Pengaruh Barat Dalam Sastera Melayu
Bolehkah
kita berkata tiada sastera Melayu moden tanpa pengaruh Barat? Mungkin lebih
tepat jika kita berkata sastera Melayu moden tidak akan muncul tanpa pengaruh
dari sastera moden Indonesia. Saya kira
kesimpulan ini lebih munasabah, walaupun kita tahu sastera moden Indonesia
sendiri menerima pengaruh besar dari sastera Barat. Indonesia lebih beruntung
kerana cerdik pandai mereka menguasai bahasa Belanda, Perancis, German,
Inggeris, Arab dan lain-lain. Oleh itu mereka membaca karya asing itu dalam
bahasa asal. Hingga kini kita ketinggalan terlalu jauh dalam aspek ini.
Agaknya, berapa bahasa asing yang dikuasai oleh Sutan Takdir Ali Sjahbana?
Belanda. German. Inggeris. Perancis … Di kalangan sarjana yang menulis tentang
sastera Melayu, yang saya tahu yang menguasai bahasa Arab, Inggeris, Turki,
Urdu, Parsi … ialah Prof. Bukhari Lubis.
Tentulah
ideal jika seseorang mengetahui/menguasai banyak bahasa; tetapi jika anda
menguasai satu bahasa asing pun sudah cukup andainya anda menggunakannya untuk
mendapat ilmu. Setiap bahasa adalah gedung ilmu, apatah lagi dalam
bahasa-bahasa moden yang pesat berkembang. Khusus dalam sastera, jika anda
benar-benar tekun membaca buku-buku penting yang terdapat dalam bahasa
Inggeris, atau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, maka usaha itu
sangat berguna kerana setiap penulis tidak hanya memberi pendapatnya, tetapi
memberi pandangan kritis terhadap pendapat orang lain. Dengan itu suatu tajuk
yang kelihatan mudah, akan berkembang menjadi satu perbahasan yang sering kali
cukup mendalam dikupas sehingga pembaca yang rajin akan dapat pelbagai
pandangan terhadap suatu tajuk yang biasa saja sekalipun. Itulah kehebatan
sarjana Inggeris atau Barat. Saya tidak perlu memberi contoh, kerana jika anda
membaca buku Frank Lentricchia, After the
New Criticism, anda sudah dapat “menguasai” berbagai-bagai pendekatan dalam
kritikan sastera Barat. Jika anda
cerdik, anda akan bertanya, bagaimana mereka mendapat sumber ilmu mereka? Jika anda perdalami
pertanyaan itu sehingga ke akar umbi, anda akan mula berfikir dengan serius,
dan bertanya diri anda sendiri, Adakah ini yang aku perlukan? Ketika itulah anda akan menyoal dari segi apa
bacaan anda itu berguna dan dari segi apa pula hanya akan mengusutkan anda jika
anda tidak berhati-hati. Jika anda seorang Islam yang kritis, anda akan mula
memberi kritikan anda sendiri terhadap pendapat yang anda dapat dalam teori
sastera Barat itu. Dan jika anda bernasib baik, anda akan kembali kepada sumber
ilmu dalam Islam dan melihat sastera dan kritikan sastera dari perspektif itu.
Tahu
menggunakan ilmu dan maklumat yang kita dapat adalah satu kelebihan yang akan
menghindarkan kita daripada terjebak dalam kesesatan ilmiah atau kesesatan
akademik sekiranya anda pandai-pandai sendiri menentukan sesuatu, yakni membuat
pilihan, tanpa autoriti yang sah. Itulah caranya untuk anda menjadi keliru dan
kemudiannya bangga berada dalam kumpulan orang yang kehilangan adab. Sekiranya anda membaca dengan kritis setiap
kertas kerja yang dimuat dalam Sastera
Teras Negara Bangsa, anda akan dapati dengan mudah perkara-perkara yang
saya kemukakan di sini. Jika anda
bernasib baik, ketika itu anda akan mengerti mengapa saya begitu kritis menilai
pandangan dan pendapat yang disogok dalam kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
2014.
