Thursday, August 31, 2017

PERUBAHAN YANG TIDAK BERUBAH: SATU KRITIKAN TERHADAP PENGAJARAN SASTERA DI MALAYSIA


Peringatan Untuk Diri:  Hari ini sangat special untuk perjuangan intelektual saya, yang ke-60 tahun selepas terbitnya cerita pendek “Kapitalis Kecil” dalam Mingguan Pedoman  (5 Januari 1957), yang diterbitkan oleh Ahmad Boestamam. Tidaklah aneh jika beliau yang turut serta dalam perjuangan saya (bukan sebaliknya) kerana saya kenal beliau ketika beliau dan rakan-rakan seperjuangannya sering singgah di rumah guru saya, Ustaz Wan Ismail. Saya sudah kenal mereka sejak remaja. Kebetulan hari ini sempena Tanah Melayu merdeka 60 tahun… Adakah sastera Melayu sudah merdeka dari pengaruh pandirisme? Cerita pendek ini telah dirumikan dan dapat dibaca pada bahagian akhir entri ini.

Bagaimana berubah jika tidak berubah?  Dalam penulisan kreatif, perubahan, yang difahami di Malaysia di kalangan sasterawan,  boleh berlaku jika sasterawan “menemui” sesuatu teknik baru dari Barat, misalnya realisme magis. Jadi mereka pun menulis mengikut teknik itu. Perubahan juga boleh berlaku jika seseorang sasterawan menemui sesuatu idea yang difikir menarik untuk diperkenalkan di Malaysia, maka dia pun buatlah, seperti yang dibuat Anwar Ridhwan dalam novel agungnya. Walaupun dari segi  praktik di Malaysia ada perubahan secara kasarnya, tetapi yang berlaku bukan perubahan, sebaliknya peniruan. Dalam konteks Malaysia peniruan sama saja maknanya dengan  perubahan, kerana peniruan itu sendiri akan mengubah cara menulis sang sasterawan, seperti misalnya dalam novel agung Anwar Ridhwan yang menggunakan sadisme sebagai asas teknik bercerita. Walaupun secara kasar seolah-olah ada perubahan, dari segi pemikiran tidak ada perubahan, kerana itulah novel Malaysia terus ditulis dalam konteks cerita, tidak dalam konteks wacana dan pemikiran. Bila anda menekankan aspek cerita, maka terjadilah apa yang berlaku kepada Naratif Ogonshoto, yang kita dapati anti-nilai yang bercorak agama, tetapi mempromosikan nilai-nilai nihilisme  yang bercorak anarkis dan anti-agama. Semua ini jelas dalam novel agung Anwar Ridhwan, seperti yang saya paparkan dalam entri yang lepas.

Penerokaan, bukan Peniruan

Panel Anugerah Sastera Negara tidak salah dalam menilai karya para sasterawan negara yang dipilihnya, tetapi lebih besar kesalahan itu ialah kesalahan menggunakan istilah ciptaan mereka. Yang selalu mereka gunakan ialah kelainan, pembaharuan, eksperimen, dan seterusnya. Semua istilah yang diperkenalkan oleh Panel itu tidak bermakna apa-apa, kerana semuanya tidak menjurus kepada penerokaan baru dalam penulisan kreatif. Yang Panel maksudkan dengan segala istilah yang mereka cipta secara sewenang-wenang itu (ertinya, tidak berasaskan nilai-nilai tertentu) ialah peniruan yang dilakukan oleh para sasterawan negara dalam usaha mereka untuk mempertingkatkan keseronokan mereka bercerita, bukan untuk mengolah persoalan atau tema besar berasaskan pemikiran yang jelas tentang sesuatu persoalan masyarakat. Ketiadaan ciri-ciri ini boleh anda lihat dengan jelas dalam novel terbesar dan teragung Malaysia karya Anwar Ridhwan, yang penuh sensasi dan perilaku sadis yang amat biadab dalam konteks kebudayaan yang dipertahankan dalam pembangunan tamadun Malaysia selama beratus tahun. Bagaimana Kementerian Pelajaran yang seharusnya menjaga nilai-nilai tamadun Malaysia boleh melepaskan sebuah novel yang menentang nilai-nilai itu untuk dikunyah oleh para pelajar sambil dipuji melulu oleh para guru sastera yang buta nilai? Seolah-olah satu pengkhianatan intelektual telah terjadi dengan tidak disedari, semata-mata kerana buku yang terpilih itu ditulis oleh seorang sasterawan negara, walaupun isinya anti-ilmu dan anti-moral dan dengan sedar mempromosikan segala kebiadaban perilaku manusia yang sadis dan biadab. (Baca dengan kritis ulasan saya dalam entri lepas).

