Sunday, September 10, 2017

PENGAJARAN DARI KEISTIMEWAAN NARATIF OGONSHOTO KEPADA SIFAT SIUMAN MANUSIA BERAGAMA



Catatan: Entri kali ini agak kelam-kabut, lompat sana loncat sini seperti budak sedang bermain kapal terbang. Walaupun kurang tersusun, tidak bermakna sukar diikuti; dan saya fikir boleh menyeronokkan seperti budak yang melompat-meloncat bermain kapal terbang itu. Saya harap tidak ada yang tersinggung dengan style ini. Permainan kapal terbang adalah universal, dikenali oleh semua kanak-kanak hatta di kalangan budak-budak Eskimo mahu pun di tengah-tengah hutan Amazon. Baik sekali sekiranya pakar permainan kita boleh tolong jelaskan bagaimana ini boleh berlaku. Saya diberitahu permainan ini telah dimainkan pada zaman Firaun Mesir lagi.

Bahagian 1: Pendahuluan Kritis



Dalam Surah al-Baqarah ayat 269, ada disebut konsep ulu al-bab dalam konteks manusia yang berupaya dan menerima hikmah (kebijaksanaan) sebagai anugerah Allah SWT yang terbesar kepada hamba Nya. Terjemahan ayat itu (menurut Tafsir al-Misbah, jilid 1, hal. 705):  “Dia (Allah SWT) menganugerahkan  al-Hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Barang siapa yang dianugerahi al-Hikmah, maka ia benar-benar telah diberi anugerah yang banyak. Dan hanya Ulu al-Albab (Ulul Albab) yang dapat mengambil pengajaran.”  Dalam tafsirannya, pengarang kitab ini menjelaskan orang yang digelar ulul-albab itu ialah yang mempunyai akal murni, yang tidak diselubungi oleh “kulit”, yakni kabut idea yang dapat melahirkan kerancuan dalam berfikir. … Orang yang diberi hikmah itu menerima ajaran al-Quran sebagai sumber ilmu, “sedangkan yang menolaknya pasti ada kerancuan dalam cara berfikirnya, dan dia belum sampai pada tingkat memahami sesuatu. Ia baru sampai pada kulit masalah.” (hal. 705). Ayat ini, pada fahaman saya, menolak dengan jelas sikap tidak siuman dalam membuat pertimbangan sekiranya pertimbangan itu  berasaskan pertimbangan akal sihat.  Entri kali ini banyak membicarakan unsur-unsur  tidak siuman ini dalam sastera Melayu.

Kemunculan Naratif Ogonshoto telah memberi ilham kepada seorang sarjana terkenal untuk mencetuskan “teori kerancuan sastera” berasaskan pembacaannya ke atas novel agung Malaysia itu.  Salah satu hujah yang dilontarkan oleh teori ini ialah perihal sastera tidak kena mengena dengan nilai-nilai agama, kerana sastera mempunyai nilai-nilai tersendiri, tidak terikat kepada mana-mana ideologi, kecuali ideologi hegemoni yang mewujudkan sastera perdana yang dipayungi oleh Mutual Admiration Club yang diakui kewujudannya oleh Panel Anugerah Sastera Negara.

Sekiranya anda ikuti perbincangan saya tentang novel Naratif Ogonshoto, dan anda seorang yang sensitif kepada nilai agama dan nilai kemanusiaan, anda akan bertanya, “Mengapa novel seumpama ini perlu ditulis? Apakah pengajaran yang hendak diberikan oleh novel yang aneh ini?”  Dua pertanyaan ini bukan saja dianggap pertanyaan yang bodoh, yang datang dari orang yang tak tahu bersastera. Tetapi jawapannya memerlukan kepintaran dan kebijaksanaan yang luar biasa. Pertanyaannya bodoh, tetapi jawapannya mestilah cerdik. Bagaimana ini boleh terjadi?  Soalan ini berkaitan dengan penilaian terhadap novel ini yang dibuat oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Adakah mereka telah memberi penilaian yang tepat? Apakah ukuran mereka? Saya ingin kemukakan beberapa  contoh yang diberikan oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau, “Intelektualisme Dalam Lima Novel  Anwar Ridhwan Dari Sudut Persuratan Baru”  (UPM 2014).

Semua sanjungan dan pujian yang kita dapat daripada para sarjana dan pengkritik sastera tidak berasaskan ukuran yang jelas, malah yang mereka lakukan ialah memberikan pendapat sewenang-wenang sahaja, tanpa sebarang ukuran yang membolehkan kita melihat kekuatan novel ini tanpa ragu-ragu. Ini suatu pendekatan yang aneh, apatah lagi bila semua yang memuji itu mengatakan novel ini boleh ditafsir berlapis-lapis. Berapa lapis? Ini tak pernah dijelaskan. Pembaca disogok dengan pandangan umum yang penuh misteri. Tidak seorang pun memberitahu lapis pertama itu bagaimana, dan kalau perlu lapis itu apa namanya. Demikian seterusnya hingga beberapa lapis dengan nama-nama tertentu supaya kita boleh kenal lapis itu dengan mudah. Dalam kebudayaan Melayu, hantu pun mereka beri nama, cukup dengan ciri kelakuan dan kelebihan masing-masing. Ada hantu yang hisap darah, ada yang suka menggeletek sampai orang yang kena geletek itu pengsan. Macam-macam kelakuan dengan nama tertentu. Apakah nama lapis pertama makna Naratif Ogonshoto? Saya yakin sarjana yang mengatakan banyak lapis itu sendiri pun tidak tahu. Kita tidak pernah diberikan contoh. Mereka hanya bercakap saja, lebih buruk dan lebih rendah daripada kelakuan penjual ubat yang boleh memberikan contoh ketika memperagakan ubatnya yang boleh mengubat sakit itu dan ini. Sarjana Melayu yang mendakwa mereka cerdik dan mempunyai kredibiliti ilmiah, tidak boleh memberikan apa-apa contoh. Dengan itu, sehingga mereka memberi kita contoh, maka kesimpulan yang boleh kita buat dengan selamat  ialah mereka sebenarnya berborak kosong saja, sejenis idle talk dalam kategori bullshit.  Saya tidak bermaksud hendak menghina atau merendahkan maruah sesiapa; tetapi sebagai seorang pembaca saya sentiasa menerima apa juga pendapat yang waras yang akan membolehkan kita memahami sesuatu persoalan dan mengambil manfaat daripadanya.  Harapan itu saya kira munasabah.

