Peringatan: Entri ini hendaklah dibaca bersama tiga entri
sebelumnya, untuk memudahkan anda memahami isu-isu yang dibangkitkan dan jika
perlu memberi sanggahan anda jikalau anda mempunyai pandangan lain. Kita perlu
dialog dalam perkembangan ilmu.
Pertanyaan
yang menjadi tajuk entri ini menjadi semakin penting dengan munculnya Gagasan
Persuratan Baru memberi arah yang jelas yang hendak dituju dan hasil yang
hendak dicapai di samping menyediakan kelengkapan intelektual yang mencabar
untuk dipergunakan secara kreatif dalam pembinaan karya baru yang berbeza dan
lebih canggih daripada yang pernah dihasilkan oleh para sasterawan. Dalam huraian saya dalam beberapa entri
mengenai persoalan ini, anda mungkin sudah dapat melihat bahawa terdapat tiga
cabaran yang harus anda hadapi. Pertama, yang tidak boleh dielak, ialah
persoalan tentang konsep ilmu yang akan menjadi asas penulisan kreatif masa
depan. Kedua, pembentukan genre baru dalam konteks karya persuratan dengan
meninggalkan karya sastera reput sendiri kerana sifat anti-ilmu yang mendasari
penulisannya. Ketiga, anda akan berhadapan dengan khalayak yang lebih cerdik
dan lebih canggih berfikir dan cukup bersedia membuat penilaian yang tepat,
kukuh dan mantap dihujahkan berasaskan bukti yang jelas daripada kewujudan
karya itu sendiri, bukan khayalan penilai yang karut-marut seperti yang terjadi
sekarang, yang telah dihuraikan dengan tepat dalam tulisan Prof. Ungku Maimunah
Mohd Tahir dan saya sendiri. Untuk
rujukan, sila lihat Gagasan Persuratan
Baru, edisi kedua (2014); Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan, (UKM 2016), disunting oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd
Tahir; Ilmu Teras Persuratan Melayu
(UKM 2016), suntingan Prof. Ungku
Maimunah; Gender Dalam Sastera Melayu
(UKM2013), suntingan Prof. Ungku Maimunah; Islam,
Feminisme Barat dan Sastera Melayu (UKM 2013) suntingan Prof. Ungku
Maimunah Mohd. Tahir.
Dengan
perkembangan baru ini, yang tidak dapat dielakkan, hegemoni palsu yang
bersumber daripada idea Marx dan Gramsci tidak boleh dipertahankan lagi oleh
ITBM dan DBP yang menjadi promoter idea itu untuk mempertahankan kedudukan para
sasterawan negara yang sudah jelas tidak dapat dipertahankan selagi tidak
dibicarakan dengan kritis dari perspektif Gagasan Persuratan Baru. Sasterawan negara hanya boleh dipertahankan
secara akademik dengan dialog yang kritis, bukan dengan memaksa hegemoni palsu
untuk menutup sebarang perbincangan kritis. Memahami
kedudukan sebenar para sasterawan negara adalah penting untuk memastikan
kemunculan mereka berfaedah dalam perkembangan intelektual Melayu. Dialog ini
mesti dilakukan dengan kritis, bukan dengan memberi sanjungan seperti yang
dibuat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Dr. Mawar
Shafei, Prof. Mokhtar Abu Hassan, dan lain-lain sarjana ciritan yang
mengangkat tinggi para sasterawan negara ini sehingga sumbangan negatif mereka
dalam perkembangan ilmu dan penerapan nilai murni dalam masyarakat dilupakan. Kemunculan Gagasan Persuratan Baru
mengubah sama sekali cara mereka melihat sastera. Mereka tidak boleh lagi
berasa selesa bercakap tentang apa saja tentang sastera dalam konteks kefahaman
mereka yang cetek tentang teori sastera Barat, tidak ada siapa pun yang akan
mempersoalkan kesiumanan pendapat mereka. Walaupun mereka sering bercakap
tentang perubahan paradigma, tetapi perubahan itu bukan perubahan dalam
pengertian epistemologi; yang mereka maksudkan hanya perubahan sikap, misalnya
dengan mengatakan sasterawan itu propagandis zamannya tanpa sebarang penjelasan
bagaimana hal itu boleh berlaku. Sekarang semua ini dipersoalkan dengan
munculnya Gagasan Persuratan Baru. Mahu tidak mahu, PB menjadi sejenis puaka
intelektual bagi para pemuja teori sastera Barat ini. Tanpa mereka sedari,
mereka sedang menghadapi satu perubahan paradigma yang hebat, sesuatu yang
mereka canangkan dahulunya supaya dilakukan. Sekarang? Mereka menentang
sebarang perubahan, apatah lagi perubahan paradigma, kerana perubahan akan
merugikan mereka dan akan hanya menempatkan mereka di pinggiran walaupun
merekalah, kononnya, yang mencipta sastera arus perdana sejak kira-kira 80
tahun ini.
