Sunday, October 8, 2017

PENGKHIANATAN TERHADAP SASTERA DAN BUDAYA INTELEKTUAL



Kita sudah tahu siapakah yang mengkhianati sastera dan budaya  ilmu di Malaysia.  Soalnya sekarang: Mengapa pengkhianatan itu masih diteruskan?  Kita perlu jelaskan dua persoalan. Pertama, apakah yang dimaksudkan dengan pengkhianatan?  Kedua, mengapa ini sengaja dilakukan?

Yang dimaksudkan dengan pengkhianatan itu ialah keengganan untuk menerima konsep ilmu yang benar untuk dijadikan asas penulisan.  Kesannya sangat buruk  kerana sikap ingkar ilmu itu dijadikan arus perdana dalam sastera Melayu.  Sebarang usaha untuk membina kembali persuratan Melayu berasaskan konsep ilmu yang benar ditentang dengan menghalang berlakunya perubahan dalam pendidikan sastera di sekolah-sekolah dan di universiti.  Halangan ini penting bagi kumpulan ini kerana ini saja caranya mereka boleh meneruskan usaha mereka mengembangkan kerancuan dalam pendidikan sastera. Kerancuan adalah sebahagian daripada faham nihilisme yang kini menjadi pegangan kukuh para sarjana dan pengkritik sastera yang menentang konsep ilmu yang benar itu.  Pilihan untuk menentang peranan ilmu dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera telah mengakibatkan lahirnya penilaian yang tidak tepat dalam kritikan sastera, seperti yang terjadi ke atas Naratif Ogonshoto.

Sikap negatif dan tidak siuman yang diambil oleh sarjana, pengkritik dan sasterawan  timbul dari keinginan untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara sebagai  pemegang gelaran itu, tetapi tidak berasaskan pembacaan yang kritis terhadap karya mereka.  Mereka ini tidak dapat membaca dengan kritis kerana kelemahan kemampuan  akademik mereka sendiri, baik sebagai peniru teori sastera Barat mahu pun sebagai peneliti yang kritis dan cermat terhadap karya para sasterawan negara ini. Dalam entri yang lepas, saya memberi contoh yang bagi saya boleh memalukan para sarjana sendiri jika mereka membaca komentar Prof. Solehah Ishak seperti yang saya kutip, ketika memuji Naratif Ogonshoto dengan “pujian” yang bukan-bukan. Nampaknya  sarjana ini tidak membaca karya besar dunia dan bagaimana para sarjana Barat membaca dan menilai karya itu, seperti misalnya yang dilakukan oleh T.S. Eliot, yang pernah mengkritik drama-drama  Shakespeare, terutama sekali Hamlet dan Macbeth.  (Rujuk pengakuan beliau dalam Selected Prose T. S. Eliot, ed. John Hayward, Penguin Books 1963. (hal. 103).Saya beli ketika di Penang Free School, 22/6/63 daripada wang menang hadiah mengarang Minggu Bahasa Kebangsaan  Pulau Pinang, RM15. Harga buku RM3.00; sebuah lagi The Analysis of Mind, oleh Bertrand Russell.) Dalam masa 50-60 tahun dulu para sarjana Melayu bolehlah berborak iseng-isengan sesama mereka, seperti yang kini masih diteruskan  oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Dr. Mawar Shafei, Prof. Solehah Ishak dan lain-lain dalam kumpulan mereka; sekarang borak yang bersifat hogwash itu tidak laku lagi, oleh itu lebih baik  tidak diketengahkan lagi supaya cerperlai (cerpelai) tidak tertawa.  Seperti yang anda tahu, cerpelai (mongoose) suka mempermainkan tedung selar, bukan ular lidi.  Kita perlukan sarjana seperti cerpelai, bukan seperti tikus. T. S. Eliot adalah sarjana cerpelai itu; sementara di Malaysia ramai sekali sarjana tikus dan mereka tidak suka dicabar kerana gigi akademik  mereka tidak setajam gigi cerpelai. Dengan itu lahirlah komentar seperti yang diputar oleh sarjana yang saya senaraikan.

