Tuesday, July 25, 2017

NOTA KRITIS UNTUK DIRI TENTANG GAGASAN PERSURATAN BARU

Catatan: Entri kali ini saya tulis khusus untuk diri saya untuk membantu para pengkritik saya mengkritik semua karya ilmiah dan karya kreatif saya supaya mereka tidak terkilan dengan sikap kritis saya ketika membicarakan sumbangan ahli akademik dan para sasterawan negara. Inilah peluang yang baik untuk anda menilai sehabis kritis semua karya kreatif saya dan karya ilmiah saya tentang sastera. Selamat mencuba. Sebenarnya lebih baik jika anda mendiamkan diri, kerana sebaik saja anda mula menilai, yang dinilai ialah diri dan kemampuan intelektual anda sendiri. Keputusan anda untuk memperlekehkan PB adalah tepat dan sesuai dengan kemampuan intelektual anda sendiri. Saya berharap para guru sastera dan pelajar sekolah yang membaca karya para sasterawan dan sasterawan negara sedar akan hakikat ini. Anda perlu menjadi lebih cerdik daripada mereka.

Setelah membaca karya hebat para sasterawan, termasuk para sasterawan negara, saya dapati semua mereka mempunyai kepintaran yang mediocre. Bunyinya agak aneh, tetapi jika anda membaca tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sasterawan negara Dato’ Doktor Anwar Ridhwan, pensajak Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dan lain-lain, anda akan dapati mereka semua mempunyai kepintaran yang mediocre itu. Sastera yang mereka lahirkan adalah jenis sastera mediocre, yang mereka puji melangit ketika misalnya membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara dalam seminar yang dianjurkan oleh DBP, yang pada hakikatnya tidak tahu berfikir dan tidak pun melahirkan karya yang canggih “pemikirannya”. Kalau anda boleh beri contoh untuk menolak kepintaran yang mediocre ini, tentulah semua kesimpulan saya juga mediocre. Tetapi saya telah menulis sebuah karya mengenai seorang genius Melayu pertama, cucu Pak Pandir, “Rumah Impian Polan Cupan”, membicarakan seorang tokoh genius Melayu. Mana ada sebuah karya yang dapat menandingi karya tentang Polan Cupan ini? Sekiranya anda membaca karya ini dengan kritis dan membandingkannya dengan karya terbaik sasterawan negara, anda tidak dapat menolak kesimpulan saya betapa karya para sasterawan negara itu sebenarnya mediocre, yang tidak mempunyai pemikiran yang sekira-kira boleh meletakkan penulisnya sebagai sasterawan yang berbakat. Walaupun bakat itu hanya bakat mediocre.

Demikianlah lahirnya pandirisme dalam sastera Melayu.

Konsep pandirisme penting dalam kritikan sastera Melayu. Dengan wujudnya konsep ini, kita boleh bertanya dengan perasaan lapang, tanpa sebarang kemusykilan, “Manakah di antara karya para sasterawan negara itu yang tidak tergolong dalam karya pandirisme?” Yang perlu dibuat, jika mahu, hanya memberi sebab-sebab berupa bukti yang dihujahkan untuk menafikan pertanyaan itu. Pertanyaan itu tidak sukar untuk dijawab, jika anda rasa perlu. Jika anda rasa tidak perlu dilayan, tidak sedikit pun menjadi masalah. Yang akan berlaku hanya pengakuan yang anda tidak nyatakan bahawa karya itu sebenarnya karya pandirisme, oleh itu tidak wajar ditanyakan lagi. Sudah diketahui umum, atau SDU. Ini adalah pengakuan jujur bahawa karya itu karya mediocre, oleh itu perlu diterima oleh masyarakat sebagai karya mediocre. Kalau itulah hakikatnya, bagaimana penulis karya mediocre boleh diangkat menjadi sasterawan negara? Sekarang baru jelas, kita mempunyai masalah yang perlu diselesaikan dengan bijaksana dan dengan kejujuran akademik yang tinggi. Dalam keadaan sekarang, hal itu tidak berlaku; oleh itu masalah ini tidak akan selesai dan karya para sasterawan negara ini akan terus dianggap karya mediocre. Dalam bahasa yang lebih lunak yang saya pakai, saya namakan karya picisan. Adakah karya picisan sama dengan karya mediocre? Menurut maklumat yang saya terima, karya picisan masih lagi boleh dianggap sebagai karya bermutu dan konteks picisannya; dan inilah hujah yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika memutuskan pilihan mereka untuk melantik para sasterawan yang menulis karya picisan itu sebagai sasterawan negara.