Saya sudah
sering menyebut satu perkara, malah telah pun menulis Hikayat Salim Adil (mungkin akan diterbitkan dalam masa terdekat),
ia-itu mengenai kualiti kreatif kita dalam masa 80 tahun itu. Berapa banyakkah sampah yang telah kita hasilkan dalam sastera Melayu? Soalan ini
tidak dapat dijawab kerana kita tidak mempunyai ukuran yang sekira-kira
membolehkan kita membuat anggaran kasar, kecuali jika kita menggunakan ukuran
yang dicadangkan oleh Gagasan Persuratan Baru.
Kita boleh membuat anggaran dari perspektif ilmu, kualiti pemikiran
dalam karya, kemampuan mengemukakan persoalan dan teknik baru dalam penulisan,
dan pemilihan tema berasaskan kepentingan ilmu dan perwatakan dalam konteks uswatun
hasanah (memberikan contoh teladan yang baik). Menarik juga pendapat yang dikemukakan oleh
Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong dalam bukunya, Sastera, Politik, dan Masyarakat (DBP 2014), Bab 4, “Kecenderungan
yang Berat Sebelah: Kita Terlalu Banyak Bersastera.”
Menurut beliau, kecenderungan untuk bersastera itu 60%, dan untuk lain 40%. (hal.
54).
Ada dua
perkara di sini yang kita perlu beri perhatian. Pertama, apakah kualiti
“bersastera” itu. Kedua, adakah kegiatan “bersastera” itu mendorong ke arah
kemajuan berfikir, atau sebaliknya. Untuk yang pertama, yang kelihatan jelas
kegiatan “hu-ha hu-ha” membaca sajak, saling memuji satu sama lain dalam mutual
admiration club yang memang anti-ilmu (ini pendapat Muhammad Haji Salleh
sejak tahun 1973 lagi; mungkin kini berbeza).
Sajak-sajak yang dibaca pula adalah jenis sajak celoteh, yang langsung
tidak ada pemikiran yang solid. Tentu
saja yang kedua tidak mungkin tercapai, tiada apa-apa pun yang boleh mendorong
seseorang berfikir sambil membahaskan aspek pemikiran tadi. Hanya kegiatan
sorak-sorai. Jika itulah bentuk kegiatan
yang 60% itu, memang amat sia-sia. Kita boleh lihat kesannya dalam hasil
sastera sendiri. Terlalu banyak sampah yang ditonjolkan; malah karya para
sasterawan negara sendiri pun tidak sepenuhnya memperlihatkan kualiti berfikir
dan kualiti kreatif yang tinggi. Terdapat sejenis ketakutan untuk tidak dinilai
dengan kritis, berasaskan konsep ilmu yang diajarkan oleh al-Quran. Memang
penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara adalah penilaian yang
sangat naif, seperti yang telah saya bahaskan di sana sini dalam tulisan
saya. Sehingga ini belum terdapat
sanggahan, kerana mereka tidak mahu pendedahan kepalsuan intelektual seterusnya
jika dibahaskan dengan kritis. Oleh hal yang demikian, karya para sasterawan
negara itu sendiri pun belum lagi dinilai sewajarnya berasaskan ukuran yang
boleh diuji ketepatannya seperti yang diperlihatkan oleh karya itu sendiri. Inilah
corak sastera yang 60% itu, yang memang sia-sia dan tidak berkualiti. Walaupun
kesimpulan saya agak kritis, saya yakin itulah keadaan sebenarnya.
