Tuesday, August 15, 2017

TOLAK KESELEKEHAN AKADEMIK DAN PANDIRISME DALAM SASTERA MELAYU (Bahagian 1)



Maksud keselekehan akademik di sini ialah hasil kerja yang tidak mencapai standard yang sepatutnya dalam tulisan akademik. Antara lain, adakah isu yang hendak dibincang itu jelas diberi takrif dan huraian yang mantap. Sebagai panduan, sila rujuk rencana Susan Peck MacDonald, “The Literary Argument and Its Discursive Conventions”, dalam The Writing Scholar, ed. Walter Nash (London: Sage Publications, 1990).

Kita tidak tahu dengan pasti berapa banyak wang yang dibelanjakan oleh ITBM untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Mungkin setengah juta, mungkin lebih, mungkin juga hanya beberapa ribu saja untuk membayar sewa hotel. Yang kita pasti ialah kualiti kertas kerja yang dibentangkan dalam sidang agung itu  membuat kita insaf betapa sukarnya mendapat tulisan akademik yang boleh membuat kita bangga kerana kita telah melahirkan begitu ramai para sarjana yang  hebat pemikirannya.   Ada yang menulis panjang-panjang, ada pula yang kontot-kontot, malah agak mengejutkan ada pula yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerja. Inilah kali pertama dalam sejarah sastera Malaysia, dalam sejarah kebudayaan Melayu, seorang profesor memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerjanya yang langsung tidak mempunyai kualiti akademik walaupun beliau telah diisytiharkan sebagai seorang sarjana ulung di Malaysia.   Ternyata mendapat gelaran jauh lebih mudah daripada membuktikan kemampuan intelektual dan akademik yang benar-benar mantap. Terdapat kecenderungan untuk melonjakkan gelaran daripada menghasilkan tulisan yang benar-benar menggambarkan kehebatan gelaran yang diberikan.  

Seorang penulis terpenting dalam sastera Melayu, seorang sasterawan negara yang paling unggul, yang menghasilkan sebuah novel paling agung dan paling bernas ideanya yang belum pernah lagi ditulis oleh sesiapa pun di dalam dunia, sehingga novel itu mendapat kedudukan paling unggul dalam sastera Melayu dan dalam sastera dunia, memberikan pendapatnya yang saya kira bernas, dalam kata-kata beliau seperti ini: “Pendidikan sastera harus berupaya mengesan bakat individu pelajar dan berusaha untuk mengembangkannya. Pelajaran Sastera bukanlah untuk golongan yang kurang pintar, kerana sastera sebagai suatu ilmu mempunyai kaedah, prinsip, teori dan epistemologi yang harus dipelajari secara sistematik. Sastera memerlukan pelajar yang pintar dan berbakat, yang dapat mengembangkan potensi diri, dan memperoleh hasil daripada kebolehan dirinya.” (hal. 217)

Itulah harapan sasterawan negara ini, penulis Naratif Ogonshoto yang picisan, yang penuh sensasi dan sadisme. Novel beliau tidak mungkin, dan mustahil, dapat mencapai apa yang diluahkan oleh Anwar Ridhwan ini. Hakikat ini perlu difikirkan dengan serius oleh para pegawai Kementerian Pelajaran yang telah membuat kesilapan besar memilih novel picisan yang anti-ilmu ini.

Walaupun pendapatnya bernas, tetapi sikapnya terhadap ilmu menimbulkan keraguan kita, kerana beliau tidak memberi apa-apa cadangan untuk membaiki keadaan, padahal jalan keluar kepada masalah ini sudah pun diberikan oleh PB. Beliau tidak membaca buku-buku tentang PB, oleh itu sebagai seorang sarjana dan sasterawan, beliau tidak mempunyai sedikit pun pengetahuan terkini tentang apa yang berlaku dalam sastera Melayu.  Bagi para sarjana, pengkritik dan sasterawan, sifat memperbodohkan diri dari perkembangan baru adalah suatu kelebihan, sesuatu yang terpuji kerana menurut mereka tidak diperlukan apa-apa perubahan lagi, kerana sastera Melayu sudah sempurna segala-galanya.  Bagi  mereka tidak perlu idea baru, lebih-lebih lagi jika idea itu bertentangan dengan faham sastera yang menjadi anutan mereka. Itulah kemajuan, yakni berada di tempat lama yang sudah sempurna tanpa mempedulikan apa juga perubahan yang sedang berlaku.  Inilah mentaliti keldai di kincir air, yang telah saya bincang tempoh hari.

Mentaliti keldai di kincir air ini dijadikan landasan dalam pengajaran sastera di sekolah-sekolah dan universiti.  Metodologi pengajaran sastera di Malaysia sudah lama ketinggalan zaman, sudah menjadi klise sejak berpuluh tahun, paling kurang dalam tiga empat dekad ini.  Ketika orang sudah lama meninggalkan konsep naratif yang lama, Malaysia memuji novel Naratif Ogonshoto yang berasaskan sensasi dan sadisme (rujuk beberapa entri mengenai persoalan ini).  Percubaan Kementerian Pelajaran kononnya kaedah kemahiran berfikir aras tinggi akan menjadikan pelajar cerdik,  tidak akan tercapai oleh itu tidak akan mencerdikkan para pelajar selagi tidak diberi penjelasan tentang makna dan maksud ilmu dalam memahami konsep berfikir. Konsep ilmu berkaitan dengan adab, dan dari situ dibina peribadi yang tinggi dan peradaban bangsa. Kemahiran berfikir aras tinggi hanya dapat dicapai berasaskan syarat-syarat yang disebutkan.  Kritikan saya terhadap novel Naratif Ogonshoto berasaskan prinsip-prinsip itu, oleh itu novel ini tidak perlu ditulis dan tidak wajar diterbitkan kerana novel ini menggalakkan kejahatan dan memberi pengiktirafan kepada kezaliman, menggalakkan faham syirik di kalangan murid Islam ketika mereka membaca cerita khayal novel sensasi ini. Tidak mungkin akan terbina peribadi yang unggul di kalangan pelajar jika novel ini digunakan mereka untuk mempelajari sastera Melayu.  Seorang guru yang tidak faham maksud syirik dalam Islam akan membenarkan pendapat dan pandangan resi tua dalam bab 7 (Pentafsir), yang bercakap tentang “kebenaran” dan Tuhan, tetapi dalam konteks syirik. Bagi sesiapa juga yang siuman, dan tahu makna syirik, seluruh bab 7 itu merayakan konsep syirik dalam kehidupan beragama yang dilambangkan oleh si resi tua, yang kata-katanya mempunyai makna berlapis-lapis dalam konteks faham syirik yang dianutinya. Tentulah sangat celaka jika inilah ajaran nilai-nilai murni yang diajarkan kepada murid-murid sekolah. Kementerian Pelajaran dan bahagian-bahagian yang terlibat dalam pemilihan novel ini harus berfikir dengan siuman mengenai perkara ini. Anda semua tidak wajar melaksanakan faham syirik dalam pendidikan sastera yang seluruhnya bertentangan dengan konsep nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh kerajaan sendiri. Para pegawai ini perlu membaca dengan kritis novel picisan ini, dan menarik balik daripada dijadikan teks sastera. Jangan rosakkan anak-anak kita yang bergelar pelajar. Ini satu amaran keras yang perlu diberi perhatian serius.

Tulisan ini ada sambungannya.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 
10 Ogos 2017.

No comments:

Post a Comment