Wednesday, July 5, 2017

BEBERAPA CATATAN KECIL TENTANG PUJANGGA MELAYU




Catatan: Saya akan menulis beberapa catatan kecil yang saya fikir boleh membantu pembaca memahami dengan lebih mendalam dan jelas mengapa kita perlu berubah dari cerita kepada wacana. Oleh itu, saya akan terus menulis tentang PB yang menghuraikan persoalan ini.


1.   Pujangga Melayu Sebagai Novel Mini Ensiklopedia

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru mengubah secara total kaedah penulisan kreatif dan standard yang dipakai untuk membuat penilaian terhadap karya kreatif.  Sejauh mana para sarjana dan sasterawan sedar akan hakikat ini? Terdapat dua persoalan penting yang terlebih dahulu perlu dijelaskan. Pertama, para sarjana dan sasterawan masih lagi berada dalam mimpi lama yang tidak lagi dapat memberikan mereka kefahaman yang mendalam tentang hakikat kreatif dan penilaiannya.  Kedua, mereka tidak dapat melihat kepalsuan penilaian mereka kerana mereka tidak mempunyai asas dan kaedah yang jelas dan tepat. Ini dapat kita lihat dalam penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, yang telah dibicarakan dengan mendalam dalam beberapa entri dalam blog ini. Saya telah mengumpul beberapa buah entri dalam satu dokumen berjudul, "Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara".  Masalah kepalsuan penilaian ini sangat serius, dan telah dibuktikan dengan cukup jelas apabila Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memperkenalkan “konsep” kerancuan sastera untuk mempertahankan kedudukan novel Naratif Ogonshoto.  Saya telah memberikan penjelasan dan analisis yang lebih dari mencukupi untuk memahami aspek kepalsuan penilaian ini.  Kembali kepada persoalan pertama, jawapannya diberikan dengan cukup teliti dalam novel persuratan Pujangga Melayu, yang ditulis seluruhnya berasaskan konsep ilmu yang benar menurut ajaran al-Quran.  Inilah contoh karya pemikiran yang mempunyai hanya dua matlamat, ia-itu menghasilkan sebuah karya yang indah dan bermakna. Aspek ini telah saya huraikan dengan jelas dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua.  Anda boleh baca di sana.  Bagaimana dua matlamat ini boleh dicapai telah dijelaskan dengan terperinci dalam buku itu.  Apa yang anda perlu lakukan ialah menolak hujah-hujah itu dan membuktikannya tidak betul.  Kesukaran paling besar dan sangat rumit yang akan anda hadapi ialah anda tidak mempunyai hujah untuk meletakkan karya para sasterawan negara lebih bermutu dan lebih canggih dari segi kualiti pemikiran dan pengolahan teknik seni kreatif sekiranya anda membuat penilaian secara perbandingan dengan Pujangga Melayu.  Anda akan kecundang dan kelihatan sangat lucu dan lucah kerana cuba mempertahankan karya para sasterawan negara yang tidak dapat dipertahankan sebaik saja anda cuba melihat karya itu dari perspektif ilmu dan pemikiran.


2.   Konsep Kerancuan Sastera Sebagai Asas Sastera Melayu

Jasa besar Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ialah kejayaannya secara kreatif memperkenalkan konsep kerancuan sastera yang dijadikannya sebagai teori sastera yang unggul kerana melalui teori itu beliau berjaya mempertahankan kedudukan karya para sasterawan negara sebagai karya yang kaya dengan kerancuan bentuk dan makna. Menurut beliau, inilah kekuatan para sasterawan negara dan karya mereka. Pandangan beliau mendapat sokongan dari seluruh sarjana sastera dan para sasterawan yang mengaku bahawa mereka memang menjadikan kerancuan sebagai asas kreatif, sesuai dengan sikap mereka bahawa sastera hanya cerita, tidak mempunyai nilai-nilai ilmu di dalamnya.  Kesimpulan mereka sebenarnya tidak terpakai lagi, setelah dicabar dengan tuntas oleh Gagasan Persuratan Baru yang memperkenalkan konsep wacana dan cerita yang akan membina sesebuah karya dengan memberi perhatian kepada penggunaan ruang naratif yang lebih memberi perhatian kepada wacana sebagai wadah ilmu. Para sasterawan dan sarjana sastera tidak dapat memahami konsep wacana ini kerana mereka menggunakannya dalam konteks teori sastera Barat yang menolak konsep ilmu. Tanpa mereka sedari, mereka menjadi pejuang nihilisme dalam sastera Melayu dan menulis kritikan serta karya kreatif yang menolak nilai-nilai murni yang sering mereka perkatakan tetapi tidak menjadikan nilai-nilai murni itu teras kreativiti dan kritikan sastera, dengan itu mereka menolak konsep moral seperti yang ditegaskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika membicarakan karya A. Samad Said dalam laporan mereka. Inilah contoh paling klasik dalam kritikan sastera yang menjadikan kerancuan sebagai ukuran.