Aspek penerokaan ini penting diberitahu kepada pelajar sastera sekiranya kita mahu mereka berfikir tidak saja secara teratur tetapi juga dengan jelas berasaskan konsep ilmu yang benar, yang menjadi sumber ilmu. Di mana anda boleh lihat nilai-nilai  ini dalam Naratif Ogonshoto?  Tidak ada, malah yang tertonjol dengan jelas ialah jenis sastera hogwash, yakni jenis sastera yang disepakati oleh semua kamus berbahasa Inggeris yang memberi erti nonsense and rubbish, atau bullshit. Dalam bahasa Melayu disebut yang mengarut.  Tidak wajar sama sekali karya hogwash oleh Anwar Ridhwan ini dijadikan buku teks di sekolah Malaysia yang mendakwa mempromosikan nilai-nilai murni, yang langsung tidak terdapat dan tidak kelihatan dalam Naratif Ogonshoto.  Siapa mengkhianati siapa? Yang menjadi korban ialah para pelajar yang diwajibkan membaca dan memuji sebuah novel yang tidak wajar dijadikan teks.  Walaupun persoalan ini sangat serius, tidak ada sesiapa pun tampil untuk memberi teguran kepada Kementerian Pelajaran. Kedudukan seorang sasterawan negara tidak boleh disentuh walaupun para pegawai Kementerian mungkin tahu novel itu picisan, tidak bermutu, dan mempromosikan kejahatan yang bersifat sadis. Sesiapa juga boleh tampil menolak dan menafikan kesimpulan ini, supaya anda boleh dilambak dengan seribu bukti baik dari segi teknik, tema, mahu pun perwatakan.  Saya sudah lakukan ini dengan begitu jelas dan terperinci dalam entri blog ini.  Mustahil anda tidak faham walaupun sedikit. Bodoh sangatkah pembaca sastera Malaysia?

Saya fikir begitulah, malah tiada tanggungjawab intelektual untuk mempertahankan kebenaran.  Tetapi tentu saja tidak semua bersikap pasif, bersikap lembu kenyang. Sebagai contoh, Najibah Abu Bakar telah memberi satu analisis yang menarik terhadap Balai Maqamat dalam review beliau terhadap buku itu yang berjudul (KLIK) "Amanat Terpenting Balai Maqamat Affandi Hassan." Jelas beliau membuat banyak rujukan untuk menulis tentang buku itu.  Saya belum lagi menemui sesiapa yang menentang PB menulis review tentang Hikayat Buyung Lurus, yang amat jelas ditulis berasaskan penerokaan pengarang dalam teknik dan style tinju Muhammad Ali.  Sebagai sebuah novel pemikiran, sebuah novel intelektual, para sarjana ciritan sama ada tidak memahaminya atau lebih tepat mengambil sikap lembu kenyang sahaja.  Mereka mengambil sikap tidak mahu tahu untuk melindungi keselekehan intelektual mereka yang pasti akan terserlah sekiranya mereka cuba mengkritik Hikayat Buyung Lurus.  Betapa pun dicabar, mereka tetap mengambil sikap lembu kenyang kerana itulah kedudukan yang paling selamat.  Apabila saya mencabar sesiapa juga membaca Pujangga Melayu bersama dengan novel teragung Malaysia, Naratif Ogonshoto, para sarjana ciritan ini menjadi lebih takut kerana mereka tahu pengetahuan mereka tidak dapat meneroka novel mini ensiklopedia itu. Istilah penerokaan yang saya pakai tidak menarik minat mereka, kerana bagi mereka kelainan itulah penerokaan, walaupun dari segi ilmu lebih merupakan perkosaan ilmu yang timbul dari kekeliruan dalam konsep ilmu. Bolehkah mereka, para sarjana ciritan ini, faham maksud kesimpulan ini? Sekali lagi saya jemput mereka membaca sehabis kritis entri bertarikh 28/10/2014, “Keunggulan Yang Cacat” untuk melihat kedudukan sebenar diri mereka dalam bidang akademik. 