Kita lihat contoh yang diberikan oleh Nur Fatiha Fadila dalam tesis beliau. Umar Junus berkata, novel Naratif Ogonshoto adalah sebuah novel intelektual yang dapat mendorong pembaca untuk berfikir. Ini dicapai  menerusi teknik penulisan yang dikatakan menyembunyikan lapisan-lapisan makna, oleh itu pembaca diundang untuk membaca dengan kritis, kerana bagi Umar Junus novel Anwar lebih mendorong khalayak berfikir, memikirkan sesuatu tentang apa yang dibaca. Dia memberi contoh intelektualisme itu dari episod “Mainan” mengenai percubaan Presiden hendak membunuh anak angkatnya yang disangkanya sudah tahu banyak rahsia beliau oleh itu mesti dimusnahkan supaya rahsia itu tidak diketahui. Semuanya rahsia jahat yang mesti disembunyikan. Inilah yang saya sebut satu perbuatan yang amat sadis, yang lebih liar daripada perangai serigala yang ganas tetapi tidak jahat kerana tidak ada serigala yang sengaja mencari manusia atau apa juga mangsa sebagai mangsa, sebab semua binatang buas tahu memilih mangsanya dan tidak akan mempersiakan mangsa yang diserangnya kerana itulah makanannya. Presiden sebagai pemimpin, tidak bertindak dalam konteks untuk membina, tetapi hanya memusnahkan. Bagaimana anda boleh terima inilah novel yang kelas pertama kerana menjadikan kekejaman dan kejahatan sebagai simbol kejayaan?  Apa yang berlapis dan mencabar pemikiran jika sudah diberitahu oleh pengarang itulah sifat dan kelakuan Presiden. Apa yang membuat dia  begitu istimewa? Saya masih berpegang kepada tafsiran saya, sesiapa juga yang berkata inilah contoh perwatakan yang berjaya membawa anda menjadi insaf atau terhibur atau kagum dengan keupayaan manusia membuat sesuatu yang berfaedah, maka jika bukan itu yang kita dapat tetapi ada orang yang memujinya kerana keganasannya, maka saya berkata orang itu tidak siuman. Sebenarnya banyak yang tidak siuman yang kita baca dalam novel ini dan dalam tulisan yang memujinya, suatu keadaan yang penuh misteri. Mengapa sampai sejauh itu mereka hilang akal sihat, para pentafsir itu?

Kemudian contoh daripada  Dr. Awang Azman, yang menegaskan inilah contoh novel intelektual kerana berjaya mengemukakan kritikan tentang kepemimpinan politik yang zalim secara berkesan.  Nur Fatiha Fadila menyalin pendapat Dr. Awang Azman: “Dalam Naratif Ogonshoto, kritikan  politik dilakukan dengan lebih lembut, tetapi tajam serta lebih tersusun rapi anyaman kritikan  sosial politik sesebuah negara..”  Bagaimana kesimpulan ini boleh timbul sungguh amat menghairankan, kerana seluruh novel ini tidak langsung menyerlahkan “kritikan politik yang rapi dan tajam tetapi dilakukan secara lembut…”  Pertama sekali, Presiden bukan jenis manusia, tetapi jenis binatang yang amat rakus dan kejam. Itu yang kita dapat dari cerita Anwar Ridhwan sendiri. Apakah istimewanya kerakusan itu dijalin rapi? Lebih menarik lagi pendapat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, yang menegaskan “Naratif Ogonshoto memberikan satu penyelesaian yang menarik dalam usaha para seniman menghantar suara radikalnya untuk mengkritik sesuatu golongan yang berkuasa .. memberikan teguran yang keras tetapi berkias.” Bagaimana seorang penglipur lara yang kerjanya memberi hiburan murahan boleh menghantar suara radikalnya? Tidak ada yang radikal dalam karya ini. Yang tertonjol ialah sifat sensasi yang berlebihan, yang sadis, nihilisme seperti yang telah saya perkatakan dalam beberapa entri. Bagaimana pun baik juga jika sarjana ini memberi definisi “radikal” itu dan mengapa ia penting dalam novel ini sebagai suatu teknik penyampaian yang berkias. Saya tidak bertemu keistimewaan yang diperkatakan oleh Dr. Mohamada Saleeh Rahamad, kerana memang tidak ada. Sekali lagi, yang muncul dengan hebatnya ialah sensasi yang berlebihan, yang bersifat sadis, anarkis dan sebagainya. Pendeknya, jika saudara masih belum sedar, semua watak di dalam novel ini diberi status kejam dan liar oleh pengarangnya. Apakah yang radikal di sini? Yang radikal biasanya pemikiran, tetapi novel ini bukan sebuah novel pemikiran, sebaliknya sebuah novel sensasi dan buktinya anda dapat dalam setiap episod atau bab. Inilah jenis kritikan hogwash yang saya maksudkan, yang dengan baik sekali diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya. 