Apakah yang mereka fahami dengan kerancuan yang mereka jadikan sifat hakiki sastera Melayu? Sila lihat beberapa entri yang membicarakan persoalan ini. Makna kerancuan ini akan menjadi jelas, yang pasti akan memeranjatkan, jika dilihat dalam konteks Catatan 1 mengenai Pujangga Melayu sebagai novel mini ensiklopedia.  Ramai di antara sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera tidak faham dan tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan ensiklopedia. Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1998), dengan sumbangan daripada pelajar SPM atau STPM, oleh itu nama penyumbang tidak dimasukkan seperti dalam ensiklopedia dunia. Dalam budaya Melayu, hantu pun mempunyai nama; tetapi tidak dalam budaya akademik, oleh itu nama penyumbang yang pemalu tidak diberikan. Dalam adab akademik yang menjadi pegangan orang Barat, yang ditiru oleh sarjana Melayu, perbuatan melenyapkan nama itu dikira biadab. Oleh itu tidak bertanggungjawab. Sekarang sudah muncul novel ensiklopedia, Pujangga Melayu,  apakah reaksi para sarjana, pengkritik, dan sasterawan?  Mereka meremehkannya sebagai karya yang penuh unsur didaktik dengan khutbah yang membosankan; yang lucunya mereka membuat kesimpulan ini tanpa membaca novel persuratan itu. Inilah nilai baru dalam dunia akademik Melayu yang melahirkan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera yang tidak tahu membaca dengan betul, oleh itu mereka bangga membuat dan memberikan penilaian yang amat aneh dan lucu seperti dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad,  Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan”.  “Madu lewat saringan” itu diberi nama “kerancuan bentuk dan makna” sebagai asas kreatif dan penilaiannya.  Inilah hakikat sastera Melayu moden yang menjadi kebanggaan mereka. Inilah kumpulan yang dengan gelojoh dan angkuh mengatakan Pujangga Melayu penuh dengan khutbah dan unsur didaktik yang tidak ada “nilai sasteranya”!  Yang mendukacitakan mereka, yang membuat mereka tidak siuman, ialah novel ensiklopedia itu pada akhirnya muncul sebagai sebuah karya yang paling rapi teknik dan pengolahannya.  Siapa yang akan tampil menyanggah kesimpulan ini?

Ya, siapakah yang berani dan mampu menyanggah kesimpulan itu?  Sekarang bola berada di kaki anda; tentulah amat aneh jika anda menendang bola itu ke dalam longkang besar untuk dihanyutkan entah ke mana.  Jelas anda tidak tahu bermain; apatah lagi mempunyai kepakaran yang layak dihormati. Dalam sastera Melayu, ramai sungguh “tokoh-tokoh” yang berlagak lebih, tetapi tidak tahu bermain dengan idea yang bernas. Inilah orangnya yang menentang PB dan bangga menjadi jahil berterusan!  Dalam sastera Melayu, di kalangan sarjana sastera, sasterawan dan pengkritik sastera, menjadi biadab tentang ilmu adalah satu kelebihan yang dibanggakan. Inilah kutukan terbesar dalam perkembangan ilmu, dalam perkembangan intelektual. Tidak hairan jika mereka akhirnya melantik para sasterawan picisan yang menulis karya picisan untuk dijadikan sasterawan negara; dan bila karya dan mereka yang bergelar ini dikritik, mereka menjadi amat marah. Mereka yang dulunya berasa aman berada dalam kebodohan, kini berasa rimas dan panas apabila rahsia kepalsuan mereka didedahkan dengan bukti dan hujah yang mantap.  Siapa yang mahu dan berani menolak kesimpulan ini dengan hujah dan pembuktian yang mantap?

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru mengajak anda menjadi mantap dalam menyerlahkan idea bernas anda. Tidakkah itu satu kebaikan yang mulia?


No comments:

Post a Comment