Thursday, September 14, 2017

PERPUSTAKAN DI RAJA SETIAP NEGERI. PERPUSTAKAAN AGONG DI KL



Semua persatuan penulis, dengan diketuai oleh GAPENA, adakan sidang khas untuk dihadiri para budayawan dan ahli akademik semua jurusan untuk bincang projek besar mengadakan di setiap negeri Perpustakaan di Raja di suatu kawasan terpilih. Lengkap dengan Dewan, tempat penulis bercuti untuk menulis dengan tempat penginapan khas untuk kira-kira 10-15 orang. Tempat makan. Tempat riadah. Dan lain-lain keperluan. Lengkap dengan perpustakaan yang mengisi semua jenis ilmu, terutama mengenai falsafah dan pemikiran dan tokoh-tokoh pemikir dunia, dengan penekanan khas kepada tamadun Islam dan lain-lain tamadun besar dunia.  Kita mesti membina budaya ilmu yang kukuh dan terancang. Di peringkat pusat, kita bina Perpustakaan Yang Dipertuan Agong. Pengisiannya sama dari segi konsep dengan Perpustakaan di Raja setiap negeri.

Satu pertiga Perpustakaan mengisi sejarah di raja tiap negeri dan kedudukan para ulama di istana. Di sini juga dikumpulkan tulisan para ulama itu. Kita mahu kembalikan ulama ke istana, ulama yang cintakan ilmu. (Sekarang ada “ulama” yang tak cintakan ilmu, tapi amat pandai bercakap, mengulang perkara yang sama. Terlalu cetek, seperti yang boleh kita lihat di TV.)  Ulama dan cendekiawan mempunyai kedudukan tinggi dalam tamadun kita, bukan penglipur lara atau penulis cerita  (yang sekarang popular dengan gelaran sasterawan).

Banyak projek bersifat intelektual (bukan sastera remehan saja) yang boleh dibuat di Perpustakaan di Raja ini. Misalnya, peranan Ilmu Hisab dan Nahu dalam pembangunan tamadun.  Ilmu Hisab dan Bahasa adalah teras pembinaan tamadun, bukan sastera.

Di Perpustakaan di Raja ini juga para pelajar diperkenalkan kepada aspek kebudayaan dan pemikiran di negaranya. Mereka harus kenal siapa tokoh ulama, cendekiawan dan tokoh kebudayaan mereka.  Dari semasa ke semasa kita jemput tokoh-tokoh tertentu yang mendalam ilmunya dalam bidang masing-masing untuk bercakap dalam subjek yang mereka kuasai dengan kukuh.

Di sini juga diadakan perbincangan ilmiah yang tersusun, dengan pakar dalam segala bidang dijemput untuk berbicara.

Ini hanya idea kasar. Bantahan anda dipersilakan supaya kita boleh perkemaskan lagi idea kasar ini.  Anda mesti membantah jika kita ingin membina yang terbaik untuk negara kita.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14/9/2017.

No comments:

Post a Comment