Ungkapan
“lembu kenyang” sudah menjadi satu ungkapan penting dalam kritikan sastera
Melayu. Ungkapan ini memberi gambaran sebenar tentang apa yang berlaku dalam
kritikan sastera Melayu dilihat dari dua
perspektif: perspektif perilaku dan perspektif tabiat “berfikir”. Dari segi perilaku, sifat dan sikap lembu
kenyang menggambarkan kepuasan kumpulan lembu kenyang ini kerana mendapat apa
yang mereka usahakan untuk kumpulan mereka. Kemenangan terbesar mereka ialah
apabila cadangan mereka untuk memberi gelaran sasterawan negara diterima oleh
Tun Razak dan terlantiklah Keris Mas sebagai sasterawan negara pertama
1981. Dari perspektif tabiat
“berfikir”, mereka memperkenalkan konsep
dan falsafah pandirisme sebagai pegangan mereka yang kini sudah dijadikan arus
perdana. Khusus mengenai sasterawan
negara, dengan kekuatan pandirisme dalam arus perdana, maka kedudukan para
sasterawan negara ini tidak boleh
dikritik, hanya untuk dipuji dan dipuji secara berlebihan. Menurut Mana Sikana, para sasterawan negara
itu berada di takhta keunggulan. Sebuah buku beliau diberi judul, Sasterawan Negara di Takhta Keunggulan. Buku ini telah saya kritik dalam beberapa
entri blog, terutama sekali yang berjudul, “Keunggulan Yang Cacat” (bertarikh
28/10/2014). Yang “unggul” itu pandirisme
para sasterawan negara, bukan pemikiran mereka.
Sampai bila
keadaan ini akan berterusan? Beberapa
isu penting dalam sastera Melayu ada dibincang secara kritis dalam sebuah karya
persuratan, dengan memberi tumpuan kepada isu-isu mengenai sikap dan tabiat
“berfikir” para sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Melalui karya ini, penyelewengan dalam
perkembangan sastera Melayu akan terus dibaca, dan saya harap akan mendapat
perhatian para sasterawan dan sarjana sendiri.
Teras persoalannya ialah konsep ilmu, yang ditolak oleh para sasterawan,
sarjana dan pengkritik sastera. Ini
mereka luahkan dalam kebencian mereka kepada Gagasan Persuratan Baru, yang
kononnya meletakkan mereka dalam keadaan serba salah kerana kedudukan mereka
sebagai orang Islam menyusahkan mereka berkarya sekiranya Gagasan Persuratan
Baru diterima sebagai satu ukuran yang objektif dalam kerjaya mereka. Sikap mereka yang ingkar ilmu menjadi
hambatan kepada kemajuan intelektual dalam sastera Melayu. Tidak seorang pun di
antara sasterawan negara ini memperlihatkan kemampuan mereka sebagai pemikir,
seperti yang dapat kita lihat dalam karya mereka sekiranya kita menggunakan
ukuran Gagasan Persuratan Baru. Sudah
beberapa kali mereka diminta menilai semua karya para sasterawan negara ini
dengan membuat perbandingan dengan misalnya Pujangga
Melayu. Belum ada lagi sarjana yang
berani melakukannya; malah saya diberitahu kajian perbandingan itu tidak
diperlukan jika hanya untuk membuktikan PB satu kaedah yang terbaik yang
dicetuskan oleh sarjana tempatan, yang boleh menandingi apa juga pendekatan
Barat. Walaupun ini merupakan satu cabaran besar, bagi para sarjana apa juga
yang mereka dapat dari kaedah Barat
sudah lebih dari mencukupi untuk menaikkan nama para sasterawan negara. Apakah
gunanya satu pendekatan, seperti PB, jika akhirnya sasterawan negara tidak lagi
muncul sebagai golongan genius terpenting dalam budaya intelektual Melayu? Bagi
para sarjana ini, kesimpulan mereka ini bukan satu pembohongan, tetapi satu
strategi yang diperlukan untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara.
Mereka tidak sedar, dengan sikap itu mereka sebenarnya sudah pun mengaku para
sasterawan negara ini akan tersungkur di lumpur pandirisme jika pendekatan PB
digunakan untuk menganalisis dan menilai karya mereka. Satu hari nanti saya
harap akan muncul pelajar yang berminat untuk membuat penyelidikan yang teliti
mengenai perkara ini, untuk sama ada mendapat ijazah master atau kedoktoran.
Yang hendak dikaji bukanlah cerita, tetapi kandungan intelektual berupa
pemikiran yang disampaikan oleh para sasterawan negara ini. Mereka perlu dikaji
dari segi pemikiran, bukan dari aspek cerita semata-mata. Jika inilah
tujuannya, maka pendekatan yang paling sesuai ialah PB. Oleh itu anda tidak boleh lari dari pendekatan
PB jika anda benar-benar berminat kepada pemikiran dalam kegiatan kreatif dalam
sastera Melayu.