Dalam novel Aligupit anda tidak menemui watak sebagai individu, sebaliknya idea berdialog sesama sendiri dalam pelbagai persoalan masyarakat. Dalam novel ini ditonjolkan dua bentuk kerajaan: pertama kerajaan yang dipilih, yang berhimpun di Dewan Rakyat. Kedua, kerajaan kedua yang dicipta khusus dalam bentuk projek “kemajuan” untuk memperkukuh kedudukan politik dan ekonomi kumpulan yang menang. Kerajaan kedua inilah yang paling berkuasa, yang membentuk sekumpulan orang kaya di kalangan ahli politik dan penyokong mereka  untuk memastikan mereka mempunyai cukup wang yang ditipu atas nama rakyat melalui projek-projek besar yang kononnya untuk rakyat, tetapi tujuannya supaya perbelanjaan besar-besaran boleh dilakukan untuk memperkayakan golongan yang akan mengekalkan kuasa politik yang menang.  Semua lebuh raya di Malaysia mengenakan tol untuk berpuluh tahun, satu projek buat duit yang amat berjaya.  Penipuan begini hanya dapat dilihat dalam peristiwa 1MDB (1 Malaysia Development Berhad).  Tiada siapa pun tahu cerita sebenarnya secara rasmi kerana semuanya dirahsiakan untuk menjaga keselamatan negara! Beberapa undang-undang diperkenalkan untuk menutup cerita sebenar.  Sudah ada yang dipenjarakan dan didenda kerana memfitnah. Perhatikan bagaimana konsep dan perbuatan fitnah itu digunakan untuk menutup kebenaran supaya tidak terbuka. Fitnah adalah alat politik yang hebat bagi parti yang berkuasa.  Sesiapa juga yang mengkritik parti yang berkuasa adalah memfitnahkan kerajaan, oleh itu mesti dihukum dengan cepat. Inilah aligupit,  yang diceritakan dalam bentuk satira politik dalam Aligupit.  Penerokaan kreatif begini tidak menarik minat para sarjana ciritan kerana mereka perlu berfikir dan membuat penyelidikan; oleh itu sikap lembu kenyang lebih menguntungkan dan lebih selamat.


Memperkasa Pendidikan Sastera di Malaysia

Pendidikan sastera Malaysia telah gagal melahirkan pelajar yang mencintai ilmu dan keindahan.  Ini terjadi kerana Kementerian Pelajaran sendiri tidak mahu melahirkan pelajar yang cerdik, yang cekap berfikir dan boleh membuat pertimbangan yang jitu serta berani bila menghadapi sesuatu masalah. Para pelajar ini tidak diasuh untuk menjadi cerdik. Mereka tidak akan menjadi cerdik dan pintar berfikir jika pelajaran sastera yang mereka terima tidak menjurus kepada pemikiran dan dialog yang bersifat intelektual. Mereka juga perlu diperkenalkan kepada aspek pemikiran ini kerana inilah caranya untuk melahirkan generasi muda yang boleh berfikir dan mengambil tindakan yang tepat berasaskan pengalaman empiris dan kejelasan tentang konsep ilmu yang akan membantu mereka membuat keputusan yang tepat dan berani. Semua ini tidak akan tercapai jika guru sendiri bodoh, dangkal, dan keliru dalam banyak perkara. Contoh: Apakah konsep sastera yang menjadi pegangan para guru? Mengapa mereka menjadikannya pegangan mereka? Apakah matlamat yang mereka ingin capai dengan konsep sastera seumpama itu?  Semua ini mesti jelas dalam kepala mereka sebelum mereka tampil di depan kelas untuk membebelkan kekeliruan mereka. Perkara-perkara yang disebut di sini kelihatan begitu mudah, seolah-olah bukan masalah dalam pendidikan sastera. Jika itulah anggapan anda, maka jelaslah anda belum tamat mengaji ilmu pedagogi, yang memang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang cerdik dan berperibadi tinggi. Merekalah yang akan jadi pemimpin negara masa depan. Pasti guru tahu semua ini. Soalnya, bagaimana mencapainya? Khusus dalam pendidikan sastera, pelajar harus diperkenalkan kepada aspek pemikiran, bukan hanya sekadar memahami cerita. Bagaimana ini boleh dilakukan? Dalam kaedah lama aspek ini tidak diberi perhatian sewajarnya. Hanya setelah Gagasan Persuratan Baru muncul dalam arena sastera barulah aspek ini mendapat perhatian yang tegas.  Oleh itu tugas pertama para guru sastera ialah mengenali dan memahami apakah yang disebut Persuratan Baru itu, dan yakin atau sekurang-kurangnya sedar bahawa pengenalan itu penting dalam pendidikan sastera.  Ini penting kerana PB mengajar pelajar bagaimana membaca karya sastera dan bagaimana mereka dapat mengesan ketangkasan pengarang menyusun struktur karyanya dan mengolah dengan jelas dan jitu tema atau persoalan yang mereka kemukakan dalam karya mereka. Dari perspektif PB, hal ini dapat dilakukan dengan berkesan dengan menggunakan konsep ruang naratif, yakni bagaimana pengarang mengisi karyanya dari perspektif pemikiran yang diadun dengan harmoni dengan cerita. Saya anjurkan para guru sastera menggunakan konsep ini ketika membaca Naratif Ogonshoto. 