Badan-badan penulis sendiri tidak mahu membicarakan aspek ini, kerana mereka
tahu keadaan sebenarnya yang memang amat menghampakan, andainya anda menghargai
ilmu dan kejujuran intelektual.
Sindiran
saya dalam entri 9/7/2017 bahawa badan-badan/persatuan penulis ditubuhkan bukan
untuk memajukan budaya intelektual, sebaliknya untuk kepentingan mutual admiration club sendiri,
nampaknya dipersetujui oleh persatuan penulis. Kata mereka, tidak sebuah pun
badan penulis di negeri, apatah lagi di daerah, mempunyai dana yang akan
membolehkannya aktif dalam gerakan intelektual; dengan keadaan daif yang dialami
sekarang, badan-badan negeri dan daerah hanya mampu mengadakan pertemuan para
pensajak atau pertemuan sesama sendiri sahaja, yang tidak memakan belanja yang
besar. Lain halnya dengan GAPENA dan PENA, yang mendapat bantuan kewangan yang
amat generous daripada kerajaan. Badan penulis yang banyak dana ini boleh
menggunakan dana mereka untuk melawat sambil belajar di luar negeri, menerbitkan
buku kelompok sendiri, mengadakan perbincangan sesama sendiri sambil
bersantai. Saya masih menunggu kedua-dua
badan penulis ini bermurah hati mengadakan perbincangan ilmiah dan kreatif
tentang Gagasan Persuratan Baru, yang tidak boleh diketepikan lagi. Kita
memerlukan dialog yang kritis untuk melihat segi-segi baru dalam pemikiran baru
tentang seni mengarang dan yang berkaitan dengannya. Gagasan Persuratan Baru
boleh memberikan anda modal intelektual yang sangat terbuka untuk dibahaskan,
atau kalau mahu ditolak sebagai satu idea subversive
dalam sastera Melayu. Why not? Paling tidak, mari kita bicarakan sumbangan
para sasterawan negara dari perspektif PB. Kalau sarjana kita dapat buktikan
karya sasterawan negara boleh dengan mudah mematahkan hujah PB, maka kita
tentulah sangat gembira kerana PB boleh saja digantikan dengan “teori kerancuan sastera” para
sasterawan negara! Tunggu apa lagi? Saya bersetuju “teori kerancuan sastera” memang tepat menggambarkan keadaan
sebenar sastera Melayu moden yang hambar dan anti-ilmu. Seperti biasa dalam persoalan akademik,
perkara ini perlu dihujahkan dan dibuktikan. Tunggu apa lagi?
Sekiranya
PENA tidak berminat dalam dialog ilmiah, PENA mungkin berminat untuk
menerbitkan sejarah pemikiran dalam kesusasteraan Melayu. DBP telah gagal
membicarakan aspek ini dalam sejarah kritikan sastera tajaan mereka, yang bukan
berupa analisis, hanya sejenis cerita biasa untuk memberi peluang menyebut
beberapa nama yang tidak penting, yang sumbangannya kepada aspek pemikiran ini
sangat cetek dan keliru. Tetapi jika sekiranya DBP berminat dalam projek ini,
saya cadangkan projek ini diketuai oleh Prof. Ulung Shamsul Amri dari UKM. Dalam suatu lawatan ke pejabatnya 1999,
beliau menunjukkan saya sebuah buku penting yang secara kebetulan saya juga
mempunyainya, sambil berkata, “Aku boleh tulis buku seumpama ini, jika ada geran
yang mencukupi.” Kita memang mempunyai
tokoh yang layak yang boleh mengerjakan projek penting ini.
Buku yang
saya maksudkan berjudul, The Sociology of Philosophies: A Global
Theory of Intellectual Change (Harvard University Press, 1998), oleh
Randall Collins. Tebalnya 1098 muka surat.
