Monday, October 2, 2017

UNSUR NIHILISME YANG KETARA DALAM SASTERA MELAYU



Saya ingin mulai tulisan ini dengan satu perisytiharan penting: Sarjana sastera dan pengkritik serta para sasterawan telah dipukau oleh Naratif Ogonshoto untuk terjun ke dalam lubuk nihilisme dan selesa duduk di lembah pandirisme.

Bagaimana kita boleh terjemahkan nihilisme dalam bahasa Melayu? Orang Melayu yang tidak masuk universiti dan tidak bergelar sarjana sudah ada istilahnya sejak lama. Mereka gunakan ungkapan Sesat Barat.  Itulah makna nihilisme sebenarnya. Itulah wajah nihilisme yang asal. Itulah juga arah nihilisme dalam kehidupan moden seperti yang diramalkan oleh Nietzsche dan lain-lain sarjana Barat.   Paling menarik, hasil dari nihilisme ini ialah wujudnya pascamodernisme yang menolak semua nilai; dan inilah yang dijadikan hujah terpenting oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika menyanjung Naratif Ogonshoto, seperti yang beliau tegaskan dalam makalah “kerancuan sastera” itu.  Kalau anda tidak melihat kepalsuan ini, bermakna anda sudah lemas dalam faham nihilisme ini.

Keadaan Sesat Barat yang kita hadapi dalam sastera Melayu telah dijadikan arus perdana oleh para sarjana dan persatuan penulis, setelah kerajaan melantik dan memberi gelaran sasterawan negara kepada para pengikut Asas 50, dimulai dengan tokoh besar Asas 50, Keris Mas (1981).  Semua penerima anugerah itu selepas 1981 adalah pengikut Asas 50.  Apa salahnya? Mereka semua berjasa besar mengembangkan sastera Melayu dan memberi warna indah kepada sastera Melayu.  Semua sasterawan negara adalah genius, kata para sarjana. Mereka pencipta karya berbentuk baru dengan semangat baru dan tema baru serta teknik baru, kata Panel Anugerah  Sastera Negara.  Tiada siapa pun menyebut bahawa mereka inilah yang menolak peranan ilmu yang benar dalam kegiatan kreatif. Dalam bahasa yang mudah, yang sering digunakan oleh orang Melayu yang tidak bersekolah, mereka adalah kumpulan Sesat Barat, yang keliru dari segi ilmu dan cetek meraba-raba. Mereka telah menjadikan faham nihilisme sebagai pegangan mereka untuk memastikan, menurut mereka, bahawa mereka terus bebas menulis dalam cara dan teknik yang mereka pilih.  Kemuncak karya nihilisme ini ialah Naratif Ogonshoto, novel teragung dalam sastera Melayu dan sastera dunia menurut para sarjana Malaysia. Kehebatan novel ini kerana sifat picisannya yang mendukung semangat nihilisme.  Unsur nihilisme itulah yang menurut para sarjana sastera menjadikan novel ini mempunyai makna yang berlapis-lapis.  Lapisan itu terlalu banyak, sehingga tidak terkira dan menurut para sarjana sastera lapisan baru akan muncul dari semasa ke semasa hingga kiamat. (Rasa macam nak tertawa walaupun tidak lucu!) Saya fikir mereka ini betul-betul sudah tidak siuman, telah dirasuk Sang resi nihilisme. Resi adalah salah satu watak utama dalam novel agung ini.  Sebenarnya watak-watak dalam novel ini berkeliaran mencari kesempatan untuk mengkhianati orang lain, sampai-sampai semua jenis binatang pun memainkan peranan yang sama. Inilah agaknya yang membuat Prof. Solehah Ishak memberi komen berikut:  “I have been most fortunate to have texts which has so many interesting stories to unfold which were  all told in such a wondrous manner.  … Anwar is the master pelipur lara (raconteur) who will regale his readers with such a wondrous tales. It is not only the stories but also Anwar’s craftsmanship which forms an interesting and revealing study.” (ix terjemahan, Tales of Ogonshoto, DBP 2016).  Membaca komen ini membuat saya tercengang, tidak jadi hendak tertawa walaupun amat lucu.  Sampai begitu sekali kuatnya sihir novel agung ini hingga boleh membuat seorang profesor hilang sifat siuman akademiknya.   