Pada
pandangan saya, kita tidak perlu buang ke laut segala pandangan Barat, seperti
yang ingin dibuat oleh Prof. Zawiyah Yahya dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji
Salleh. Mengapa kita bangga menjadi bodoh
ketika kita diberi peluang untuk menjadi cerdik? Gagasan Persuratan Baru banyak mendidik saya
untuk menjadi pemikir sastera yang cerdik, yang mampu menulis karya persuratan
seperti Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, Balai Maqamat … dan seterusnya. Jika
saya mencabar anda untuk menilai Naratif
Ogonshoto dari perspektif PB, maka itu hanya satu permintaan yang kecil
saja. Permintaan yang lebih besar ialah kita mula dari sekarang membina kembali
persuratan Melayu berasaskan konsep ilmu yang benar. Nampaknya semua sasterawan, sarjana dan pengkritik
sastera tidak mahu perubahan ke arah itu. Mereka dengan keras dan tegas
mempertahankan status quo yang memberi keuntungan kepada mereka,
seperti yang mereka tegaskan dalam resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia
2014. Tetapi pada waktu yang sama mereka
bercakap tentang perubahan dan sebagainya, seperti yang disarankan oleh Panel
Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.
Peranan Kritikan Sastera
Adakah kita
sudah mempunyai sejumlah pengkritik sastera yang benar-benar berwibawa? Soalan
ini tidak pernah ditanyakan, oleh itu jawapannya tentulah sukar terutama sekali
jika anda tidak menguasai bidang kritikan yang memang memerlukan anda menguasai
teorinya. Jika anda tidak menggunakan
teori tertentu, maka anda bukan seorang pengkritik sastera, sekadar penilai
biasa yang sering kali tidak dapat menjelaskan, bila ditanya, mengapa anda
membuat penilaian atau kesimpulan tertentu. Seperti yang telah saya tunjukkan
dalam beberapa entri, misalnya dalam entri “Keunggulan yang cacatan,” tanpa suatu teori yang mantap, anda tidak
mungkin dapat membaca dan menilai Naratif
Ogonshoto dengan meyakinkan. Saya telah memberi contohnya dalam tulisan
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Ada lagi beberapa contoh lain, yang anda tentu
sudah membacanya (saya tidak mahu sebut di sini, kerana mudah dicari). On second thought, wajar jika saya sebut
contoh lain itu untuk menjadi peringatan kepada anda. Misalnya, usaha Mana Si
Kana meletakkan para sasterawan negara di atas takhta keunggulan, telah saya
tolak dengan penghujahan yang anda boleh patahkan jika anda rasa perlu. Saya
pun mahu dengar pendapat anda yang lebih mantap dan lebih ilmiah, oleh itu anda
tidak perlu berdiam diri merungut di sana sini, tetapi tidak mampu, atau tidak
mahu berkongsi ilmu dengan orang lain. Ini bukan sikap positif seorang ahli
akademik.
Tindakan
para pegawai di Kementerian Pelajaran menyekat pendekatan alternatif dalam
pendidikan sastera, seperti yang saya cadangkan dalam buku-buku saya, telah
membantut perkembangan kognitif para pelajar untuk melihat segi lain dalam
pendidikan sastera, yang dihidangkan oleh PB. Sepatutnya pada waktu kita sudah
berada dalam dunia moden yang terbuka kepada ilmu, kita seharusnya bertindak
lebih bijak dan lebih terbuka untuk meneliti alternatif baru yang dikonsepsikan
oleh sarjana kita sendiri. Tidak ada
sebab untuk kita gagal memberi peranan positif kepada kritikan sastera dan
pendidikan sastera dengan mula meneliti sumbangan pemikir kita sendiri.