Kita pun perlukan buku jenis ini, yang belum lagi ditulis, kerana
terlalu memberi perhatian kepada penerbitan sampah seperti yang dibayangkan
oleh Prof. Emeritus Abdul Rahman Embong dalam bukunya. Kedudukan para
sasterawan negara perlu diberi pemulihan baru setelah ditolak oleh PB, dengan
membuktikan penilaian berasaskan konsep ilmu seperti yang dianjurkan oleh PB
adalah keliru. Jika perkara ini tidak
diselesaikan, maka arah tuju perkembangan baru menjadi lebih kabur dan keliru;
dan ini bererti kita akan membuang masa lebih setengah abad lagi untuk
menyedari bahawa yang diberikan oleh para sasterawan negara adalah karya
picisan yang tidak ada kualiti pemikiran dan keunggulan kreatif. Anda perlu
sedar mulai sekarang bahawa Abad 21 adalah kepunyaan PB yang sudah bersedia
untuk mengisinya dengan karya persuratan, meninggalkan karya sastera dan karya
picisan menjadi lumut sastera. Ini bukan lagi ramalan, tetapi realiti yang
wujud dan boleh dilihat dengan jelas dalam karya sastera yang ada sekarang.
Ada dua buah
buku Peter Watson yang boleh dijadikan panduan projek yang dimaksudkan. Buku
beliau The German Genius ( 964
halaman) membicarakan semua aspek perkembangan pemikiran di Jerman yang boleh dijadikan model untuk
penulisan buku kita sendiri tentang pemikiran “genius” Melayu pula. Sebuah lagi buku beliau yang lebih umum ialah
Ideas: A History of Thought and
Invention, from Fire to Freud (2005).
(822 halaman).
Kita perlu
tulis buku seperti ini, untuk memahami dengan mendalam apa yang sebenarnya
berlaku dalam sastera Melayu, dan apa yang sebenarnya difikirkan ( ?) dan
ditulis oleh para sasterawan. Dan… mengapa para sasterawan negara ini menjadi
masalah yang begitu menggugat sifat siuman para sarjana dan pengkritik
sastera? Ingat saja betapa peliknya
penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad terhadap Naratif Ogonshoto? Adakah
itu merupakan contoh yang paling siuman, atau sebaliknya? Kita mesti jelas
dalam perkara ini, kerana kita berbicara tentang sumbangan para sasterawan
negara yang istimewa itu. Kita perlu kembalikan sifat siuman itu di kalangan
para sarjana dan pengkritik sastera, kerana persoalan ini menjadi masalah besar
dalam sastera Melayu. Lihat saja bagaimana Mana Si Kana memberi penilaian yang
tidak saja palsu terhadap para sasterawan negara ini, tetapi juga tidak
bertanggungjawab. Saya telah membahaskan aspek ini ketika menulis tentang tiga
buah buku beliau, termasuk bukunya Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan yang mengarut itu. I’m using strong words indeed, tetapi pada hakikatnya masih belum
mencukupi. (Kalau anda faham maksud saya.)
(Antara lain rujuk entri 28 Oktober, 2014).
Sekiranya
anda melihat persoalan ini dalam konteks masa depan persuratan Melayu, atau
sastera Melayu, maka anda tidak dapat mengelak daripada memastikan dengan pasti
bahawa arah yang kita tuju dan jenis karya yang kita mahu tidak meneruskan kegagalan
dan kekeliruan selama 80 tahun yang saya sebut banyak kali dalam entri blog
ini. Sekiranya anda masih ragu-ragu
tentang kesimpulan ini, anda perlu menjelaskannya; maka itulah perlunya buku
yang saya maksudkan itu ditulis sekarang, tanpa berlengah lagi. Saya kira masalah dana bukan halangan, kerana
kita memang mempunyai dana yang mencukupi; masalah siapa yang boleh melakukan tugas
ini juga tidak perlu dijadikan alasan, kerana kita sudah mempunyai sarjana yang
mempunyai keupayaan akademik dan intelektual yang tinggi untuk membuat kerja
berat ini. Tunggu apa lagi?
