Saturday, August 5, 2017

PERINGATAN PENTING YANG TIDAK BOLEH DIABAIKAN



Seorang pembaca yang cerdik dan sensitif kepada suatu kesimpulan kritis yang menggambarkan hakikat sebenar yang terjadi dalam sastera Melayu, sudah pasti akan memberi perhatian kepada perenggan yang saya kutip ini, kerana perenggan ini tidak saja membuktikan kebenaran kesimpulan 1972, tetapi juga menyerlahkan pembohongan intelektual yang dipertahankan oleh kumpulan yang termasuk dalam kesimpulan 1972 itu. Inilah situasi sebenar yang berlaku dalam sastera Melayu. Baca seterusnya tentang Panel Anugerah Sastera Negara yang ikut menerima kesimpulan 1972 itu sebagai suatu kemajuan yang membanggakan, yang kemudiannya melahirkan para sasterawan negara. Baca kembali perenggan yang saya maksudkan:

“Saya memberikan contoh-contoh ini untuk membawa anda kepada persoalan, Apakah yang sebenarnya berlaku dalam sastera Melayu? Satu-satunya jawapan yang pasti telah diberikan oleh Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau tahun 1972, yang memang diketahui umum.  Hingga kini belum ada penafian; tidak juga berlaku apa-apa perubahan yang sepatutnya boleh membaiki kelemahan yang disebut oleh Prof. Naquib.  Malah keadaan menjadi lebih buruk dengan wujudnya sasterawan negara mulai tahun 1981. Setiap sasterawan negara itu adalah gambaran tepat kesimpulan 1972 itu. Tidak berlebihan jika kita membuat kesimpulan bahawa pada umumnya para sarjana dan sasterawan menerima kesimpulan 1972 itu sebagai suatu kelebihan kepada mereka. Organisasi yang besar milik kerajaan seperti DBP digunakan sepenuhnya untuk membina budaya mediocre dengan mengadakan peraduan, anugerah, hadiah, persidangan, seminar dan sebagainya untuk mempertahankan kesimpulan 1972. DBP memainkan peranan yang agak aneh dalam perkembangan budaya mediocre ini, yang telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ketika membicarakan Harga Sebuah Maruah yang memenangi satu sayembara besar DBP. (Lihat Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, bab 10).”

No comments:

Post a Comment