Persoalan ini masih terus dikemukakan kerana kini karya para sasterawan negara diputuskan sebagai karya yang paling bermutu dalam segenap segi: dari segi “pemikiran”, dari segi teknik dan pengolahan tema; dari segi keindahan bahasa dan kecanggihan retorik yang kaya dengan nilai-nilai estetik. Semua ini telah disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara, walaupun tidak benar seperti yang telah saya bahaskan dalam banyak tulisan mengenai persoalan ini. Sehingga ini belum ada lagi sarjana yang tampil menolak hujah-hujah saya itu, dengan itu dapatlah kita membuat kesimpulan hujah-hujah itu memang tepat. Di sinilah masalahnya, apabila hujah-hujah yang menolak para sasterawan negara itu diharamkan daripada digunakan di sekolah-sekolah, oleh itu para pelajar terus tertipu untuk dipaksa menghafal hujah-hujah palsu dan tidak pernah dihidangkan dengan pandangan alternatif. Mengapa mereka tidak dibenarkan menggunakan hujah yang berbeza itu? Yang pasti, buku Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, diharamkan daripada digunakan di sekolah-sekolah supaya tidak diketahui oleh para pelajar sastera. Demikianlah, untuk menjaga kedudukan para sasterawan negara, para pelajar tidak dibenarkan mendapat maklumat terkini mengenai sumbangan sebenar para sasterawan negara ini. Baru-baru ini saya terjumpa satu tulisan panjang seorang guru sastera memuji novel Naratif Ogonshoto. Semua maklumat yang diberikan oleh guru sastera itu tidak betul; amat jelas beliau tidak tahu pun yang beliau tulis itu mengarut saja. Beliau hanya membuat ringkasan tiap bab, dengan rajah yang memang tidak diperlukan. Tidak ada penilaian. Pelajar disumbat dengan maklumat picisan daripada sebuah karya picisan. Inikah cara pengajaran sastera? Inilah yang saya sebut sejak tahun 1970-an mengajar menjadi bodoh. 

Guru sepatutnya mendorong pelajar mengesan kekuatan karya itu dari pelbagai perspektif. Jika sekiranya semua perspektif yang dipakai itu membuktikan karya itu sebuah karya yang bermutu tinggi dari segi pemikiran, teknik, pengolahan tema, perwatakan, dan penggunaan bahasa yang kaya dengan makna dan berjaya menyerlahkan keindahan karya itu dari segi makna dan ideanya, pelajar perlu diajar untuk menguji semua kesimpulan itu sebagai kesimpulan yang mantap. Sesuatu kesimpulan boleh dikatakan mantap sekiranya tidak ada kontradiksi di dalam penghujahan. Sebagai contoh, jika anda mengatakan watak-watak di dalam karya itu adalah watak-watak yang kuat, anda harus memberi perinciannya dari segi pemikiran, tindakan, moral, akhlak (keperibadiannya yang tinggi dan boleh dicontohi), dan bagaimana teknik kreatifnya digunakan sepenuhnya untuk mencapai matlamat sebuah karya yang indah dan bermakna; indah dari segi pembinaan karya itu sendiri yang menggunakan teknik tertentu yang berkesan; dan bermakna kerana karya itu telah memberi pembaca sedikit kesedaran tentang kehidupan secara umum. Ini hanya contoh yang tidak semestinya anda gunakan semuanya; tetapi apa juga hujah yang anda kemukakan mestilah mencapai matlamat indah dan bermakna tadi. Anda boleh cerakinkan maksud indah itu dan bagaimana pula boleh diganding dengan konsep bermakna tadi. Anda perlu berfikir untuk mempertahankan pendapat anda mengenai dua perspektif ini. Mungkin juga anda mempunyai perspektif lain; kalau begitu anda perlu memberikan penjelasannya. Semua ini dilakukan supaya setiap kesimpulan yang anda kemukakan telah dihujahkan dengan teliti dan mantap. Jika ini dilakukan, maka barulah anda dapat dikatakan telah mengemukakan pandangan kritis anda berlandaskan ukuran atau kriteria yang anda sendiri berikan. Ketika itulah pembacaan anda dan pelajaran sastera anda akan membuka kesedaran anda kepada pentingnya berfikir dengan kritis dalam semua tindakan anda. Demikianlah pendidikan sastera seharusnya dilaksanakan di sekolah-sekolah supaya para pelajar tidak lagi diajar menjadi bodoh, seperti yang memang dilaksanakan dengan gigih pada waktu ini dalam pengajaran sastera. Bukti terbaik kepada kesimpulan ini ialah hasil tulisan para sarjana kita sendiri yang kualiti akademiknya amat diragui. Saya telah memberikan banyak contoh tentang perkara ini.