Paling aneh ialah bagaimana masyarakat boleh menerima pendapat tidak siuman para sarjana yang cukup galak memberi pendapat bersifat hogwash ini, dan dengan bangga pula memilih Naratif Ogonshoto sebagai buku teks. Sepatutnya para pelajar ini diajar untuk berfikir dengan siuman, bukan dilatih untuk menjadi tidak siuman dengan membicarakan sebuah novel picisan yang mendukung “falsafah” nihilisme.  Terbayang di fikiran saya, sekiranya Wak Long, satu tokoh lawak dalam Wayang Kulit membaca komen-komen para sarjana ini, akan riuh rendah penonton orang kampung bila mendengar komen balas  Wak  Long dengan gayanya yang istimewa itu.  Orang yang tidak pernah menonton Wayang Kulit tidak akan faham maksud saya; oleh itu anda tidak saja perlu mempunyai  pengalaman intelektual yang luas, tetapi juga pengalaman kebudayaan yang kaya. Kalau tidak, anda akan menuduh “lagu bertabuh” Wayang Kulit sebagai mengajak bergaduh, padahal anda mengaku anda seorang budayawan, tetapi kecil lingkungan pengalamannya.  Sekiranya anda membaca pendahuluan Prof. Solehah Ishak yang saya kutip itu, anda akan dapat melihat kebenaran kesimpulan saya ini dan akibatnya jika anda tidak berhati-hati.

Setelah melihat perbincangan sejauh ini, anda mungkin sedar bahawa dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru, perbincangan dan penilaian dalam kritikan menjadi lebih jelas, kemas penghujahannya, dan senang dikuti kesimpulannya. Hal ini terjadi kerana PB diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, yang mengikat semua penghujahan dan kesimpulannya kepada kehadiran unsur ilmu itu.  Tidak demikian halnya dalam teori sastera Barat yang anda sayangi itu. Tidak ada kepastian ini, maka dengan itu terjadilah seperti kesimpulan yang dibuat oleh Prof. Solehah Ishak tadi. Sekiranya anda faham perkara ini, anda akan faham dengan mudah mengapa saya membuat kesimpulan dengan tegas bahawa Naratif Ogonshoto itu sebuah karya berunsur syirik yang bersifat picisan.  Tugas anda sekarang ialah menghuraikan mengapa kesimpulan ini salah, dan dari perspektif mana kesimpulan ini salah. Ini suatu tugas yang amat sulit, maka dengan itu kita lihat belum ada lagi penafian terhadap kesimpulan 1972 yang diberikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya itu. Demikian juga tidak ada dan tidak mungkin lahir penghujahan yang mantap untuk menolak kesimpulan saya bahawa sasterawan negara tidak perlu dan tidak wajar diwujudkan dan karya mereka adalah picisan jika dinilai dari perspektif PB.  Sekiranya anda tidak bersetuju, apa yang perlu anda buat cukup mudah: Buktikan dengan dalil dan penghujahan bahawa PB hanya sejenis kritikan hogwash seperti yang lain-lain juga.  Anda hanya perlu berhati-hati supaya apa yang anda hasilkan itu tidak bertaraf hogwash. Nasihat saya,  anda akan muncul sebagai sarjana istimewa jika anda dapat membuktikan PB hanya omong-kosong, diguna atau tidak dalam kritikan sastera tidak menjejaskan kedudukan sasterawan negara dan kedudukan sastera Melayu secara umum, apalagi boleh menggugat para sasterawan negara yang sudah begitu mantap kedudukannya. Saya mengatakan dengan tegas kesimpulan anda ini palsu, dan sama sekali tidak berasas. Asas yang saya maksudkan ialah konsep ilmu yang benar.

