Sunday, July 9, 2017

BEBERAPA CATATAN KECIL TENTANG PUJANGGA MELAYU Bahagian 3



Catatan: Saya akan menulis beberapa catatan kecil yang saya fikir boleh membantu pembaca memahami dengan lebih mendalam dan jelas mengapa kita perlu berubah dari cerita kepada wacana. Oleh itu, saya akan terus menulis tentang PB yang menghuraikan persoalan ini.


5.   Meletakkan Ukuran Yang Standard Dalam Penilaian Kreatif

Apakah maksud “ukuran yang standard”?  Harold Bloom cuba menjawab pertanyaan ini menerusi bukunya, The Western Canon (1994).  Saya anggap buku ini sebuah hutan rimba intelektual yang hanya boleh ditulis oleh seorang sarjana Barat yang mengada-ada, tetapi tidak mungkin ditulis oleh seorang ulama Islam yang alim yang menulis kerana sifat takwanya dan perasaan takutkan Penciptanya. Tastenya tentu berbeza: yang Barat itu tetap hambar, bukan saja kerana terlalu berbelit-belit, tetapi juga kerana terlalu mengada-ada. Yang ditulis para ulama itu memberi nikmat intelektual dan kerohanian sekali gus, sesuatu yang tidak ada dalam kehidupan moden yang menjadi kebanggaan Barat dan para sasterawan negara di Malaysia. Sifat berbelit-belit dalam  rimba kejahilan ini terdapat dalam kritikan sastera Melayu, malah terlalu rimbun dengan daun tanpa sebiji buah pun. Mabuk daun, kata para petani Melayu yang kesal melihat pokok yang ditanamnya terlalu lebat daunnya, tetapi tidak berbuah. Inilah yang terjadi kepada buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014).  Bagaimana sastera boleh dijadikan teras negara bangsa jika karya sastera para sasterawan negara sendiri tidak menyerlahkan hakikat ilmu dan hakikat insan, seterusnya hakikat amal mereka sebagai manusia beragama? Jika anda membaca makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang memuji novel Anwar Ridhwan yang melihat karya itu dalam konteks kerancuan bentuk dan makna, maka anda akan terkesan betapa para sarjana dan sasterawan kita benar-benar mabuk daun, ibarat pokok rimbun tidak berbuah.  Sekadar peringatan kecil, anda dipersilakan membaca entri bertarikh 30 Julai 2015 tentang kritikan saya terhadap penyelewengan ITBM dan DBP yang menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa.

Dalam keadaan inilah kita memerlukan ukuran yang standard dengan kehidupan kita sebagai manusia beragama. Inilah konteks yang melahirkan Gagasan Persuratan Baru, tetapi konteks ini tidak diterima oleh para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera kerana mereka sudah mabuk daun setelah begitu lama berada di bawah naungan teori sastera Barat. Mereka tidak boleh menolak hakikat ini, kerana karya mereka sendiri akan menempelak mereka sebagai berbohong dengan menggunakan teori sastera sebagai ukuran untuk berbohong tentang peranan ilmu dan hakikat seni dalam Islam. Demikian juga laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri sangat rimbun dengan pembohongan intelektual itu, seperti yang saya kritik dalam blog ini dan juga dalam dokumen yang khusus mengenai sasterawan negara dan Panel Anugerah Sastera Negara.

Pentingnya persoalan ini telah dibincang dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam beberapa buah tulisan beliau. Antara lain dalam analisis beliau tentang novel Harga Sebuah Maruah karya Azizi Haji Abdullah yang memenangi sebuah sayembara penting anjuran DBP. (Bab 10, Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan (UKM2016).  Keselekehan penilaian panel dihuraikan dengan terperinci oleh beliau, dengan kesimpulan ini: “PB menyediakan satu gagasan yang jelas tentang peri pentingnya diutamakan, di samping peka pula terhadap kedudukan, fungsi dan bentuk kehadiran cerita, dan dengan itu memastikan karya kreatif dihasilkan dan dinilai dengan penuh wibawa, bebas dari kekeliruan dan kekaburan di samping peka kepada seni. Ini adalah anjakan yang dinamik, yang menjanjikan hasil persuratan yang tinggi ilmunya dan halus pula seninya. Dalam konteks kesusasteraan Melayu, inilah sebenarnya anjakan yang diperlukan.” (hal. 282).