Seterusnya Nur Fatiha Fadila mengemukakan contoh daripada Dr. Mawar Shafei, yang menegaskan Anwar Ridhwan mendapat ilham daripada Machiavelli, “matlamat menghalalkan cara”. Aspek ini disebut juga oleh panel  Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 yang menegaskan aspek “pemikirannya membahaskan wacana politik Machiavelli. (Laporan, hal. 27). Dalam semua kajian yang saya baca mengenai Machiavelli, tidak seorang pun mengatakan itulah slogan Machiavelli. Malah dalam sebuah buku kecil oleh seorang pakar Machiavelli, Maurizio Viroli dalam bukunya Machiavelli menyalin di kulit belakang buku itu kata-kata Machiavelli ini: “Men are infamous and detestable who are destroyers of religion, squanderers of kingdoms and republics, and enemies of the virtues.” Kata Machiavelli dia memilih neraka kerana di situlah dia akan bertemu dengan para pemikir hebat seluruh zaman dari seluruh dunia.  Dari mana Dr. Mawar dan Dr. Anwar Ridhwan sendiri mendapat ungkapan itu benar-benar membingungkan pembaca yang kebetulan tahu tentang falsafah politik Machiavelli.  Buku Viroli itu kecil saja, mudah dibaca.  Antara tajuk yang dibincangkannya ialah,  Bab 7 “The necessity of religion”; Bab 8  “A philosopher of liberty.”  Dari mana tokoh sarjana kita ini dapat slogan palsu yang mereka kata diucapkan oleh Machiavelli? Saya fikir sarjana tidak wajar berbohong kepada pembaca yang tidak tahu, kerana tugas mereka ialah memberi maklumat yang betul. Saya tidak membela Machiavelli, sebaliknya mengutuk sarjana yang berbohong untuk mempertahankan pendapat palsu mereka. Sebuah buku yang patut anda telaah mengenai perkara ini ialah karangan Sheldon S. Wolin, Politics and Vision: Continuity and Innovation in Western Political Thought (1960). Buku ini memberi ruang yang luas untuk  membicarakan falsafah politik Machiavelli.  Kalau anda lebih percayakan sarjana ciritan, jangan baca buku-buku jenis ini supaya anda terus berada dalam dunia khayal penglipur lara. Di kalangan golongan ini buku-buku akademik tidak ada tempat kerana seperti watak Presiden, pembohongan dan penipuan adalah ciri yang lebih diutamakan daripada kebenaran.  Saya tidak perlu buktikan kesimpulan ini, kerana sepanjang kritikan saya tentang novel agung ini telah saya berikan bukti-bukti itu. Yang membingungkan kita ialah mengapa para sarjana ciritan ini memilih untuk berbohong padahal maklumat yang betul memang terdapat. Adakah kewujudan Mutual Admiration Club itu sendiri diasaskan kepada pembohongan akademik? Kita harus sedar kumpulan Mutual Admiration Club ini amat berpengaruh, kerana merekalah yang menentukan perkembangan sastera Melayu. Sekiranya mereka berbohong, bagaimana pula dengan perkembangan sastera Melayu sendiri?  Sekiranya kita meneliti analisis dan penilaian para sarjana ciritan ini kita akan melihat bagaimana pembohongan penilaian dijadikan arus perdana untuk mempertahankan karya picisan dan para sasterawan picisan.  Kita akan bincang perkara ini.

Pembohongan? Sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menampilkan pandangan yang menarik tentang perkara ini. Saya kutip pandangan beliau yang saya anggap jujur, dan penting diketahui terutama sekali oleh para guru sastera. Inilah kata-kata beliau:

“Mempersenda Tuhan zahir dalam pelbagai bentuk dan cara, atas beberapa tujuan. Ketika saya di Tingkatan Enam, membaca teks wajib Atheis karya Achdiat K. Mihardja, ucapan mempersenda Tuhan datang daripada protsagonisnya. Saya tidak mengerti mengapa Atheis dijadikan buku teks untuk remaja ketika itu. Sungguh pun peleraian novel ini mengambang suatu pilihan rasional yang kontekstual, tetapi pembaca dewasa yang lebih matang akan lebih memahaminya berbanding pembaca remaja belasan tahun.  Pembaca remaja memerlukan bimbingan seorang guru yang pintar untuk memahami konsep ketuhanan, transendental dan logosentrisme.” (Dewan Sastera, Februari 2011, hal. 37).

Pendapat ini menarik kerana boleh dikenakan kepada pemilihan Naratif Ogonshoto untuk dijadikan teks. Seluruh novel itu mempersendakan Tuhan, oleh itu tentulah tidak sesuai dijadikan bacaan remaja.  Seorang guru yang pintar sekali  pun tidak dapat menjelaskan mengapa novel itu ditulis demikian rupa, kecuali jika dia menggunakan pendekatan yang diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru. Baik Kementerian Pelajaran mahu pun Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sendiri, kedua-duanya menentang hebat Gagasan Persuratan Baru. Oleh itu, apa pilihan yang diberikan kepada para pelajar? 

Tulisan beliau di akhiri dengan dua rangkap syair yang dibacakannya ketika menerima Anugerah Sastera Negara. Saya kutip dua baris yang relevan di sini: “fikrah falsafah itu lebihlah mulia; disulam keindahan membijaksanakan manusia.”  Sayangnya yang beliau maksudkan dalam dua baris ini tidak terdapat dalam Naratif Ogonshoto.  Syair panjang yang beliau bacakan ketika penerimaan anugerah itu membicarakan betapa pentingnya unsur ilmu dalam karya, mengikut ajaran Islam. Sayangnya perkara yang disarankannya itu tidak terdapat dalam keseluruhan karya kreatifnya. Mengapa hal ini terjadi? Saya telah cuba memberi jawapannya dalam beberapa entri blog ini. Ulasan lebih konkrit ada dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis (UKM 2010; hal. 317-319). Disiarkan kembali dalam, Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM  2016; hal. 333-334).  Saya mengulas cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”, cerita pendek beliau paling terkenal dan mendapat pujian tinggi daripada Panel Anugerah Sastera Negara (laporan 2009) kerana menurut mereka berciri “filosofikal”!  Cerita pendek ini mengenai perzinaan seorang pemuda  Melayu ketika berada di New York. Itulah yang “filosofikal” kerana apartmen telah memberi mereka ruang dan tempat untuk melakukan perzinaan.  Sekiranya kita baca syair penerimaan anugerah beliau, inilah contoh sastera yang mempunyai nilai-nilai Islam kerana di situ diceritakan kisah perzinaan. Ketika menulis cerita pendek ini beliau masih naif; tetapi ketika membacakan syairnya beliau telah matang. Apakah yang ingin beliau sampaikan melalui syairnya itu?  Pada zaman matangnya ketika menulis Naratif Ogonshoto beliau masih berada di era “apartmen” di New York.  Semuanya dinafikan oleh karya kreatifnya dalam bentuk cerita pendek dan kesemua novelnya.  Kita perlukan penjelasan daripada para penyanjung beliau.

