Friday, September 22, 2017

NOVEL MINI ENSIKLOPEDIA PUJANGGA MELAYU DITAKUTI SARJANA DAN SASTERAWAN



Benarkah para sarjana sastera dan pengkritik sastera “takut” hendak mendekati novel mini ensiklopedia Pujangga Melayu, untuk “melindungi” kecetekan pengetahuan mereka tentang penulisan novel persuratan. Mereka tidak juga berani menggunakan teori sastera Barat kerana takut tersilap memilih teori yang tidak sesuai.  Sebenarnya mereka bukannya  tahu dengan mendalam teori sastera Barat, kerana itu mereka tidak tahu teori apa pun boleh digunakan untuk menilai Pujangga Melayu.  Ketakutan ini membuktikan kecetekan pengetahuan mereka tentang teori sastera.

Tentulah sangat aneh jika terdapat sarjana yang takutkan ilmu; atau takut untuk membicarakan sebuah karya yang membicarakan dengan selesa pelbagai masalah kehidupan manusia bertamadun.  Mengapa mesti ditakuti? Jawapannya mudah: Mereka ini tidak kompeten dari segi ilmu dan kefahaman tentang proses kreatif untuk menghadapi secara akademik sebuah novel seperti Pujangga Melayu.  Novel seperti Pujangga Melayu tidak pernah wujud dalam sastera Melayu; tidak juga dalam sastera dunia. Saya cabar para sarjana menafikan kesimpulan ini, terutama mengenai sastera dunia. Tentu saja para sarjana sastera tidak akan bersusah payah menafikannya, kerana pengalaman kesusasteraan mereka tentang sastera dunia sangat cetek. Inilah antara faktor yang menghalang mereka membaca dengan kritis, kemudian memberikan kritikan yang juga kritis terhadap novel  mini ensiklopedia Pujangga Melayu. Mereka lebih selesa membicarakan novel atau karya picisan, kerana pengetahuan mereka sendiri pun picisan.

Demikianlah maruah intelektual yang menjadi kebanggaan para sarjana sastera. Mereka sangat bangga berada dalam dunia picisan untuk melahirkan tulisan yang juga bertaraf picisan.  Saya masih memberi perhatian kepada mereka kerana sikap negatif mereka terhadap ilmu dan terhadap proses kreatif tidak boleh didiamkan, kerana ini akan merosakkan cara berfikir generasi akan datang yang membaca karya mereka. Kita tidak saja mempunyai ahli politik yang bangga dan selesa melakukan rasuah; kita juga mempunyai sarjana yang bangga dan selesa melakukan rasuah ilmu. Dua golongan ini saling membantu satu sama lain, kerana mereka mendapat faedah dari  kerjasama itu. Persatuan penulis tidak boleh hidup tanpa bantuan ahli politik; manakala ahli politik pula perlukan sasterawan untuk memuji mereka.

Rasuah diberi tafsiran yang menarik dalam Pujangga Melayu, yang mungkin akan mengejutkan setengah pembaca. Anda boleh baca sendiri pada peristiwa pembuangan kerja seorang pengurus syarikat yang didapati rasuah.  Walaupun dibuang kerja, dia masih diberikan penghargaan terhadap jasa yang telah disumbangkannya.  Anda boleh persoalkan keputusan Pengerusi seperti yang dibuatnya, untuk mendapat pandangan kedua yang mungkin lebih menarik.  Persoalan rasuah ini diberi kupasan yang berbeza dalam Hikayat Buyung Lurus, yang anda perlu baca sendiri.  Dalam teori pembangunan ekonomi Barat, korupsi adalah sebahagian daripada ciri pembangunan yang diterima sebagai satu aspek penting dalam pembangunan ekonomi. Boleh baca dalam Hikayat Buyung Lurus.  Dalam Aligupit, aspek korupsi ini dibicarakan dalam konteks Kerajaan Kedua. Anda boleh baca di sana.  Dengan memberikan tiga contoh ini, saya ingin memberitahu pembaca bahawa masalah korupsi mempunyai dimensi yang luas dan rumit, yang mesti diberi definisi yang tepat dalam konteksnya yang betul. Islam menghukum pemberi dan penerima rasuah; tetapi di Malaysia hanya penerima rasuah dikenakan hukuman, itu pun terpilih. Tidak semua ahli politik yang didapati korup dibawa ke pengadilan kerana ini akan menggugat kestabilan parti yang berkuasa. Yang tidak korup boleh dijadikan korup dengan tuduhan tertentu yang diberi naratif yang istimewa. Saya pernah bincang perkara ini dalam cerita pendek “Bukan Orang Jahat” (termuat dalam kumpulan cerita pendek Biarlah Orang Tahu, DBP 2005).