Saya sendiri telah menulis satu makalah yang panjang menghuraikan kedudukan ilmu, pemikiran dan lain-lain aspek penting PB. Sila rujuk makalah saya, “Mengembalikan Peranan Ilmu yang Benar dalam Persuratan Melayu.” (Bab 5, Ilmu Teras Persuratan Melayu, UKM 2016.)  Tidak terdapat kerancuan dalam tulisan-tulisan yang saya rujuk ini.

6.   Halangan Akademik Dalam Perkembangan Intelektual

Apakah maksud halangan akademik?  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang dimuat dalam Sastera Teras Negara Bangsa menggunakan istilah Marxist “hegemoni” untuk memberi penekanan kepada peri pentingnya menghalang apa juga kritikan yang boleh memindah perhatian seseorang kepada pendapat atau pandangan lain yang berbeza daripada yang dijadikan arus perdana oleh kumpulan atau golongan tertentu untuk memastikan golongan mereka terus mendapat faedah tanpa sebarang gangguan. Inilah yang ditekankan dalam Resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Saya telah memberi pandangan saya tentang perkara ini dalam beberapa entri ketika menganalisis arah dan makna sidang kemuncak itu dalam perkembangan intelektual di Malaysia.  Kita perlu memberi ucapan tahniah setinggi-tingginya kepada PENA di bawah pimpinan Dr. Mohammad Saleeh Rahamad yang mendapat sumbangan yang cukup generous daripada Perdana Menteri Malaysia (yakni, daripada kerajaan BN) yang boleh digunakan untuk memajukan perkembangan sastera. Tetapi tidak sebarang karya, ada kecuali dan syarat yang tidak tersurat yang mesti dipenuhi untuk mendapat faedah itu. Contoh paling klasik dalam hal ini ialah novel Hikayat Buyung Lurus, yang pada mulanya dipersetujui diterbitkan oleh ITBM, ditarik balik pada saat akhir kerana sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh orang-orang yang membuat keputusan kedua itu.  PENA tidak membantah penarikan persetujuan itu, oleh itu saya sebagai penulis dan yang telah menjadi anggota PENA sejak 1966, ketika masih di universiti, tidak dapat pembelaan daripada PENA. Novel itu akhirnya diterbitkan oleh penerbit lain yang tidak berminat kepada perkembangan sastera, tetapi berminat kepada perniagaan. Saya mendapat tahu novel itu boleh dijual, oleh itu tidak merugikan penerbit. Novel itu tidak juga diharamkan atau sekurang-kurang dibantah oleh pihak berwajib, kecuali jika dicadangkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak menyokong  penerbitan novel itu kerana sebab-sebab mereka sendiri. Hikayat Buyung Lurus adalah sebuah karya istimewa, ditulis berdasarkan teknik tinju Muhammad Ali, suatu percubaan yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana sasterawan negara sekali pun. Mengapa PENA anti novel ini dengan membiarkan ITBM mengubah persetujuan; atau mungkin juga perubahan itu atas kemahuan PENA sendiri? Para sarjana dan sasterawan perlu tahu rahsia sebenar di sebalik perubahan yang bersifat anti-intelektual itu. Adakah kita perlukan halangan akademik seumpama ini? Dalam kes ini, nampaknya PENA, sebuah badan penulis yang wajar memperjuangkan para penulis, mengambil sikap yang amat pelik sambil menentang penulis yang mereka tidak suka. Saya masih menunggu PENA (atau ITBM) mengadakan perbincangan ilmiah tentang Gagasan Persuratan Baru. Sekiranya inilah wajah sebenar PENA dan lain-lain badan penulis, maka mereka perlu meneruskannya untuk faedah bersama. Tegakkan “hegemoni” yang anda perjuangkan, walaupun mungkin palsu.

Bagi orang yang tidak tahu peranan persatuan penulis, tentu akan berasa pelik bila mereka melihat persatuan penulis seolah-olah bersikap anti-ilmu dan bersikap anti-kebudayaan. Persatuan penulis ditubuhkan bukan untuk memajukan perkembangan ilmu atau kebudayaan, sebaliknya untuk memberi peluang kepada para penulis berkumpul, sambil membaca sajak, atau makan-makan sambil mendengar ceramah rengan (iseng-iseng).  Persatuan penulis bukan untuk kepentingan peribadi atau individu tertentu; oleh itu tidak wajar jika saya misalnya mengharapkan PENA mengadakan majlis perbincangan tentang PB atau membicarakan Hikayat Buyung Lurus misalnya.  Anda harus terpilih sebagai ahli jawatan kuasa terlebih dulu jika karya anda mahu diberi perhatian. Ini biasa saja berlaku di mana-mana dalam dunia, oleh itu tidak ada yang aneh jika perkara ini pun berlaku di Malaysia. Bolehlah kita membuat kesimpulan bahawa mengutamakan diri dan kelompok adalah universal, bukan milik Malaysia saja. Di Malaysia terdapat perkembangan baru apabila wujudnya Mutual Admiration Club (MAC) di kalangan para penulis, sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera.