Analisis Nur Fatiha Fadila dalam tesisnya mengenai pandangan Anwar Ridhwan tentang peranan sastera (mulai halaman 55-62) adalah pandangan yang penuh dengan sifat kerancuan, seperti yang ditulis oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika memberi pujian tinggi kepada Anwar Ridhwan sebagai penulis “intelektual”.  Sangat jelas Anwar Ridhwan menyerlahkan kekeliruannya dengan yakin tanpa sebarang usaha untuk menjelaskan makna ilmu, sama ada yang difahami dalam Islam mahu pun yang dipraktikkan dalam sastera Barat. Beliau sekadar “menyatakan sesuatu”, bukan memberi huraian yang sistematik seperti yang kita harapkan daripada seorang “intelektual”. Saya ulang: apakah nilai-nilai murni dan nilai-nilai Islam dalam Naratif Ogonshoto? Kita kena terjun ke lapis berapa dalam lapisan makna itu baru kita dapat nilai-nilai positif atau bau Islam seperti yang dipropagandakan oleh Anwar Ridhwan dalam syair penerimaannya?  Saya betul-betul letih mencari makna dalam longgokan sampah makna yang terlalu menimbun dalam longgokan sampah retorik (?) yang begitu tinggi? Sekarang saya faham mengapa novel ini mendapat sanjungan para sarjana dan pengkritik sastera, kerana mereka sudah tenggelam dalam retorik kerancuan intelektual…

Bahagian 2:  Kritikan Berimbang

Apakah yang membuat sarjana dan pengkritik sastera seolah-olah tidak siuman ketika membaca novel Anwar Ridhwan ini? Apa yang menarik perhatian dan minat mereka sehingga terjadi semacam obsesi yang sangat aneh tentang daya penarik novel ini. Sering disebut novel ini mengenai seorang pemimpin politik yang zalim dan sanggup berbuat apa saja untuk mengekalkan kuasa. Dari sudut mana persoalan begini perlu dikupas dan diberi tafsiran? Sekiranya kezaliman itu suatu wacana  yang utama dalam politik, mengapa seorang sasterawan membina satu dunia yang tidak ada untuk menghuraikannya, mengapa tidak saja ditulis dari perspektif sejarah yang benar-benar terjadi, yang memang banyak dalam sastera lama dan hikayat Melayu. Kesan saya, terdapat sikap tidak siuman yang luar biasa mengenai novel ini. Mengapa ini terjadi?

Membaca sebagai seorang penulis kreatif berpengalaman dan seorang pengkritik sastera yang agak luas pengalaman intelektualnya, saya dapati pengarang Naratif Ogonshoto dan para pemuji novel ini menyerlahkan kemiskinan bakat kreatif sebagai pengarang dan kecetekan ilmu; sebagai sarjana pula mereka tidak mempunyai kekuatan intelektual yang diperlukan untuk dapat memahami sesuatu yang bersifat ilmu dalam tulisan mereka. Pendeknya, rendah kualiti  kreatif, dan rendah pula kualiti intelektual. Novel ini dan ulasan berupa pujian tinggi menjadi bukti yang amat jelas akan kebenaran kesimpulan saya.

Jika mereka berhak untuk mempamerkan kecetekan ilmu mereka dan kerendahan bakat kreatif mereka, maka saya juga berhak untuk menyerlahkan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif dalam tulisan saya dan penilaian saya terhadap karya mereka yang bersifat akademik dan kreatif.  Seperti yang saya sering tegaskan, yang berhak mempertahankan anda ialah karya anda, bukan siapa-siapa yang memandai-mandai menggunakan pendekatan kritikan hogwash untuk mempertahankan sesuatu yang tidak ada di dalam karya berkenaan. Inilah yang terjadi dalam kes Naratif Ogonshoto.  Sebenarnya inilah juga sikap Anwar Ridhwan sendiri yang disebutnya dengan jelas dalam wawancara yang disiarkan dalam Dewan Sastera.

Kalau kita lihat di Indonesia, kita akan dapat lihat dengan jelas satu perkara. Negara itu disatukan oleh satu bahasa, iaitu bahasa Indonesia. Tidak kira dari daerah mana pun anda datang, dari keturunan mana pun asal usul anda, apabila bercakap, mereka menggunakan bahasa Indonesia yang teratur, yang fasih, yang standard. Di Malaysia tidak begitu. Orang Melayu yang jadi Wakil Rakyat di Dewan Rakyat pun tidak fasih bahasa Melayunya, apatah lagi yang bukan Melayu. Terdapat  sikap yang amat jelas bahawa mereka ini cukup kuat anti-bahasa. Ahli politik sebenarnya tidak secerdik yang kita harapkan, tetapi mereka sangat pintar memainkan emosi pengikut dan pengundi dengan menakutkan mereka bahawa sesuatu yang tidak baik akan berlaku jika kuasa politik yang ada pada mereka  sekarang tergugat. Mesti selalu ada dua pertiga, kerana itulah saja caranya mereka boleh berbuat  apa saja yang mereka mahu. Tetapi tanpa suara dua pertiga itu pun mereka masih boleh menekankan kemahuan mereka dengan mencipta Kerajaan Kedua yang sangat kuat kuasa ekonominya, dan kuasa inilah yang membantu kuasa politik itu sendiri. Inilah kelebihan novel pemikiran Aligupit, kerana inilah aspek yang diwacanakan yang tidak dapat difahami oleh para sarjana dan pengkritik sastera. Mereka sibuk sambil berebut-rebut menyanjung novel picisan seperti Naratif Ogonshoto dengan segala istilah palsu yang tidak dapat mereka pertahankan apabila dicabar; mereka tidak berminat, kerana kerendahan kemampuan intelek mereka, untuk membicarakan aspek kreatif yang diberikan oleh Hikayat Buyung Lurus dan Aligupit; mereka menjadi bisu sepenuhnya bila dicabar supaya berbicara tentang Pujangga Melayu sebagai novel mini ensiklopedia dengan memberi alasan Pujangga Melayu bukan karya sastera dan tidak dapat diterima sebagai karya kreatif kerana bercampur aduk antara cerita dengan wacana. Tidakkah ini suatu kesimpulan yang paling tidak siuman? Biarlah saya tidak jelaskan kepada anda mengapa saya membuat kesimpulan itu, untuk memberi anda peluang menentukan sejauh mana kefahaman anda tentang konsep kreatif dalam penulisan karya kreatif. Apakah makna kreativiti bagi Anwar Ridhwan yang menulis Naratif Ogonshoto?  Satu soalan yang menarik dan mencabar keupayaan intelektual anda;  selepas itu anda akan faham mengapa saya mengkritik Naratif Ogonshoto.