Banyak yang gila dan tidak siuman dalam dunia sastera seluruh dunia. Seorang sasterawan asal Jepun yang menjadi rakyat British diberi Hadiah Nobel 2107. Beliau seorang penulis novel mengarut berasaskan imaginasi yang dari segi sensasi mengalahkan novel-novel Anwar Ridhwan.  Sekiranya anda seorang yang siuman, dan tahu makna ‘iwajan yang dikutuk al-Quran, anda tidak akan sanggup menghormati seorang pembunuh seperti Alfred Nobel. Masalahnya, semua sasterawan negara sudah lama bermimpi akan diberi Hadiah Nobel Sastera. Adakah mereka bermaruah? Mana ada sasterawan bermaruah jika anda membaca resolusi yang mereka bentang dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014. Semua resolusi itu untuk mereka, bukan untuk sastera atau apa juga yang mereka mahu panggil.  Sebenarnya para pengganas ISIS lebih layak dan lebih berhak diberi Hadiah Nobel Keamanan, atau apa-apa jenis hadiah yang sesuai.  Orang gila dalam falsafah yang menjadi ikutan di Malaysia, dalam konteks nihilisme, lebih layak diberi Hadiah Nobel.  Kritikan saya terhadap para sasterawan negara adalah tepat, berasaskan kehilangan maruah mereka yang terhegeh-hegeh mengemis Hadiah Nobel Sastera, padahal manusia yang menjadi pembunuh dari usahanya mencipta bahan letupan dan senjata,  yang menjadi kaya kerana ciptaan jahatnya, tidak layak dihormati jika anda benar-benar faham maksud ‘iwajan yang anda baca dalam al-Quran.  Katalah memang akan muncul dari kalangan sasterawan ini seorang yang akan diberi Hadiah Nobel Sastera, bolehkah kita berkata dia telah menghina al-Quran? Andalah yang menjawab soalan ini. Saya mengemukakan soalan ini dengan maksud untuk menimbulkan sedikit kesedaran anda bahawa apa yang anda anggap baik, jika anda tahu hakikat sebenarnya, adalah satu kejahatan yang tiada tolok bandingnya dalam ajaran Islam. Sebab itulah Naguib Mahfuz diisytiharkan murtad oleh para Sheikh al-Azhar. Apa macam, nampaknya anda pula mengisytiharkan para sheikh itu bodoh dan buta sastera?  Yang celik sastera ialah seorang sasterawan negara yang menterjemahkan sebuah novel Naguib Mahfuz ke bahasa Melayu. Apakah yang menarik dalam novel itu?  Lebih tepat, apakah yang menarik perhatian penterjemah novel ini?

Bukanlah Hadiah Nobel Sastera itu suatu anugerah besar yang bermakna dalam perjuangan ilmu seorang pujangga; hanya sasterawan kucing kurap yang tidak percayakan sumber ilmu itu daripada al-Quran akan menerima Hadiah Nobel Sastera sebagai suatu anugerah besar dalam kesusasteraan, kerana syarat utamanya mestilah anti-Islam atau sekurang-kurangnya berani memburukkan Islam dalam karya sastera mereka.  Inilah yang dilakukan oleh Naguib Mahfuz.


Sekiranya anda fikir kesimpulan ini tidak betul, tidak benar, anda berhak, dan sewajarnya membetulkan kesimpulan yang anda anggap salah. Dalam konteks dan pegangan saya mengenai kesusasteraan dan persuratan, pendirian para aktivis sastera (penulis, sarjana, dan seterusnya) adalah salah dan bertentangan dengan akal sihat sekiranya menerima al-Quran sebagai sumber ilmu itu termasuk dalam kategori akal sihat.  Sekiranya anda mempunyai fikiran yang berbeza, anda harus menyuarakannya dengan penuh tanggungjawab.  Jangan biarkan orang lain sesat!

Jika anda faham, dan mengerti, jalannya penghujahan saya, maka kesimpulan saya bahawa pelantikan para sasterawan negara adalah suatu penyelewengan intelektual yang memalukan, yang tidak sepatutnya berlaku di kalangan manusia yang menerima ajaran al-Quran. Kecuali anda sudah menolaknya, maka itu membenarkan anda berbuat apa saja kerana anda tidak terikat kepada sumber ilmu dalam penulisan yang siuman. Asal saja anda jelas dalam persoalan ini, maka kedudukan anda mestilah disesuaikan dengan sikap anda terhadap ilmu yang bersumberkan al-Quran. Ini mesti jelas, tidak boleh berdolak-dalik.

