Sesiapa yang
membaca entri yang lepas dan tidak mendapat apa-apa kesan intelektual
daripadanya, bolehlah berjumpa pakar jiwa untuk melaporkan kepada pakar jiwa
tadi bahawa dalam sastera Melayu sekarang terdapat banyak tulisan yang tidak
siuman, dengan memberikan contoh Gagasan Persuratan Baru sebagai pandangan yang
paling tidak siuman dalam perkembangan sastera Melayu. Bolehkah pakar jiwa tadi
membaca sejauh mana yang melaporkannya benar-benar siuman dan tidak mempunyai
ciri-ciri kesihatan mental walaupun tidak menolak Gagasan Persuratan Baru.
Persoalan
ini penting dalam sastera Melayu kerana terdapat kontradiksi yang sangat pelik di kalangan sarjana, pengkritik, dan
para sasterawan. Mereka menolak peranan ilmu dalam karya kreatif, tetapi pada
waktu yang sama mereka mengaku karya mereka kaya dengan pemikiran dan
pengajaran yang baik. Dari mana mereka dapat dua perkara itu jika mereka
anti-ilmu? Sebenarnya mereka golongan
yang amat keliru. Mereka dengan bangganya berkata mereka dapat ilham daripada
Machiavelli, padahal Machiavelli sebenarnya memilih untuk masuk neraka kerana
katanya dalam neraka lebih mencabar, kerana di situlah para ahli falsafah berkumpul, dan dia boleh berdebat
dengan mereka. Dia fikir neraka itu seperti Dewan Tunku Chancellor di UM. Yang
anehnya, sarjana, pengkritik, dan sasterawan percayakan Machiavelli, jika kita
baca pengakuan Anwar Ridhwan yang mengaku mendapat ilham daripada Machiavelli,
Dr. Mawar Shafei, Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad yang bersetuju. Adakah mereka
ini siuman? Tentu saja mereka bukan gila. Siapa sebenarnya mereka? Di sinilah pentingnya anda membaca dengan
kritis entri yang lepas, untuk memberikan anda sifat siuman sebagai golongan
terpelajar, yang tahu makna adab dan di mana letaknya ilmu dalam peradaban
manusia. Para sarjana (ciritan),
pengkritik (cetek meraba-raba), dan sasterawan (picisan), dengan sengaja dan sedar telah menghalang
perkembangan intelektual dalam penulisan berasaskan ilmu yang benar hanya untuk
menjaga kepentingan mereka seperti yang mereka tegaskan dalam resolusi Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014 dan buku tentangnya yang diterbitkan oleh ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Kritikan
saya terhadap buku ini adalah antara entri terpenting dalam blog ini, yang saya
anggap sebuah penerbitan yang anti-ilmu dan dengan sombong dan angkuh
menyerlahkan sikap anti-ilmu itu dalam
kertas kerja yang dimuat di dalam buku ini.
Empat orang sasterawan negara yang menulis kertas kerja untuk sidang ini
saling memuji satu sama lain atau kumpulan mereka, sesuai dengan kedudukan
mereka sebagai anggota Mutual Admiration Club; tetapi keanggotaan itu tidak
membuat mereka lebih siuman daripada penulis lain, walaupun mereka cukup yakin
bercakap besar mahu buat itu dan ini (baca sendiri kertas mereka) tetapi tidak
satu pun menjurus kepada konsep ilmu sebagai teras penulisan kreatif. Tidak
seorang pun di antara mereka yang pernah mendengar Gagasan Persuratan Baru,
oleh itu mereka berkata setiap zaman memerlukan pemikiran baru untuk menghadapi
persoalan baru, tanpa sedar semua itu telah dibincangkan dengan mendalam dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi
kedua. Malah persoalan ini telah lama
dibicarakan dalam konteks ilmu dan estetika, dalam buku Pendidikan Estetika Daripada
Pendekatan Tauhid (DBP 1992). Bukan fikiran baru? Seterusnya dalam Gagasan Persuratan Baru (UKM
2006) diperincikan lagi untuk kemudiannya menjadi satu teori penulisan dan
kritikan sastera.