Dengan gaya yang berhati-hati untuk memberi keadilan kepada pihak yang terlibat, Nur Fatiha Fadila memberikan pandangan kritisnya yang berimbang tentang novel-novel Anwar Ridhwan. Saya petik beberapa pandangan kritis beliau yang menarik.


Bahagian 3: Kesimpulan Kritis

Tidak siuman…  Adakah ini suatu realiti dalam sastera Melayu? Sekiranya kita lihat keputusan yang diambil oleh para juri ketika memilih karya yang akan mereka angkat menjuarai sesuatu genre dan sebagainya, kita akan melihat betapa jelasnya sifat tidak siuman itu dilakukan para juri ini. Nur Fatiha Fadila telah membayangkan perkara ini ketika mengulas pendapat para juri ketika menilai Naratif Ogonshoto, yang menyatakan sesuatu yang tidak terdapat di dalam novel itu. Lantas, dari mana mereka dapat semua perkara aneh yang mereka sebut dalam laporan mereka? Bagi saya para juri ini adalah pemain sandiwara hogwash yang cukup hebat.

Mestikah sasterawan bersikap tidak siuman untuk menulis karya besar mereka?  Barangkali lebih penting daripada pertanyaan itu ialah pertanyaan, “Perlukah para sarjana dan pengkritik sastera menerima sikap tidak siuman itu sebagai kelainan yang perlu ada?”  

Kita perlu adakan lebih banyak dialog. Era monolog sudah berlalu, tetapi nampaknya PENA dan GAPENA, dengan sokongan ITBM dan DBP, masih kekalkan monolog sesama anggota Mutual Admiration Club. Ini bukan lagi tidak sihat, tetapi biadab dan anti-ilmu, sikap lembu kenyang yang merugikan.  Mesti banyak dialog, mesti berani menentang PB secara terang.  Di Malaysia sekarang yang boleh dipanggil teori sastera hanya Gagasan Persuratan Baru. Mengapa? Itu anda kena fikir sendiri apa yang dimaksudkan dengan teori. Yang dikatakan teori sastera tempatan itu sekarang bukan teori, tidak ada syarat-syarat yang perlu ada pada sesebuah teori tempatan yang disenaraikan oleh pembicara yang bercakap tentang teori tempatan. Anda carilah sendiri syarat-syarat itu, malah saya sudah pun menulis tentangnya  dalam dua tiga entri yang anda boleh cari sendiri jika mahu. Sekarang sarjana tidak boleh lagi naif dan bangga menayangkan kejahilan sendiri.  Pembaca juga mesti cerdik dan tidak boleh naif, menerima saja segala jenis bullshit yang disogokkan oleh para sarjana ciritan ini. Hegemoni bullshit yang disokong oleh ITBM dan DBP, yang juga diterima oleh Kementerian Pelajaran, menjadi punca lemahnya pengetahuan tentang sastera dan kreativiti. Lebih buruk lagi, hegemoni palsu ini mengangkat karya picisan untuk diajarkan kepada para pelajar, untuk memastikan mereka terus menjadi bodoh dan dengan itu terus menerima para sasterawan picisan. Kecelakaan intelektual begini sudah wajar dimusnahkan kerana inilah punca mundurnya pemikiran dalam sastera Melayu. Seperti yang dianalisis dan dinilai dengan saksama oleh Nur Fatiha Fadila dalam tesis beliau, kita sudah sepatutnya menolak dengan tuntas sebarang karya yang berlegar tentang kejahilan, kelemahan, dan kejahatan.

Tegas beliau: “Sejajar dengan paksi naratif yang berlegar soal kejahilan, kelemahan dan kejahatan manusia, dapatan kajian ini menjelaskan bahawa rata-rata novel yang dikaji menghadirkan watak-watak protagonis yang jahil, lemah dan jahat. Dalam konteks ini, cerita dalam novel-novel yang dikaji diterajui oleh protagonis yang terdiri daripada penglipur lara yang bergelut dengan satu demi satu nasib malang dan tragedi yang menimpa kehidupannya seperti watak Pak Hassan…” (hal. 192). Dalam konteks inilah, saya kira kesimpulan Nur Fatiha Fadila menegaskan “Anwar sendiri pernah menyeru  supaya karya-karya sastera Melayu termasuk karya-karyanya sendiri, dianalisis dengan menggunakan kerangka  analisis tempatan yang dianggap oleh beliau lebih dekat, relevan serta dapat berlaku adil, berbanding dengan kerangka-kerangka analisis Barat.” (hal. 192). Menurut hemat saya, para penyanjung Anwar Ridhwan sendiri tidak bersetuju dengan beliau, kerana mereka dapati karya Anwar lebih menyerlah jika dianalisis dan dinilai dari perspektif teori sastera Barat. Ini telah dibuktikan, antara lain, oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Awang Azman. Nur Fatiha Fadila yang menggunakan kerangka PB mendapat kesimpulan yang berbeza, seperti penegasan beliau ini, “…kajian ini mendapati bahawa apa yang diperagakan oleh beberapa sarjana serta pengkaji sastera sebagai ‘wacana’, ‘pemikiran’, ‘falsafah’, ‘ideologi’ atau ‘idea-idea intelektual’, pada dasarnya hanya merujuk kepada manifestasi-manifestasi cerita yang lahir  daripada  tindak-tanduk, dan ekspresi fizikal serta emosi watak-watak.  Dengan kata lain, ruang naratif novel-novel yang dikaji  hanya sarat diisi dengan isian cerita, dan bukannya isian wacana. Ini sekali gus menjelaskan kedudukan novel-novel Anwar yang dikaji, yang tidak memperlihatkan ciri-ciri yang jelas atau kecenderungan yang ketara, yang dapat menghadirkannya sebagai sebuah ‘novel intelektual’. Dengan itu, satu kesimpulan penting yang lahir daripada kajian ini adalah tiadanya aspek intelektualisme dalam novel-novel Anwar yang dikaji.” 

