Thursday, August 17, 2017

TOLAK KESELEKEHAN AKADEMIK DAN PANDIRISME DALAM SASTERA MELAYU (Bahagian 4)

Pengaruh pandirisme dalam sastera Melayu

Penerbitan Sastera Teras Negara Bangsa adalah bukti yang amat jelas akan kegagalan konsep sastera yang dipraktikkan oleh para sasterawan yang hanya berjaya melahirkan pandirisme dalam sastera Melayu, yang boleh kita lihat dengan jelas dalam karya mereka. Mujurlah (mujur di sini tidak bermakna bernasib baik) Anwar Ridhwan menulis novelnya yang agung itu, yang menjadi bukti betapa kuatnya cengkaman pandirisme dalam kegiatan kreatif Malaysia. Melalui novel ini, maka muncullah satu “teori” sastera baru yang ditelurkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, “teori kerancuan sastera” yang beliau gunakan sepenuhnya untuk memuji dan meletakkan novel Anwar Ridhwan di puncak awan, untuk memastikan hujan pandirisme turun di segenap pelosok dunia.  Dengan terbitnya terjemahan novel ini dalam pelbagai bahasa dunia, maka hujan pandirisme itu benar-benar turun di pelosok dunia, yang boleh kita lihat dalam pujian dari dalam dan luar negeri tentang keagungan novel ini, Naratif Ogonshoto.  Hujan pandirisme yang hanyir dengan sensasi dan sadisme yang menjadi ciri utama novel ini, akhirnya menimpa Kementerian Pelajaran dan dengan itu terpilihlah Naratif Ogonshoto yang telah dikontotkan untuk menjadi teks sastera. Kehanyiran unsur sensasi dan sadisme itu menjadi sejenis bau busuk yang melanda sistem nilai masyarakat apabila para pelajar dipaksa mengunyah bangkai manusia dalam bentuk perwatakan yang mendominasi novel ini, yang akan dijadikan bahan analisis dalam pelajaran sastera mereka. Seluruh novel ini diseliputi bau hanyir dan busuk yang timbul dari unsur-unsur syirik yang menjadi latar naratif novel ini yang tercermin dengan jelas dalam watak-watak utama novel ini. Bagaimana guru sastera akan menghadapi persoalan besar ini tergantung kepada pengetahuan agama mereka, sejauh mana mereka faham konsep syirik dan peranan syirik dalam pembinaan tamadun manusia. Dalam sistem pelajaran moden pun aspek  syirik ini memainkan peranan penting dalam konsep pendidikan itu sendiri, yang berkait dengan konsep ilmu. Para pegawai yang memilih novel ini untuk dijadikan teks juga terlibat dalam penyebaran faham syirik dalam sastera dengan memilih novel ini untuk kononnya dijadikan bahan berfikir para pelajar. Ini persoalan besar, yang memerlukan kejujuran intelektual dan keberanian membuat keputusan yang tepat dan adil.  Saya kemukakan persoalan yang  berat ini kepada anda kerana amanah intelektual yang saya pikul tidak membenarkan saya mendiamkan diri padahal saya sedar akan masalah ini dan tahu pula bagaimana hendak menyelesaikannya, seperti yang telah saya kemukakan dalam beberapa entri di blog ini. Hanya anda sebagai pembaca, tidak memberi perhatian.

