Tuesday, September 26, 2017

MENGHADAPI CABARAN YANG SUKAR



Mengapa Novel Teragung Malaysia Sangat Pelik?

Yang dimaksudkan novel teragung itu ialah Naratif Ogonshoto, oleh sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.  Yang memperakukan novel ini sebagai novel teragung sepanjang zaman ialah para sarjana yang menulis atau mengupas novel ini. Nama-nama mereka disenaraikan dalam tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar, “Intelektualisme Dalam Lima Novel Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan Baru” (UPM 2014). Anda boleh rujuk di sana jika anda hendak tahu siapa mereka. Prof. Solehah Ishak yang menterjemahkan novel ini ke dalam bahasa Inggeris memberi pengakuan yang sama seperti para sarjana itu.  Kesimpulannya, novel ini mestilah sangat hebat dan layak diberi jolokan sebagai novel terbaik sastera Melayu sepanjang zaman, yang tidak mungkin dapat diatasi oleh sesiapa pun pada waktu ini dan akan datang. Kesimpulan ini diterima oleh para sarjana ini, malah merekalah yang memberi pujian tinggi itu,  walaupun saya sendiri menganggapnya sebagai satu kesimpulan yang tidak siuman. Maksud tidak siuman di sini ialah kesimpulan itu tidak berasaskan ukuran yang jelas yang boleh diukur dan diuji kesahihannya. Tidak seorang pun di antara sarjana yang memberi pujian tinggi itu menjelaskan perkara ini, kecuali hanya berkata secara rambang dan kabur bahawa novel ini mempunyai makna yang berlapis-lapis. Tetapi tidak seorang pun memberikan contoh apa yang mereka maksudkan dengan makna yang berlapis-lapis itu dalam tulisan mereka. Saya namakan ini sebagai kritikan jenis hogwash, yang anda boleh dapatkan maknanya dalam kamus bahasa Inggeris, rujukan yang amat mudah dan senang.

Apakah unsur yang menjadikan novel ini sangat pelik dan tidak masuk akal? Novel ini mempunyai tiga unsur penting yang menjadi asasnya. Pertama sensasi yang berlebihan. Kedua sifat sadisme yang amat memeranjatkan manusia yang mempunyai akal sihat. Ketiga, keseluruhan novel ini menyerlahkan faham nihilisme yang menolak semua nilai murni manusia beragama.  Ketiga-tiga aspek ini telah dibicarakan dengan jelas dalam beberapa entri blog ini.  Yang masih menjadi pertanyaan ialah mengapa sarjana dan pengkritik sastera Melayu menganggap novel ini sangat bermutu tinggi. Mereka tidak memberikan penjelasan sedikit pun, hanya meletakkan pujian yang tidak diimbangi dengan analisis dan hujah yang berasaskan ukuran yang boleh dipastikan kesahihannya. Mengapa mereka mengelak dari memberi ukuran itu sukar hendak ditentukan, melainkan andaian umum  bahawa mereka  sebenarnya telah disihir oleh puaka Naratif Ogonshoto yang memuliakan dua orang resi. Satu resi sang sasterawan sendiri yang menjadikan novel ini sebuah mantra dengan mengemukakan cerita yang penuh dengan unsur penglipur lara. Satu lagi resi yang menjadi watak dalam novel ini yang memberi ramalan sesuatu yang akan berlaku, seolah-olah seperti dibisikkan oleh Sang Iblis untuk membuat ramalan berasaskan tanda-tanda yang direka-reka, yang dijadikan realiti magis oleh Sang Resi asal, pengarang novel ini.  Akhirnya muncul resi sebenar di akhir cerita, bernama Noor yang berasal dari Sungai Besar, yang di dalam novel disebut Kali Besar.  Kali bahasa Sanskrit (Jawa, terpakai di Indonesia). Sungai dipakai oleh orang Melayu. Siapakah Si Noor ini? Dialah watak sebenar, dan terpenting dalam novel ini. Istimewanya watak ini ialah kerana cerita yang diselerakkan dalam novel ini adalah angan-angan beliau sebagai seorang gila, atau paling baik seorang yang tidak siuman. Saya menunggu para sarjana dan pengkritik sastera menafikan tafsiran ini, yang saya lakukan dengan senang hati untuk membuktikan novel ini mempunyai makna yang berlapis-lapis, dan salah satunya ialah perihal orang gila yang menceritakan kisah sensasi, sadis, dan cukup kaya dengan usur-unsur nihilisme. Pencerita ini tenggelam dalam dunia syirik yang amat jelas diilhamkan oleh Iblis, yang tidak disebut, tetapi memakai nama resi yang kata-katanya berlapis-lapis maknanya. Tafsiran ini tepat, kerana inilah salah satu makna yang berlapis-lapis yang disebut oleh Anwar Ridhwan dan disokong oleh sarjana yang memuji beliau. Sekali lagi, anda perlu tolak tafsiran saya dengan berkata yang berlapis-lapis itu tidak termasuk lapis yang saya temui. Apakah lapis-lapis makna yang hebat itu?  Tidak seorang pun sarjana yang membaca novel ini pasti. Tetapi mereka pasti mereka menerima kata-kata penulis novel ini sebagai suatu ciri yang penting. Apakah lapis-lapis itu tidak perlu diketahui, kerana novel ini amat berahsia dengan makna. Yang tahu maknanya hanya watak yang bernama Noor, orang gila yang tiba-tiba muncul di akhir cerita.

