Sunday, July 30, 2017

UKURAN DALAM KRITIKAN SASTERA



Seperti yang diandaikan oleh Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong, kita telah memberikan ruang 60% untuk sastera. Apakah hasilnya?  Hasilnya, kita mempunyai ramai sasterawan negara. Ada di antara sasterawan negara ini mengejutkan kita dengan memanjat bumbung kilang besi berkarat untuk menulis. Perbuatan ini dianggap sama tarafnya dengan seorang pemanjat gunung Everest, malah dari segi prestij lebih tinggi lagi, tidak pernah dilakukan di mana-mana dalam dunia ini oleh para sasterawan mereka. Ada pula sasterawan negara mendabik dada dia pengikut Machiavelli, menulis novel besarnya berpandukan pemikiran Machiavelli. Pengakuan ini sangat menarik, kerana Machiavelli pernah menegaskan bahawa dia lebih suka berada dalam neraka kerana boleh berdialog dengan para ahli falsafah yang ditempatkan di dalam neraka. Tidak mungkin sasterawan negara mahu berdialog di dalam neraka, jika di atas dunia pun mereka penakut untuk memberikan pandangan bernas mereka kerana mereka tidak ada pandangan bernas itu. Bila kita lihat perkara ini, nampaknya betul juga andaian Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong itu.  Tetapi semua masyarakat sastera, terutama para sasterawan, membantah kerana bagi mereka itulah caranya sasterawan menyerlahkan kekuatan kreatif mereka. Kalau perlu memanjat bumbung kilang untuk menulis karya mereka, apa salahnya? Itu menunjukkan mereka sangat kreatif.  Hujah yang tidak berupa hujah ini membuat saya bertanya, adakah perbuatan itu siuman?  Rupanya dalam dunia kreatif di Malaysia, sifat siuman itu bukan yang utama, kerana yang utama ialah sifat dan sikap kreatif yang membolehkan seseorang sasterawan atau sarjana menelurkan karya mereka. Sekali lagi, adakah ini yang paling siuman?  Ada sasterawan yang banyak membaca memberitahu, Li Po ketika naik perahu cuba menangkap bulan di dalam sungai, terjatuh dan mati lemas. Itulah sikap kreatif seorang seniman, kata mereka. Sungguh hebat menjadi seniman, kata mereka, semua boleh dilakukan. Tidak ada yang tidak siuman yang dilakukan oleh para seniman, yakni para sasterawan.  Kalau sudah begitu sikap mereka, maka tidaklah hairan jika ada di antara mereka yang sanggup berguru dengan seorang tokoh yang memilih neraka seperti Machiavelli.  Sungguh hebat menjadi sasterawan di Malaysia!

Perlukah sasterawan siuman? Pada umumnya, semua sarjana dan sasterawan berpendapat seseorang yang kreatif seperti sasterawan tidak perlu siuman, mereka hanya perlu kreatif. Inilah yang terjadi kepada sasterawan negara Anwar Ridhwan, yang memang kreatif ketika menulis Naratif Ogonshoto, lengkap dengan peta dan segala macam rajah. Tetapi apabila beliau menyamakan resi dengan Nabi Nuh ‘a.s., bagaimana? Apakah ini sesuatu yang siuman? Para sarjana sastera menerima itu sebagai sesuatu yang wajar, seperti yang diberitahu kepada kita oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Mawar Shafei, antara lain, yang terdapat dalam tulisan mereka. Pendapat ini, bagi saya, jelas karut dan terlalu jahil, sehingga membuat kita amat hairan bagaimana benda macam ini boleh diterima. Ini membuat saya membuat kesimpulan, semua sikap tidak siuman terjadi kerana konsep sastera yang menjadi pegangan mereka adalah salah, tidak rasional, mediocre, karut, dan tidak bertanggungjawab (yakni tidak beradab.)  Kalau begitu, kita perlukan ukuran yang tegas dan tepat untuk mendorong para sasterawan dan sarjana ini berlaku siuman. Inilah yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Apa bila golongan ini menolak gagasan itu, maka hal itu terjadi kerana mereka sebenarnya tidak siuman. Itulah kesimpulannya. Cukup mudah.

Adakah kita mahu meneruskan sikap tidak siuman ini? Bagi para sasterawan dan sarjana sastera, konsep sastera yang menjadi ikutan dan pegangan mereka membenarkan mereka bertindak tidak siuman untuk melampiaskan keupayaan kreatif mereka mencipta karya agung, seperti Naratif Ogonshoto itu.  Bagi seorang yang simple minded seperti saya, ini merupakan sejenis kegilaan yang tidak boleh diterima. Maka itulah dirumuskan dalam PB tindakan yang siuman yang diperlukan untuk melahirkan karya yang indah dan bermakna. Masalahnya, bagi golongan yang tidak siuman ini, gagasan itulah yang tidak siuman, bukan mereka. Apakah pilihan anda? Masyarakat sastera menerima golongan yang tidak siuman itu kerana itulah sifat hakiki seorang penulis, seorang sasterawan.  Inilah yang melahirkan projek sasterawan negara. Oleh itu, para sasterawan negara ini tidak perlu dinilai semula, kerana sudah pun diputuskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Adakah sikap begini siuman?  Dalam dunia akademik, inilah kemuncak sikap tidak siuman yang hanya berlaku dalam dunia kreatif Malaysia. Tidak ada di tempat lain. Carilah contoh jika anda ragu-ragu dengan kesimpulan ini. Supaya anda tidak keliru tentang siuman dan tak siuman ini, baca semula dua entri yang lalu kerana di sana diterangkan makna siuman dan tidak siuman.