Seseorang
memberitahu saya, tidak baik menggunakan ungkapan “lembu kenyang”. Terlalu
ofensif. Melembukan manusia adalah terlalu biadab walaupun ungkapan itu biasa
digunakan di Kelantan. Bila saya bertanya, apakah yang tidak biadab? Kalau anda
menggunakan perkataan kerancuan untuk dijadikan asas penilaian sebuah karya
besar, adakah beradab? Itu sudah kurang ajar, katanya sambil tertawa. Saya
tidak pergi sejauh itu, kerana “konsep” (?)
“kerancuan bentuk dan makna” amat berguna untuk dijadikan bukti betapa
mendalamnya pengaruh pandirisme dalam penilaian dan kritikan sastera Melayu.
Dengan menggunakan ungkapan (?) yang kini sudah dipanggil “teori sastera” oleh para
penyokong pandirisme, maka kedudukan para sasterawan negara telah dibuktikan,
tanpa disedari, adalah golongan yang rancu dalam sastera. Kamus Dewan memberi makna “rancu” “tidak teratur, campur aduk, kacau
(bahasa).” Kamus Besar Bahasa Indonesia
memberi makna “rancu” “tidak
teratur, kacau (tentang berfikir, bahasa dan sebagainya); campur aduk”.
Hassan Noel Ariffin dalam kamusnya, Kamus
Besar Bahasa Indonesia (1951)
menyatakan, “rancu” (bahasa Melayu Jakarta/Betawi) bermaksud “tidak beratur, tentang
sesuatu yang dilakukan; juga: janggal, tentang kalimat.” Sementara R. O. Winstedt dalam Kamus Bahasa Melayu (1960) memberi makna rancu, “campur, kacau
(bahasa).” Makna ini telah dipinda
dengan memberi makna baru oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Menurut beliau,
perkataan “kerancuan” itu bermaksud “kepelbagaian makna, makna yang
berlapis-lapis” yang secara khusus hanya terdapat dalam novel Naratif Ogonshoto. Dalam pengertian moden, terutama dalam
konteks pascamodernisme, “kerancuan” adalah nihilisme, dengan itu benarlah
kesimpulan saya bahawa novel agung ini adalah sebuah novel nihilis, yakni dalam
maksud “nihilisme” yang dipakai oleh Nietzsche sebagai falsafah yang terhasil
dari slogannya “Tuhan telah mati” (God is
dead) apabila nilai-nilai agama dan
moral diketepikan, malah dihapuskan. Inilah inti pati novel Naratif Ogonshoto, oleh itu maksud
“kerancuan” dalam pemikiran (?) sarjana kita ini ialah nihilisme yang disebut
oleh Nietzsche itu. Sama ada kita
mengambil pengertian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mahupun pengertian daripada
beberapa kamus, kerancuan adalah nihilisme. Kesimpulannya, novel terbesar dalam
sastera Melayu, Naratif Ogonshoto,
adalah sebuah karya yang menolak nilai dan moral keagamaan dan kemanusiaan.
Sebenarnya itulah kesimpulan saya apabila saya mengatakan novel ini sebuah
karya picisan. Slogan Nietzsche samalah
dengan ungkapan Kassim Ahmad dalam sebuah sajaknya, “Tuhan telah mati”. Adalah
cukup ironis apabila Anwar Ridhwan menjadikan slogan itu satu realiti dalam
novel agung sepanjang zamannya itu. Siapa
sangka “konsep” kerancuan Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad sudah menjadi falsafah penulisan dalam sastera Melayu, dengan
itu “teori kerancuan sastera” bikinan beliau adalah satu perkembangan yang
membanggakan dalam sastera Melayu. Thaniah!
Untuk
makluman anda, dalam kritikan sastera, sesiapa juga yang pintar bermain dengan
idea berhak membuat kesimpulannya sendiri walaupun mungkin bertentangan dengan
hasrat para sarjana yang menyelewengkan makna sesuatu konsep seperti yang
berlaku dalam kes “kerancuan sastera” ini. Dalam sastera Barat, kes Harold
Bloom sangat terkenal dan diketahui umum, malah oleh para sarjana Malaysia
sekalipun. Itulah dunia sastera … Boleh tanya Mana Sikana untuk mendapat
penjelasan terperinci. Dia pakar Harold Bloom.
Lembah
nihilisme akan kekal dalam sastera Melayu sekiranya pandirisme diteruskan
sebagai arus perdana dalam kegiatan sastera.
Lembah nihilisme inilah tempat kumpulan lembu kenyang bermastautin. Jika anda suka, boleh juga dipanggil lembah
kerancuan sastera, tempat lahir karya yang berlapis-lapis maknanya. Sekiranya anda ingin menulis karya yang
berlapis-lapis maknanya, anda perlu berpindah ke lembah nihilisme; ini bererti
anda menjadi pengikut kumpulan arus perdana yang menjadikan falsafah pandirisme
sebagai panduan dan matlamat mereka.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 10/10/2017.
No comments:
Post a Comment