Pengajaran sastera di Malaysia bukan saja lemah, tetapi juga tidak berusaha mendidik pelajar mencintai buku dan ilmu. Pelajar diajar menjadi bodoh, bukannya diajar menjadi cerdik dan cekap berfikir dengan kritis. Menjadikan Naratif Ogonshoto buku teks adalah suatu pengkhianatan intelektual yang tidak boleh dimaafkan; lebih teruk lagi apabila guru sastera sendiri tidak boleh berfikir dan tidak dapat melihat unsur picisan yang begitu ketara dalam novel ini. Apakah yang dapat dipelajari oleh para pelajar daripada novel picisan ini? Jawab pertanyaan ini dengan meneliti dengan kritis penjelasan di atas.

Saya sudah sering kali mencadangkan (untuk tidak berkata mencabar) supaya Pujangga Melayu dibaca bersama karya para sasterawan negara dan dinilai dari perspektif mana sekalipun yang anda mahu untuk melihat kelemahan Pujangga Melayu dan kekuatan kreatif dan pengolahan karya para sasterawan negara. Satu permintaan yang sangat mudah dilaksanakan kerana hampir semua sasterawan negara telah dinilai dengan “serius” oleh para sarjana ketika mereka menulis tentang “pemikiran” para sasterawan negara ini dalam seminar khusus untuk mereka. Mengapa perbandingan dari segi penilaian ini penting? Sebabnya cukup mudah. Para sasterawan negara telah diletakkan di tempat yang istimewa, mengatasi para ulama dan cendekiawan Melayu dalam persuratan Melayu dan dalam perkembangan kebudayaan Melayu. Adakah kedudukan istimewa itu wajar? Saya mengatakan tidak wajar, malah satu penyelewengan intelektual yang amat memalukan seluruh bangsa Melayu. Penegasan ini cukup serius, oleh itu amatlah wajar jika kesimpulan itu ditolak dengan hujah yang mantap. Antara cara yang boleh dilakukan ialah dengan menolak Pujangga Melayu sebagai sebuah karya tidak bermutu, dengan andaian penolakan itu akan menyelamatkan karya para sasterawan negara. Tetapi tidak semudah itu. Kedua belah pihak harus dibincangkan daripada segala perspektif yang anda mahu, yang terlintas di fikiran anda. Dalam perhitungan saya, para sarjana tidak mahu melakukan ini kerana mereka tahu kualiti karya para sasterawan negara ini berada di tahap picisan jika dinilai dari segi pemikiran dan kekuatan kreatif dari segi teknik. Dari perspektif ini, Pujangga Melayu akan menyerlahkan kedudukannya yang kejap dalam pencapaian kreatif yang tinggi kerana kekuatannya sebagai novel mini ensiklopedia menjadikannya cukup kaya dengan pemikiran kritis yang diperlukan dalam sebuah karya yang berjaya dan bernilai. Konsep stylization of ideas (siratan makna) yang dijadikan teknik pengolahan idea dan penyampaian makna serta keindahan estetika dalam karya ini sudah cukup untuk dijadikan hujah yang mantap kerana tidak sebuah pun karya para sasterawan negara ini memenuhi konsep stylization of ideas itu. Mengapa? Kerana karya para sasterawan negara tidak mengutamakan pemikiran dan gagal dari segi perwatakan kerana watak-watak yang mereka paparkan dalam karya mereka adalah watak-watak yang lemah, yang tidak memenuhi konsep uswatun hasanah yang menjadi kunci perwatakan dalam PB. Jika anda berkata semua unsur itu tidak ada kerana karya para sasterawan negara adalah karya sastera, bukan karya persuratan, oleh itu adalah wajar jika semua karya itu tidak memerlukan konsep-konsep yang menjadi kriteria dalam PB. Masalahnya ialah, jika itulah hujah anda, maka anda telah mengaku bahawa karya para sasterawan negara, secara asasi, adalah karya sastera yang kedudukannya lebih rendah daripada Pujangga Melayu yang menggunakan wacana dalam konteks stylization of ideas, yang tidak pun dikenali oleh para sasterawan negara. Bagaimana karya mereka boleh dinilai daripada perspektif itu? Itulah maksud perubahan paradigma yang anda selalu laungkan selama ini. Mengapa pula sekarang anda menolak perubahan paradigma yang anda sendiri terlolong-lolong satu ketika dulu mengajak para sasterawan menjadikan panduan dalam penulisan kreatif mereka? Dari segi ini sudah jelas selama ini anda hanya mengarut, dan terus mengarut seperti yang dilakukan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika memuji novel Naratif Ogonshoto berasaskan konsep “kerancuan teknik dan makna”. Nampaknya anda masih belum faham!

