Tuesday, September 19, 2017

MENGEMBALIKAN MARUAH INTELEKTUAL SASTERA MELAYU: PERANAN NEGATIF SARJANA JENIS TENGGILING



Dari beberapa kritikan yang disiarkan dalam beberapa entri, sudah jelas sastera Melayu telah kehilangan maruah intelektualnya. Kecelakaan (dalam bahasa Inggeris,  disaster ) terbesar ialah dengan munculnya gelaran sasterawan negara yang diberikan kepada beberapa orang sasterawan yang dari segi kualiti karya mereka tidak layak diberi gelaran itu. Ini telah saya bahaskan dengan agak terperinci dalam banyak entri, sebagai contoh “Keunggulan Yang Cacatan” (28/10/2015) dan serangkaian tulisan dalam blog ini mulai Mei 2017 hingga sekarang. Seperti yang dibahaskan dalam entri yang lepas, perbuatan ini telah menghalang perkembangan intelektual dalam sastera dan persuratan.

Pelantikan beberapa orang para sasterawan sebagai sasterawan negara mulai tahun 1981 telah membawa padah yang paling serius dalam pengajaran sastera di Malaysia.  Karya picisan yang dihasilkan oleh para sasterawan negara ini dipilih menjadi teks sastera; terbaru ialah karya Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto,  sebuah karya yang oleh penulisnya sendiri dianggap sebagai karya yang “mempersenda Tuhan”.  Perbuatan ini sangat jelas dalam novel agung ini, apabila semua “agama” disetarafkan dan diberi kedudukan yang setara tanpa membezakan agama tauhid dengan agama syirik.  Mengapa Anwar Ridhwan memilih pendekatan ini dalam menulis novel agungnya ini dijelaskan oleh Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad kerana karya Anwar Ridhwan adalah sebuah karya yang menepati “teori kerancuan sastera” yang dicetuskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berasaskan penilaiannya terhadap karya agung ini. Unsur-unsur kerancuan yang jelas terdapat di dalam karya agung ini ialah penggunaan teknik sensasi yang berlebihan dan berleluasa, perwatakan yang memberi penekanan kepada perilaku sadis terhadap semua watak di dalam novel ini; penggunaan teknik sensasi sebagai teknik membina cerita, yang boleh kita kesan dan lihat dalam keseluruhan bab di dalam novel agung ini.  Semua ini adalah aspek yang disebut oleh Anwar Ridhwan sebagai “mempersenda Tuhan”. Antara perilaku yang menjijikkan, yang oleh Anwar Ridhwan dimaksudkan  untuk membangkitkan kesedaran kepada pembaca, ialah perilaku seperti membunuh, menipu, berbohong, yang dilakukan oleh semua watak dalam novel agung ini. Itulah wajah “mempersenda Tuhan” yang beliau maksudkan. Para sarjana seperti Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad tidak melihat perilaku menjijikkan ini sebagai contoh “mempersenda Tuhan”, malah inilah yang mereka sebut sebagai kelainan yang telah mengangkat novel ini ke taraf antara bangsa.  Penghujahan a la hogwash ini adalah tanda yang jelas peri hilangnya maruah intelektual dan maruah akademik di kalangan sarjana ciritan.     

 Dr. Mohamad Saleeh Rahamad lebih percayakan teori-teori sastera Barat daripada Gagasan Persuratan Baru yang diremehkannya sebagai mimpi seorang pengkritik yang tidak mempunyai  kedudukan dalam bidang akademik.  Inilah maksud idea hegemoni yang beliau lontarkan dalam makalahnya yang dimuat dalam buku ITBM 2014, Sastera Teras Negara Bangsa.    Masalahnya PB sudah bertapak kukuh dalam kritikan sastera, tidak lagi dapat diremehkan, apatah lagi oleh seorang sarjana yang ditugaskan untuk mengembangkan ilmu.  Sikap negatif seperti ini sepatutnya tidak wujud di kalangan sarjana. Yang perlu mereka serlahkan ialah sikap kritis mereka untuk membicarakan dengan kompeten sebuah gagasan besar yang boleh mencabar setiap teori Barat yang menjadi ikutan para sarjana sastera Malaysia.   Bahawa PB mampu mencabar setiap teori sastera Barat adalah satu penghormatan kepada perkembangan intelektual di Malaysia, terutama di kalangan para sarjana sastera. Inilah satu-satunya teori sastera yang berupaya mengembalikan maruah intelektual dalam kritikan sastera Malaysia. Sepatutnya keadaan ini tidak menakutkan para sarjana sastera Malaysia. Sepatutnya inilah cabaran yang mereka perlu hadapi secara akademik, bukan bersikap seperti tenggiling melingkarkan diri setiap kali ada cabaran.  Sarjana jenis tenggiling ini hanya akan merendahkan, malah menjatuhkan maruah akademik dalam bidang sastera.

