Catatan: Entri ini
menyimpulkan semua entri sejak 2010 hingga terkini. Walaupun kesimpulan ini
nampak panjang, tetapi tidaklah panjang sangat.
Kesimpulan ini akan membantu anda
memahami seluruh entri blog ini dan membuat agakan apakah tema utama blog ini.
Apakah yang
mendorong para sarjana, pengkritik sastera dan sasterawan bersikap ingkar ilmu? Saya melihat persoalan ini sebagai kesan
daripada pengaruh negatif teori sastera Barat yang tidak dikuasai dengan
mendalam oleh para sarjana ini.
Sepatutnya teori sastera Barat memberi kesan positif kepada para sarjana
ini, andainya mereka benar-benar memahaminya.
Banyak perkara yang boleh dipelajari daripada teori sastera Barat, jika
kita tahu menggunakannya. Sikap ingkar
ilmu merugikan sarjana sastera sendiri kerana mereka terpisah daripada khazanah
tamadun Islam dalam pelbagai disiplin.
Penyakit akademik ini boleh diatasi dengan membaca Imam al-Ghazali yang
dalam tulisannya banyak memberi panduan bagaimana ilmu yang difahami dan
dipraktikkan dalam Islam boleh dijadikan pendorong dalam memahami sumbangan
intelektual tamadun bukan Islam (secara khusus, tamadun Barat.) Satu masa dulu saya telah menyenaraikan
beberapa buah buku yang boleh
dimanfaatkan. Senarai itu saya ulang dalam entri terakhir tahun 2014. Kalau
tidak dihanyutkan banjir, rasanya masih ada. Anda boleh rujuk entri Disember
2014, yang kesemuanya wajar diulang baca.
Kesan
negatif sikap ingkar ilmu ini sangat besar, dan amat merugikan kita. Kerugian paling besar ialah apabila mereka
bersikap anti pembaharuan yang sebenar, yang berasaskan ilmu. Memahami konsep ilmu yang benar adalah wajib,
kerana hanya dari situ sahaja anda akan tahu makna tauhid, makna taklif, makna
syahadah, makna azan dan mengapa al-Quran diturunkan kepada semua umat manusia dan
kesannya mengenai semua makhluk.
Contoh mudah: jika anda sedang berperang, jangan bakar tanaman; jangan
bakar rumah, jangan rosakkan air. Dalam peperangan moden, semuanya dimusnahkan.
Dalam sastera moden pula, semuanya
dibenarkan; maka dari situ lahirlah karya yang memuja faham syirik
ditulis oleh orang Melayu yang beragama Islam; karya lucah yang juga ditulis
oleh penulis Islam yang mengaku dia
faham agama dan hormatkan al-Quran. Bukan sembarangan orang yang buat kerja
ini. Mereka diberi gelaran sasterawan negara. Inilah kecelakaan besar (dalam
bahasa Inggeris, disaster) yang “diwariskan” kepada masyarakat. Itulah kesan yang boleh kita lihat akibat
ingkar ilmu.
Tetapi
akibat terbesar ialah apabila orang ini menjadi angkuh dan hatinya kaya dengan
belerang hasad. Apa yang boleh kita lihat akibatnya? Mereka memuja teori
sastera Barat dan karya Barat; tetapi mereka remehkan cetusan pemikiran tokoh
mereka sendiri. Mereka tolak Gagasan
Persuratan Baru dan remehkan Pujangga
Melayu dengan mengangkat Naratif
Ogonshoto yang mengagungkan faham syirik sebagai asas karya itu.
Jangan-jangan mereka tidak tahu, atau remehkan konsep syirik walaupun mereka
mengaku Islam. Belum ada lagi para
penyanjung Naratif Ogonshoto tampil
menafikan novel agung itu berasaskan faham syirik. Kita mahu dengar bagaimana
mereka mengemukakan hujah bahawa kesimpulan ini tidak benar. Mereka mesti membersihkan Naratif Ogonshoto dari sebarang kutukan
sekiranya mereka benar-benar percaya novel itu adalah novel teragung dalam
sastera Melayu. Jika anda menggunakan ilmu sebagai asas penilaian, dari
perspektif mana novel agung itu diasaskan kepada konsep ilmu yang benar yang
menjadi pegangan orang Islam? Sekiranya
anda gagal membersihkan novel agung itu dari ciri-ciri syirik, kumpulkan semua
naskhah novel agung itu dan buang ke
dalam Sungai Kelang untuk menjadikan sungai itu lebih kotor lagi.
Sekarang
mungkin ada di antara anda yang menggigil marah atau menggigil takut dan malu
besar membuat kesilapan kerana terlalu “cerdik” sehingga tidak dapat mengesan
kesilapan itu akibat ingkar ilmu. Mana
satu pun pilihan anda, kewajipan anda sekarang ialah membetulkan kesimpulan ini
jika tafsirannya salah. Tunjukkan tafsiran yang benar, dengan mengemukakan
hujah dan bukti. Bawa hujah dan bukti anda, dan buktikan anda adalah sarjana
yang boleh dipercayai dan punya kewibawaan ilmiah yang tidak dapat digugat.
Walaupun
sarjana, pengkritik, dan sasterawan amat tidak senang dengan kemunculan Gagasan Persuratan Baru dan novel mini
ensiklopedia Pujangga Melayu, masa depan persuratan Melayu memihak kepada
PB, dengan karya sastera akan terus bekerjasama dengan karya lucah dan picisan.
Para sasterawan negara tidak perlu gusar, kerana mereka masih terus dipanggil
“sasterawan negara” walaupun kedudukan mereka tidak sama dengan para pujangga
yang menghasilkan karya persuratan.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 24/9/2017
No comments:
Post a Comment