Kemampuan intelektual dan keupayaan berfikir para sarjana dan sasterawan Malaysia  agak terbatas, oleh itu mereka menghadapi kesukaran kognitif untuk memahami Gagasan Persuratan Baru. Halangan kognitif ini menjadi lebih buruk lagi bila kita sedar pembacaan mereka amat terbatas; malah mereka mempunyai pengetahuan yang amat cetek tentang pemikiran dalam tradisi Islam. Oleh sebab PB berasaskan tradisi Islam, mereka menjadi bingung, sasau, dan meroyan kerana mereka tahu mereka mempunyai kekurangan itu, yang menjadi halangan yang besar kepada mereka untuk memahami PB.  Selain dari itu, keengganan mereka memahami PB mereka anggap suatu kelebihan kerana mereka tidak perlu bersusah payah memahami suatu gagasan yang pada hakikatnya tidak menguntungkan mereka. Kelantangan PB menolak sasterawan negara amat menakutkan mereka, yang sekali gus membuat mereka marah dan benci apabila PB disebut. Sikap negatif ini sepatutnya tidak berlaku, sebab sikap ini melanggar penegasan mereka sendiri tentang sifat terbuka dan kejujuran ilmu yang mereka perjuangkan. Dilihat dari perspektif ini, PB secara tidak langsung mempengaruhi tindakan mereka, walaupun dari sudut negatif. Seperti yang saya sebut berkali-kali, sikap ini menghalang perkembangan intelektual dan perkembangan akademik dalam sastera Melayu. Agak ironik, inilah yang mereka mahu. Mereka tidak mahu berlaku sebarang perubahan kecuali dalam konteks yang menguntungkan mereka.

Dalam konteks inilah kita memerlukan ukuran yang tepat, mudah dilaksanakan, dan memberi analisis dan penilaian yang betul berasaskan penghujahan yang padat, mengemukakan bukti-bukti yang sahih, bukan hanya andaian. PB adalah pilihan yang tepat jika itulah yang kita mahu.

Satu kelebihan PB yang menakutkan para sarjana dan sasterawan ialah kemampuan PB menghadapi cabaran daripada teori sastera Barat; malah inilah satu-satunya pendekatan yang secara kontan mencabar kedudukan teori Barat dalam seni mengarang.  Keadaan ini pun tidak disukai oleh para sarjana sastera dan sasterawan kerana mereka berasa terkongkong apabila mereka menggunakan teori sastera Barat untuk membicarakan karya kreatif, padahal di hadapan mata mereka sudah tercokol alternatif yang lebih baik dan lebih memuaskan dari segi akademik. Ke arah mana pun mereka mengalih perhatian mereka, di sana tercokol PB mengajak mereka memasuki dunia baru dalam teori sastera sebagai suatu alternatif yang mantap. Katalah mereka tidak menerima kemantapan PB, kita pun boleh bertanya satu soalan bodoh, bagaimana kamu tahu sekiranya kamu tidak mendalami PB?  Membuat keputusan dalam konteks begini tentu saja tidak akademik, dan amat melucukan, malah dari segi ilmu bertukar menjadi lucah.  Sebenarnya mereka boleh saja menggunakan apa pun pendekatan dalam teori sastera Barat, dalam kesedaran bahawa teori Barat itu boleh membantu mereka mengenal beberapa perspektif yang boleh dihuraikan dengan lebih mendalam dan tepat dengan menggunakan pendekatan PB. Itulah caranya orang akademik menggunakan ilmu dalam kerja akademik mereka.  Pendeknya, PB boleh membantu mereka menjadi lebih cerdik. Ini akan memudahkan mereka menganalisis dan membuat penilaian yang tepat dalam kerja-kerja akademik mereka. Tidakkah ini sesuatu yang bagus?

Sekiranya mereka memahami PB, tidak mungkin mereka meroyan sehingga sanggup memanjat bumbung kilang berkarat untuk mencari ilham!