Hampir dalam setiap laporan Panel Anugerah Sastera Negara terdapat gesaan supaya para sasterawan memperkenalkan unsur eksperimen, kelainan, perubahan, dan pembaharuan dalam karya mereka. Apa maksud Penal? Para sasterawan negara yang dipilih itu semuanya disahkan oleh Panel mempunyai unsur yang mereka senaraikan itu. Sekarang, apabila Pujangga Melayu tidak saja memperkenalkan pembaharuan dan anjakan paradigma yang bersifat revolusi intelektual dalam seni mengarang dan menilai karya kreatif, orang yang dulunya menjerit melolong tentang perubahan diam membisu, seperti kucing galak dibawakan lidi. Apa sudah jadi? Sekarang sudah ketahuan (perkataan ini digunakan dalam style sastera lama) bahawa mereka ini hanya pandai mengarut untuk kononnya menakutkan pembaca bahawa mereka adalah serius tentang eksperimen dan sebagainya itu. Maka apabila Pujangga Melayu tidak saja membawa perubahan paradigma, tetapi juga perubahan dari segi seni mengarang dan menilai karya kreatif, mereka yang galak tadi membisu malu-malu kucing, putus hujah, malah hilang terus “hujah” longgar mereka tentang penilaian karya sastera itu. Sekarang sudah jelas ketahuan mereka adalah palsu!

Mengapa para sarjana ini perlu mengarut dalam penilaian mereka? Apa faedahnya memberi penilaian palsu yang kemudiannya tidak boleh dipertahankan? Inilah yang terjadi kepada para sasterawan negara ini. Para penilai harus mempunyai belas kasihan sedikit kepada orang-orang istimewa ini, yang setelah dilantik ke taraf begitu tinggi dan istimewa, tiba-tiba didapati fake? Apa sudah jadi? Saya diberitahu, fake atau tidak, tidak jadi masalah. Kini beberapa orang sasterawan sudah mendapat kedudukan tinggi sebagai sasterawan negara. Apa yang fakenya, tanya mereka. Jawapan saya yang terbaik masih lagi dalam entri bertarikh 28 Oktober 2015, bertajuk “Keunggulan yang Cacat.” Hingga kini belum ada sanggahan, kerana para sarjana dan sasterawan ini tahu jika disanggah mereka akan kelihatan sangat bodoh, tidak dapat menghujahkan dengan mantap mengenai kehebatan karya para sasterawan negara ini yang sebenarnya fake! Mereka tahu saya akan mengemukakan Pujangga Melayu sebagai karya sabungan supaya mereka dapat uji dengan senang hati sambil membawa ke hadapan karya terbaik mereka untuk menandingi Pujangga Melayu. Dari segi logik sangat mudah, cukup senang. Kalau karya bukan seorang sasterawan negara jauh lebih baik daripada mana-mana karya para sasterawan negara, apa guna diwujudkan sasterawan negara? Tiada siapa pun ingin, dan dapat menjawab pertanyaan ini. Tidakkah malu? Itulah dia… Perasaan itu bukan hiasan peribadi mereka, oleh itu mereka hanya perlu malu-malu kucing saja… Tapi dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 sifat malu-malu kucing ini pun tidak ada, jika kita membaca resolusi yang mereka kemukakan. Sukar hendak difahami mengapa mereka ini begitu tamak, padahal sumbangan mereka tidak seberapa…!