Halangan akademik di Malaysia pada umumnya sesuai dengan semangat kekitaan yang kuat di kalangan orang Melayu, oleh itu tidaklah terlalu merosakkan perkembangan intelektual kerana ruang untuk perkembangan intelektual sentiasa terbuka kepada sesiapa juga yang gigih memperjuangkan kemajuan intelektual walaupun kadang-kadang terpaksa menghadapi halangan. Dalam konteks PB, halangan utama ialah budaya ilmu belum lagi menjadi kesedaran budaya yang meluas, hatta di kalangan sarjana, pengkritik sastera, dan para sasterawan sekalipun.  Ini tentu saja menghalang kemajuan intelektual yang akibatnya kita akan terus ketinggalan dalam budaya ilmu, malah ini akan menggalakkan lagi sikap anti-ilmu di kalangan kumpulan Mutual Admiration Club.

Kesimpulan Umum Untuk Renungan

Saya salin kesimpulan entri 5 November 2014 yang saya kira tepat sekali untuk menjadi kesimpulan tiga entri ini.

Apakah kemajuan yang telah kita capai dengan munculnya sasterawan negara?  Tidak ada kemajuan. Karya-karya yang diulas oleh Panel adalah karya-karya lama. Mengenai karya baru, nampaknya Panel telah membuat pilihan yang salah, kerana selepas diberi anugerah, sasterawan negara ini tidak menghasilkan karya yang lebih baik. Malah dalam kes Shahnon Ahmad, karya-karya selepas bergelar sasterawan negara sama atau lebih rendah kualitinya daripada yang terbit sebelum diberi anugerah. Untuk Baha Zain, satu perkara yang sangat aneh yang memerlukan penjelasan sekretariat Anugerah ialah mengapa anugerah kepada Baha Zain dilewatkan  begitu lama? Padahal  beliau telah layak 30 tahun dulu lagi, jadi mengapa hanya baru sekarang diberi kelayakan itu. Seolah-olah pemilihan beliau dipengaruhi Mutual Admiration Club yang sangat aktif sekarang, selepas anugerah sastera diwujudkan.  Sukar hendak dipercayai Baha Zain memerlukan masa 30 tahun untuk diselidik sebelum keputusan dibuat, satu jangka masa yang sangat lama, seolah-olah pemilihan beliau ada kaitannya dengan politik sastera yang menjadi tajuk ucapan penerimaan Keris Mas. Sepatutnya perkara ini tidak wajar ditimbulkan, tetapi tidak dapat dielakkan bahawa kesangsian itu membuktikan anugerah ini tidak diberikan kerana kelayakan kreatif dan intelektual, tetapi kerana berkaitan dengan lingkungan dan persekitaran tertentu yang mempengaruhi pemilihan. Ini telah terjadi kepada Shahnon Ahmad, yang mengetepikan Usman Awang, yang diberi peluang tahun berikutnya. Kini tidak ada lagi calon lelaki yang layak,  kecuali beberapa orang calon wanita yang nampaknya terus menerus disisihkan, padahal kelayakan bukanlah unsur utama dalam pemilihan, jika dilihat dari pemilihan yang lepas-lepas. Semua ini kesan daripada politik sastera yang menjadi tema ucapan penerimaan Keris Mas.

Ini memberi  kita satu kesimpulan yang sangat penting, iaitu perihal gagalnya Panel Anugerah Sastera Negara memberi arah yang betul dalam kritikan dan penilaian karya sastera; dengan itu kewujudan Panel itu dan pemilihan sasterawan negara oleh mereka hanya sejenis sandiwara, dalam konteks family resemblance yang diutarakan oleh Ludwig Wittgenstein. Oleh itu tidaklah terlalu menghampakan, kerana sekurang-kurangnya kita dapat mengaitkan anugerah ini dengan salah seorang tokoh besar falsafah dunia. Kita harus berbangga kerananya.”


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 8/7/2017

No comments:

Post a Comment