Kesimpulan ini penting kerana amat bertentangan dengan hasil kajian yang berdasarkan pendekatan teori sastera Barat. Satu persoalan penting yang perlu dijawab oleh para pengkaji yang menggunakan teori sastera Barat ialah, “Mengapa unsur intelektualisme itu tidak dikesani sama seperti dapat dikesani jika menggunakan pendekatan PB?”  Pertanyaan ini akan membuat anda berasa gembira sekiranya anda penyokong teori sastera Barat, kerana jelas bagi anda, PB tidak tahu makna intelektualisme walaupun PB berasaskan konsep ilmu. Patutlah para sarjana ciritan ini dengan megah berkata, PB hanya mengarut, tidak ada kualiti intelektual yang boleh digunakan untuk menilai karya kreatif sastera Melayu. Inilah pandangan Mana Si Kana dan teman-teman beliau. Dengan itu, kata mereka, tertolaklah penilaian berasaskan PB kerana PB sendiri tidak ada kualiti akademik yang diperlukan dalam kritikan sastera. Kualiti akademik itu berada dalam tangan para sarjana ciritan yang menggunakan teori sastera Barat.

Keadaan kelam-kabut yang dibuat-buat ini senang sangat diselesaikan, jika cabaran saya disambut dengan berani dan bertanggungjawab. Anda ulas, kritik dan nilai Pujangga Melayu dari mana-mana teori yang anda mahu; tetapi kerana Naratif Ogonshoto telah dinilai oleh teori Barat, maka kali ini anda nilai pula dari perspektif PB. Kalau menurut kajian Nur Fatiha Fadila, tidak terdapat unsur intelektualisme itu dalam Naratif Ogonshoto, oleh itu kajian beliau tidak boleh dipakai. Semudah itukah kesimpulan anda? Kalau betul kesimpulan anda, adakah ini bermakna anda telah berjaya membuktikan PB hanya omong kosong, atau yang omong kosong itu anda sendiri? Apa salahnya jika kita adakan perdebatan untuk memastikan anda betul dan teori sastera Barat itulah yang wajib dipakai, bukan PB.  Saya amat hairan mengapa anda masih takut  untuk menyahut cabaran picisan ini!  Sehingga anda membuktikan sebaliknya, saya tetap berpegang PB adalah satu-satunya “teori” tempatan yang boleh menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh Nur Fatiha Fadila dalam tesis sarjana beliau. Sarjana tidak boleh menjadi bacul ketika mereka diperlukan menjadi berani untuk mempertahankan kedudukan akademik mereka.

Dalam entri bertarikh 28/10/2014, “Keunggulan Yang Cacat”, saya menegaskan kelemahan Anwar Ridhwan yang paling menonjol ialah dalam perwatakan. Nur Fariha Fadila Abu Bakar dalam tesis beliau ketika menganalisis aspek perwatakan ini membuat kesimpulan yang sama. Antara lain katanya, “Analisis ini mendapati bahawa di sebalik perakuan Anwar itu (i.e. tentang nilai-nilai Islam dalam novel ini),  novel Naratif Ogonshoto jelas tidak memperagakan nilai-nilai yang dapat dikaitkan dengan Islam, terutamanya dari aspek pemeragaan watak-watak dan cerita-cerita yang mengisi ruang naratif novel ini. Ini terutamanya ketara apabila novel mengisi ruang naratifnya dengan watak protagonis tanpa pegangan agama yang jelas. Ketiadaan pegangan agama yang jelas ini memungkinkan protagonis untuk melakukan kejahatan tanpa diburu oleh rasa bersalah. … Ini termasuklah kegemarannya berfoya-foya dan melanggan pelacur.  Penampilan  protagonis yang sedemikian menyebabkan novel sarat dengan manifestasi-manifestasi kejahatan dan kemungkaran di sisi Islam.” (hal. 176-177).

Ini pula kesimpulan saya: “Anwar Ridhwan mungkin ingin menjadikan Pak Hassan seorang yang patuh agama, tetapi Pak Hassan sendiri menolaknya. Akhirnya Anwar Ridhwan tunduk kepada kemahuan Pak Hassan, lalu menjadikan watak ini sebagai manusia yang sentiasa dirundung malang, menghadapi musibah dan mala petaka satu demi satu hingga akhirnya mati dalam pencarian sejenis pokok ajaib yang diyakininya dapat menyembuhkan kemurungan dalam hidupnya. Mulai dari saat kemenangan Pak Hassan mempengaruhi hidup Anwar Ridhwan, maka sasterawan ini menulis semua novelnya dalam imej Pak Hassan, dengan itu semua novel beliau adalah pancaran hidup seorang penglipur lara moden yang amat gemar bercerita, dan bercerita dengan penuh sensasi. Semua novel Anwar Ridhwan mempunyai corak yang sama, semuanya diwarnai unsur sensasi, sebagai warisan kukuh daripada watak Pak Hassan, watak yang dicipta oleh Anwar Ridhwan, yang akhirnya mencipta watak penglipur lara moden dalam diri Anwar Ridhwan sendiri. Semua novel Anwar Ridhwan mencerminkan pengaruh Pak Hassan ini, yang semuanya penuh sensasi  dan diceritakan sebagai karya penglipur lara yang dicorakkan oleh watak Pak Hassan. Adakah ini penjelmaan “falsafah kesementaraan” yang cuba disensasikan oleh Shahnon Ahmad, yang menerima karya Anwar Ridhwan sebagai karya intelektual penuh dengan wacana ilmu? Dalam pemerhatian saya, Anwar Ridhwan itulah yang terpengaruh dengan cara bercerita Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Lahuma dan Pak Hassan adalah tokoh besar dalam sastera Melayu moden, yang amat teliti dan  penuh ghairah diberi wajah watak manusia Melayu yang bodoh dan tidak mampu menggunakan akal untuk keluar dari kesulitan hidup mereka. Kedua-duanya adalah wajah buruk manusia Melayu yang lemah, diciptakan oleh dua orang penulis yang memang pandai menulis, tetapi tidak mempunyai kekuatan intelektual yang cukup untuk menjadi pengarang yang berwibawa yang akan membawa perubahan dalam seni mengarang.” (Keunggulan Yang Cacat, 28/10/2014). Entri ini perlu anda baca dengan kritis, kerana di dalamnya saya bincang beberapa aspek penting tentang sastera hogwash ini.