Jalan keluar untuk mereka cukup mudah, sentiasa terbuka untuk mereka gunakan dengan selesa jika mereka tahu, dan cerdik menggunakan hujah dalam perbincangan ilmiah. Mereka boleh gunakan PB untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai sasterawan negara dan sebagai sarjana yang membela para sasterawan negara ini. Bagaimana ini boleh dilakukan? Pertama sekali, mereka perlu memahami dengan agak mendalam konsep-konsep dalam PB, terutama konsep wacana, cerita, ruang naratif, dan stylization of ideas. Semua konsep ini boleh digunakan untuk mempertahankan kualiti karya para sasterawan negara ini dan kualiti karya kreatif mereka. Konsep-konsep itu memang terdapat dalam karya para sasterawan negara ini. Tetapi kerana mereka tidak tahu menggunakannya, maka mereka menjadi ketakutan hasil kepercayaan palsu bahawa karya mereka tidak bermutu jika dinilai daripada konsep-konsep tadi. Sebenarnya bukan begitu. Karya mereka pun mempunyai ciri-ciri tersendiri dalam aspek wacana, kerana dari wacana itulah mereka mengemukakan cerita mereka. Sekiranya mereka dapati mereka lebih cenderung untuk memberi penekanan kepada cerita, maka keadaan ini tidak bercanggah dengan tujuan dan matlamat karya mereka, iaitu untuk bercerita dan memberi sedikit hiburan kepada pembaca. Sebagai contoh yang mudah, kita ambil beberapa episod dalam Naratif Ogonshoto. Semua bab dalam novel ini dibangunkan dengan menggunakan dua jenis teknik yang amat digemari oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, iaitu teknik sensasi dan teknik sadisme, dua teknik yang dominan dalam karya besar Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ini. Paling ketara, seperti yang telah saya sebut dalam beberapa entri, ialah bab mengenai burung hering. Bab itu menarik kerana perempuan muda yang ingin membalas dendam itu terlebih dahulu melakukan persetubuhan dengan mayat pemuda durjana yang membunuh ayahnya, sebelum memancung zakar pemuda itu yang tetap keras. Zakar yang masih keras itu telah memuaskan nafsu gadis yang berani itu, tetapi kerana zakar itu tidak boleh disimpan, maka dia dengan dramatik melemparkannya kepada burung hering. Inilah yang istimewa dalam novel ini, yang boleh membuat para gadis Melayu (Malaysia) menjadi geram dan berani untuk mengajar zakar yang cuba memperkosa mereka. Dari segi feminisme, ini merupakan satu kelainan yang tidak terdapat di Barat sekali pun, dengan itu membuktikan feminisme Melayu (Malaysia) jauh lebih aggressive daripada feminisme longlai yang terdapat di Barat! Sebenarnya inilah juga yang menjadi tema utama dalam buku Dr. Norhayati Ab. Rahman, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM, 2012). Walaupun perlakuan seks dalam novel-novel yang disorot oleh Dr. Norhayati tidak sehebat perlakuan seks dalam karya Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, namun dia memuji pengarang yang “berterus terang” seperti Ayu Utami yang menjadi perintis kepada pembaharuan dalam penulisan novel di Indonesia, yakni keberanian dan kejujurannya bermain dengan perilaku sex yang aggressive (hal.109-110). Menurut Dr. Norhayati, ini merupakan kemajuan yang amat bermakna dalam penulisan novel. Kesimpulan Dr. Nohayati mendapat penghargaan tinggi daripada para sarjana Malaysia, misalnya daripada Dato’ Dr. Hashim Awang yang memberi pujian tinggi kepada buku ini. 

Tidakkah kajian ini boleh membantu para sarjana untuk menilai karya para sasterawan negara ini dari perspektif feminisme, dengan itu akan menyelamatkan mereka daripada tertekan kerana tidak dapat menangkis hujah-hujah yang dikemukakan oleh PB dan Pujangga Melayu. Mereka boleh menggunakan hujah ini untuk memperlekeh Pujangga Melayu yang bagi mereka anti-feminisme, dengan menjadikan watak wanita di dalam karya itu sebagai hamba seks seorang lelaki yang kuat nafsu! Ini merupakan satu kemenangan percuma yang boleh dibanggakan, dengan itu kedudukan Pujangga Melayu tidak lagi istimewa kerana tidak ada unsur feminisme di dalamnya, padahal feminisme adalah salah satu kekuatan yang menjadi tonggak karya para sasterawan negara. Masalahnya ialah feminisme juga mengarut, oleh itu tidak boleh dijadikan hujah untuk memperkecil Pujangga Melayu. Dengan itu Pujangga Melayu tidak termasuk ke dalam karya hanyut seperti yang dibicarakan oleh Dr. Norhayati dalam bukunya. Dalam sistem nilai Melayu yang berpaksikan nilai-nilai Islam, feminisme adalah tajaan Iblis seperti yang diceritakan di dalam al-Quran dalam kisah Iblis memperdaya Nabi Adam ‘a.s. dan Siti Hawa. Tidak ada orang Islam yang tahu membaca tidak tahu kisah ini; malah orang Melayu yang buta huruf pun tahu kisah ini. Ada kemungkinan terdapat di kalangan para sarjana sastera Melayu tidak tahu kisah Iblis ini, oleh itu mereka berlumba-lumba memperagakan bahawa mereka adalah pakar feminisme! Kerana mereka tidak tahu, mereka tidak berasa pelik. Itulah kelebihan orang jahil.

Sedikit penjelasan tentang perkataan “mengarut” yang banyak digunakan dalam entri ini. Antara anak-beranak “mengarut” ialah omongan, ocehan, sendaan, kelucuan, tempelak, ejekan, dan lain-lain yang anda sendiri mungkin lebih tahu. Dalam bahasa Inggeris disebut nonsense, fake, false, bullshit, dan lain-lain, yang disenaraikan dalam Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Satu istilah istimewa yang termasuk dalam kategori ini, yang diperkenalkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, ialah “kerancuan”. Menurut Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sastera Melayu penuh dengan aspek kerancuan ini. Tentu saja termasuk dalam karya para sasterawan negara. Istimewa, bukan?