Kelemahan perwatakan yang amat jelas

Dalam entri bertarikh 28 Oktober 2014, “Keunggulan yang cacat”, saya telah membahaskan aspek perwatakan ini dalam novel-novel Anwar Ridhwan. Aspek perwatakan ini penting dalam pendidikan sastera kerana inilah satu-satunya tajuk  yang berkaitan dengan sistem nilai yang menjadi tunjang kepada makna naratif yang dibawa oleh sesebuah novel.  Sebagai contoh, dalam Naratif Ogonshoto terdapat satu bab yang amat sensasi dan sadis mengenai seorang gadis yang melakukan persetubuhan dengan mayat seorang pemuda yang membunuh bapanya. Setelah selesai melakukan persetubuhan itu dan dia merasa puas, dipotongnya zakar pemuda itu dan dilempar kepada burung hering. Bab ini dibuang dalam edisi murid, membuktikan bahawa segala kritikan saya tentang novel ini adalah tepat, berasaskan analisis yang teliti dan penghujahan yang rapi, seperti anda boleh lihat dalam “Keunggulan yang cacat” itu. Sepatutnya bab ini tidak dibuang, jika Kementerian Pelajaran jujur untuk mendidik pelajar menjadi cerdik. Mereka tidak patut ditipu dengan menyembunyikan sesuatu yang perlu mereka tahu jika mereka mahu memahami mengapa novel ini ditulis.  Di tempat lain, yang dikekalkan dalam versi murid, kita dapati tukang masak Presiden menceritakan dia memotong kepala seorang tamunya di rumahnya yang tidak diketahuinya menghidap siplis. Mayat tamunya itu dijadikan daging kisar, mengganti daging rusa yang sudah pupus di pulau itu, untuk dijadikan nasi bubur sebagai hidangan utama dalam jamuan negara yang dianjurkan oleh Presiden. Ramai yang terkena jangkitan dan mati. Dalam  kisah seorang guru memotong jarinya kerana sesuatu muslihat bodoh untuk dirinya sendiri, nampaknya para pemilih buku ini untuk dijadikan teks mempersetankan saja penghinaan Anwar Ridhwan terhadap para guru yang begitu bodoh, tidak siuman, tidak mampu membuat pertimbangan yang waras. Watak guru seumpama ini hanya terjadi dalam sebuah karya yang mengutamakan sensasi. Guru disensasikan kebodohannya, bukan kecerdikannya. Perbuatan Anwar Ridhwan menghina para guru sedemikian rupa amat menghairankan. Perlukah guru dihina dan dipersetankan begitu rupa? Bagaimana reaksi guru terhadap penghinaan ini tidak perlu kita tahu, kerana bagi mereka seorang sasterawan negara yang dihormati boleh menulis apa saja yang dia mahu kerana dia telah diizinkan oleh negara dan masyarakatnya untuk memperbodohkan orang lain dan dirinya sendiri. Dalam perkara ini, saya ingin membawa kepada perhatian anda tiga buah cerita pendek saya tentang guru: “Angin Dari Gunung”, “Masih Murid Lagi”, dan “Rumah Impian Polan Cupan.”  Saya tidak mahu komen, seorang guru yang membaca cerita pendek ini tentu cukup cerdik untuk membacanya dalam mod bacaan intelektual, bukan mod bacaan cerita.  Kalau anda seorang guru, apakah kesannya kepada kewarasan anda sebagai seorang guru bila membaca gambaran guru bodoh oleh Anwar Ridhwan ini? Bolehlah anda bincang sesama guru untuk melihat pemikiran dalam cerita pendek  karya saya ini; dan anda perlu membandingkannya dengan cerita pendek dalam Naratif Ogonshoto. Mungkin anda akan sedar seorang sasterawan negara sedang menyeranah anda sebagai kaum guru yang bodoh, memotong jari sendiri for no reason!  Budak-budak bodoh yang jadi samseng pun tidak akan melakukannya.      

Demikianlah kelemahan perwatakan dalam karya Anwar Ridhwan. Izinkan saya kutip satu perenggan dalam entri bertarikh 28/10/2014 mengenai kelemahan perwatakan dalam karya Anwar Ridhwan.

Kelemahan paling besar dan paling menonjol dalam karya Anwar Ridhwan ialah dalam perwatakan. Watak yang ditonjolkannya adalah watak yang tidak saja lemah dari segi psikologi manusia, tetapi juga terlalu naif untuk dapat diterima sebagai watak yang boleh berfikir dan membuat keputusan yang tepat. Anda boleh ambil watak mana pun yang anda mahu, termasuk yang paling jahat sekali pun, anda akan melihat betapa lemahnya watak-watak yang dijadikan penggerak sebuah novel yang bercorak intelektual. Dilihat dari segi ini pun sudah cukup untuk menolak andaian palsu bahawa novel-novel dan cerita pendek Anwar Ridhwan mengangkat persoalan bersifat intelektual, apatah lagi yang bersifat filosofikal seperti yang diklaim oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau wataknya sudah bodoh dan lemah, apakah jenis pemikiran yang diharapkan akan lahir daripada tindakan mereka? Kita telah melihat bagaimana hal ini terjadi kepada Pak Hassan, yang hanyut dalam penyerahan kepada nasib, padahal dia ditegaskan oleh penciptanya sebagai watak yang membawa persoalan intelektual. Bagaimana dengan Anwar Ridhwan sendiri? Apakah pemikiran unggul yang ditonjolkannya? Yang kita nampak ialah sensasi yang berlebihan, terutama tentang kejahatan dan kebodohan watak-watak utama dalam karyanya. Sekiranya konsep uswatun hasanah yang menjadi salah satu pegangan gagasan Persuratan Baru dijadikan ukuran, manakah watak yang boleh memberikan contoh teladan terbaik itu? Mungkin ini disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang mendorong mereka berkata contoh itu tidak diperlukan dalam karya kreatif. Jika ini benar, maka bagaimana pula mereka boleh bercakap tentang jalur itu jalur ini yang hebat yang mengubah iklim penulisan cerita pendek atau novel yang telah dilakukan oleh Anwar Ridhwan dalam karya eksperimental, yang inovatif dan kreatif, yang membawa perubahan dan sebagainya itu? Kesimpulan saya, ini semua adalah bullshit semata-mata.