Kesimpulan Kritis

Saya tidak dapat pastikan berapa orang di antara pembaca blog ini yang terkesan dalam sikap yang serius dan tegas, saya sebenarnya sering kali bergurau dengan pembaca saya dengan jenaka yang agak halus (yakni, maknanya berlapis-lapis) sehingga mereka tidak membacanya sebagai gurauan (joke) dan sekali gus penegasan yang serius. Siapa di antara anda yang bertanya-tanya mengapa dengan tiba-tiba saya perkenalkan istilah hogwash, padahal saya sudah mempopularkan pandirisme, idle talk, bullshit dan sebagainya. Itulah caranya seorang penulis kreatif menarik perhatian pembacanya untuk berfikir. Jika anda baca Jejak Warisan anda akan bertemu episod Awang bergurau dengan adik-adiknya dengan memberi mereka teka-teki. Kata Awang, beri jawapan yang cerdik, bukan yang betul. Anda bacalah sendiri dalam Pujangga Melayu di bawah bab Jejak Warisan.  Tujuan teka-teki itu untuk membuat anda berfikir, mengapa kita terlalu terikat dengan tanda-tanda, misalnya tolak, sampur, darab, bahagi. Waktu mana tanda-tanda itu penting, waktu mana pula kita boleh permainkan tanda-tanda itu. Misalnya 1+1 jadi 11, bukan 2, bila kita buang tanda campur itu. Itulah realiti hidup, sedangkan jawapan yang betul dari segi ilmu kira-kira tidak semestinya membantu kita memahami rahsia kehidupan.  Dalam “Rumah Impian Polan Cupan” (teks asal telah dipinda oleh penerbit, misalnya istilah AI  dibuang) adalah sebuah karya serius yang diliputi dengan kelucuan intelektual. Anda baca lagi dan carilah bagaimana kelucuan itu diselit dalam cerita pendek itu. Kalau anda perasan, hampir semua cerita pendek dalam Balai Maqamat mempunyai aspek kelucuan serius itu. Tidak ramai pembaca yang dapat menekanya, kerana mereka terlalu serius atau lebih tepat agak naif. Tetapi jika anda bijak, dan mempunyai unsur humor, apabila anda bertemu dengan humor dalam Balai Maqamat, mungkin anda akan bergurau secara humor sambil berkata, “Celaka mu. Kau kenakan aku ya?”  Memang saya sengaja memasukkannya untuk “mengenakan” pembaca saya. Itulah gaya seorang genius. Jangan melenting dulu! Saya tidak berkata saya seorang genius, saya tidak perlu pun  menjadi genius untuk menulis karya yang cerdik. Saya hanya berkata itulah gaya seorang genius. Lihat contoh ini daripada  Einstein: Two things are infinite: the universe and human stupidity; and I'm not sure about the universe.” Satu lagi: “If you can't explain it to a six year old, you don't understand it yourself.” Ada satu mengenai ikan yang tidak boleh memanjat pokok kelapa, oleh itu bodohlah jika ada orang membandingkan kebolehan monyet dengan ikan.  Saya suka dengan kata-kata Einstein yang pertama itu, yang cukup banyak kita temui dalam sastera Melayu.  Kalau anda seorang pembaca yang bijak, dan mempunyai sense of humor seorang genius, anda akan dapati banyak humor seperti dalam Balai Maqamat.  Saya minta anda tunjukkan saya satu contoh saja yang anda dapat dalam Naratif Ogonshoto. Yang kita temui barangkali jenis lawak yang kasar tidak bersopan, bukan humor. Baca komen saya tentang novel Kawin-kawin jika anda mahu tahu apa makna humor dan bezanya dengan wit.

Anwar mengaku karyanya mencerminkan unsur Islam, Umar Junus menegaskan  ada imbasan kisah Nabi Nuh a.s., juga Mawar Shafei mengaku Anwar Ridhwan menggunakan kisah banjir besar itu untuk memperkuatkan makna dalam novelnya. Presiden yang dikatakan zalim sebenarnya dalam konteks intelektualisme Anwar Ridhwan  menggambarkan tokoh pemimpin Islam yang berani dan tegas menentang kolonialisme Barat untuk membangunkan kepulauan Ogonshoto. Itulah nilai kepemimpinan Islam yang ditonjolkan dalam novel agung ini.  Walaupun saya menolak bacaan ini sebagai karut (hogwash), tetapi itulah bacaan para sarjana sastera dan pengkritik sastera yang amat kagum dengan keupayaan intelektual Anwar Ridhwan memberikan pendapatnya yang berani tentang nilai kepemimpinan Islam yang hanya boleh diketahui sesudah mencarinya di lapisan makna yang tersembunyi begitu mendalam jauh di lubuk   retorik a la Ogonshoto ciptaan Anwar Ridhwan yang berjaya memukau seluruh sarjana sastera Melayu. Saya pakai istilah hogwash, yang mungkin ditentang oleh pengikut Naratif Ogonshoto.  Mungkin istilah ini tidak dapat memukau daya intelek para sarjana sastera, tetapi itulah gambaran sebenar karya agung ini. (Catatan: Jika anda masih ingat, Panel Anugerah Sastera Negara, dan Anwar Ridhwan sendiri, sangat kagum dengan cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” kerana di situ dimasukkan episod perzinaan yang hukumnya terdapat dalam perundangan Islam, oleh itu cerita pendek ini adalah berunsur nilai-nilai  Islam!).