Untuk memahami aspek ini, para guru perlu membaca dan memahami Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992; 2005).  Masalah kita ialah buku ini tidak dikenali oleh para guru, apatah lagi stok buku sudah habis dan amat sukar diperolehi, oleh itu tidak mudah untuk guru yang berminat mendapatkan buku ini.  Sepanjang yang saya tahu dan diberitahu, hampir tiada sekolah menengah menyimpan buku ini dalam perpustakaan sekolah. Saya harap maklumat ini tidak benar, kerana ini amat jelas menunjukkan betapa meluasnya kezaliman intelektual di sekolah-sekolah. Saya juga dimaklumkan bahawa tiada buku tentang Gagasan Persuratan Baru, oleh itu hanya guru yang membaca blog ini saja yang tahu mengenai PB. Saya anjurkan Kementerian Pelajaran menyediakan sejumlah wang untuk membekalkan buku-buku ini di sekolah supaya kejakunan ilmu tidak berlaku pada zaman kemajuan ilmu ini.  Sekiranya Kementerian Pelajaran memang anti-ilmu atau ingkar ilmu sekali pun, sekolah yang mengajar sastera perlu berusaha mendapatkan buku-buku mengenai Gagasan Persuratan Baru. Guru sastera mesti diperlengkapkan dengan kaedah baru yang dicetuskan oleh tokoh tempatan sendiri.  Mesti ada perasaan malu kerana jahil dan perasaan bangga untuk mengetahui hasil pemikiran tokoh tempatan yang sudah pun mendapat tempat dalam dunia ilmu. Agak lucu, saya diberitahu terdapat pegawai DBP yang sekadar pernah mendengar nama Mohd. Affandi Hassan, tetapi tidak pernah membaca karyanya.  Sombong atau bodoh?  Inilah jenis manusia bombong (yakni bodoh sombong, satu istilah baru yang saya harap akan menjadi terkenal seperti pandirisme). Inilah contoh bodoh sombong yang sering disebut orang-orang tua  kita yang bijaksana walaupun mereka tidak bersekolah, apatah lagi masuk universiti. Kita bangga ramainya budak-budak kampung masuk universiti, tetapi amat sedih bila kita tahu mereka tidak muncul sebagai golongan yang cintakan ilmu. Di mana silapnya? Jangan salahkan Kementerian Pelajaran walaupun cara mereka mendidik bangsa Melayu dan rakyat Malaysia tidak mengarah kepada sifat cinta ilmu itu. Mereka lebih berminat melahirkan kuli yang  celik huruf, dengan itu semua universiti amat bangga memberitahu kita bahawa mereka sudah bekerjasama dengan industri untuk menjual para graduan mereka.

Tiga Kategori Karya

Kemunculan PB dalam dunia persuratan Malaysia membawa “padah” terbaik kepada para penulis kerana mereka diperkenalkan kepada tiga kategori karya yang mereka boleh pilih mana satu yang selesa dengan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif mereka. Kategori pertama, karya persuratan, memerlukan kefahaman yang agak mendalam konsep ilmu dalam Islam yang bersumberkan al-Quran. Karya berasaskan ilmu ini tidaklah sesukar yang dibayangkan oleh para sasterawan yang mengatakan PB terlalu ideal, tidak boleh dijadikan panduan untuk menulis karya kreatif. Asal saja anda tidak bersifat anti-ilmu, atau lebih tepat ingkar ilmu, anda boleh menghasilkan karya persuratan. Tetapi anda perlu berhati-hati, tidak terikut-ikut dengan sasterawan negara yang melambakkan ayat Quran dan hadis dalam apa yang mereka namakan karya berunsur Islam.  Rahsianya mudah saja, iaitu fahami konsep ilmu.  Kalau anda mahu contohnya, bacalah dengan kritis Pujangga Melayu yang ditulis berasaskan konsep ilmu dalam Islam. Ciri-ciri karya persuratan diperinci dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Boleh lihat di sana.

