunakan contoh Mark Antony dan Cleopatra itu. Cerita sebenarnya diberikan oleh Allen Bloom dalam bukunya, Love and Friendship (Simon & Schuster, 1993). Inilah kesimpulan Allen Bloom: “Antony and Cleopatra are enchanted with each other and unabashedly want to have sexual intercourse with each other as much as possible” (hal. 304). Kuat betul nafsu seks ahli sufi ini! Inilah contoh sikap tidak siuman yang saya maksudkan dalam beberapa entri dalam blog ini. Allen Bloom sangat terkenal di Malaysia melalui bukunya, The Closing of the American Mind.  Nampaknya sarjana dan sasterawan Malaysia tertutup di bawah tempurung budaya, termuat dalam buku yang belum ditulis, The Closing of the Malay Mind.

Buku The Closing of the Malay Mind wajar ditulis oleh mana-mana sarjana sastera kerana mereka mengalaminya sendiri, oleh itu cukup mudah bagi mereka menghuraikannya bagaimana hidup mereka begitu selesa berada di bawah tempurung budaya itu.  Kerana berada di bawah tempurung budaya, seperti katak di bawah tempurung, maka mereka tidak dapat memahami Gagasan Persuratan Baru, yang seterusnya mendorong mereka menentang apa saja percubaan untuk membuka tempurung budaya yang menjadi kebanggaan mereka. Inilah keadaan tidak siuman yang harus dihadapi oleh Gagasan Persuratan Baru.  Para sarjana dan sasterawan yang sudah lama berada di bawah tempurung budaya sebagai golongan mediocre ini menjadikan sifat mediocre mereka sebagai sejenis hegemoni kejahilan ilmu yang mendorong mereka menetapkan “sastera adalah teras negara bangsa”, yakni teras budaya bawah tempurung. Sifat mediocre di bawah tempurung budaya ini perlu diperangi jika kita mahu mencerdikkan bangsa Melayu dan membina kembali persuratan Melayu. Kita perlukan kerjasama PENA untuk menghadapi cabaran ini, dengan menolak sama sekali budaya “kerancuan sastera” yang ditaja oleh Ketua Satu PENA sendiri, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Masalah besar yang menjadi penghalang kepada pembinaan budaya ilmu di Malaysia ialah sikap tidak siuman yang membina budaya mediocre dalam kesusasteraan Melayu yang dilakukan oleh para sarjana, pengkritik dan sasterawan.  Kemunculan para sasterawan negara adalah satu musibah besar dalam perkembangan budaya ilmu berteraskan konsep ilmu yang benar. Semua sasterawan negara yang telah dipilih tidak menerima konsep ilmu yang benar itu, kerana menurut mereka konsep ilmu itu bertentangan dengan sifat sastera sejagat, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika memuji novel terbesar Malaysia sepanjang zaman, Naratif Ogonshoto.  Para penulis, sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera serta badan-badan penulis seluruh negara menerima pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dengan itu sifat tidak siuman yang dihuraikan dalam makalah ini semakin diperkuatkan.  Ini bermakna faham sastera yang dikembangkan selama ini akan diteruskan, tetapi kini sudah dapat dijelaskan bahawa ini adalah keadaan tidak siuman dalam budaya Melayu yang memerlukan perubahan. Yang boleh melakukan perubahan ini ialah Gagasan Persuratan Baru.