Bila kita rumuskan semua ini, kita akan dapati novel ini adalah sebuah novel picisan yang paling hebat dalam sastera Melayu, yang tidak dapat difahami oleh penulisnya dan para sarjana yang membacanya. Yang mengetahui kepalsuan novel ini hanya Gagasan Persuratan Baru. Barangkali di situlah kehebatan sebenar novel picisan agung ini.

Mengapa Pujangga Melayu Ditakuti?

Kesimpulan di atas terjawab dalam pertanyaan yang menjadi tajuk bahagian ini.  Pujangga Melayu dibenci dan ditakuti kerana apabila dua buah novel ini dibaca bersama, anda akan melihat kepalsuan para sarjana dan pengkritik sastera yang memuji Naratif Ogonshoto.  Anda juga akan melihat betapa karutnya novel yang diberi judul Naratif Ogonshoto itu, yang keseluruhannya bergantung pada nama-nama rekaan yang menarik imaginasi para sarjana dan pengkritik sastera yang masih lagi berada dalam dunia penglipur lara, yang kini mereka beri nama baru sebagai realisme magis.  Kalau mereka ini membaca Quran dan membaca tafsirannya, mereka akan dapati cerita tongkat Nabi Musa ‘a.s. yang dilemparkan menjadi ular sebenar, bukan realisme magis seperti yang dipercayai oleh para sarjana dan pengkritik sastera, tetapi ular sebenar yang muncul dari perintah Allah Ta’ala “kun, fayakun”. Jadi, maka jadilah. Yang menarik, Anwar Ridhwan sering menyebut Perintah Maha Agung ini (beliau ada menulis tentang ini dalam novelnya Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, lihat perbahasan Nur Fatiha Fadila tentang ini dalam tesis sarjananya, hlm. 138), tanpa mengetahui maknanya, oleh itu dipersendakan beliau seolah-olah beliau mempunyai kuasa itu ketika menulis novelnya.  Sekali lagi, kita perlukan penjelasan (daripada sesiapa sekali pun tak mengapa).  Mengapa Anwar Ridhwan bermuka-muka menyebut Perintah Maha  Agung ini dan dalam konteks yang bagaimana perlukan penjelasan, kerana jelas sekali beliau ingin membuktikan karyanya mengandungi unsur Islam!!  Kalau betul, bukan begitu caranya. Kalau tidak betul, anda perlu memberi penjelasan yang betul. Karya sastera yang murni tidak boleh mengandungi unsur kekeliruan yang boleh membawa pembaca yang tidak cermat dan jahil ke jurang syirik, menjadikan manusia sebagai asas nilai.  Lebih celaka lagi (bahasa Inggeris, disaster) apabila yang salah itu dijadikan hujah memuji sesebuah karya, seperti yang dilakukan terhadap Naratif Ogonshoto.  Untuk makluman, yang menyebut “kun fa yakun” (seperti tertulis dalam novel Hari2 Terakhir Seorang Seniman) disebut oleh Pak Hassan, seorang “seniman” paling bodoh dan keliru.