Kategori kedua ialah karya sastera. Semua karya para sasterawan negara adalah karya sastera, tidak dapat diangkat untuk menjadi karya persuratan.  Contoh terbaik karya sastera ialah Naratif Ogonshoto.  Untuk menulis karya sastera anda tidak perlu kemampuan intelektual yang tinggi dan tidak juga perlu mempunyai daya kreatif yang tinggi. Tulis saja apa-apa yang anda mahu, jadilah karya sastera. Semudah itu, oleh itu kedudukannya tidak dapat disetarafkan dengan karya persuratan.  Antara ciri karya sastera ialah sifatnya yang cenderung kepada hiburan, bukan untuk membuat pembaca berfikir dan mendapat manfaat dari segi nilai-nilai Islam. Supaya anda senang memahaminya, jawablah pertanyaan ini: Apakah nilai Islam yang terdapat dalam Naratif Ogonshoto?  Jika anda membaca penjelasan Dr. Solehah Ishak dalam pendahuluan kepada terjemahannya, anda akan dapati tersirat dalam pendahuluan itu ialah konsep sastera yang dipraktikkan di Barat, terutama sekali yang dipanggil karya pascamoden.  Menurut pandangan yang dihargai oleh Dr. Solehah Ishak, karya sastera tidak perlukan nilai-nilai agama, atau apa pun nilai. Yang penting ialah keunggulan craftsmanship seseorang penulis. Aspek ini ditekankan oleh beliau. Dalam pandangan saya, inilah jenis sastera hogwash. Pandangan yang dipromosikan Dr. Solehah Ishak bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara. Tetapi bagi Kementerian Pelajaran, dasar ini boleh dikendurkan untuk karya para sasterawan negara, oleh itu karya yang anti-moral dan anti-ilmu seperti Naratif Ogonshoto layak dijadikan teks sastera.

Kategori ketiga ialah karya picisan dan lucah. Dari sasterawan negara, karya yang paling terkenal dalam kategori ini ialah Kuala Lumpur Kita Punya. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak menganggap karya ini sebagai karya lucah, tetapi sebuah karya kritik sosial kelas pertama, yakni yang amat berjaya dihasilkan oleh penulisnya untuk memerihalkan masalah sosial  (yakni masalah keruntuhan moral) ketika karya itu ditulis.  Bagi beliau, tidak ada karya picisan dan lucah pernah dihasilkan oleh mana-mana sasterawan negara. Pendapat beliau sukar diterima, oleh itu terdapat juga sanggahan secara tidak langsung dari penulis seperti Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani misalnya. Saya sendiri menolak bulat-bulat kritikan sastera jenis hogwash ini.  Kuala Lumpur Kita Punya adalah jenis karya cari duit. Tidak pasti berapa banyak yang dapat dijual dan berapa banyak pula kutipannya.  Adakah Naratif Ogonshoto pada hakikatnya jenis karya dalam kategori ketiga ini? Sekiranya anda berpendapat begitu, saya kira anda telah memberikan pertimbangan yang waras.  Tetapi ini tidak bermakna kesimpulan Dr. Solehah Ishak memberi sanjungan tinggi kepada karya ini tidak waras. Ini persoalan persepsi yang sering kali tergelencong sekiranya tidak diasaskan kepada konsep ilmu.

Itulah tiga kategori karya yang anda perlu sedar supaya anda boleh melihat dengan lebih jelas konsep penerokaan yang saya maksudkan itu dalam karya persuratan seperti Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus dan lain-lain.  Mengapa contoh ini penting hanya anda boleh ketahui sekiranya anda sendiri  membaca dengan kritis karya ini.  Jika anda tidak kritis dan tidak tahu membaca karya persuratan, lebih siuman jika anda tidak menyusahkan diri anda membaca karya yang memerlukan perhatian kritis anda.