Kemunculan Gagasan Persuratan Baru memberi jalan keluar yang jelas kepada sesiapa juga yang ingin melepaskan dirinya dari sifat jahil dan angkuh.  Jahil kerana tidak menerima konsep ilmu yang benar; angkuh kerana bangga untuk  terus menjadi jahil.  Inilah dua sifat yang masih dipertahankan dengan gigih oleh sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera, dengan itu mereka terus berada dalam kekeliruan dan cetek meraba-raba.  Sekarang kekeliruan diganti dengan kerancuan, dan sudah pun ada teorinya yang dibikin oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Asasnya, menurut sarjana ini, “kerancuan bentuk dan makna”, dengan contoh teragungnya Naratif Ogonshoto.  Teori kerancuan sastera ini penting kerana hanya melalui teori ini saja para sasterawan negara boleh diberi kedudukan tinggi; akan lebih bermakna jika digunakan juga “teksdealisme” Mana Sikana yang juga diasaskan kepada “kerancuan bentuk dan makna”, tetapi memakai istilah yang dicedok daripada Harold Bloom.  Pendapat mengarut tokoh besar kritikan sastera ini telah saya ulas berjela-jela untuk memberi amaran kepada masyarakat bahawa pembicara sastera seperti Mana Sikana merosakkan konsep kritikan dan peranan ilmu dalam penulisan kreatif.  Keseluruhan tulisan tokoh besar ini tidak dapat dijadikan panduan dalam memahami konsep ilmu dan konsep kreatif seperti yang difahamkan dalam Gagasan  Persuratan Baru.

Pada waktu ini tiada lagi sarjana, pengkritik dan sasterawan yang berasa malu kerana tidak tahu apa dia Gagasan Persuratan Baru; sebaliknya mereka berasa amat bangga kerana tidak mempedulikan PB.  Mereka bangga dan megah menjadi pengikut teori sastera Barat, walaupun tidak mendalam. Buktinya kita boleh lihat dalam tulisan mereka ketika membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara. Terdapat keghairahan menderetkan nama-nama pengkritik Barat dan pendekatan Barat; dari tulisan mereka kita dapati semua sasterawan negara akan bangkit dengan megah dan bergaya kerana semua teori dan pendekatan Barat amat serasi dengan karya semua sasterawan negara.  Jika kesimpulan ini benar, jelaslah teori sastera Barat telah gagal membaca dengan tepat para sasterawan negara dan karya mereka.  Apa gunanya teori yang membisu tentang kebenaran?  Para sarjana dan pengkritik sastera tidak berfikir sejauh itu, oleh itu para sasterawan ini belum lagi diberi penilaian yang tepat dan objektif. Kerja ini berada dalam tangan Persuratan Baru. Ke mana lagi anda hendak lari? Ke sudut mana pun anda mengelak, anda akan bertemu cabaran PB. Tidak boleh lari, oleh itu anda hanya mempunyai satu pilihan: berdepan dengan PB secara kontan.

Dari perspektif inilah anda akhirnya meluru ke arah nihilisme, dan mendakap nihilisme sebagai satu-satunya jalan keluar. Inilah hakikat akademik yang membuat anda memilih untuk menjadi tidak siuman.  Untuk memahami kesimpulan ini, anda perlu membaca dengan kritis tulisan daripada tokoh-tokoh akademik yang saya sebut di atas. Nampaknya anda semua kena tahu serba sedikit tentang nihilisme ini, kerana berkait rapat dengan persoalan nilai dan peranan agama dalam kehidupan manusia. Kalau tidak tahu, maka jadilah seperti Anwar Ridhwan yang menulis Naratif Ogonshoto, sebuah karya nihilisme; kemudian disokong dengan bebal sekali oleh sarjana yang mengupas novel nihilisme ini kononnya inilah novel teragung dalam sastera Melayu. Tidakkah itu tidak siuman? Hampir-hampir menjadi gila betul-betul jika tidak berhati-hati. Jadi ada alasan yang mendesak apabila saya meminta anda semua kembali kepada konsep ilmu yang benar. Gagasan Persuratan Baru boleh membantu anda untuk menjadi siuman kembali; dan cerdik. Sesiapa juga yang menolak pelawaan untuk menjadi cerdik adalah manusia paling bebal, paling bodoh, dan paling angkuh. Jangan masukkan diri anda dalam kumpulan ini. Satu nasihat ikhlas daripada seorang pencinta ilmu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 8/10/2017.

No comments:

Post a Comment