Percubaan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad untuk menilai Naratif Ogonshoto dari perspektif teori beliau, “teori kerancuan sastera”,  hanya membuktikan kegagalan novel agung itu sebagai sebuah karya intelektual seperti yang didakwa oleh penulisnya, yang ditegaskannya dengan begitu yakin itulah novel intelektual berunsur Islam.  Dakwaan tanpa bukti tidak boleh dijadikan hujah, sekiranya unsur Islam itu tidak ada dan tidak kelihatan di dalam novel agung itu. Ini telah dibuktikan oleh Nur Fatiha Fadila Abu Bakar dalam tesis sarjana beliau (sudah dirujuk di dalam blog ini) yang menafikan dakwaan Anwar Ridhwan dan para penyokong beliau.  Perlukah novel agung ini berunsur intelektual dan berunsur Islam? Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah membuktikan dalam makalah beliau bahawa sebuah novel agung tidak perlu berunsur intelektual dan tidak perlu berunsur nilai-nilai Islam. Menurut beliau, sebuah novel adalah rangkaian cerita semata-mata.  Menurut sarjana ini, Naratif Ogonshoto muncul sebagai sebuah teks sastera rakyat moden yang dapat berdiri sebagai teks pascamoden multiwacana, strukturnya Sejarah Melayu, ceritanya bercorak cerita rakyat, pemikirannya bersifat political dimension, dengan itu mengeluarkannya daripada kelompok karya yang parokial, jumud, klise, dan mediocre. Dengan sifat-sifat itu, karya ini dapat dibariskan dalam jejeran sastera bertaraf dunia. (Semua kata-katanya saya salin tanpa tanda kutipan.)  Adakah pendapat yang dilontarkan beliau tepat dengan “watak sebenar” karya itu?  Tidak saja Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyemburkan pendapat yang mediocre; malah karya itu sendiri adalah mediocre.  Segala pujian kosong dan palsu dari semua sarjana yang memuji karya ini tidak dapat menyelamatkannya daripada sifat mediocre itu. 

Timbul persoalan besar yang perlu diberi penjelasan: Mengapa para sarjana sastera yang memuji karya ini berbohong kepada masyarakat dan kepada dunia akademik? Kontradiksi antara karya, penulisnya, dan pemujinya perlu diberi penjelasan akademik yang memuaskan. Sekiranya anda tidak melihat adanya kontradiksi itu, lebih baik anda diam. Sebenarnya inilah yang dilakukan oleh para pemuji palsu ini. Mereka bersikap “lembu kenyang” untuk tidak memberi reaksi akademik kepada cabaran yang dikemukakan oleh PB kepada mereka dan karya agung ini.  Tidak mungkin kita kembalikan maruah intelektual yang hilang itu jika inilah sikap mereka, yang tidak saja negatif, tetapi juga berakar tunjang sifat hasad yang penuh dengan unsur ‘iwajan.

Sekiranya anda menjadikan konsep ‘iwajan sebagai panduan dalam kegiatan intelektual anda, maka anda akan faham, dan mungkin kagum, bagaimana saya mendapat ilham untuk merumuskan PB dari peristiwa Ratu Balqis mengangkat pakaian baginda ketika memasuki istana Nabi Sulaiman ‘a.s.  Saya beruntung kerana mengenal tiga tradisi besar sebagai seorang pemikir Islam. Pertama tradisi persuratan Melayu; kedua tradisi Islam; ketiga tradisi Barat moden. Dalam usaha saya mencari satu rumusan, satu formula, yang boleh dijadikan panduan dalam penilaian akademik dan penulisan kreatif, supaya para penulis tahu dan sedar sebagai seorang pemikir mengapa dia perlu menulis sesebuah karya; dan para penilai pula tahu standard yang boleh digunakan untuk menentukan kualiti karya tadi; maka saya dipertemukan dengan kisah Ratus Balqis dan Nabi Sulaiman ‘a.s. ini.  Tetapi saya tidak mungkin dapat memahami pertemuan itu jika saya tidak terlebih dahulu melalui pembacaan dan kritikan terhadap teori Barat yang pada hakikatnya memberi atau menjadikan ilusi sebagai teras teori seni mereka. Apabila Ratu Balqis mengangkat kain baginda untuk mengelak daripada terkena air, kerana disangkanya baginda sedang berada di dalam kolam, baginda segera ditegur oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. bahawa itu bukan air, hanya kilatan batu marmar yang dihasilkan oleh tukang yang handal. Ketika itulah Ratu Balqis menemui erti kebenaran. Baginda menyembah matahari, tetapi tidak dapat melihat kebenaran; kini yang memberinya hakikat kebenaran ialah kaki baginda sendiri. Dan kaki itulah yang memberi saya ilham untuk merumuskan PB sebagai satu kaedah dalam penilaian dan penulisan kreatif.  Jika tidak kerana saya memahami terlebih dahulu konsep ilusi dalam falsafah seni Barat, saya mungkin tidak dapat membaca peristiwa ini. Maka dengan itu lahirlah konsep realiti semu dan realiti hakiki. Dan dari situ lahirlah Gagasan Persuratan Baru.  Dari situ pula lahir Pujangga Melayu, yang berlegar dalam kepala saya selama 20 tahun, tidak dapat ditulis kerana saya tidak pasti mengapa saya perlu menulis novel itu.

Setelah mengetahui asal usul PB, dan anda masih berdegil tidak mahu tunduk kepada kebenaran seperti yang dilakukan oleh Ratu Balqis, maka anda sebenarnya sedang menyembah matahari  dalam bentuk teori sastera Barat, yang menyilaukan penglihatan anda, dan ini kemudiannya membuat anda tersasar jauh kalau pun  tidak terus sesat dalam belantara ambiguiti teori Barat.  Inilah pengalaman resi sastera Melayu yang bernama Anwar Ridhwan; dan ini jugalah pengalaman resi sarjana sastera yang bernama  Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan teman-temannya para sarjana yang “menyembah” Naratif Ogonshoto. (Nota: Saya guna retorik sastera, sindiran dan tempelak sekali gus.)

Apa lagi yang anda mahu?  Semuanya sudah terjawab.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19/9/2017.

No comments:

Post a Comment