Tuesday, August 15, 2017

TOLAK KESELEKEHAN AKADEMIK DAN PANDIRISME DALAM SASTERA MELAYU (Bahagian 2)

Pendidikan Sastera seperti yang dikonsepsikan oleh penulis agung Malaysia (ungkapan berprestij ini perlu diulang kerana inilah kedudukan beliau di kalangan sarjana ciritan) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, bertentangan sama sekali dengan karya beliau yang penuh khayalan, anti-ilmu, penuh sensasi dan sadisme, dan yang paling celaka untuk diterima oleh masyarakat bertamadun, ialah karya yang memberi penekanan kepada kejahatan, kezaliman, dan mengangkat faham syirik sebagai landasan kehidupan manusia bertamadun. Kalau kesimpulan ini tidak betul, anda harus membuat bantahan; dan saya sendiri akan menyerlahkan satu persatu aspek ini dalam jawapan saya nanti. Persoalan ini sangat penting dan perlu kita bincang dalam dialog yang siuman, mengemukakan bukti dan hujah masing-masing sama ada menerima atau menolak kesimpulan ini. Anda kini berbicara tentang karya seorang sasterawan negara, oleh itu anda tidak boleh selekeh dalam mempertahankan atau menolak karya beliau. Senang saja untuk anda membela beliau, dengan memberi alasan bahawa semua kejahatan yang beliau masukkan dalam novel agung itu hanya sekadar peringatan, untuk dikenal pasti oleh para pelajar supaya dapat dijadikan teladan. Tetapi hujah ini sangat naif, kerana jika anda menggunakan teori sastera, anda dapat lihat betapa lemahnya hujah tadi. Karya agung itu, yang picisan sebenarnya, memang sebuah karya sensasi yang penuh khayalan. Malah, jika anda membaca dengan teliti, semua peristiwa yang diceritakan itu sebenarnya khayalan seorang watak yang bernama Noor, yang berasal dari Kg. Sungai Besar dari Selangor, yang namanya kita dapat di akhir novel. Dia seorang yang tidak siuman, malah lebih tepat digelar orang gila, yang sedang berangan-berangan dan berkhayal menceritakan segala khayalannya sebagai orang gila untuk menjadi kisah autentik Naratif Ogonshoto. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad perlu membaca kembali dan menafikan kesimpulan ini. Tentulah amat memalukan jika kita dapati novel agung ini sebenarnya kisah khayalan seorang yang tidak siuman, orang gila, yang menunggu dia dibedah. Jika ada bacaan yang berbeza, selain dari yang diberikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, yang telah saya tolak, maka kita perlu diberi peluang membacanya. Berasaskan bacaan yang salah inilah saya kira para pegawai di Kementerian Pelajaran yang memilih buku ini membuat keputusan mereka. Siapa mereka ada disenaraikan dalam edisi murid yang diterbitkan oleh DBP. Bagaimana ini terjadi saya berikan rujukannya dalam bahagian 1 yang lalu. (Baca tulisan dalam The Writing Scholar yang dirujuk).

Sikap siuman ini tidak ada dalam perbincangan tentang sastera Melayu, seperti yang dibuktikan dengan begitu jelas dalam tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang memuji Naratif Ogonshoto.  Sepatutnya saya tidak perlu sebut lagi perkara ini, tetapi tidak dapat dielakkan kerana inilah contoh dan bukti terbaik tentang tiadanya sifat siuman dalam perbincangan akademik dalam sastera Melayu.  Kerana pengaruh sikap tidak siuman ini begitu besar di kalangan para pegawai Kementerian Pelajaran yang memilih novel picisan ini untuk mengajar para pelajar menjadi bodoh, maka masalah standard yang saya bincang tempoh hari perlu kita bereskan, supaya para pelajar kita tidak terus hanyut dalam khayalan palsu membaca dan membincangkan sebuah (atau beberapa buah) karya picisan dengan memberikan pretensi intelektual yang palsu dalam perbincangan itu. Bagaimana ini boleh dilakukan? Saya telah mencadangkannya dengan kita menyerlahkan kekuatan dan kelemahan sesuatu karya berasaskan kajian perbandingan, yang nampaknya tidak mahu dilayan oleh para sarjana ciritan dan para pegawai Kementerian Pelajaran yang diberi tugas untuk mencerdikkan para pelajar negara, tetapi sebaliknya memilih karya picisan untuk dijadikan asas bagaimana kecerdikan itu boleh dibina. Tidakkah ini tidak siuman?