Kesimpulan Kritis

Dalam entri ini saya memberi perhatian kepada aspek pendidikan sastera berasaskan konsep ilmu yang benar. Sebagai guru sastera, anda tidak mempunyai pilihan selain memahami aspek ini supaya anda akan dapat membaca dengan tepat Naratif Ogonshoto. Mengapa novel agung ini begitu kaya dengan unsur sensasi, sadisme,  anarki, nihilisme, pervert, tabiat yang weird dan penyakit jiwa schizophrenia?  Andaian saya ialah Anwar Ridhwan terpengaruh dengan gelagat Marquis de Sade. Tokoh ini memang berpengaruh di kalangan sasterawan Eropah, hingga Flaubert, Baudelaire,  Swinburne,  malah hingga Nietzsche sendiri pun terpengaruh dengannya.  Tidak hairan jika sasterawan negara terpenting di Malaysia juga terpengaruh dengan Marquis de Sade.  Jika andaian ini salah sekali pun ciri-ciri yang saya sebut itu memang mainan de Sade.  Dalam konteks ini, Anwar Ridhwan termasuk dalam golongan elite tokoh-tokoh yang terpengaruh dengan de Sade.  Tidak salah jika Malaysia berbangga dengan pengaruh ini, sekurang-kurangnya terdapat kelainan yang amat aneh dalam karya Anwar Ridhwan.  Bagaimana reaksi Kementerian Pelajaran setelah mereka mengetahui hal ini? Saya tidak fikir mereka akan menarik balik Naratif Ogonshoto dari dijadikan teks, kerana maruah Kementerian perlu dipelihara supaya tidak dituduh selekeh tidak tahu membuat keputusan.

Tetapi ada satu masalah yang memerlukan penjelasan. Mengapa terdapat percanggahan yang begitu lebar antara idealisme Falsafah Pendidikan Negara           dengan novel Naratif Ogonshoto? Yang pertama bertujuan mengajar nilai-nilai murni dalam membina peribadi unggul; yang kedua mengajarkan segala macam kejahatan yang tidak terfikir oleh manusia siuman seperti misalnya seorang guru memotong jarinya dalam satu permainan tidak siuman.  Kalau itulah keadaannya, maka bagaimana novel agung ini boleh mendidik para pelajar menjadi manusia bermoral tinggi dan berperibadi mulia? Sudah jelas terdapat sesuatu yang aneh dan tidak kena dalam pemilihan novel ini untuk dijadikan teks. Sesudah terlanjur, dan sukar ditarik balik, apa yang kita boleh buat? Saya kembali kepada kaedah yang disarankan oleh Gagasan Persuratan Baru, dengan itu masih boleh dijadikan teks tetapi hendaklah dihuraikan dan dinilai daripada perspektif ilmu yang benar.  Para pelajar boleh diselamatkan daripada terjebak dalam kejahatan yang menjadi kekuatan novel ini, seperti yang dihurai dan dipersetujui oleh Dr. Solehah Ishak dalam pendahuluan kepada terjemahannya.  Pandangan Dr. Solehan Ishak berdasarkan sastera hogwash, oleh itu mesti ditolak. Tetapi untuk melakukan ini diperlukan kaedah yang boleh mengenal pasti kepalsuan pandangan Dr. Solehah Ishak, yang hanya boleh dilakukan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Saya harap para guru sastera boleh memikirkan perkara ini dengan serius, kerana apa juga keputusan yang salah sudah tentu akan merosakkan para pelajar yang akan hanyut dalam kejahatan tanpa mengetahui sesuatu yang mereka kagumi itu berunsur kejahatan.

Kepada guru sastera, saya anjurkan mereka membaca dengan kritis entri bertarikh 28/10/2014 bertajuk “Keunggulan Yang Cacat”. Libatkan para pelajar dengan menyalin entri itu untuk mereka baca dan bincang dengan kritis kertas itu. Para pelajar perlu diberi peluang untuk memberikan pendapat mereka.  Dengan itu tercapailah kehendak Falsafah Pendidikan Negara.

Terima kasih. Wassalam.
Catatan:  hogwash: nonsense; or words that are intended to deceive. [Cambridge English Dictionary]

_______________________



"KAPITALIS KECIL"


oleh MABHAS*

SEJAK dia tahu berfikir- tahukan harga wang-cita-citanya hanya satu sahaja, iaitu hendak menjadi seorang kaya. Kalau saya kaya, tentu hidup saya senang, fikirnya.

Menurut pendapatnya, tiap-tiap orang yang kaya itu pastilah senang hidupnya dan pendapat ini telah menjadi darah daging kepadanya sehingga dia lupa bahawa ada orang, kerana terlalu kaya tidak biasa hidup tenteram.