Pujangga Melayu adalah sebuah manifesto penulis yang unggul yang tidak pernah muncul dalam sastera Melayu sebelum ini. Sesuai dengan kedudukan istimewanya itu,  Pujangga Melayu layak dipanggil manifesto penulis yang akan memberi manfaat besar kepada para penulis Malaysia sekiranya mereka menelaah karya ini dari segala sudut yang mereka rasa perlu. Ini sesuai dengan kedudukannya sebagai satu-satunya novel mini ensiklopedia yang hanya muncul dalam sastera Melayu, tidak ada dalam sastera dunia sekalipun. Jika anda mahu, bolehlah bawa ke pengetahuan pembaca Malaysia contoh lain yang anda dapat dari mana-mana sastera dunia.  Saya yakin tidak seorang pun di antara sarjana sastera Malaysia begitu luas dan mendalam pengetahuannya tentang sastera dunia untuk tampil menafikan kesimpulan saya. Katalah mereka menemuinya, kita mahu dengar huraian mereka yang mendalam tentang perkara ini. Walaupun mereka akan kelihatan amat lucu, mereka tidak perlu rasa malu kerana kita memang mempunyai ramai tokoh jenaka dalam sastera lisan kita, dengan tokoh terbesar ialah Pak Pandir, yang telah mencetuskan falsafah pandirisme dalam sastera Melayu.  Kemunculan istilah ini merupakan satu perkembangan yang amat bermakna dalam kritikan sastera, kerana konsep pandirisme boleh digunakan dengan berkesan untuk menilai keupayaan kreatif dan keupayaan intelektual  di kalangan sasterawan dan sarjana.  Inilah sumbangan saya yang penting dalam kritikan sastera; oleh itu istilah ini perlu dimasukkan dalam Kamus Dewan sebagai istilah kritikan sastera.  Istilah ini sudah diberi tempat yang istimewa dalam buku saya, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia (HAKIM (Himpunan Keilmuan Muslim), dicetak oleh Klasika Media, 2016).

Pujangga Melayu boleh dibicarakan dalam tiga tajuk utama: (1) dari segi persoalan atau tema; (2) dari segi teknik; dan (3) dari segi pemikiran.  Dari segi tema, novel ini adalah sebuah novel pendidikan dalam konteks yang luas, meliputi pendidikan akhlak, pendidikan keluarga (membina keluarga bahagia), pendidikan seni dan kognitif. Itu secara kasar, yang boleh diperincikan lagi. Dari segi teknik, beberapa teknik baru diperkenalkan, seperti penggunaan sisipan yang banyak;  juga dialog ilmiah dalam pelbagai bentuk; penggunaan wacana yang lebih utama daripada cerita; pengisian ruang naratif yang kemas dan tidak hanyut dalam  cerita seperti yang biasa dilakukan dalam penulisan novel dalam sastera Melayu.  Dari segi pemikiran, novel ini menyerlahkan konsep-konsep penting seperti persuratan, sastera, perwatakan mengikut lunas uswatun hasanah, penerapan nilai-nilai intelektual berasaskan nilai-nilai Islam. Itu hanya lakaran kasar untuk sekadar menjadi panduan; terpulang kepada anda untuk memperincikannya jika mahu. Atau boleh saja anda membuat pembahagian sendiri mengikut keselesaan cara berfikir anda. Pujangga Melayu adalah sebuah novel yang terbuka untuk diberi pengolahan dan penilaian mengikut tahap kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif anda sendiri.  Sebagai sebuah novel mini ensiklopedia, Pujangga Melayu mengarahkan perhatian anda untuk mencapai dua matlamat dalam karya persuratan, yakni mencapai matlamat indah dan bermakna.  Untuk mencapai dua matlamat utama ini, Pujangga Melayu memilih satu persoalan penting dalam kehidupan berkeluarga Islam, yakni poligami.  Saya berhenti di sini untuk memberi anda peluang memikirkannya, berasaskan pembacaan anda yang kritis terhadap novel ini.  Bagaimana anda dekati novel ini tergantung kepada kemampuan intelektual anda dan kemampuan kreatif anda untuk mengolah dan membuat tafsiran yang betul.  Maksud tafsiran yang betul di sini ialah supaya tidak seperti pendapat sebahagian pembaca wanita yang mengatakan watak utama novel ini adalah seorang lelaki gila seks yang menjadikan wanita hamba seksnya. Mungkin anda rasa anda mempunyai alasan dan hujah yang kuat untuk membuat kesimpulan ini; atau kesimpulan ini hanya lahir dari kecacatan akhlak dan kecetekan ilmu anda sendiri. Jangan bimbang, anda bebas membuat kesimpulan anda sendiri, asal saja berasaskan konsep ilmu yang benar (yang menjadi asas novel ini) dan berasaskan konsep adab seperti yang difahami dalam tamadun Islam.

