Saturday, August 8, 2020

YANG TIDAK SIUMAN TIDAK SEMESTINYA GILA; YANG GILA BELUM TENTU TIDAK SIUMAN

Sesiapa yang membaca entri yang lepas dan tidak mendapat apa-apa kesan intelektual daripadanya, bolehlah berjumpa pakar jiwa untuk melaporkan kepada pakar jiwa tadi bahawa dalam sastera Melayu sekarang terdapat banyak tulisan yang tidak siuman, dengan memberikan contoh Gagasan Persuratan Baru sebagai pandangan yang paling tidak siuman dalam perkembangan sastera Melayu. Bolehkah pakar jiwa tadi membaca sejauh mana yang melaporkannya benar-benar siuman dan tidak mempunyai ciri-ciri kesihatan mental walaupun tidak menolak Gagasan Persuratan Baru.

Persoalan ini penting dalam sastera Melayu kerana terdapat kontradiksi yang sangat  pelik di kalangan sarjana, pengkritik, dan para sasterawan. Mereka menolak peranan ilmu dalam karya kreatif, tetapi pada waktu yang sama mereka mengaku karya mereka kaya dengan pemikiran dan pengajaran yang baik. Dari mana mereka dapat dua perkara itu jika mereka anti-ilmu?  Sebenarnya mereka golongan yang amat keliru. Mereka dengan bangganya berkata mereka dapat ilham daripada Machiavelli, padahal Machiavelli sebenarnya memilih untuk masuk neraka kerana katanya dalam neraka lebih mencabar, kerana di situlah para ahli  falsafah berkumpul, dan dia boleh berdebat dengan mereka. Dia fikir neraka itu seperti Dewan Tunku Chancellor di UM. Yang anehnya, sarjana, pengkritik, dan sasterawan percayakan Machiavelli, jika kita baca pengakuan Anwar Ridhwan yang mengaku mendapat ilham daripada Machiavelli, Dr. Mawar  Shafei, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang bersetuju.  Adakah mereka ini siuman? Tentu saja mereka bukan gila. Siapa sebenarnya mereka?  Di sinilah pentingnya anda membaca dengan kritis entri yang lepas, untuk memberikan anda sifat siuman sebagai golongan terpelajar, yang tahu makna adab dan di mana letaknya ilmu dalam peradaban manusia.  Para sarjana (ciritan), pengkritik (cetek meraba-raba), dan sasterawan (picisan),  dengan sengaja dan sedar telah menghalang perkembangan intelektual dalam penulisan berasaskan ilmu yang benar hanya untuk menjaga kepentingan mereka seperti yang mereka tegaskan dalam resolusi Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 dan buku tentangnya yang diterbitkan oleh ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Kritikan saya terhadap buku ini adalah antara entri terpenting dalam blog ini, yang saya anggap sebuah penerbitan yang anti-ilmu dan dengan sombong dan angkuh menyerlahkan  sikap anti-ilmu itu dalam kertas kerja yang dimuat di dalam buku ini.  Empat orang sasterawan negara yang menulis kertas kerja untuk sidang ini saling memuji satu sama lain atau kumpulan mereka, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai anggota Mutual Admiration Club; tetapi keanggotaan itu tidak membuat mereka lebih siuman daripada penulis lain, walaupun mereka cukup yakin bercakap besar mahu buat itu dan ini (baca sendiri kertas mereka) tetapi tidak satu pun menjurus kepada konsep ilmu sebagai teras penulisan kreatif. Tidak seorang pun di antara mereka yang pernah mendengar Gagasan Persuratan Baru, oleh itu mereka berkata setiap zaman memerlukan pemikiran baru untuk menghadapi persoalan baru, tanpa sedar semua itu telah dibincangkan dengan mendalam dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua.  Malah persoalan ini telah lama dibicarakan dalam konteks ilmu dan estetika, dalam buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP 1992). Bukan fikiran baru?  Seterusnya dalam Gagasan Persuratan Baru  (UKM 2006) diperincikan lagi untuk kemudiannya menjadi satu teori penulisan dan kritikan sastera.

