[Amaran Penting: Sebelum anda membaca entri yang akan mengejutkan
anda ini, baca dahulu Catatan Penting
di akhir entri ini. Kalau tidak, anda akan pengsan bila membaca entri ini.]
Kali ini saya akan berbicara tentang kesesatan
intelektual dan bagaimana kesesatan ini dijadikan panduan oleh para sarjana dan
sasterawan yang berada di dalamnya. Pada umumnya semua entri di dalam blog ini
membicarakan dari pelbagai perspektif tentang persoalan penting ini. Mengapa
mereka seronok berada dalam kesesatan intelektual? Saya perlu memberikan
sedikit penjelasan, atau gambaran, tentang kesesatan
intelektual yang menjadi tajuk kali ini.
Selepas itu anda mungkin faham mengapa mereka ini cukup selesa berada di
dalam belantara ambiguiti, sesat meraba-raba tetapi tidak mahu mencari jalan
keluar walaupun jalan keluar itu telah diberi oleh burung enggang keluar masuk
hutan; mereka juga tidak mahu menjadikan babi hutan (wild hogs) yang kerap menyerang tanaman para petani di pinggir
hutan untuk keluar dari belantara intelektual itu. Pelik, tetapi benar. Inilah
tajuk yang kita akan bicarakan.
Pemburu atau pengutip barang hutan (rotan, damar dan
sebagainya) tidak memerlukan kompas kerana pengalaman mereka sendiri menjadi
kompas yang paling cekap memberi mereka arah ke mana saja yang mereka mahu. Di
dalam dunia ilmu tidak begitu. Anda perlu mencari guru dan belajar daripada
guru itu. Sekiranya mereka belajar di universiti, adakah mereka mendapat guru
yang terbaik, yang tidak membuat mereka sesat Barat? Tidak semestinya, kerana
guru mereka, seperti mereka, amat terpesona dengan budaya intelektual
Barat. Tidak sukar untuk mendapat bukti
tentang perkara ini. Anda hanya perlu membaca kertas kerja yang membicarakan
“pemikiran” para sasterawan negara, nescaya anda akan melihat dengan mata
terbeliak akan betapa bangga, dan angkuhnya, para penulis kertas kerja
memperagakan “recipe knowledge” dalam
kertas yang mereka bentang dengan megah mentereng!
Dari penjelasan ringkas di atas, jelaslah kesesatan
intelektual adalah pilihan sendiri yang dilakukan dengan sedar. Memang mereka
ini mahu menjadi sesat dari segi intelektual kerana mereka dapat
penyelesaiannya dari teori Barat. Ini memudahkan mereka, lagi pula mereka mendapat
“recipe knowledge” daripada guru-guru
mereka yang juga mengalami kesesatan intelektual dalam memahami konsep sastera
yang seluruhnya tertumpu dan diperoleh daripada teori Barat. Inilah kes guru kencing berdiri murid kencing
berlari.
Apa yang disebut sebagai kesesatan intelektual dalam entri ini ialah keengganan untuk
berubah dengan berpindah dari sifat taasub kepada teori sastera Barat kepada sifat
terbuka kepada ilmu, yakni berpindah dari sikap ingkar ilmu kepada konsep ilmu
yang benar yang bersumber daripada al-Quran. Mengapa tidak mahu membuat
perubahan ini? Keengganan inilah yang dimaksudkan dengan kesesatan intelektual. Dari mana sumber teori sastera Barat? Kita
boleh membuat kesimpulan dengan selamat bahawa para sarjana dan sasterawan yang
ingkar ilmu ini tidak tahu dari manakah
sumber ilmu dalam teori sastera Barat. Dari perspektif ini, mereka buta teori,
hanya menjadi pengikut teori Barat secara membuta tuli. Adakah ini satu
keistimewaan seperti yang mereka tayangkan dalam tulisan mereka?