Berasaskan huraian di atas, kita dapat membuat andaian yang agak tepat mengapa para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, tidak mahu mendekati novel ini dengan membacanya sehabis kritis untuk menyerlahkan kekuatan intelektual mereka menghadapi novel mini ensiklopedia ini.  Andaiannya ialah mereka sebenarnya tidak mempunyai persediaan intelektual yang mencukupi untuk memahami novel mini ensiklopedia ini. Mereka tidak mengenal tiga tradisi besar yang menjadi perbahasan dalam novel ini: iaitu tradisi persuratan Melayu, tradisi tamadun Islam, dan tradisi moden Barat seperti yang dapat dilihat dalam segala cabang disiplin ilmu yang menjadi panduan mereka. Terasnya selalu dilupakan: Apakah sumber ilmu Barat dan apa pula sumber ilmu dalam Islam? Sejauh mana anda sebagai pembaca memahami aspek ini akan menentukan sejauh mana anda boleh membuat penilaian yang tepat atau sebaliknya, yakni hanya berasaskan sentimen dan sensasi saja. Inilah halangan besar yang menjauhkan para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera daripada mendekati novel mini ensiklopedia ini, kerana senjata intelektual mereka sudah basi, sudah menjadi klise dan terkeluar dari landasan ilmu yang benar.

Golongan ini menghadapi dua masalah besar dalam kehidupan mereka. Pertama masalah ilmu, kerana mereka menolak sumber ilmu dari al-Quran walaupun mereka beragama Islam. Kedua masalah psikologi, yang membuat mereka tidak sedar diri bahawa mereka bukanlah golongan terbaik dalam masyarakat walaupun mereka mungkin ada yang bergelar profesor, profesor madya, pensyarah, dan lain-lain gelaran. Mereka menjadi hamba perasaan hasad dan angkuh, menghina ilmu dan nilai-nilai Islam yang mengajak manusia kepada kebaikan dan menolak keingkaran. Dua prinsip ini mereka tendang ke tepi sebagai tidak sesuai dengan manusia pascamoden yang tidak menganut sebarang nilai yang mencengkam kebebasan manusia moden daripada bertindak.  Dengan sikap dan sifat inilah mereka mencemuh Gagasan Persuratan Baru dan Pujangga Melayu yang mereka anggap tidak ada standard jika dibandingkan dengan teori Barat. Bagaimana mereka boleh sampai kepada kesimpulan yang begitu naif?  Jawapannya cukup mudah. Mereka anggap merekalah yang paling bijak kerana tidak terikat kepada mana-mana teori, walaupun mereka adalah pengguna dan penganut teori Barat. Demikian naifnya kumpulan yang berada dalam Mutual Admiration Club ini.  Mereka masih lagi berada dalam golongan pinggiran yang keliru dan cetek meraba-raba seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan beliau 1972.

Edisi kedua novel mini ensiklopedia ini telah diterbitkan oleh Penerbit Klasika Media 2017, mengandungi Indeks yang agak lengkap untuk memudahkan pembaca meneliti kandungan novel ini.  Edisi kedua ini mengandungi 733 halaman, menjadikan jumlah halamannya 738 termasuk Indeks.  Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Klasika Media kerana menerbitkan edisi kedua ini.

Tidak mungkin ketebalan novel ini menakutkan para sarjana dan pengkritik sastera untuk membaca dan membicarakannya dengan kritis. Yang menarik ialah novel ini akan sampai di kampung-kampung Malaysia setelah Perpustakaan Negara Malaysia membelinya untuk ditempatkan di Perpustakaan Kampung seluruh negara.  Orang kampung lebih beruntung daripada para pelajar sastera dan guru-guru mereka di universiti yang masih belum kenal novel ini. Tentulah dialu-alukan sekiranya Kementerian Pendidikan mengarahkan semua universiti dan sekolah (perpustakaan sekolah) menyimpan novel ini di perpustakaan masing-masing dan setiap pelajar yang mengambil mata pelajaran sastera membacanya, bersama pensyarah mereka. Kemunculan Gagasan Persuratan Baru dan novel mini ensiklopedia Pujangga Melayu ini tidak mungkin diremehkan lagi. Karya ini dan teori PB akan kekal dalam perkembangan intelektual dan budaya ilmu di Malaysia.

Adakah anda termasuk kelompok sarjana tenggiling?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 Muharam 1439/22 Julai 2017.

No comments:

Post a Comment