Salah sebuah
buku yang sudah lama kita tunggu untuk ditulis ialah mengenai Ilmu Balaghah
Melayu, yang Za’ba menjadi pelopornya seperti yang tertulis dalam Ilmu Mengarang Melayu (1934). Kerja ini sudah dimulai oleh seorang
pensyarah di UPSI, yang fasih berbahasa Arab. Za’ba tidak mungkin dapat
dibicarakan dengan adil tanpa pengetahuan bahasa Arab untuk meneliti rujukan
beliau dalam buku-buku Arab ketika menulis Ilmu
Mengarang Melayu. Za’ba juga
mempunyai pengaruh dalam perumusan Gagasan Persuratan Baru melalui bukunya itu.
Dalam satu entri dalam blog ini, saya telah menggariskan perkembangan sastera
Melayu dapat dibahagikan kepada tiga jalur, salah satunya jalur yang dipelopori
Za’ba. Sila rujuk di sana.
Memerhatikan
analisis ringkas di sini, kita dapat bayangkan persuratan Melayu akan mengambil
tempatnya yang hak sebagai pelopor perkembangan baru dalam penulisan kreatif
dan penilaiannya seperti yang dicadangkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Inilah
pilihan terbaik, yang kini sudah mula disedari oleh generasi muda yang ingin
membina semula kecerdikan bangsa Melayu setelah dipudarkan menjadi gelap oleh
perkembangan sastera yang tidak tentu arah, yang keliru dan cetek meraba-raba. Kemuncak kekeliruan itu ialah pemilihan
sasterawan negara. Perbincangan saya yang dikumpulkan dalam dokumen berjudul,
“Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara” (2015) menghuraikan dengan jelas
kesimpulan ini.
Kesimpulan
dan Rumusan
Konsep
sastera yang menjadi pegangan para sasterawan, sarjana dan pengkritik, sudah
bergelimpangan di arena akademik, tidak dapat diselamatkan lagi, sudah menjadi
sejarah yang memalukan dunia intelektual Melayu. Konsep sastera yang dicontohi
sepenuhnya daripada teori sastera Barat, ternyata bertentangan dengan warisan
persuratan Melayu yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Para sasterawan ini
sudah gagal menyerlahkan keunggulan karya mereka dan pemikiran mereka dari segi
kreatif dan pengolahan tema. Semua ini menyerlah dengan terang di dalam karya
mereka sendiri; malah karya terbesar sepanjang zaman, yang tiada taranya dalam
sastera Melayu, Naratif Ogonshoto,
hanya sebuah karya picisan dari segi pemikiran dan penerokaan teknik. “Teori kerancuan sastera” yang dicetuskan
oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk menyelamatkan karya ini gagal sama sekali
dari segi pemikiran kerana yang dipanggilnya “teori” itu hanya ocehan, idle talk, yang memang kaya dari segi
unsur-unsur pandirisme tetapi kering dari segi ilmu. Anda perlu menyanggah kesimpulan ini untuk
membuktikan para sarjana kita bukan sarjana ciritan yang mengarut dalam bidang
akademik. Tidak seorang pun daripada
kumpulan sarjana ciritan ini yang berupaya menyanggah mana-mana aspek
Persuratan Baru, walaupun mereka melekehkannya sebagai sejenis angan-angan,
bukan suatu kenyataan. Kata mereka, PB adalah sesuatu yang amat ideal, yang
tidak masuk akal, yang hanya menjelma dalam impian tetapi tidak dapat
dilaksanakan dalam realitinya kerana bertentangan dengan konsep sastera yang
difahami di seluruh dunia. Apabila
dikemukakan kepada mereka Pujangga Melayu
sebagai bukti yang tidak boleh ditolak keunggulannya dari segi pemikiran dan
pengolahan tema tentang kehidupan manusia yang siuman, mereka terdiam seperti
kucing dibawakan lidi. Mungkin ada di antara
mereka yang terkencing kerana terlalu marah, atau malu! Kerana itu mereka berusaha gigih untuk
menggagalkan perubahan paradigma yang dibawa oleh PB, walaupun mereka terpaksa
menjadi kumpulan peneroka kemusnahan kreatif dalam sastera Melayu. Walau apa
pun kesimpulannya, mereka tetap golongan yang kalah; dan PB akan terus mara
memberi arah baru yang cemerlang kepada dunia kreatif dan kritikan dalam
persuratan Melayu abad 21. Dan
seterusnya.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 13/7/2017.
No comments:
Post a Comment