Malaysia, bukan Tanah Melayu yang sudah hilang, mempunyai
banyak keistimewaan. Selain kaya dengan hasil bumi pelbagai macam, kita juga
kaya dengan manusia pelbagai kaum. Orang Melayu, yang dianggap bumiputera
dengan hak istimewa tertentu, tidak lagi boleh dipanggil “bangsa Melayu” kerana
kedudukannya telah diturunkan sebagai salah satu kaum “pendatang” yang sama
tarafnya dengan semua kaum pendatang selain Melayu. Perkataan kaum itu sendiri
tidak lagi kerap dipakai, kerana dalam suasana politik yang ada telah
ditentukan perkataan yang tepat adalah “etnik”. Jadi jika anda orang Melayu, anda
adalah salah satu jenis etnik yang ada di Malaysia. Jika anda masih mahu
menggelarkan diri anda bangsa Melayu, anda adalah rasis (kini tidak lagi
dipanggil perkauman kerana menurut pandangan yang dipopularkan oleh kaum
Yahudi, rasis itu lebih tepat). Mengikut kehendak politik sekarang, anda adalah
salah satu suku kecil bergelar etnik yang setaraf dengan orang asli, bumiputera
asli, pendatang asli dari China, India, Arab dan lain-lain. Anda tidak
mempunyai apa-apa keistimewaan, dengan itu menurut pandangan ini adalah karut
jika anda masih mahu mempertahankan “ketuanan Melayu” kerana menurut politik
sekarang “ketuanan Melayu” adalah gerakan rasis yang mesti ditentang dan
dihapuskan. Kedudukan anda sebagai etnik Melayu dalam Perlembagaan tidak boleh
dipinda pada waktu ini, tetapi boleh digugat dan digoncang untuk membuat anda
berasa ragu dan takut. Dalam konteks inilah munculnya Wawasan Satu Malaysia,
untuk menterjemahkan ketakutan anda sebagai etnik Melayu supaya mengerti
keadaan politik di Malaysia sudah berubah, oleh itu anda sebagai etnik Melayu
mestilah bersedia untuk menerima perubahan itu dan mesti berani menghadapi
tentangan dari segenap penjuru setelah ketua-ketua anda yang anda anggap
sebagai penyelamat anda terbukti bukan penyelamat anda, tetapi penyelamat diri
mereka sendiri. Adakah anda faham situasi kelam-kabut ini? Cubalah anda
fikirkan dan faham supaya anda sedar betapa jauhnya anda telah dibawa oleh
ketua-ketua anda yang sebenarnya anda tidak perlukan. Itulah makna politik
baru, jika anda belum faham. Dalam konteks itulah Wawasan Satu Malaysia itu
berada. Masalahnya anda tidak dibenarkan
berbincang tentang “wawasan” ini. Berbagai-bagai amaran telah dibuat untuk
menakutkan anda supaya menerima saja Wawasan Satu Malaysia, tanpa sebarang
perbincangan kritis dan sengit. Sekarang anda tidak boleh berkata Satu Malaysia
itu penjelmaan daripada Malaysian Malaysia yang mula-mula sekali disuarakan
oleh Lee Kuan Yew dari Singapura, diangkat menjadi slogan yang menggerunkan
orang Melayu oleh parti DAP (Malaysia), dan kini “seolah-olah” diteruskan oleh
UMNO/BN melalui Perdana Menteri baru. Jika kita dibenarkan berbincang, mungkin
kita akan sampai kepada program Dato’ Onn yang menolak UMNO dengan menubuhkan
parti baru, malah kita akan sampai kepada projek penjajah Inggeris melalui
Malayan Union. Jika kita dibenarkan berbincang secara terbuka, kita akan
melihat, seperti yang tertulis dalam sejarah, bahawa Malayan Union dipindahkan
ke dalam Persekutuan Tanah Melayu yang diterima baik oleh orang Melayu (ketika
itu masih boleh dipanggil orang Melayu) kerana menurut mereka raja-raja mereka
telah diberi kedudukan baru, menurut pilihan Inggeris. Raja-raja Melayu yang
sedia berkuasa ditukar oleh Inggeris jika didapati menentang Inggeris.
Penyesuaian menurut cita rasa Inggeris dilakukan dengan persetujuan orang
Melayu sendiri, oleh itu ahli sejarah mendapati agak sukar hendak menulis
sejarah “kerajaan Melayu” kerana adanya pertukaran itu. Sejarah yang kita baca
dan terima sekarang adalah versi Inggeris, yang dilembagakan dalam Perlembagaan
Persekutuan, oleh itu tidak boleh diubah. Bolehkah kita berkata dengan wujudnya
Wawasan Satu Malaysia ini sejarah itu telah dipaku mati, tidak boleh dibuka
lagi dan tidak boleh diberi tafsiran kritis? Anda juga tidak boleh berkata
Wawasan Satu Malaysia adalah lanjutan daripada Wawasan 2020, kerana kesimpulan
itu bermakna kedua-dua wawasan yang kelihatan berbeza itu pada hakikatnya
adalah sama, dengan matlamat yang sama, iaitu untuk melanjutkan PPSMI dalam
sistem pendidikan negara ini, dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai teras
pembinaan tamadun moden di Malaysia. Dari perspektif itulah maka kedua-dua
wawasan ini sebenarnya lanjutan daripada projek Malayan Union yang kononnya
ditolak oleh UMNO, padahal pada hakikatnya UMNO wujud sebagai projek Inggeris
untuk melaksanakan Malayan Union mengikut cita rasa pemimpin Melayu yang
pro-Inggeris menjadi alat Inggeris untuk “merundingkan” kemerdekaan dengan
etnik China, India dan lain-lain yang menyebelahi Inggeris dalam Perang Dunia
II. Tentulah sangat ironis apabila hanya selepas 50 tahun baru orang Melayu
sedar, jika ada yang sedar, bahawa yang disebut “kemerdekaan” itu ialah perkongsian sama rata antara tiga etnik
utama Tanah Melayu (yang sudah hilang) dimulai dengan penerimaan pemimpin UMNO
terhadap kerakyatan jus soli. Nah, itulah sejarahnya, seperti yang terjadi,
bukan seperti yang tertulis. Dari perspektif itulah kita harus membaca makna
dan maksud Wawasan 2020 dan lanjutannya Wawasan Satu Malaysia yang mendaulatkan
PPSMI. [14/4/2009]
No comments:
Post a Comment