Hendaknya kita tidak khianati amanah akademik kita dengan menonjolkan
pendekatan yang kurang sesuai dalam pendidikan sastera, ketika kita sudah pun
mempunyai pendekatan yang lebih baik yang dicetuskan oleh sarjana kita sendiri.
Saya cadangkan Kementerian Pelajaran cuba menjenguk pendekatan alternatif yang
dikemukakan oleh PB. Kita mempunyai cukup rujukan untuk itu.
Perkembangan
Kritikan
Kritikan sastera di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada
teori Barat. Anda boleh lihat perkara ini dengan mudah jika anda membaca kertas
kerja yang membicarakan “pemikiran” (?) para sasterawan negara dalam seminar
khusus untuk membincangkan “pemikiran” mereka. Tujuan seminar itu ialah untuk
memuji dan mengangkat para sasterawan negara. Seorang profesor sastera pernah
memberitahu dalam seminar “pemikiran” A. Samad Said, apa gunanya mengangkat
para sasterawan negara jika untuk dikritik. Oleh itu, semua mereka perlu dipuji
supaya gelaran sasterawan negara itu cocok dengan hasil kreatif mereka. Kaedah
ini telah berjaya memberi gambaran palsu terhadap sumbangan para sasterawan
negara, apabila semua mereka didapati berjaya menghasilkan karya yang bermutu
dan kaya dengan keindahan bahasa dan berjaya pula mengemukakan tema atau
persoalan baru dalam karya mereka, dengan itu memperkaya pengalaman intelektual
pembaca. Adakah ini pendapat yang betul?
Saya telah mengkritik pandangan salah ini dalam banyak entri yang disiarkan
dalam blog ini, malah telah mengumpul sebahagian daripada entri itu di dalam
dokumen yang diberi judul, “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara.” (setebal
260 halaman.)
Idea Baru dan
Cabaran Masa Depan
Satu-satunya idea baru yang tersusun secara sistematik
ialah Gagasan Persuratan Baru. Kemunculan Persuratan Baru (seterusnya PB) tidak
mengejutkan sesiapa pun di kalangan sasterawan dan sarjana sastera. Bagi mereka
perkara biasa saja yang boleh timbul kemudian tenggelam dan timbul yang lain
pula. Tetapi sebaik saja mereka sedar PB
mencabar konsep sastera yang menjadi pegangan mereka dan mempersoalkan
kewajaran projek sasterawan negara, maka bermulalah perang dingin. Secara
siuman hal ini tidak perlu, tetapi kedudukan para sasterawan dan sasterawan
negara yang dipersoalkan secara ilmiah, secara akademik, membangkitkan
kegelisahan golongan ini. Apakah yang mereka boleh buat? Tidak ada. Tetapi ini menimbulkan keresahan apabila
mereka diberitahu karya para sasterawan negara, yang dianggap mercu kejayaan
kreatif di Malaysia, sebenarnya tidak dapat menandingi karya persuratan seperti
Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus, Balai
Maqamat dan lain-lain. Lalu,
tindakan bijaksana yang mereka lakukan ialah mendiamkan diri dan pada waktu
yang sama menghalang PB daripada dikenali oleh masyarakat sastera. Nampaknya mereka berjaya kerana secara rasmi
mereka mempunyai kedudukan yang intim dengan pihak berkuasa, yakni Kementerian
Pelajaran. Maka berjayalah Naratif
Ogonshoto, sebuah karya picisan, diangkat untuk dijadikan teks sastera yang
nantinya akan membolehkan para pelajar menggunakan fikiran aras tinggi untuk
membaca dengan kritis dan menilai karya agung ini. Saya mengatakan mereka tidak
boleh melakukannya, kerana mereka tidak mempunyai alat akademik untuk digunakan
dengan berkesan. Segala konsep yang mereka gunakan selama ini sudah menjadi
klise, dengan itu hanya berupaya membuat mereka hanyut dalam khayalan ketika
menilai sebuah karya kreatif. Tidak ada gigi lagi untuk menggigit secara ilmiah
karya kreatif yang dikononkan bernilai tinggi, tetapi sebenarnya tidak jika
digunakan pendekatan yang lebih canggih dan terbaru, yakni menggunakan
pendekatan PB yang memberi perhatian khusus kepada konsep ilmu yang benar. Hasilnya adalah yang anda baca dalam entri
yang lepas, ketika saya mengkritik Naratif
Ogonshoto berasaskan ukuran konsep ilmu yang benar. Para guru sastera wajar mula mengenali PB
kerana dengan menggunakan pendekatan yang dianjurkan oleh PB, anda akan dapat
melihat dengan jelas kekuatan dan kelemahan sesebuah karya kreatif. Para
pelajar perlu diajar menjadi cerdik sekiranya para guru sastera menggunakan
pendekatan PB. Walau bagaimana pun, anda harus berhati-hati, kerana saya
diberitahu Kementerian Pelajaran telah mengharamkan, secara tidak rasmi (?)