Berbagai-bagai jenis pekerjaaan telah dicubanya- menarik beca, menjadi nelayan dan banyak lagi. Semuanya itu dikerjakannya dengan tujuan dan dorongan yang sama, tugasnya mencari kekayaan.

Sejak beberapa bulan yang lalu, dia berkedai menjual barang-barang runcit atau barang-barang keperluan dapur di kampungnya itu. Ayahnya telah meninggal dunia, begitulah juga ibunya. Kerana dia anak tunggal, maka sebidang tanah peninggalan kedua orang tuanya itu terserahlah kepadanya sebagai tanah pusaka. Dan di atas tanah inilah, dia mendirikan sebuah kedai kecil untuk tempat dia menjalankan perniagaan tadi itu.

Bintangnya mulai terang dengan penghidupan baru ini. Maklumlah di kampung itu hanya itulah sahaja satu-satunya kedai yang ada. Jadi ke manakah lagi orang ramai hendak berbelanja kalau tidak ke sana? Samalah seperti menahan lukah di pergentingan, setiap ikan yang lalu pastilah akan masuk ke dalamnya.

Baru-baru ini tersebar berita mengatakan cukai-cukai telah dinaikkan oleh kerajaan. Pak Mat, orang yang bercita-cita hendak kaya ini, mendengar pula cukai naik harga, barang-barang pun turut sama naik. Jadi dia tidak bertangguh-tangguh lagi, dinaikkanlah harga barang-barang jualannya. Mancis api naik harga. Ikan kering naik harga. Gula naik harga, pendek kata tidak adalah yang tidak naik harga.

Orang-orang sekampungnya itu meluap-luap marah. Walau bagaimanapun bukanlah Pak Mat yang dimarahi mereka itu kerana mereka sedar dalam perkara itu, Pak Mat tidak boleh diletakkan sebagai bertanggungjawab.

Mereka cukup faham naiknya harga barang-barang itu ialah kerana naiknya cukai-cukai. Dan yang menaikkan cukai-cukai itu bukanlah Pak Mat melainkan segolongan orang-orang yang dulu memujuk-mujuk mereka dengan janji akan membela nasib mereka. Sungguhpun mereka tidak bersekolah tinggi tetapi mereka dapat juga mengira-ngira kalau cukai naik, kerajaan tentu banyak dapat wang. Ini mereka mengerti cuma yang mereka itu tidak mengerti ialah bagaimanakah kenaikan cukai itu boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana yang mereka selalu dengar orang mendakwakannya.

Kesempitan hidup kerana naiknya harga barang-barang. Ini bukanlah hanya terasa oleh orang-orang di kampung Pak Mat itu sahaja bahkan di mana-mana juga. Tetapi yang terasa itu bukanlah golongan kaum modal dan orang-orang yang seperti Pak Mat ini melainkan orang-orang kampung yang miskin dan yang hidupnya miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dan mereka itulah yang menyumpah-nyumpah kerana naiknya harga barang itu.

Mak Timah, seorang tua yang miskin dan tinggal berhampiran dengan rumah Pak Mat itu, misalnya semenjak naiknya harga barang itu terpaksa memberhentikan anaknya dari bersekolah.

"Aku tak berupaya lagi hendak membelanjai engkau bersekolah, katanya kepada anaknya itu. Kalau ayahmu masih hidup, dapatlah ia mengikhtiarkan perbelanjaanmu. Tetapi bagiku bagaimanakah hendak mencarikannya? Dan sekarang harga barang-barang sudah naik pula, bererti belanja hidup kita akan bertambah. Lebih baik sahaja engkau bekerja untuk menambah pendapatan kita."

"Baiklah ibu," Yusuf menjawab mengiyakan. Dan dia pun berhentilah dari bersekolah.

Dengan bertopengkan kenaikan cukai itu, Pak Mat menindas dan menghisap darah orang-orang sekampungnya. Hidup di dunia tidak ada belas kasihan, demikian dia pada suatu hari berkata kepada isterinya. Kita jangan peduli cakap-cakap orang. Ada peluang kita tidak boleh lepaskan. Ada can menaikkan harga barang-barang kita naikkan. Sekali ini tentu kita boleh jadi kaya.

