Catatan:
Saya akan menulis beberapa catatan kecil yang saya fikir boleh membantu pembaca
memahami dengan lebih mendalam dan jelas mengapa kita perlu berubah dari cerita
kepada wacana. Oleh itu, saya akan terus menulis tentang PB yang menghuraikan
persoalan ini.
3. Gagasan Persuratan Baru Asas Pemikiran
Kreatif
Hampir semua
sarjana, sasterawan, pengkritik sastera bercakap tentang perubahan dan perlunya
perubahan dalam penulisan kreatif. Mereka bercakap tentang eksperimen,
kelainan, teknik baru, dan macam-macam lagi. Yang paling ghairah bercakap
tentang perkara ini ialah Panel Anugerah Sastera Negara. Adakah mereka serius?
Tidak. Mereka hanya menuturkan sesuatu seperti burung kakak tua, tetapi tidak
faham maksudnya. Dulu mereka bercakap tentang perubahan paradigma. Sekarang
tiada siapa pun yang berminat hendak mengubah paradigma, kerana mereka
sebenarnya tidak tahu pun maksud paradigma dalam konteks pemikiran yang
diutarakan oleh Thomas Kuhn. Mereka tidak pun membaca buku Thomas Kuhn. Siapa
Thomas Kuhn mereka tidak tahu dan mengapa tokoh ini penting dalam pemikiran
moden. Inilah bentuk kerancuan dalam
sastera Melayu yang amat dibanggakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam
makalahnya yang diberi hadiah esei terbaik oleh DBP 2004-2005.
Kemunculan
Gagasan Persuratan Baru mungkin tidak mengubah apa-apa paradigma, oleh itu anda
bolehlah berasa selesa berada dalam paradigma lama atau usang yang anda panggil
“kesusasteraan”. Lama dan usang di sini tidak merujuk waktu atau masa, kerana
yang lama yang bernilai tidak pernah usang dan tidak berubah, ibarat berlian
yang tetap menjadi berharga walaupun pun nilai mata wang turun. Ambil contoh yang saya suka tampilkan kerana
sifatnya yang sentiasa segar dan menyegarkan. Anda boleh mencemuh sesuka hati
anda bila saya kemukakan kehebatan muzik qanun yang dicipta oleh al-Farabi;
kerana yang anda cemuh ialah diri anda sendiri yang jakun tentang muzik.
Bagaimana dengan pemikiran al-Ghazali? Jika anda mahu memahami manusia, bacalah
dan telaah huraian beliau tentang manusia dan ilmu. Sekurang-kurangnya bacalah Pembebas Dari Kesesatan (Deliverance from
Error). Dalam sastera Melayu, kemunculan Gagasan Persuratan Baru membawa
makna baru kepada konsep kreativiti dan memberi cara baru dan objektif dalam
penilaian karya kreatif. PB membawa anda kepada “deliverance from error”.
Itulah makna anjakan paradigma jika anda benar-benar percaya perlunya
perubahan kepada yang lebih baik dan berfaedah, bukan hanya perubahan palsu
misalnya dengan berlagak sebagai pembawa teknik realisme magis dalam sastera
Melayu. Ini hanya satu contoh. Dilihat
dalam konteks ini, anda akan mudah memahami mengapa saya menolak sasterawan
negara sejak 1981 hingga sekarang dan seterusnya.
Saya
terjemahkan keindahan muzik qanun dan huraian al-Ghazali tentang ilmu dan insan
dalam Pujangga Melayu. Itulah makna
sebenar perubahan paradigma, jika anda belum memahaminya.
4. Kedudukan Sebenar Sasterawan Negara dalam
Persuratan Melayu
Di mana
tempat para sasterawan negara dalam persuratan Melayu? Para sarjana sastera telah menolak konsep
persuratan untuk menyelamatkan kedudukan para sasterawan negara yang menurut
mereka secara khusus menulis karya sastera, bukan karya persuratan. Apakah sumbangan sebenar para sasterawan
negara dalam perkembangan intelektual Malaysia?
Jika kita melihat karya mereka, meneliti karya itu dengan kritis
berasaskan ilmu yang benar, menggunakan
pendekatan Persuratan Baru, maka yang kita dapati karya mereka tidak
menyerlahkan pemikiran dan kreativiti yang tinggi. Mereka menghasilkan karya
picisan saja, seperti yang dibuktikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika
membicarakan Naratif Ogonshoto. Beliau ingin meletakkan karya itu ke tingkat
tertinggi, tetapi “teori kerancuan sastera” yang beliau cipta membuktikan
sebaliknya. Tidak mungkin sebuah karya yang diakui beliau penuh dengan aspek
kerancuan itu boleh diberi kedudukan yang tinggi, padahal dari segi kekuatan
kreatif dan kemampuan berfikir tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Hanya
sebuah karya picisan. Sekiranya karya
yang dianggap terbaik sepanjang zaman ini sebenarnya hanya sebuah karya
picisan, maka apakah sumbangan sebenar para sasterawan negara. Hanya nihilisme
total, seperti yang telah saya bincang dalam beberapa entri. Kalau begitu, apakah sumbangan sebenar para
sasterawan negara ini? Jawapannya terselit dalam kertas kerja yang membicarakan
“pemikiran” mereka yang cetek meraba-raba. Kesimpulan yang diberikan oleh Prof.
Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengkukuhannya (1972) belum lagi
disanggah, dengan itu tepatlah para sasterawan negara ini adalah dari kumpulan
terpinggir, kumpulan pinggiran, yang tidak dapat dimasukkan ke dalam golongan
pemikir sastera yang istimewa, sesuai dengan gelaran sasterawan negara itu
sendiri.