Masalah ukuran dalam kritikan sastera boleh diselesaikan dengan mudah, berkesan, dan objektif jika anda menggunakan Gagasan Persuratan Baru sebagai pendekatan pilihan anda. Sekiranya anda berasa tertekan kerana perlu lebih berhati-hati dalam analisis dan penilaian anda, sehingga ada kemungkinan anda menolak sasterawan negara, anda boleh saja meneruskan kegemaran anda untuk memberi sokongan kepada para sasterawan negara, tetapi dilihat dari perspektif PB. Ini boleh dilakukan dengan mudah, sekiranya anda tahu caranya. Sebagai contoh, anda boleh berkata begini. Dengan memperkenalkan kategori baru dalam penulisan kreatif, iaitu karya persuratan, PB tidak memansuhkan karya sastera, malah menerimanya sebagai karya yang boleh berdiri sendiri dalam konteks sasteranya. Maksudnya, dalam konteks sastera, anda boleh meneruskan kegemaran anda menggunakan teknik sensasi dan apa-apa juga teknik pilihan anda yang anda biasa menggunakannya, dengan kesedaran bahawa semua teknik itu jauh berbeza daripada teknik dalam PB.  Dengan menyedari perbezaan ini, seorang sasterawan mungkin boleh memakai teknik wacana dalam konteks PB tanpa meninggalkan teknik sensasi dan lain-lain teknik Barat yang anda suka. Jika ini dilakukan, karya anda akan lebih kemas dari segi penggunaan ruang naratif, walaupun masih memberi keutamaan kepada cerita, tetapi alam konteks pengolahan yang lebih teliti dan kemas. Saya fikir semua ini akan membantu anda menulis karya sastera yang lebih bermutu dan lebih baik daripada yang biasa anda lakukan. Dalam keadaan yang masih terbatas, anda sudah mula berubah menjadi seorang pemikir dalam penulisan kreatif. Tidakkah itu suatu perubahan yang positif?

Membezakan aspek keilmuan dan aspek kesasteraan adalah penting, suatu perubahan paradigma yang tidak dapat dielakkan dengan munculnya PB. Jika anda membaca dengan cermat dan teliti huraian saya dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, anda akan melihat perkembangan ini dengan lebih jelas. Saya tidak perlu menjelaskannya di sini, dalam ruang yang amat terbatas. Paling menonjol, anda akan bertemu konsep keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan; dengan itu tidak lagi diberi keutamaan kepada permainan bahasa, walaupun dalam sastera Barat permainan bahasa adalah suatu teknik yang amat dihargai. Tidak dalam PB, yang mementingkan aspek makna dan matlamat dalam penulisan kreatif, iaitu untuk mencapai dua matlamat, indah dan bermakna. Penjelasan tentang dua aspek ini sudah pun  diberikan dengan agak terperinci. Dengan memahami dua aspek kreatif ini, anda akan menolak konsep kerancuan yang dijadikan asas penulisan kreatif, kerancuan bentuk dan makna. Karya berasaskan konsep kerancuan ini ialah Naratif Ogonshoto, menurut Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Dari perspektif PB, karya ini adalah karya picisan yang mengutamakan cerita dan sensasi. Sudah juga dihuraikan dengan terperinci dalam blog ini. Ini akan memudahkan anda melihat perbezaan sebuah karya persuratan, seperti Pujangga Melayu, dengan karya sastera, seperti Naratif Ogonshoto.  Dari segi pemikiran, mana satu di antara dua karya ini lebih memuaskan anda.  Sekadar peringatan, anda perlu terlebih dahulu memahami apa yang anda maksudkan dengan “pemikiran”.  Dari perspektif PB, “pemikiran” mempunyai kaitan yang erat dengan ukuran yang dipakai dalam menganalisis dan membuat penilaian.

Sebagai sebuah karya mini-ensiklopedia, Pujangga Melayu memberi keutamaan kepada isian ilmu melalui wacana dalam ruang naratifnya; berbeza dengan Naratif Ogonshoto yang memberi keutamaan kepada sensasi dan cerita dalam ruang  naratifnya.  Antara dua karya ini, mana satu yang jelas aspek “pemikirannya”? Saya akan biarkan pertanyaan ini tergantung begitu saja untuk memberi peluang kepada anda berfikir seperti yang saya huraikan di atas. Cara ini memberi pilihan kepada anda untuk membuat keputusan terbaik mengikut ukuran yang anda tentukan, sama ada berteraskan PB atau teori sastera Barat. Ini akan memberi anda kebebasan yang luas untuk membuat pilihan, menggunakan apa juga ukuran yang anda mahu.

Berasaskan pengalaman di atas, anda akan faham mengapa menentukan ukuran dalam kritikan sastera sangat penting. Anda akan bertemu dengan suatu keadaan yang memaksa anda menentukan sama ada sebuah karya itu picisan dan mediocre, atau sebaliknya. Sekiranya anda seorang guru sastera, sampaikan keputusan anda kepada para pelajar anda. Andainya anda seorang pensyarah sastera di universiti, para pelajar anda juga perlu mendapat pengalaman yang anda dapat itu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29/7/2017.

No comments:

Post a Comment