pendekatan baru selain daripada yang sedia ada dan sudah lama digunakan supaya
para pelajar tidak menjadi keliru bersama guru mereka yang besar kemungkinan
akan menjadi lebih keliru kerana kecetekan pengetahuan mereka tentang kritikan
sastera dan penilaiannya. Tetapi saya fikir tidak salah untuk memperkenalkan
idea baru ini supaya para pelajar akan dapat menikmati setiap karya kreatif
sebagai pelajar yang dapat membaca sesebuah karya dalam mod bacaan intelektual,
tidak hanya semata-mata dalam mod bacaan cerita seperti yang mereka lakukan
sekarang bersama guru sastera mereka.
Kalau tidak cuba anda tidak tahu kesan positifnya yang amat besar, yang
sebenarnya memudahkan anda mempelajari sastera dan dapat membaca dan menilai
karya kreatif dengan berkesan.
Kesimpulan Umum
Tiga isu besar yang ingin saya ketengahkan untuk
perbincangan seterusnya. Pertama,
mengenai pendidikan sastera yang sangat lemah kerana masih menggunakan
kaedah lama yang sudah klise. Saya bersetuju dengan pandangan sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan
dalam kutipan yang saya ambil dari tulisan beliau (Sastera Teras Negara Bangsa, hal. 217), tetapi beliau tidak memberi
apa-apa jalan keluar. Pada umumnya tulisan beliau dalam buku itu bagus jika
dapat dilaksanakan, tetapi tidak dalam konteks lama yang sudah menjadi klise
yang sekian lama menghalang adanya perubahan yang benar-benar bermakna. Perubahan ini hanya boleh terjadi jika idea
tentang pendidikan estetika yang saya kemukakan sejak akhir 1980-an yang
kemudiannya saya rumuskan menjadi Gagasan Persuratan Baru; tetapi inilah yang
ditentang oleh semua sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera. Oleh itu,
apakah jenis perubahan yang mereka mahu? Mereka tidak ada jawapannya, tetapi
kita tahu yang mereka maksudkan dengan perubahan itu ialah terus mempertahankan
status quo yang telah gagal memberi
kemajuan yang kita mahu. Kita masih berada dalam dekad kesimpulan 1972. Mana
ada perubahan? Tidak ada. Perubahan yang sebenarnya hanya akan berlaku jika
Gagasan Persuratan Baru dijadikan landasan untuk membina kembali persuratan
Melayu.
Isu kedua yang penting ialah mengenai ukuran yang kita
pakai dalam menganalisis dan menilai karya kreatif dan dalam keterampilan
akademik para sarjana dan pengkritik sastera yang amat jelas masih meraba-raba
dalam belantara teori sastera Barat yang mereka tidak kuasai dengan mantap.
Saya berikan beberapa contoh untuk memudahkan anda memahami isu besar ini.