Apa Kesudahannya?

Tiga pertanyaan yang belum lagi diberi jawapan yang pasti dan tepat. Sehingga diberi penjelasan dan analisis yang betul-betul akademik, saya masih terima kedudukan Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya picisan yang “mempersenda Tuhan” seperti yang diakui oleh Anwar Ridhwan. (Rujuk penjelasan beliau dalam tulisannya di Dewan Sastera, Februari 2011). Yang kita sukar hendak faham ialah, mengapa sasterawan agung ini sanggup “mempersenda Tuhan” untuk menulis novel agungnya yang tiada tandingannya sepanjang zaman.  Sukar bagi beliau memberi penjelasan, kerana beliau masih beranggapan novel agungnya itu adalah  sebuah karya intelektual yang mengandungi nilai-nilai Islam. Walaupun penegasan beliau telah ditolak oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau, namun beliau mendapat dukungan kuat daripada beberapa sarjana hebat (kerana mereka semuanya telah diberi hadiah berprestij untuk karya akademik mereka) yang tetap mempertahankan karya beliau sebagai yang terbaik pernah ditulis dalam sastera Melayu, mengatasi novel mini ensiklopedia Pujangga Melayu yang mereka anggap bukan novel tetapi hanya sejenis rangkaian makalah yang dijadikan novel.  Oleh itu, menurut mereka, Pujangga Melayu bukanlah sebuah novel seperti yang difahami dan dipraktikkan seluruh dunia sejak beratus tahun yang lalu.  Kata mereka lagi, yang disebut novel persuratan itu tidak pernah wujud dan tidak akan wujud, kecuali dalam angan-angan seseorang yang sudah gagal sebagai pengkritik sastera dan gagal juga dalam penulisan kreatif, yang kononnya menulis novel persuratan untuk merendahkan sasterawan negara.  Walaupun kesimpulan ini amat lucu dan tidak tepat, namun kesimpulan ini memberi isyarat bahawa Gagasan Persuratan Baru yang mendukung Pujangga Melayu adalah sesuatu yang asing, dan tidak logik dalam sastera kerana terlalu mementingkan ilmu, dengan mengetepikan keterampilan kreatif seseorang sasterawan.  Semua ini tidak menjawab kontradiksi yang kita hadapi. Kalau Anwar Ridhwan sendiri memperakukan novelnya Naratif Ogonshoto itu sebagai sebuah novel intelektual yang bernilai Islam, maka bagaimana Pujangga Melayu yang totok ditulis berasaskan konsep ilmu yang benar tidak boleh diterima sebagai sebuah karya kreatif? Kesimpulan ini memang tidak siuman, oleh itu perlukan penjelasan.  Yang menjadi persoalan ialah, mengapa para sarjana yang menolak Pujangga Melayu tidak mahu menjelaskan bagaimana Naratif Ogonshoto mereka angkat sebagai sebuah karya intelektual yang mencerminkan nilai-nilai Islam, padahal semua watak dan perilaku mereka dalam novel itu hanya layak dilakukan oleh syaitan atau pengikut syaitan, bukan layak dilakukan oleh manusia yang percayakan Tuhan dan mempunyai nilai-nilai kerohanian yang difahami dalam Islam. Ini semua memerlukan penjelasan.  Berapa lama lagi kita mesti tunggu untuk mendapat penjelasan itu?

Apa kesudahannya?  Kesudahannya amat jelas betapa para sasterawan ini sedang merayau-rayau di lembah berlumpur untuk mencari ilham, lalu menulis karya picisan yang penuh dengan lumpur hogwash.  Inilah yang anda dapat dalam Naratif Ogonshoto.  Kalau begitu, sebuah karya yang penuh dengan lumpur hogwash itu boleh disetarafkan dengan Pujangga Melayu?  Mereka perlu menjawab pertanyaan ini, jika mereka benar-benar sarjana atau pengkritik sastera yang berwibawa.


Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 26/9/2017.

No comments:

Post a Comment