Cakap-cakap Pak Mat ini diterima baik oleh isterinya itu dan oleh semua anak-anaknya, kecuali anak gadisnya yang bernama Rosnah. Mereka berfikir tak lama lagi akan menjadi kaya tetapi Rosnah tidak berfikiran begitu. Dia tidak mengharapkan kekayaan yang didapat dengan menindas dan memeras orang lain – orang-orang sekampungnya sendiri. Sebaliknya dia berfikir dalam keadaan yang demikian itu, orang-orang yang seperti ayahnya itu, yang agak berada sedikit, haruslah menolong jiran-jiran tetangganya itu.

Tetapi Rosnah hanya dapat menyatakan kasihannya sahaja atau setinggi-tingginya menyatakan tidak setuju dengan pendapat ayahnya itu. Untuk mencegahnya dia tentulah tak berkuasa kerana dia bukan menteri, hidupnya pun bergantung kepada ayahnya. Dia hanya seorang gadis dan tak lebih dari itu.

Sejak kecil, Rosnah telah dididik oleh ayahya dan ibunya supaya mengasihi harta tetapi didikannya itu tidaklah memberi bekas kepadanya. Dia tidak mengejar kebendaan dan kerana itu dia tidak mengasihi harta atau orang yang berharta. Dan ini dibuktikannya dengan mencintai Hamid, seorang pemuda tani yang miskin dan bergelumang lumpur.

Yang diutamakan Rosnah ialah kejujuran hati dan kesucian jiwa. Dan ini pernah dinyatakan sendiri kepada kekasihnya, Hamid itu.

"Aku tidak mencintai rupa parasmu, demikian dia berkata–kerana walau bagaimana cantik rupa paras seseorang itu akan luntur juga sudahnya. Bunga tidak selamanya kembang. Ia pasti layu dan kemudian gugur ke bumi. Aku juga tidak mencintai harta kerana bagaimanapun kaya seseorang itu, tidaklah ia akan melebihi kaya Tuhannya."

"Biarlah orang mengejek aku kerana mencintaimu, Mid, katanya lagi. Tetapi bagiku kesucian dan kejujuran hatimu yang kuutamakan."

Tiba-tiba, Rosnah hendak dikahwinkan dengan seorang kaya tua bernama Kasim. Rosnah cuba menolak tetapi si ayah marah kepadanya. Anak tak sedar diri, berkata si ayah itu. Kita hendaklah lihat dia hidup mewah, dia tolaknya pula. Apakah engkau tidak mahu hidup bahagia, Rosnah? Siapa yang hendak engkau tunggu lagi? Dewakah?

Ibu dan adik-beradiknya menyokong si ayah. Dia diam tak berkata-kata. Hatinya di dalam remuk redam laksana kaca terhempas ke batu. Putus harapnya hendak hidup bersama-sama kekasihnya, Hamid.

Bila si ayah mengugut akan menghalaunya keluar dari rumah itu kalau dia berkeras juga tidak mahu dikahwinkan dengan orang kaya Kasim tadi, Rosnah terpaksa menganggukkan kepalanya-menerima.

Demikianlah Rosnah menjadi isteri yang nombor tiga kepada wartawan Kasim. Senang hati Pak Mat. Tercapailah sudah cita-citanya bermenantukan orang kaya. Dan Rosnah terpaksa menyerahkan tubuhnya kepada seorang yang layak dipanggil bapa dengan perasaan yang jengkel.

"Tidak berapa lama kemudian daripada itu, Pak Mat memaksa abang Rosnah, Salih supaya keluar dari kampung itu untuk berniaga atau mencari kerja. Tidak ada gunanya engkau duduk di sini dengan tidak ada bekerja Salih, demikian Pak Mat berkata kepada anaknya yang tua itu. Lebih baik engkau mencari kerja ataupun pergi ke lain tempat berniaga. Tentang modal aku boleh beri dan kalau tak cukup, aku boleh minta pada adik iparmu, Kasim itu, bersetujukah engkau?"

Apakah yang boleh dibuatnya selain mengiyakan saja? Dan pergilah Salih meninggalkan kampungnya itu walaupun hatinya begitu berat hendak meninggalkannya.

Kini, tinggallah Pak Mat, isterinya dan dua orang anaknya yang masih kecil lagi–yang masih menunggu akan besar untuk dikorbankannya pula seterusnya.

Demikianlah Pak Mat menjalankan muslihatnya untuk mengejar kekayaan–mengejar kekayaan dengan kerendahan budinya.

*MABHAS ialah nama pena Mohd. Affandi Hassan pada peringkat awal kepengarangannya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 30/8/2017.

No comments:

Post a Comment