Oleh sebab kita sudah mempunyai sebuah karya berasaskan ilmu yang benar dalam Pujangga Melayu, adalah tepat dan sangat berpatutan jika karya ini dijadikan standard untuk menilai Naratif Ogonshoto.  Anda hanya perlu melakukan dua perkara mudah: membuktikan Pujangga Melayu tidak dapat dijadikan standard itu kerana kelemahan karya itu sebagai sebuah karya kreatif yang bermutu; atau anda membuktikan tanpa sedikit pun keraguan bahawa Naratif Ogonshoto memang berlandaskan ilmu, bukan khayalan sensasi dan sadisme  yang merayakan aspek syirik dalam kehidupan beragama.  Tidak ada alasan sama sekali untuk anda takut membuat penilaian secara perbandingan ini, kerana hasilnya nanti akan memberikan kepada kita “kebenaran” yang nampaknya dicari oleh Dato’ Dr. Anwar Ridhwan sendiri (melalui watak si resi tua) dalam kutipan yang saya ambil dari tulisannya.  Saya yakin beliau sendiri mahu karyanya diberi penilaian yang tuntas, dan kritis, berasaskan konsep ilmu yang benar yang beliau sendiri percaya itulah yang seharusnya menjadi asas penulisan kreatif dalam sastera Melayu.  Baca kembali kutipan dari tulisan beliau.

Apakah peranan guru yang ditakdirkan untuk mengajar novel ini? Dari bukti yang ada, melalui sebuah ulasan yang ditulis oleh seorang guru, kira-kira 160 halaman, kita dapati sang guru yang berani itu meluahkan begitu saja segala peristiwa dalam novel khayalan ini dengan memberi perincian setiap peristiwa, tanpa sebarang usaha untuk memberikan penjelasan yang mempunyai sedikit kualiti ilmiah. Sungguh kasihan kepada para murid yang membaca buku panduan ini. Mereka juga akan dihumban ke dalam gaung kekeliruan dan kebodohan yang luar biasa. Sekali lagi, anda perlukan satu standard yang mantap untuk menilai karya ini; dan ini menjadi amat mudah jika anda membuat kajian perbandingan dengan Pujangga Melayu. Jalan keluar yang dicadangkan ini akan membantu para guru memahami persoalan yang saya cuba jelaskan di sini. Seorang guru sastera wajib menjadi pembaca pertama kepada persoalan baru. Jangan biarkan pelajar anda menjadi bodoh kerana dibekalkan dengan maklumat yang salah, padahal maklumat yang betul sudah ada, tetapi tidak diketahui oleh para guru sastera kerana tidak diberitahu oleh para pegawai di Kementerian Pelajaran yang menjadi penilai dalam senarai jawatan kuasa pemilihan. Para guru ini berada dalam ketakutan yang luar biasa kerana sekiranya mereka berbeza pendapat dengan para pegawai Kementerian Pelajaran, mereka tidak dinaikkan pangkat. Tidakkah itu satu perkara yang merugikan kerjaya mereka? Tidak mengapa jika pelajar mereka menjadi bodoh, asal kerjaya mereka maju dan dengan itu berpeluang untuk dinaikkan pangkat. Kerana itu, para guru wajib mengikut saja arahan dari pakar-pakar di Kementerian Pelajaran, tanpa sebarang keraguan. Adakah ini corak pendidikan sastera yang wajar? Saya tidak tahu pendapat sasterawan negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mengenai persoalan ini, tetapi saya yakin beliau bersetuju dengan pendirian para guru dan para pegawai di Kementerian Pelajaran. Pilihan beliau tepat, walaupun tidak betul.

Bahagian seterusnya akan menyusul.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling jaya,
 15/8/2017.

No comments:

Post a Comment