Kemunculan PB menyerlahkan dengan konkrit kegagalan sastera Melayu dalam membina budaya ilmu dalam kebudayaan Melayu dan dalam pembangunan tamadun negara. Adakah ini bermakna para sasterawan ini tidak ada jasa dan sumbangan langsung? Ada, tetapi terlalu kecil dan insignificant dalam pembinaan budaya ilmu.  Saya menggunakan perkataan Inggeris, seperti biasa, sebagai satu kaedah dalam retorik untuk menguatkan kesimpulan saya dan berharap dengannya akan menimbulkan kesangsian di kalangan pembaca. Dua jenis kesangsian: tentang tepatnya kesimpulan itu; dan tentang kedudukan sebenar para sasterawan itu. Ini pun satu kaedah dalam retorik untuk menguatkan hujah dan sekali gus menarik perhatian pembaca yang cerdik untuk menolak atau menerimanya. Inilah antara gaya PB yang dipanggil stylization of ideas.  Ciri pemikiran yang tersembunyi  dalam PB tidak dapat dikesan oleh para sasterawan dan sarjana sastera kerana mereka tidak mempunyai pengalaman intelektual yang luas untuk memahaminya, sesuai dengan sifat mereka yang Sesat Barat. Keadaan Sesat Barat ini membuat mereka berlagak sebagai lembu kenyang dan berasa seronok berada dalam kebodohan, persis seperti lembu yang bangga menjadi lembu.  Semua makanannya disediakan dan tersedia untuk dimakan. Tidak seperti harimau, yang harus mencari mangsanya dan memburunya. Kalau anda lihat bagaimana Naratif Ogonshoto dibangunkan sebagai sebuah cerita, dan bagaimana para sarjana mengolahnya, anda dapat melihat dengan jelas apa yang saya maksudkan sikap lembu kenyang.  Walaupun Panel Anugerah Sastera Negara bermati-matian percaya Naratif Ogonshoto itu sebuah eksperimen, pembaharuan dan kelainan yang istimewa, para sarjana, tanpa mereka sedar, menolak kesimpulan itu apa bila mereka, seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menggunakan perkataan “kerancuan” dan Dr Mawar Shafei “intertekstualiti”, maka mereka telah menegaskan, tanpa mereka sedari, bahawa tiada apa-apa pembaharuan yang dibikin oleh Naratif Ogonshoto, yang mengambil kerak kisah penglipur lara untuk dijadikan asas dongeng baru Naratif Ogonshoto. Inilah sifat sebenar sastera jenis hogwash.  Berasaskan pandangan kritis inilah saya cabar anda membaca Pujangga Melayu bersama karya hogwash ini. Kalau anda mempunyai ketajaman pemerhatian dan kepintaran berfikir, anda akan menemui pelbagai “pembaharuan” dalam teknik stylization of ideas novel persuratan itu. Maka itulah sebabnya saya panggil novel itu novel mini ensiklopedia. Novel ini tidak menarik minat sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera kerana mereka tidak mempunyai kemampuan kreatif dan kemampuan intelektual yang membolehkan mereka  merasakan kepuasan dari perspektif “indah dan bermakna” yang menjadi matlamat karya persuratan.  Ungkapan “indah dan bermakna” penting difahami kerana di situlah terletaknya makna stylization of ideas atau siratan makna dalam karya persuratan. Ungkapan ini merangkum kemampuan kreatif dan kemampuan intelektual yang tinggi.

Anda yang mengikuti blog ini akan sedar, barangkali, betapa saya mengulang berkali-kali persoalan ini, kerana sangat penting dalam perkembangan intelektual kita. Kita semua, yang membaca sastera (termasuk menilai, menganalisis dan lain-lain), sudah sepatutnya meninggalkan konsep-konsep yang biasa digunakan selama ini, yang sudah menjadi klise dan gagal memberikan penilaian yang mengarah kepada memahami konsep indah dan bermakna dalam konteks yang disebutkan. Contoh: jika anda menggunakan konsep plot, anda hanya  mengikuti jalan cerita, tetapi tidak dapat menilai mengapa jalan cerita itu begitu, untuk mencapai matlamat apa, dan mengapa perlu diceritakan? Contoh terbaik dalam konteks ini ialah Naratif Ogonshoto.  Penilaian yang saya sebut berkali-kali dalam blog ini yang diberikan oleh para sarjana dan lain-lain cukup jelas bagaimana mereka menerima cerita dalam konteks plot yang tidak mengarah kepada aspek “indah dan bermakna” yang menjadi matlamat utama apa juga jenis penulisan, bukan hanya yang berbentuk karya sastera.  Baca dan fahami aspek ini dengan melihatnya dari perspektif PB yang memberi penekanan kepada konsep wacana,  ruang naratif, dan sebagainya. Ungkapan “mempunyai makna yang berlapis-lapis” yang mereka gunakan untuk mempertahankan kedudukan novel agung ini tidak bermakna apa-apa sekiranya mereka fikirkan dengan kritis yang berlapis-lapis itu adakah dalam konteks kebaikan atau campur-aduk antara kebaikan dan mana satu yang lebih banyak sama ada kebaikan atau keburukan?  Tidak seorang pun sarjana dan pengkritik sastera memperincikan aspek yang mereka maksudkan dengan “makna yang berlapis-lapis” itu.  Apa yang terjadi adalah jelas: Mereka hanya beromong-kosong untuk sekadar memberi keyakinan (?) kepada kepalsuan penilaian mereka. Anda boleh uji kesimpulan ini dengan menggunakan penilaian berasaskan konsep ilmu yang benar yang ditampilkan oleh PB.  Sekiranya anda menolak konsep “ilmu yang benar” sebagai tidak relevan dengan karya sastera, bagaimana anda boleh meningkatkan kedudukan karya itu hanya dengan menyandarkannya kepada penglipur lara (seperti yang disebut oleh Dr. Solehah Ishak) yang tidak langsung memberikan kualiti yang bersifat ilmu, tetapi hanya memberi penekanan kepada aspek khayalan sema-mata. Bolehkah anda buktikan khayalan lebih utama daripada ilmu? Dolak-dalik begini telah menipu kita sejak sekian lama, maka dengan itu perlu dihapuskan supaya kita tidak lagi diperbodohkan dan terus menjadi bodoh ketika kita telah diberi peluang untuk menjadi cerdik dan berhemah. Semua hujah ini memberi anda peluang untuk menilai Naratif Ogonshoto dengan objektif.  Penjelasan yang panjang lebar ini menjelaskan makna nihilisme yang menjadi tajuk entri ini.