Sekurang-kurangnya terdapat tiga kesan besar akibat
sesat dalam belantara teori sastera Barat ini. Pertama, para sarjana (ciritan)
dan sasterawan terlalu terikat kepada teori sastera Barat, tetapi bukan teori
yang terbaik. Apakah pilihan mereka? Kita tidak tahu dengan pasti. Dalam
kritikan sastera Barat, tumpuan utama hanya kepada tiga perkara: pengarang,
karya, pembaca. Setiap tumpuan mempunyai teori tersendiri. Pada waktu ini
nampaknya penekanan lebih kepada pembaca dan pengguna sastera, yang melahirkan
teori hermenuetik. Yang penting bagi mereka ialah membuat tafsiran yang betul
dan tepat. Tafsiran itu lebih penting daripada biografi penulisnya, kerana dari
tafsiran itu akan lahir beberapa kesan tertentu. Paling penting ialah dalam
konteks pengajaran sastera. Bagi sarjana
Barat, tumpuan kepada karya seperti yang dilakukan oleh Kritikan Baru (New Criticism) tidak banyak memberi
faedah, oleh itu New Criticism
dianggap sudah mati. Tumpuan kepada pengarang/penulis yang melahirkan
romantisisme juga ditolak, tetapi inilah yang menjadi favourite di Malaysia. Dengan terpilihnya sasterawan negara sebagai
mercu tanda dalam penulisan kreatif, maka lahirlah para Brahmin sastera yang
tidak boleh disentuh, hanya boleh dipuji dan disanjung. Tentulah kita berasa
rimas, dan mual, jika setiap kali kita sebut nama seseorang sasterawan negara, kita diwajibkan memulai dengan
Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, padahal beliau kini lebih terkenal
sebagai seorang pemanjat kilang berkarat.
Feudalisme corak Brahmin ini membawa balik faham Hindu
dalam kehidupan intelektual Melayu moden, dijelmakan dalam dunia sastera
mereka, dan diajar pula kepada pelajar untuk memuja para Brahmin sastera yang
digelar sasterawan negara. Hakikat ini memang tidak dapat ditolak kerana mereka
memang mahu gelaran mereka disebut setiap kali nama mereka disebut. Terdapat satu keanehan yang lucu di sini:
jika anda terlupa menyebut gelaran itu, anda dianggap biadab, tidak menghormati
tokoh yang sudah diberi gelaran istimewa itu (di negara lain tidak ada gelaran
ini). Yang lucu ialah: adab berkait rapat dengan ilmu, bukan fantasi. Sastera
telah menolak ilmu seperti yang mereka buktikan dengan menolak PB; oleh itu
sasterawan yang menolak ilmu dan mengutamakan fantasi bukanlah melahirkan karya
beradab, oleh itu tidak layak dijadikan teras negara bangsa. Sebenarnya anda
tidak beradab jika menggunakan gelaran itu, yakni jika anda faham makna adab.
Ini mesti jelas, tidak boleh dikelirukan.
Semua ini telah dijelaskan dengan terperinci dalam kesimpulan 1972. Sila
lihat di sana.
Kesan kedua menimbulkan kecelakaan intelektual yang
sangat parah dalam sikap negatif para sarjana (ciritan) dan para sasterawan
terhadap perubahan, yang akhirnya menimbulkan sikap anti-ilmu yang keterlaluan.
Bagi mereka sikap anti-ilmu, atau lebih tepat disebut sebagai ingkar ilmu,
adalah perlu kerana sastera Melayu ditegakkan dalam konteks itu. Apa akan jadi
kepada sastera Melayu jika konsep ilmu itu dijadikan paksi kepada penulisan
kreatif? Para sarjana (ciritan) dan
sasterawan (picisan) cukup sedar bahawa jika ini berlaku, maka seluruh hasil
karya mereka tidak lagi unggul, sudah berada di tempat kedua dengan wujudnya
karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Dengan itu kedudukan
para sasterawan negara sebagai Brahmin sastera dalam konteks sekarang, akan
berubah menjadi badut sastera pula, pemegang amanah sastera hogwash di Malaysia. Seperti yang saya
tegaskan berulang kali, peranan sastera hogwash
ini amat negatif dalam pendidikan sastera, yang berakhir dengan mengajar
pelajar menjadi bodoh, bukan sebaliknya.