Kejayaan Anwar Ridhwan terbesar ialah kebolehannya memukau semua sarjana (ciritan) dan pengkritik (cetek meraba-raba) untuk memilih Naratif Ogonshoto sebagai novel terbesar Malaysia. Apakah keistimewaan novel ini? Atau, pertanyaan yang lebih tepat: Adakah pukauan ini membuktikan kualiti sebenar para sarjana dan pengkritik sastera?  Pada mulanya karya ini diberi kedudukan sebagai kumpulan cerita pendek, dan mendapat Hadiah Sastera Kebangsaan 2001-2002. Selepas itu, dengan tidak semena-mena, diubah kedudukannya sebagai sebuah novel dan dengan kedudukan itu menerima banyak hadiah peringkat kebangsaan dan antara-bangsa. Mengapa hal ini terjadi? Inilah bukti betapa kukuhnya kritikan jenis hogwash yang memberi corak penilaian sastera dan ukuran yang digunakan. Ini juga membuktikan para sarjana dan sasterawan terumbang ambing dalam keadaan cetek meraba-raba setelah mereka menolak konsep ilmu yang benar. Nur Fatiha Fadila Abu Bakar telah memberi kata putus yang tidak dapat disangsikan lagi dalam penilaiannya yang dihuraikannya dengan penuh kesempurnaan akademik dalam tesis beliau,  “Intelektualisme Dalam Lima Novel Anwar Ridhwan Dari Sudut Persuratan Baru.”   Beliau menyalin satu pengakuan Anwar Ridhwan mempertahankan kedudukan Islam dalam karya kreatifnya seperti berikut:

“ Manusia dalam novel pertama saya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman adalah watak yang berpaksi dan berputar pada agama dan budaya yang turun temurun. Sungguh pun kehidupan mereka sukar dan ditentukan oleh peredaran kala, mereka tidak mengingkari hukum-hukum agama. Mereka meneruskan kehidupan dalam suatu tatacara budaya yang dipunyai bersama.”  Kutipan ini diambil daripada buku beliau, Jati Diri Pasca Asas 50 (DBP 1999, hal. 17)

Inilah kesimpulan Nur Fatiha Fadila terhadap penegasan Anwar Ridhwan di atas: “Adalah jelas bahawa baik daripada persepsi, mahu pun paparan tingkah lakunya, protagonis novel ini tidak menampilkan ciri-ciri yang dapat mencerminkan ajaran Islam. Dengan kedudukannya sebagai protagonis yang menerajui cerita, paparan persepsi serta tingkah laku watak yang sedemikian menjadikan Islam tidak tercermin dengan jelas dan adil dalam novel. Kesimpulan ini jelas bertentangan dengan perakuan Anwar sendiri yang menegaskan  bahawa Islam menjadi agama yang melingkungi kehidupan watak-watak dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, seperti yang diakui sendiri oleh Anwar.” (hal. 140).

Yang menarik dalam kutipan ini ialah kedudukan Naratif Ogonshoto yang ditulis selepas buku itu diterbitkan. Oleh itu, kesedaran tentang Islam nampaknya sudah ada pada  sasterawan besar ini, yang sepatutnya kelihatan dalam Naratif Ogonshoto. Sukar hendak difahami mengapa dia memilih untuk membohongi kita semua dengan citra Islamnya itu. Tentu saja kita perlukan penjelasan, sama ada daripada beliau sendiri atau dari Dr. Mohamad Salleh Rahamad dan Dr. Awang Pawi.  Saya yakin mereka tidak akan melakukannya kerana mereka tidak mempunyai hujah sama sekali.  Penjelasan ini penting kerana novel agung ini sudah dijadikan teks di sekolah-sekolah. Kita tidak boleh membohongi para pelajar dan guru sastera mereka. Kalau pembohongan diteruskan, memang mereka ini betul-betul tidak siuman dan tidak boleh dipercayai.

Sesiapa juga yang tidak menerima dapatan Nur Fatiha Fadila dalam tesisnya, boleh melakukan dua perkara. Pertama menolak Gagasan Persuratan Baru sebagai kaedah yang selamat dan tepat dalam menganalisis dan menilai karya kreatif; atau kedua, menolak tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar sebagai tidak memenuhi  kesempurnaan akademik sebagai sebuah kajian ilmiah yang dilaksanakan di Universiti Putera Malaysia, 2014.  Inilah dilema yang mengasyikkan seorang pemikir. Mana satu pun yang anda pilih, atau kedua-duanya, anda tetap bergelumang dalam lumpur pandirisme.
Kata Penyudah

Kes Naratif Ogonshoto memberi anda peluang untuk memahami mengapa kita perlukan Gagasan Persuratan Baru untuk menghadapi masalah penilaian dalam kritikan sastera kita. Ini juga memberi kita kemungkinan baru untuk mewujudkan genre karya persuratan sebagai warisan sah dari perkembangan persuratan Melayu yang telah melahirkan para cendekiawan dan ulama yang menulis karya mereka berasaskan konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh al-Quran. Kita tidak menolak karya sastera.  Kita hanya menempatkan  karya sastera itu pada tempat yang layak baginya. Mengenal kedudukan ini adalah maksud keadilan, yakni tahu meletakkan sesuatu sesuai dengan tempat sebenar kedudukannya. Dan ini memerlukan ilmu. Di sinilah konsep taklif itu penting menjadi tapak dan panduan dalam penulisan kreatif. Itulah keputusan yang paling baik bagi para penulis yang ingin memberi sumbangan yang benar-benar bermakna kepada bangsanya.

Jika kita meneliti beberapa kesimpulan penting Nur Fatiha Fadila Abu Bakar  dalam tesis beliau, dan membaca dengan kritis makalah Anwar Ridhwan dalam Dewan Sastera  (Februari 2012), bertajuk “Mempersenda Tuhan?”,  maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa beliau telah memasukkan Naratif Ogonshoto ke dalam kumpulan karya yang “mempersenda Tuhan”, dengan itu layak dimasukkan ke dalam keranda menunggu untuk dibuang ke dalam Laut China Selatan.  Inilah keputusan yang paling siuman.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9/9/2017.

No comments:

Post a Comment