Kerana tiadanya keterampilan akademik itu, maka terjadilah penilaian yang penuh
dengan unsur syirik dan unsur pandirisme ketika para sarjana memberi pujian tinggi
kepada Naratif Ogonshoto, yang
sebenarnya hanya sebuah karya picisan yang tidak bertunjangkan ilmu walaupun
pengarangnya memberitahu kita ilmu adalah penting dalam karya kreatif.
Dolak-dalik ini adalah jenis warisan Pak Kaduk, Si Luncai dan kawan-kawan
mereka dalam cerita jenaka Melayu. Adakah anda masih mahu mengekalkan cerita
jenaka itu dalam bentuk moden?
Isu ketiga, perlunya dialog ilmiah antara dua golongan
yang berbeza, satu yang mahu mempertahankan status
quo walaupun telah gagal memberi kemajuan berfikir kepada masyarakat; satu
kumpulan lagi bolehlah dikatakan telah memulai revolusi dalam pemikiran tentang
seni dan keterampilan akademik, yang diwakili oleh Gagasan Persuratan Baru. ITBM dan DBP bolehlah mengadakan Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia yang kedua, khusus untuk membincangkan tiga isu
penting: (1) peranan ilmu dalam karya kreatif, (2) kedudukan teori sastera
Barat dalam sastera Melayu, dan (3) masalah pendidikan sastera yang hilang arah
dan masih menggunakan teknik pengajaran yang sudah klise. Sidang kedua ini juga perlu menonjolkan
beberapa buah karya (novel atau kumpulan sajak) sasterawan negara untuk dinilai
daripada perspektif PB, untuk membuktikan bahawa karya ini juga boleh menyerlah
jika dinilai dari perspektif PB. Perkara ini menjadi lebih mudah setelah Prof.
Wan Mohd. Noor Wan Daud memperkenalkan konsep “ingkar ilmu” yang boleh
digunakan untuk meneliti karya para sasterawan negara ini.
Akhirnya sebagai catatan sejarah yang penting, saya ingin
mengucapkan terima kasih kepada Puan Rogayah
Abdul Hamid yang pernah mengetuai bahagian sastera di DBP, telah mengusahakan penerbitan
Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (diterbitkan oleh DBP
1992; berasal dari makalah panjang yang disiarkan oleh Allahyarham Sutung Umar
yang menjadi editor Dewan Sastera
ketika itu.) Puan Rogayah juga menghubungi
Prof. Mohd. Kamal Hassan (kini Prof. Ulung Tan Sri Mohd. Kamal Hassan) untuk memberikan
pendahuluan kepada buku itu. Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Firdaus Abdullah
bersetuju menerbitkan cetakan kedua 2005. Sekarang cetakan kedua itu pun sudah
kehabisan stok. Buku yang mendapat penghargaan di luar negeri ini kini perlu
diterbitkan semula dengan beberapa up-date
untuk cetakan ketiga dengan memasukkan berapa perkembangan baru dan konsep baru
setelah terbitnya beberapa buah buku yang diterbitkan oleh UKM dengan usaha
Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Buku-buku
mengenai PB lebih dari memadai untuk membolehkan seseorang sarjana atau sesiapa
saja memahami PB dengan mudah. Buku ilmiah seumpama ini tidak ada yang secara
khusus membicarakan permasalahan dalam sastera Melayu, kecuali beberapa buah
yang berasal dari tesis sarjana dan kedoktoran yang diragui kualiti ilmiahnya.
Tak perlu sebut nama dan judul buku, untuk menghormati keutuhan sastera Melayu
moden.
Akhirnya, sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan PB,
kini mempunyai dokumen yang lebih dari mencukupi untuk mengkritik PB secara
ilmiah. Sebaiknya, akan muncul karya yang berkualiti daripada para penentang
PB, supaya kita semua senang membuat perbandingan. Masyarakat sastera Malaysia perlu diberi
peluang untuk membuat penilaian mereka mana yang genuine dan mana yang fake dalam perbincangan sastera
Malaysia.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya,
18/8/2017.
No comments:
Post a Comment