Mereka
bercakap tentang kejujuran, tetapi merekalah yang pertama sekali mengkhianati
kejujuran itu sekiranya berlaku jujur merugikan mereka. Demikianlah mereka
perlu mengkhianati satu gagasan untuk menyelamatkan kedudukan mereka. Golongan
ini mengaku mereka berjasa kepada negara dan kepada kebudayaan, dalam cara
mereka yang membuang adab kerana tidak boleh dan tidak mahu menerima pendapat
yang berbeza. Anggota Mutual Admiration Club ini adalah golongan pinggiran yang
tidak mempunyai warisan, hanya warisan pandirisme yang mereka jadikan arus
perdana untuk menjaga kepentingan mereka. Kerana itu sastera Melayu tidak
berkembang dari segi pemikiran dan penemuan teknik, dan akibatnya ialah kita
masih lagi berada dalam lingkaran setan (vicious
circle) seperti yang dialami keldai yang berpusing di kincir air, berjalan
beribu batu, tetapi masih tetap di tempat yang sama. Kemajuan
kincir air ini hanya berjaya bertukar keldai, tidak membawa apa-apa perubahan.
Inilah kesimpulan yang diberi penekanan dalam entri yang lepas. Mungkin tidak
ramai pembaca yang sedar akan hakikat lingkaran setan ini; tetapi bukti yang
dapat kita lihat daripada tulisan para sarjana (contoh terbaik yang diterbitkan
dalam Sastera Teras Negara Bangsa)
seperti yang saya sebut beberapa kali dalam blog menyerlahkan betapa hebatnya
pandirisme dalam sastera Melayu. Teori
sastera Barat yang ditiru oleh para sasterawan dan sarjana sastera hanya
melahirkan “kemajuan” kincir air yang tidak bergerak dari tapak lama yang sudah
menjadi lumpur.
Dalam
konteks inilah kita perlukan penilaian semula kedudukan sebenar para sasterawan
negara yang berlegar di sekitar kincir air yang berada di Dewan Bahasa dan
Pustaka sejak berpuluh tahun, kini mendapat tempat baru di ITBM. Kita sangat
perlukan penilaian semula ini kerana sudah terdapat sasterawan negara yang
memanjat bumbung kilang besi berkarat untuk menulis kertas kerja, suatu
perbuatan yang tidak lagi lucu, tetapi amat membimbangkan kita terhadap
kesihatan mental tokoh yang berbuat demikian; kononnya untuk memberi kejutan,
tetapi sudah menjadi sebaliknya.
Seseorang yang tidak layak berada di sesuatu kedudukan, diberi juga
kedudukan itu, akan menimbulkan masalah kepada tokoh berkenaan dan kita semua.
Maka itulah saya berbicara tentang persoalan siuman tidaknya sesuatu tindakan,
supaya tindakan yang tidak siuman dapat dielakkan pada peringkat kita sudah
mempunyai sasterawan negara. Sudahlah
karya yang dihasilkan bertaraf picisan; kelakuannya yang luar biasa itu pula menimbulkan tanda tanya yang tidak dapat
dielakkan. Semua kejadian pelik ini
membuktikan betapa tepatnya kritikan saya sejak tahun 1981 lagi bahawa kita
tidak perlukan sasterawan negara. Perkembangan terkini membuktikan keputusan
saya adalah betul, dan tepat. Sebagai alternatif, dalam satu seminar yang
diadakan di DBP 2006 mengenai kesan pertandingan menulis dan pemberian hadiah
dan anugerah, saya mencadangkan supaya DBP mengusahakan satu bentuk anugerah
yang saya beri nama Hadiah Persuratan PETRONAS.
Saya kemukakan sebuah tulisan yang agak panjang dalam seminar itu.
Nampaknya cadangan itu perlu dilihat kembali ketika kita berhadapan dengan
masalah keldai di kincir air ini dalam sastera Melayu.
Barangkali
saya terlalu serius membicarakan isu-isu mengenai kegagalan sastera Melayu
memberi sumbangan yang benar-benar cemerlang dalam perkembangan intelektual dan
perkembangan kebudayaan Malaysia. Rasanya baik juga jika tulisan ini diakhiri
dengan nada lucu supaya sesiapa juga yang berada di atas bumbung kilang
berkarat tidak terpelanting jatuh mencederakan dirinya. Bumbung kilang bukan
tempat sasterawan bekerja; sekiranya mereka bosan bekerja di rumah, saya
cadangkan DBP atau ITBM memberi mereka tempat untuk menulis, sekurang-kurangnya
mereka mempunyai kesempatan untuk berborak dengan para pelawat DBP atau ITBM. Wajar
jika mereka diberi keistimewaan itu, lebih-lebih lagi jika karya mereka nanti
benar-benar bermutu. Tentu saja lebih baik jika mereka mula menelaah Gagasan
Persuratan Baru; manalah tahu mereka akan menjadi lebih cerdik dan bisa menghasilkan
karya yang bermutu, yang mengatasi Pujangga
Melayu. Malu jika karya sasterawan negara berada di taraf picisan saja!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 27/7/2017.
No comments:
Post a Comment