Dengan terserlahnya kepalsuan faham sastera ini dalam perkembangan budaya, masyarakat  akan mendapat manfaat kerana kini sudah jelas pilihan terbaik dalam perkembangan ilmu dan perkembangan budaya ialah dengan kembali kepada konsep ilmu yang benar, yang ditentang hebat oleh faham sastera. Inilah yang saya maksudkan dengan masa depan yang gemilang dalam persuratan Melayu. Pandangan yang menolak konsep ilmu yang benar itu diasaskan kepada kejahilan dan emosi rendah manusia; berbeza dengan pandangan yang menerima konsep ilmu yang benar itu bersumber daripada ajaran al-Quran. Pandangan pertama, yang jelas tidak siuman, adalah pandangan manusia yang mendapat ilham daripada tipu daya Iblis ketika memperdaya Nabi Adam ‘a.s. supaya ingkar kepada perintah Allah SWT.  Saya yakin tidak seorang pun orang yang beragama Islam menolak kisah dari al-Quran ini sebagai hanya sejenis mitos agama, kecuali jika mereka sudah murtad secara tersembunyi dengan meragui kebenaran al-Quran (berapa ramai manusia jenis ini saya tidak tahu, tetapi memang ada.)  Soalnya ialah, selain daripada ajaran al-Quran yang diwahyukan, semua pendapat lain adalah bikinan manusia sahaja. Berapa ramai di antara sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera menerima bikinan manusia ini sebagai mutlak dan yang datang dari al-Quran itu mitos? Saya tidak perlu tahu; saya hanya ingin memberitahu terdapat perbezaan yang amat besar dan amat ketara antara ajaran al-Quran, yang datang dari Pencipta Manusia sendiri, dengan ajaran manusia untuk para pengikut mereka yang hanya berunsur conjecture, bukan sesuatu yang mutlak.  Berapa ramai di antara sarjana, sasterawan, dan pengkritik sastera lebih mengutamakan conjecture daripada yang mutlak?  Perlukah saya mengatakan, mereka mungkin dari kalangan yang mengatakan Gagasan Persuratan Baru, yang berasaskan konsep ilmu yang benar, hanyalah bikinan Mohd. Affandi Hassan, tidak bersumberkan ajaran al-Quran. Kalau begitu, kata mereka, kedudukannya sama dengan teori Barat, juga bikinan manusia; dengan perbezaan besar, teori  Barat dicetuskan oleh para sarjana terkenal, sedangkan PB dicetuskan oleh seorang manusia Melayu yang tidak dikenali selain daripada beberapa orang yang mungkin tidak siuman yang menerima pendapat  beliau.  Cabaran saya mudah saja: Adakah anda tidak menerima asas PB bersumberkan konsep ilmu yang benar, tetapi menerima conjecture para sarjana Barat yang belum tentu betul? Dalam pemikiran Barat, tidak ada konsep ilmu yang benar itu; setiap pendapat berhak untuk diketengahkan dan ditolak dalam dialog yang dilaksanakan dengan adil.  Di Malaysia, dialog itu pun tidak ada, jadi bagaimana anda boleh dengan mudah sahaja menolak sesuatu yang anda sendiri tidak tahu ujung pangkalnya? Itulah pandangan yang tidak siuman, dan pandangan begini memang banyak terdapat di Malaysia, di kalangan ahli akademik sekali pun.  Kalau begitu, apa yang harus kita buat? Pertanyaan ini amat ditakuti oleh para penentang PB, oleh itu saya tidak berani hendak menjawabnya. Sebenarnya mereka pun tahu jawapannya… Dan saya pun tahu kedudukan mereka dari segi ilmu yang berasal dari Barat pun, dengan membaca tulisan mereka sendiri. Saya telah memberi beberapa contoh, dan tidak perlu diulang lagi kerana memang sia-sia.

Nampaknya kedudukan golongan yang tidak siuman ini semakin jelas, dan kita pun tahu pula kualiti akademik dan “pemikiran” mereka melalui tulisan mereka sendiri, seperti yang telah saya tunjukkan. 

Saya ingin akhiri makalah ini dengan satu kutipan daripada Rumi, seperti yang diterjemahkan oleh Colman Barks dalam bukunya, A Year With Rumi: Daily Readings  (New York: Harper Collins, 2006). Barks banyak menerbitkan terjemahannya daripada Rumi dan selalu saya kutip dalam tulisan saya. Beri perhatian anda kepada ayat dalam huruf condong itu. Halaman 155.

"Constant Conversation"

Who is luckiest in this whole orchestra? The reed.
Its mouth touches your lips to learn music.
All reeds, sugarcane especially, think only
of this chance. They sway in the canebrake,
free in the many ways they dance.

Without you the instruments would die.
One sits close beside you. Another takes a long kiss.
The tambourine begs, Touch my skin, so I can be myself.
Let me feel you enter each limb bone by bone,
that what died last night can be whole today.

Why live some soberer way and feel you ebbing out?
I won’t  do it.
Either give me enough wine or leave me alone,
now that I know how it is
to be with you in a constant conversation.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,  3/8/2017.

No comments:

Post a Comment