Kepada para guru yang mengajar sastera, terutama yang menggunakan Naratif Ogonshoto  sebagai teks, mungkin berfaedah jika aspek ini dijadikan tajuk perbincangan dengan pelajar.  Pelajar harus diajar menjadi cerdik dengan membincangkan aspek perwatakan. Dalam seni mengarang cereka, perwatakan adalah bukti kekuatan imaginasi kreatif seorang pengarang untuk menyerlahkan  kemampuan intelektualnya dalam membina perwatakan yang kuat, bukan sekadar menyebut nama seperti yang dilakukan oleh sasterawan negara ini.

Para sarjana ciritan dan pengkritik yang cetek meraba-raba menganggap Anwar Ridhwan seorang sasterawan intelektual, lantas mereka memberi pujian yang tinggi kepada sasterawan ini. Tetapi jika anda membaca karyanya dengan kritis, anda akan dapati sukar untuk menjadikan beliau sebagai sasterawan intelektual. Novel beliau yang dianggap teragung dalam sastera Melayu sebenarnya adalah sebuah karya mediocre, yang sangat cetek unsur pemikiran nya, jika ada. Anwar Ridhwan lebih tertarik kepada aspek sensasi dan lain-lain  kerana beliau tidak perlu berfikir untuk memasukkannya dalam karyanya. Oleh itu beliau memilih unsur sensasi dan sadisme dan khayalan liar yang hanyut dalam imaginasi yang hanya berjaya membuktikan kelemahan kognitifnya dan kelemahan kreatifnya, tetapi cukup kaya dalam pretensi intelektual sehingga berjaya memabukkan para sarjana dan pengkritik sastera untuk mengangkatnya sampai ke langit ke tujuh walaupun mereka ini tidak memberikan bukti konkrit yang membolehkan tokoh ini diangkat ke langit ke tujuh!  Dengan kemampuan intelektual yang terbatas, dengan kelemahan kognitif untuk berfikir dengan teratur, dan dengan khayalan liar yang menjadi kekuatannya, maka tepat benarlah beliau menulis novel berjudul Arus, kerana beliau sendiri sudah tenggelam dalam arus mediocrity, dalam arus pandirisme, untuk muncul dengan karya yang penuh sensasi. Paling menarik, Naratif Ogonshoto pada hakikatnya adalah lamunan seorang gila yang sudah tua, yang ketakutan menghadapi pembedahan.  Apakah kelebihan tokoh atau watak ini untuk dijadikan watak misteri novel ini? Dari segi psikologi, kemunculan Anwar Ridhwan dengan karyanya  yang begitu kaya dengan sensasi,  unsur sadisme, dengan perwatakan yang amat aneh, memerlukan satu analisis psikologi, yang mungkin boleh dilakukan oleh Prof. Hashim Awang yang memang satu-satunya pakar dalam psikologi Freud dalam bidang kritikan sastera Melayu. Tokoh misteri di akhir cerita yang diberi nama Noor  oleh Anwar Ridhwan, berasal dari Sungai Besar, tempat lahir Anwar Ridhwan sendiri. Sungai Besar dipanggil Kali Besar dalam novel. Adakah Noor itu beliau sendiri? Hanya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang tahu jawapannya.

Bahagian 5 siri tulisan ini akan menyusul bila tiba masanya.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 
17/8/2017.

No comments:

Post a Comment