Kes Naratif Ogonshoto adalah amat unik dalam sastera Melayu. Tidak semena-mena kita diberitahu oleh para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan bahawa sebuah novel agung sepanjang zaman telah muncul di Malaysia, hasil tulisan sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Apakah yang istimewa tentang novel ini? Tidak seorang pun di antara sarjana sastera, pengkritik, dan para sasterawan sendiri dapat memberi jawapan. Tetapi semua mereka memujinya. Apakah yang sebenarnya terjadi?  Beberapa percubaan oleh para pemuja novel ini tidak satu pun boleh diterima, semuanya penuh andaian, tidak ada sebarang ukuran yang diberikan. Semua ukuran yang cuba diada-adakan oleh para sarjana dan lain-lain telah ditolak oleh Gagasan Persuratan Baru. Apakah pelajaran dan pengajaran yang boleh kita ambil dari peristiwa pelik ini? Pertama sekali, tidak ada ukuran yang dikemukakan untuk dijadikan sandaran, sama ada untuk menerima atau menolaknya. Kedua, semua sanjungan itu tidak dapat dipertahankan secara akademik; dan ini menimbulkan masalah lain pula.  Kita dapati para sarjana, pengkritik dan sasterawan  telah memberi gambaran yang salah dengan memperdayakan masyarakat  bahawa hasil sastera dan para sasterawan telah memberikan sumbangan besar dalam perkembangan ilmu dan kebudayaan, padahal  karya mereka tidak mencerminkan dua perkara itu. Ketiga, sudah jelas bahawa para sarjana dan sasterawan adalah golongan yang keliru dan cetek meraba-raba yang menjadikan kata-kata untuk mengelirukan masyarakat supaya mempercayai mereka, padahal mereka telah gagal memperlihatkan kejujuran mereka dan kemampuan intelektual dan kemampuan kreatif mereka.  Ketiga-tiga kesimpulan ini boleh dilihat dalam kegagalan Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya intelektual dan mencerminkan nilai-nilai murni. Yang terjadi adalah sebaliknya.  Inilah kemuncak karya nihilisme dalam sastera Melayu.  Dari perspektif lain, jika kita meneliti sanjungan para sarjana dan pengkritik sastera terhadap karya agung ini, maka kita juga boleh membuat kesimpulan yang lebih tepat dan objektif: Naratif Ogonshoto adalah lambang pandirisme dalam sastera Melayu.  Nihilisme adalah sebahagian daripada wajah pandirisme.

Apakah kesan atau pengaruh negatif Sesat Barat ini?  Paling jelas ialah sastera Melayu menjadi lesu, tidak bermaya, keliru, penuh kerancuan dalam penulisan kreatif dan juga akademik (telah dibincang dengan panjang lebar dalam beberapa entri).  Pendeknya sastera Melayu dan seluruh pendukungnya benar-benar berada dalam kubang hogwash.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 2 Oktober 2017.


No comments:

Post a Comment