Berbagai-bagai cara telah dicuba oleh sarjana dan lain–lain untuk mempertahankan para sasterawan negara, tetapi sesuatu yang memang fake tidak mungkin dijadikan genuine hanya dengan kata-kata, apatah lagi jika yang diutarakan itu lebih terarah untuk membenarkan sifat fake karya sasterawan negara ini, seperti dengan memperkenalkan istilah (??) kerancuan teknik dan makna ini. Apa juga yang kita tinggalkan untuk menjadi warisan yang boleh kita megahkan perlu diberi penilaian yang sehabis kritis supaya penilaian kita itu bukan fake, tetapi genuine berasaskan ilmu dan kemahiran analisis yang benar-benar mantap. Anda tidak dapat ini dalam esei Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang diberi hadiah esei terbaik oleh DBP itu, oleh itu penilaiannya terhadap novel Anwar Ridhwan tidak saja boleh diragui dan dipersoalkan, malah dengan mudah hujah-hujahnya dapat ditolak sehingga yang tinggal hanya sejenis ocehan, bullshit, yang diberi wajah akademik palsu menggunakan beberapa perkataan yang tidak mencerminkan hakikat sebenar karya yang dipuji itu. Semua ini boleh dilihat dan dikesan dengan mudah jika anda menggunakan pendekatan yang diberikan oleh PB. Dalam PB kita berbicara tentang genuine literature, yang merujuk kepada konsep ilmu yang benar. Orang yang siuman tak mungkin menolak pendekatan berasaskan ilmu yang benar ini. Soal sarjana sastera, pengkritik dan sasterawan tidak menerima PB adalah soal lain, bukan kerana mereka tidak siuman. Ini mesti jelas. Hendaknya tidak timbul salah faham yang tidak perlu. Kritikan saya terhadap rencana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Naratif Ogonshoto adalah genuine, bukan main-main. Ini mesti difahami dan tidak disalah mengerti. Istilah siuman yang sering saya sebut merujuk kepada akal rasional, oleh itu apabila saya berkata seseorang tidak siuman jika dia menolak peranan ilmu dalam seni, maka itu tidak bererti dia gila. Dia hanya tidak menggunakan akalnya dengan sepatutnya, dengan siuman, dengan pertimbangan rasional. Itu saja. Jangan salah faham kerana anda tidak faham; tetapi sering kali orang yang salah faham itulah yang salah faham dalam membuat pertimbangan, kerana dia lebih mengutamakan perasaan daripada akal sihatnya. Dalam soal PB dan peranannya dalam Abad 21, ramai yang tidak siuman dalam konteks yang saya sebutkan itu. Mereka bukan gila, hanya tidak membuat pertimbangan dengan menggunakan akal sihat. Bukan gila, hanya tidak siuman. Jelas dan tepat dengan makna genuine literature yang ingin dibina oleh PB dalam persuratan Melayu moden. Jika anda faham dalam konteks ini, maka anda akan dapat menerima kritikan saya terhadap para sasterawan negara dan penyokong mereka seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Sebenarnya lebih mudah untuk menjadi tidak siuman daripada terus menjadi gila, terus hilang akal yang berharga itu. Saya tidak menggalakkan anda menjadi tidak siuman, atau terus menjadi gila. Saya hanya mengajak anda menggunakan akal sihat, akal siuman, untuk menerima hakikat bahawa kemunculan PB dalam persuratan Melayu moden adalah satu revolusi seni yang amat bermakna, yang memberi arah yang jelas kepada perkembangan seni dan mudah pula dicapai kerana adanya garis panduan yang jelas dan mantap. Pendeknya, jika PB diterima secara siuman, kita tidak perlu membuang masa berpuluh tahun untuk memulai anjakan paradigma yang sudah lama kita laungkan itu. Bertindak siuman lebih mudah daripada menjadi penghalang kepada kemajuan yang memang kita perlukan.

