Sunday, July 16, 2017

MENYELAMATKAN MARUAH INTELEKTUAL DALAM SASTERA



Sebenarnya tidak perlu diselamatkan; tetapi maruah intelektual perlu dipulihkan.  Dalam beberapa entri yang lepas, saya telah menunjukkan betapa rendahnya kualiti akademik para sarjana ciritan dan pengkritik yang cetek meraba-raba. Bukti terbaik ialah penerbitan Sastera Teras Negara Bangsa  (ITBM 2014) dan pemilihan sasterawan negara yang tidak berasaskan merit. Walaupun sudah banyak kali sangat saya bincangkan persoalan ini, tetapi masih lagi ditimbulkan kerana kerosakan yang kita alami terlalu besar untuk dibiarkan begitu saja berlaku. Kerosakan pertama ialah sikap yang negatif terhadap ilmu dan sumber ilmu, yang berakhir dengan tulisan yang mengelirukan penulis dan pembaca yang tidak dapat membezakan antara omongan, idle talk, dengan hakikat ilmu.  Kerosakan kedua ialah kedudukan para sasterawan negara yang belum lagi dinilai dari segala segi dan penjuru pendekatan yang berbeza daripada yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara untuk menilai mereka. Sebenarnya Panel tidak menilai para sasterawan negara ini; Panel hanya memilih mereka untuk dilemparkan ke dalam khalayak sastera supaya diterima sebagai sasterawan negara, walaupun mereka tidak layak dan karya mereka tidak bermutu.  Ini persoalan besar yang belum lagi diselesaikan secara tuntas; malah dengan membiarkan persoalan ini berlegar dalam sastera Melayu, muncullah segala macam penilaian palsu daripada para sarjana dan pengkritik sastera. Kemuncak penilaian palsu ini ialah makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang novel Naratif Ogonshoto.  Inilah kemuncak kehilangan maruah sarjana, pengkritik, dan sasterawan sendiri.

Bagaimana keadaan tidak siuman ini boleh dijadikan siuman? Saya telah membuat berapa cadangan dalam entri yang lepas, dengan memberi penekanan kepada projek penulisan sejarah intelektual dalam persuratan dan sastera Melayu.  Projek ini peting dilaksanakan supaya segala kekeliruan tentang konsep ilmu, konsep adab, konsep persuratan dan konsep sastera boleh dibahaskan dengan mendalam supaya perbezaannya dapat dilihat dan dikenal pasti. Inilah kekeliruan paling besar yang kita hadapi sekarang, yang telah cuba diketengah dan dianalisis dengan objektif oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam tulisannya dan dalam buku-buku yang disuntingnya (senarai ringkas telah diberikan dalam entri lepas).  Saya telah cuba menganalisis persoalan ini dengan mengemukakan konsep pandirisme,  tetapi belum lagi mendapat pandangan kritis daripada mana-mana sarjana sastera; yang akibatnya mereka terus berada dalam kekeliruan dan nampaknya amat bangga berada dalam dunia yang keliru itu.

Jikalau kita membaca karya para sasterawan negara dan penilaian terhadap karya mereka, kita akan melihat dengan jelas keterbatasan kreatif para sasterawan negara ini dan kelemahan analisis para sarjana yang membicarakan mereka. Terdapatnya dua faktor ini memberi gambaran yang jelas bahawa para sasterawan negara ini bukanlah golongan yang mempunyai bakat kreatif yang tinggi, sebaliknya mereka peniru dan berlagak sebagai pencerita yang bergantung sepenuhnya kepada sensasi yang berlebihan. Kerana itu, mereka tidak berupaya mengenal pasti tema-tema besar yang berlegar di sekeliling mereka, yang hanya boleh difahami jika mereka mempunyai keupayaan intelektual yang tinggi dan kemampuan kreatif yang tajam. Di sinilah Pujangga Melayu memberi mereka cabaran yang tak mungkin mereka hadapi untuk menandingi the richness of contents dan the depth of analysis on the meaning of taklif dalam kehidupan manusia. Semua ini sangat asing dalam karya para sasterawan negara.  Kalau begitu, dari segi apa karya mereka istimewa dan kedudukan sasterawan negara itu sendiri pun istimewa?  Inilah kesan pandirisme, yang sebenarnya akan menjadi bahan ketawa Pak Pandir sendiri jika beliau membaca karya para sasterawan negara ini.

Kesimpulan ini bukan untuk merendahkan kedudukan para sasterawan negara; sebaliknya inilah kesimpulan yang tepat jika anda membaca karya para sasterawan ini dengan kritis dari perspektif ilmu yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Sekiranya anda menolak kesimpulan ini, yang paling kecil dan paling sedikit yang anda boleh lakukan ialah meletakkan Gagasan Persuratan Baru dalam satu kajian perbandingan yang kritis dan teliti dilihat dari perspektif teori sastera Barat. Antara dua pandangan  kreatif yang digambarkan dalam dua teori seni itu, mana satu yang benar-benar bercerita dengan kefahaman yang mendalam tentang makna sebenar kehidupan manusia yang mempunyai permulaan dan yang akan menghadapi perhitungan terakhir apabila ketika itu tiba, tidak dapat dielakkan. Inilah persoalan falsafah yang tidak dapat dihuraikan dengan mendalam dan memuaskan oleh mana-mana pengarang dunia yang menolak realiti kehidupan mereka yang bermula dan akan berakhir untuk memulai permulaan kehidupan kedua yang abadi.  Dalam kehidupan itu tidak ada kesusasteraan, tidak ada buku pun.  Yang menyerlah ialah kesan dari pembohongan dan sensasi yang dijadikan kemegahan para sasterawan.

Di mana para sasterawan negara berada?

Pertanyaan ini hanya berguna jika anda memahami, dan percaya kepada konsep taklif. Berapa orang daripada para sasterawan ini yang tahu wujudnya konsep taklif dan kesannya kepada kehidupan? Selepas diperkenalkan oleh PB pun mereka tidak percaya konsep itu penting dalam kehidupan mereka; dan ini mempengaruhi cara berfikir mereka dan dapat dilihat dalam hasil karya mereka.  Sekali lagi, contoh daripada Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dato’ Dr. Anwar Ridhwan amat relevan.

Kalau begitu, bagaimana maruah kemanusiaan yang tercalar hebat itu dapat diselamatkan?  Sebenarnya tidak perlu …

Mohd.  Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16/7/2017.

No comments:

Post a Comment