Saturday, September 16, 2017

KEMAJUAN BERFIKIR KITA TERHALANG LEBIH SETENGAH ABAD



Gara-gara terlalu tergila-gilakan sastera, kemajuan berfikir kita terhalang lebih dari setengah abad. Kira-kira 80 tahun, sejak munculnya Asas 50 merosakkan  persuratan Melayu dan menghapuskan tulisan Jawi.  Dengan munculnya sasterawan negara, sebagai warisan  Asas 50, maka halangan berfikir itu dirasmikan dan diinstitusikan dalam sistem pendidikan negara melalui pengajaran sastera di sekolah-sekolah.

Tiga orang sasterawan negara yang menjadi wira dalam memberi halangan kepada pemikiran ini. Pertama Shahnon Ahmad. Novel beliau Ranjau Sepanjang Jalan pada mulanya mendapat perhatian begitu menggalakkan; tetapi  kemudiannya baru orang sedar watak Lahuma adalah watak yang paling bodoh dan jahil dalam sastera Melayu.  Watak ini amat lemah, tidak layak dijadikan watak utama dalam karya seorang sasterawan negara.  Shahnon Ahmad menulisnya tergesa-gesa sekadar untuk memenuhi naluri bercerita yang tidak berasaskan konsep ilmu, sebaliknya ditumpukan sepenuhnya kepada seribu bentuk sensasi seperti yang terdapat dalam Ranjau  Sepanjang Jalan dan lain-lain karya Shahnon Ahmad hingga yang terakhir.  Kegilaan kepada sensasi ini menjadikan karya sasterawan negara ini tidak dapat melepasi batas picisan dan unsur erotik yang cukup kaya dengan imej lucah yang terang-terang. Shahnon Ahmad mempertahankan gaya lucahnya itu kerana itulah “realiti pun” ketika mempertahankan TIVI dalam satu temu bual yang disiarkan dalam Dewan Sastera (September 1997).  Shahnon Ahmad melihat dirinya sebagai pengkritik sosial, lalu dia menegaskan bahawa semua karyanya bernada kritik sosial. Tetapi jika kita baca dengan kritis, apatah lagi jika dinilai dari perspektif ilmu yang benar menurut Gagasan Persuratan Baru, maka tidak sebuah pun novelnya  yang dapat memenuhi ukuran yang digunakan oleh Persuratan Baru.  Dari perspektif PB, semua karya Shahnon Ahmad adalah karya picisan yang menggunakan unsur erotik untuk memikat minat pembaca. Shahnon Ahmad bukan seorang pemikir sosial, tidak juga seorang intelektual yang mempunyai falsafah tersendiri. Beliau adalah seorang peniru dan pengguna pemikiran Barat. Sebagai contoh, idea tentang existentialism dan absurdism.  Tetapi peniruan ini pun peniruan yang cetek, sekadar untuk menunjuk-nunjuk kepada pembaca Melayu yang tidak tahu.

Kedua, Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh, yang seberapa daya mencuba menghalang apa juga kemajuan dalam penulisan kreatif dan bidang kritikan dengan memberi pendapat yang amat cetek dan ketinggalan zaman.  Sebagai sarjana yang diakui oleh teman-temannya sebagai sarjana sastera terbesar yang pernah dilahirkan oleh sastera Melayu, sehingga diberi beberapa gelaran kehormat yang membanggakan, misalnya Tokoh Agung Kesarjanaan Melayu, dan lain-lain yang anda boleh tambah sendiri.  Tetapi sumbangan beliau tentang pemikiran dalam sastera tidak ada, atau paling lunak tidak jelas. Ada sedikit sebanyak beliau berkata bahasa adalah penting dalam sajak, tetapi konsep bahasa beliau adalah konsep picisan. Bahasa dilihatnya dalam bentuk luaran seperti suara bahasa, muzik bahasa dan yang sejenis dengan itu. Bahasa sebagai pengantar ilmu tidak muncul dalam tulisan akademik beliau dan kosong dalam sajak-sajak beliau. Semua ini menunjukkan kekeliruan beliau tentang konsep bahasa dalam konteks epistemologi dan sebagai pembina pemikiran baru. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan kesimpulan ini, anda dipersilakan memberi bukti supaya kita boleh perdebatkan.