Dalam konteks inilah PB perlu diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara untuk didedahkan kepada kaedah membaca dan menilai sastera yang lebih mantap, yang akan membuat sesebuah karya kreatif hidup dan lebih menarik, walaupun kualitinya rendah. Dengan menggunakan kaedah yang dirumus oleh PB, pelajar dan pembaca diajar bagaimana membaca dengan betul dan menilai karya itu mengikut ukuran tertentu yang boleh diuji ketepatannya. Inilah yang dijanjikan oleh Persuratan Baru. Oleh itu buku Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua, perlu menjadi bacaan semua guru sastera dan para pelajar. Melalui buku ini, anda akan dapat memahami lebih mudah pendekatan yang dikemukakan oleh teori Barat. Konsep-konsep dalam teori sastera Barat yang selama ini digunakan dalam pelajaran sastera di Malaysia, seperti plot, perwatakan, dialog dan sebagainya tidak relevan lagi dan tidak sesuai digunakan kerana semua konsep itu tidak dapat meningkatkan kefahaman pelajar atau pembaca kerana kaedah membaca yang sudah klise itu tidak berupaya menyingkap pemikiran dan makna yang tersirat di dalam karya. Supaya anda dapat mengalami perkara ini, anda perlu membaca karya itu seperti yang diajar secara tradisi dengan membandingkannya dengan kaedah bacaan yang dirumuskan oleh PB. Anda akan melihat perbezaan yang amat jauh, dan saya yakin anda akan menggunakan bacaan menurut kaedah PB kerana anda dapat melihat kecekapan (atau kegagalan) pengarang bermain dengan teknik, idea, perwatakan dan pengolahan tema. Anda akan melihat bagaimana pengarang menggunakan ruang naratif untuk membina karyanya, dengan itu anda akan melihat kecekapan pengarang menyusun setiap aspek karyanya untuk mencapai matlamat PB, yakni menghasilkan karya yang indah dan bermakna. Dalam kaedah lama yang sudah menjadi klise itu semua aspek ini tidak terdapat, oleh itu anda akan hanyut tak tentu arah kerana kaedah lama itu terlalu elementary jika dibandingkan dengan kaedah yang diajukan oleh PB. Kaedah lama, yang sudah klise itu, yang dijana dan dibina oleh tokoh-tokoh sastera Barat, mungkin sesuai untuk memperihalkan cerita-cerita picisan yang banyak ditulis dalam sastera Melayu, termasuk karya para sasterawan negara sendiri. Tetapi keadaan sudah berubah setelah muncul Gagasan Persuratan Baru, yang tidak lagi berminat kepada cerita sebagai cerita, tetapi “cerita” sebagai wahana untuk menyampaikan wacana, dengan memberi keutamaan kepada wacana. Keadaan ini belum lagi difahami oleh para sarjana dan pengkritik sastera, jauh sekali para sasterawan. Tidak susah untuk memahaminya, jika mereka membaca Gagasan Persuratan Baru. Tetapi mereka tetap memilih untuk mengusap kebodohan mereka dengan meniru bulat-bulat idea Barat yang sudah klise itu. 

Pilihan mereka untuk terus menjadi hamba teori sastera Barat masih boleh dipertahankan sekiranya mereka memberi hujah mereka mengapa kedegilan mereka perlu diteruskan. Kita mahu mendengar suara yang sebenar daripada mereka supaya kita tahu sejauh mana mereka faham kebudayaan Barat dan teori sastera Barat yang mereka perhambakan diri itu. Saya ingin mengutip beberapa ulasan dan komen daripada pengarang buku The German Genius untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku dan apakah yang sebenarnya dimegahkan oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Daripada komen dan ulasan Peter Watson dalam bukunya itu (Harper Perennial Edition, 2011) kita boleh bayangkan sejauh mana para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera ini faham apa yang sebenarnya terjadi dalam teori Barat yang mereka sanjung itu. 

Para sarjana dan kelompoknya selalu memberitahu kita, sastera Melayu sudah mencapai puncaknya dengan karya Dato’ Dr. Anwar Ridwan, Naratif Ogonshoto, yang diisytiharkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, “Karya ini berjarak jauh daripada persoalan setempat tetapi mempunyai signifikasinya dalam penerimaan tempatan kerana nilai kesejagatan yang dikemukakannya. Oleh yang demikian, kedudukannya dapat dibariskan dalam jejeran sastera bertaraf dunia.” Dalam otak sarjana Melayu, sesuatu yang bertaraf dunia itu ialah yang bertaraf universal. Mereka betul-betul menjadi seolah-olah hilang akal kerana kegilaan mereka kepada sifat yang dikatakan “universal” itu. Tetapi pada waktu yang sama, mereka memuji karya ini yang bertaraf pascamoden. Mereka tidak sedar golongan pascamoden menolak apa juga yang dikatakan universal itu. Di mana sebenarnya mereka berada? 