Sejauh mana
pula istimewanya karya para sasterawan negara ini jika dibandingkan dengan Hikayat Buyung Lurus, Balai Maqamat, dan Pujangga Melayu? Jika anda
serius bercakap tentang anjakan paradigma dan kelainan serta pembaharuan,
apakah pandangan kritis anda tentang Hikayat
Buyung Lurus yang ditulis berasaskan teknik tinju Muhammad Ali? Tidakkah
ini suatu pembaharuan yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana sasterawan negara
yang hanya pandai menjadi peniru teknik Barat seperti realisme magis yang
mengarut itu? Tentang Balai Maqamat, tidakkah ini merupakan
satu cabaran kreatif yang tidak terfikir pun oleh mana-mana sasterawan negara
untuk menonjolkan idea dan pemikiran dalam karya kreatif? Lihat saja kisah “Rumah
Impian Polan Cupan” sebagai contoh. Apa yang anda dapati daripada pemikiran
yang diolah dalam karya itu? Anda boleh
saja memberi contoh daripada karya para sasterawan negara yang membuktikan
mereka telah menghasilkan karya yang jauh lebih bermutu daripada “Rumah Impian Polan
Cupan”? Ambil saja mana-mana karya Keris
Mas, Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Abdullah Hussein yang boleh
mengatasi keistimewaan “Rumah Impian Polan Cupan”? Akhirnya, tunjukkan manakah di antara karya
para sasterawan negara ini yang boleh digelar “novel mini ensiklopedia”? Katalah anda mengatakan tidak perlu pun
diwujudkan apa yang dinamakan “karya mini ensiklopedia” itu; tetapi apakah
hujah anda untuk menolak kewujudan Pujangga
Melayu sebagai sebuah novel mini ensiklopedia? Saya mengemukakan
contoh-contoh ini untuk memberi anda peluang menolak hujah saya bahawa kita
tidak perlukan sasterawan negara, apatah lagi memberi mereka kedudukan yang
istimewa sedangkan karya mereka tidaklah istimewa. Mereka adalah penulis picisan jika kita
menilai karya mereka berasaskan ilmu dan pemikiran seperti yang dibuktikan
dalam karya yang saya jadikan contoh itu.
Sekiranya
betul kerancuan itu satu konsep
penting, seperti yang dikhayalkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, maka anda
perlu membuktikan konsep mengarut itu lebih baik daripada konsep ilmu yang
menjadi teras Gagasan Persuratan Baru yang melahirkan karya-karya yang saya
jadikan contoh tadi. Sekiranya anda seorang sarjana sastera yang serius, atau
seorang pengkritik sastera yang handal bermain dengan teori dan idea, maka anda
diwajibkan oleh keperluan akademik untuk menjawab cabaran yang dikemukakan
kepada anda itu. Anda tidak boleh ikut serta menjadi sarjana picisan yang mati
akal apabila dicabar untuk menunjukkan kecanggihan berfikir anda. Adakah
cabaran itu sendiri mengarut saja, atau andalah
yang mengarut kerana berada dalam dunia khayal padahal anda seorang ahli
akademik atau pengkritik sastera yang harus menghadapi semua jenis karya yang
kini sudah pun muncul dalam seni mengarang di Malaysia.
Saya telah
mengemukakan hujah-hujah saya secara terperinci dalam sebuah dokumen berjudul,
“Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara”, yang saya kirim ke DBP untuk rujukan
selain kepada beberapa perpustakaan di universiti Malaysia. Jika anda berminat,
anda boleh meneliti dokumen itu di sana. Untuk yang lebih rajin, saya turunkan
di sini entri yang saya pilih untuk dimasukkan dalam dokumen itu. Inilah
senarainya: 1 Ogos 2015; 24 Jun 2014; 3
Julai 2014; 5 Jun 2014; 10 Jun 2014; 28 Oktober 2014; 20 November 2014; 26 November
2014; 28 November 2014; 8 September 2014; 9 September 2014; 14 September 2014;
2 Jun 2014 (tentang karya besar sasterawan negara); 17 November 2014; 13 November 2014; 6
November 2014; 5 Disember 2014; 10 Disember 2014: (di mana tempatnya sasterawan
negara dalam budaya ilmu); 13 Disember 2014; 18 Ogos 2014; 13 Ogos 2014; 2
November 2014: kesilapan memalukan yang perlu dihapuskan); 5 November 2014; 21 Disember 2014; 31 Disember
2014; 30 Januari 2015; 25 Januari 2015:
Pak Pandir, Pandirisme, dan Budaya Pandirisme Dalam Sastera Melayu); 4 April
2015; 4 Januari 2015: sasterawan negara bukan golongan pemikir dan mereka
tahu); 3 Januari 2015; 25 Julai 2015: jangan malukan dunia akademik …); 22
Julai 2015; 14 Julai 2015: memberi tempat yang wajar kepada sasterawan negara);
5 Julai 2015: kejujuran akademik dalam kritikan sastera); 30 Julai 2015:
penting…); semuanya entri tahun 2014 dan 2015 saja. Anda perlu melihat entri
selepas itu mengenai persoalan penting ini.
Semuanya berjumlah kira-kira 250 halaman.
Pada waktu
ini kita amat memerlukan sebuah kajian mendalam tentang perkembangan pemikiran
dalam sastera Melayu. Siapakah yang mahu menulisnya? ITBM dan DBP punya banyak
wang, tentulah mereka boleh upah sarjana
yang layak menulis tentang tajuk ini dengan membayar misalnya tiga ratus ribu
ringgit, atau hingga 500,000 ringgit, asal saja kajian itu benar-benar bermutu.
Jika anda memilih sarjana ciritan yang ramai itu, maka hasilnya tentulah
penyelidikan ciritan juga.
Mohd.
Affandi Hassan, 7/7/2017 Petaling Jaya.
No comments:
Post a Comment