Ketiga ialah Anwar Ridhwan, yang telah berjaya memukau para sarjana dan pengkritik sastera untuk menerima Naratif Ogonshoto sebagai novel teragung dalam sastera Melayu, tanpa sebarang ukuran dikemukakan oleh para penyanjung ini.  Apakah yang agung dalam novel ini? Ceritanya karut dalam golongan sastera hogwash.  Tekniknya berasaskan sensasi yang melampau, sadisme, nihilisme, perwatakan yang amat lemah, dan cerita yang seratus peratus ditulis dalam bentuk penglipur lara yang jauh lebih rendah daripada cerita-cerita dongeng Melayu yang ada ajaran moral. Apakah ajaran moral dalam novel agung ini?  Penipuan. Kezaliman. Kebodohan. Pembohongan. Dan anak-beranaknya. Anwar Ridhwan mengaku (Dewan Sastera, Februari 2011) bahawa novel agungnya itu “mempersenda Tuhan” keseluruhannya; tetapi pengakuan beliau ditolak oleh para peminatnya kerana menurut mereka (menerima pengakuan Anwar Ridhwan sendiri) bahawa novel itu mempunyai makna yang berlapis-lapis, dengan itu tidak timbul novel itu mempersenda Tuhan.  Maksudnya, istilah (?) “mempersenda Tuhan” tidak boleh dikenakan kepada Naratif Ogonshoto, walaupun boleh dikenakan kepada Atheis. Ertinya, novel itu mempunyai makna yang berlapis-lapis tetapi tidak dalam konteks “mempersenda Tuhan.”  Benarkah andaian mereka?  Dari perspektif sastera hogwash, mereka betul;  novel itu sebagai hasil sastera jenis hogwash begitu tebal sifat dan ciri mengarutnya sehingga  terlepas dari tuduhan “mempersenda Tuhan”.  Bagi para sarjana sastera dan pengkritik sastera, sebuah karya hogwash seperti Naratif Ogonshoto yang keseluruhannya mengarut itu tidak boleh dikenakan tuduhan “mempersenda Tuhan.”  Kesimpulan ini penting kerana sesiapa juga yang ingin menulis karya hogwash bolehlah mencontohi Naratif Ogonshoto. Untuk makluman anda, karya hogwash adalah karya sampah.  (Hogwash dalam bahasa Inggeris bermakna rubbish.)

Ketiga-tiga contoh ini memberikan hujah yang kuat bahawa sasterawan negara, dan secara umum para sasterawan, adalah penghalang perkembangan intelektual dan perkembangan budaya ilmu dalam kebudayaan Melayu.  Huraian yang lebih mendalam anda boleh baca dalam syarahan pengukuhan Prof. Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Kesimpulan beliau hingga kini belum lagi didebat dan disangkal oleh mana-mana sarjana sastera atau sasterawan.  Walaupun sudah terlalu lewat, sanggahan itu perlu dikemukakan sekarang supaya kita boleh melihat sejauh mana telah berlaku perubahan dan kemajuan dalam cara berfikir para sasterawan dan sarjana sastera.  Kemunculan para sasterawan negara lebih mengusutkan lagi keadaan kerana mereka telah diberi kedudukan yang tidak layak mereka terima. Saya telah membahaskan aspek ini dalam beberapa entri, paling terkenal (?) ialah “Keunggulan Yang Cacat” (28/10/2015) dan beberapa entri  terakhir dimulai bulan Mei 2017.

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru telah mengubah sama sekali kelesuan berfikir dan kekeliruan dalam konsep ilmu, tetapi telah menimbulkan keadaan baru yang diberi nama oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai “teori kerancuan sastera” yang dicetuskan daripada penilaian beliau terhadap Naratif Ogonshoto.  Walaupun PB cuba membetulkan keadaan yang menghalang perkembangan ilmu dalam penulisan ini dengan mengemukakan satu sistem pemikiran yang lengkap dalam beberapa buah buku, namun Dr. Mohamad Saleeh Rahamad nampaknya telah berjaya mengusutkan lagi kekusutan yang ada melalui “teori kerancuan sastera” rumusan beliau.  Tanpa disedarinya, beliau menjadikan  konsep iwajan yang disebut dalam Surah al-Kahfi  sebagai ikutan baru dalam penilaian sastera melalui “teori kerancuan sastera”. Tentang konsep kerancuan ini telah saya ulas dalam entri yang lalu, yang maknanya diberikan oleh Tafsir al-Misbah.  Nampaknya penjelasan dalam tafsir itu telah ditolak oleh para sasterawan dan sarjana serta pengkritik sastera. Suatu keputusan yang amat aneh, beyond comprehension!

Adakah ini bukti betapa kuatnya pengaruh ingkar ilmu dan pandirisme dalam sastera Melayu?  Agaknya inilah kesan hegemoni sastera yang dicetuskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang termuat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014). Jika ini benar, maka kita harus menunggu setengah abad lagi untuk melihat adanya perubahan. Demikian besarnya pengaruh Asas 50 dalam sastera Melayu.  Para sasterawan, sarjana sastera dan pengkritik sastera berasa amat selesa berada dalam kekeliruan yang mereka warisi dari Asas 50. Sebenarnya inilah pengakuan Anwar Ridhwan sendiri dalam sebuah buku yang diterbitkan oleh DBP 1999.  (Jati Diri Pasca Asas 50).

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16/9/2017.

No comments:

Post a Comment