Kesan ketiga yang amat buruk dari segi moral ialah
pengaruh negatif Mutual Admiration Club
yang dipelopori oleh para sasterawan negara dan kini mengikat segala penerbitan
tentang sastera yang boleh kita dapat dalam Dewan
Sastera. Majalah sastera ini kini
sudah bertukar menjadi majalah untuk para sasterawan negara dan penyokong
mereka. Keruntuhan moral intelektual yang berlaku telah menjadikan tulisan
tentang sastera sangat cetek, tiada pemikiran baru, tiada analisis mendalam
terhadap persoalan penting (malah mereka tidak tahu pun apakah persoalan
penting itu), dengan memberi penekanan kepada para Brahmin sastera. Kemunculan Brahmin sastera ini telah saya
sebut sejak tahun 1970-an lagi, bukan perkara baru. Ini telah menimbulkan
sejenis budaya sastera yang baru, yang dalam bahasa Inggeris dipanggil sastera hogwash, sastera yang mengarut. Hasil sastera mengarut, sastera hogwash ini antaranya ialah Naratif Ogonshoto yang disokong dengan kritikan jenis hogwash dalam “teori kerancuan sastera”
bikinan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.
Siapakah sebenarnya anggota Mutual
Admiration Club yang telah berjaya mewujudkan sejenis hegemoni sastera hogwash dalam sastera Melayu? Mereka
adalah para Brahmin sastera yang memberi warna baru kepada sastera Melayu
dengan menonjolkan sastera hogwash
sebagai arus perdana, seperti yang disebut dengan panjang lebar oleh seorang
penulis kertas kerja ketika membicarakan wajah sastera Melayu masa depan.
Adakah anda terperanjat jika sastera Melayu masa depan adalah sastera hogwash ini? Nampaknya begitulah yang
diingini oleh penulis kertas kerja yang saya maksudkan, yang cuba memperagakan
karya perdana, tetapi karya perdana dalam genre sastera hogwash. Sungguh ironik!
Walaupun kemunculan Mutual Admiration Club, yang menurut sasterawan negara Muhammad
Haji Saleh sudah ada sejak tahun 1973 lagi (bukan baru sebenarnya), menjadi
penghalang kepada perubahan dalam pemikiran sastera, namun kumpulan Mutual Admiration Club ini telah berjaya
membawa sastera Melayu ke taraf dunia melalui Naratif Ogonshoto dan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh yang
diterjemahkannya sendiri ke dalam bahasa Inggeris, malah Naratif Ogonshoto sendiri telah diterjemahkan ke dalam dua bahasa
dunia yang besar iaitu bahasa Inggeris dan Russia, membuktikan betapa besarnya
jasa kumpulan Mutual Admiration Club
ini, walaupun karya mereka dalam konteks ilmu adalah jenis sastera hogwash, sastera yang mengarut. Anda perlu perhatikan catatan mengenai konsep
hogwash ini, yang diberi di bawah.
Catatan
penting: Perkataan hogwash
adalah jenis kiasan gayang (istilah Za’ba), bermaksud begini: “If you describe
what someone says as hogwash, you
think it is nonsense.” (Collins Cobuild
Learner’s Dctionary.) Sastera hogwash bukan untuk membersihkan
khayalan mengarut dari karya, sebaliknya memperkaya khayalan dan fantasi yang
penuh sensasi dalam karya. Keadaannya berbeza sama sekali dengan karya persuratan,
yang menjadikan ilmu sebagai paksi penulisan kreatif. Dua konsep ini mesti difahami dengan jelas.
Jika anda telah membuat pilihan, teruskan saja. Kebebasan memilih diberikan
kepada anda; dan ini diikuti dengan kebebasan untuk mengkritik anda yang
memilih sastera hogwash.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23/8/2017.
No comments:
Post a Comment