Perhatikan komen Peter Watson: (merumuskan pandangan Weber) “Only in the West, he said, has mankind developed the idea of understanding himself in a universal way, in other words on principles that apply to all human beings at all times – this is essentially what science aims at. In other cultures, people do not have this aim, they content to explain themselves to themselves as they are, at their particular point in history and location in the world. Why should the West be so concerned about it, and doesn’t it condemn us to an empty, cold existence? The result, he said, for many – for most – people was that the only meaning in life was the pursuit of pleasure, entertainment, self-gratification, or money. In America, he said, capitalism devoid of any religious or ethical meaning, had acquired the character of sport, and this had replaced the search for salvation. We are burdened by a surfeit of knowledge that doesn’t tell us how to live or what living is for.” (hal. 825-826; italics dalam asal).

Jikalau anda membaca kutipan ini dengan hati-hati sambil memikirkannya, anda mungkin akan terasa bahawa perbuatan meniru Barat tidak saja salah, tetapi bodoh, sekiranya pandangan Weber ini benar. Bagaimana sekiranya Weber salah? Anda boleh saja mengikut pendapat dan pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang modenisme dan pascamodenisme! Dalam hal ini, mungkin Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang memuji Naratif Ogonshoto itu lebih berwibawa daripada Weber. Sekurang-kurangnya, sebagai sarjana Malaysia, beliau memahami pandirisme dengan mendalam dan menjadikannya panduan akademiknya. Weber tidak seberuntung itu.

Saya fikir komen Peter Watson ini ada asasnya di Malaysia juga, mengenai konsep “newness” itu.

“It should now be plain to what extent we are indeed living in a post-Nietzschean, post-Weberian nihilistic world – for example, in the realm of contemporary high art, where the only criteria by which it is now judged is by newness, where the big auctions have all the qualities of a game, and collecting has become for so many a form of salvation. The world of fashion, where again the defining criterion is sheer newness, is another nihilistic aspect of the modern world. In all these realms, money is a prominent feature.” (hal. 826). Tentang nihilisme telah saya sentuh dalam entri yang lalu.

Money is a prominent feature” adalah gambaran tepat yang terkandung dalam Resolusi panjang Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Kita harus bangga mempunyai golongan sasterawan yang tamak haloba kerana mereka inilah yang memberikan “pembaharuan” dalam sastera Melayu, yang diakui oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Dalam konteks ini, mereka adalah golongan yang maju dan mempunyai ciri universal. Kerana itu, menurut para sarjana dan pengkritik, mereka layak diberi Hadiah Nobel. Keadaan para sasterawan ini samalah dengan kedudukan Naguib Mahfuz yang menang Hadiah Nobel itu, yang mendapat penghargaan tinggi dari Barat kerana kecekapannya memberi tafsiran Barat terhadap Islam. Dia berjaya dapat kedudukan universal dan sekali gus seorang yang diisytihar murtad oleh Al-Azhar. Amat dramatik.

Sebenarnya dalam sastera Melayu cukup banyak unsur dramatik ini, yang paling menonjol ialah meletakkan Naratif Ogonshoto sebagai sebuah novel paling agung dalam sastera Melayu, satu-satunya novel Melayu yang benar-benar bertaraf universal dan mempunyai kedudukan tinggi di peringkat antara bangsa, seperti yang diisytiharkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang memenangi esei terbaik itu. Bagi saya drama komedi yang paling menarik ialah kedudukan para sasterawan negara di takhta keunggulan, yang diisytiharkan oleh Mana Si Kana dalam bukunya Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan (ITBM, 2015). Kedua-dua perisytiharan ini sudah dirasmikan oleh DBP dan ITBM yang menerbitkan buku-buku itu. Bolehkah perisytiharan ini dicabar? Tiada siapa pun di Malaysia yang layak membuat cabaran itu, lagi pula tidak perlu. Yang kita perlukan ialah satu kajian menyeluruh tentang peranan sebenar para sasterawan negara dan mengapa mereka diangkat menjadi sasterawan negara, padahal karya mereka tidaklah istimewa jika dinilai daripada perspektif PB. Yang patut dicabar di sini ialah kedudukan PB dalam dunia akademik dan dunia intelektual di Malaysia. Soalnya, tiada siapa pun yang berani atau mampu mencabar PB, sehingga ini. Itulah yang mendukacitakan orang-orang yang tidak mahu PB berada dalam dunia akademik di Malaysia. Saya sendiri tidak wajar mencabar satu gagasan yang saya sendiri cetuskan, walaupun perbuatan itu amat dramatik. Dari perspektif PB, kedudukan para sasterawan negara tidak dapat dipertahankan. Kerana adanya konsep karya persuratan, status para sasterawan negara ini berada di tempat kedua, tidak mungkin mencapai status karya persuratan yang berada di tempat pertama. Inilah yang paling dramatik, yang menjadi suatu tragedi dalam sastera Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23/7/2017.

No comments:

Post a Comment