Mereka bercakap tentang kejujuran, tetapi merekalah yang pertama sekali mengkhianati kejujuran itu sekiranya berlaku jujur merugikan mereka. Demikianlah mereka perlu mengkhianati satu gagasan untuk menyelamatkan kedudukan mereka. Golongan ini mengaku mereka berjasa kepada negara dan kepada kebudayaan, dalam cara mereka yang membuang adab kerana tidak boleh dan tidak mahu menerima pendapat yang berbeza. Anggota Mutual Admiration Club ini adalah golongan pinggiran yang tidak mempunyai warisan, hanya warisan pandirisme yang mereka jadikan arus perdana untuk menjaga kepentingan  mereka. Kerana itu sastera Melayu tidak berkembang dari segi pemikiran dan penemuan teknik, dan akibatnya ialah kita masih lagi berada dalam lingkaran setan (vicious circle) seperti yang dialami keldai yang berpusing di kincir air, berjalan beribu batu, tetapi masih tetap di tempat yang sama.  Kemajuan kincir air ini hanya berjaya bertukar keldai, tidak membawa apa-apa perubahan. Inilah kesimpulan yang diberi penekanan dalam entri yang lepas. Mungkin tidak ramai pembaca yang sedar akan hakikat lingkaran setan ini; tetapi bukti yang dapat kita lihat daripada tulisan para sarjana (contoh terbaik yang diterbitkan dalam Sastera Teras Negara Bangsa) seperti yang saya sebut beberapa kali dalam blog menyerlahkan betapa hebatnya pandirisme dalam sastera Melayu.  Teori sastera Barat yang ditiru oleh para sasterawan dan sarjana sastera hanya melahirkan “kemajuan” kincir air yang tidak bergerak dari tapak lama yang sudah menjadi lumpur.

Dalam konteks inilah kita perlukan penilaian semula kedudukan sebenar para sasterawan negara yang berlegar di sekitar kincir air yang berada di Dewan Bahasa dan Pustaka sejak berpuluh tahun, kini mendapat tempat baru di ITBM. Kita sangat perlukan penilaian semula ini kerana sudah terdapat sasterawan negara yang memanjat bumbung kilang besi berkarat untuk menulis kertas kerja, suatu perbuatan yang tidak lagi lucu, tetapi amat membimbangkan kita terhadap kesihatan mental tokoh yang berbuat demikian; kononnya untuk memberi kejutan, tetapi sudah menjadi sebaliknya.  Seseorang yang tidak layak berada di sesuatu kedudukan, diberi juga kedudukan itu, akan menimbulkan masalah kepada tokoh berkenaan dan kita semua. Maka itulah saya berbicara tentang persoalan siuman tidaknya sesuatu tindakan, supaya tindakan yang tidak siuman dapat dielakkan pada peringkat kita sudah mempunyai sasterawan negara.  Sudahlah karya yang dihasilkan bertaraf picisan; kelakuannya yang luar biasa itu  pula menimbulkan tanda tanya yang tidak dapat dielakkan.  Semua kejadian pelik ini membuktikan betapa tepatnya kritikan saya sejak tahun 1981 lagi bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara. Perkembangan terkini membuktikan keputusan saya adalah betul, dan tepat. Sebagai alternatif, dalam satu seminar yang diadakan di DBP 2006 mengenai kesan pertandingan menulis dan pemberian hadiah dan anugerah, saya mencadangkan supaya DBP mengusahakan satu bentuk anugerah yang saya beri nama Hadiah Persuratan PETRONAS.  Saya kemukakan sebuah tulisan yang agak panjang dalam seminar itu. Nampaknya cadangan itu perlu dilihat kembali ketika kita berhadapan dengan masalah keldai di kincir air ini dalam sastera Melayu.

Barangkali saya terlalu serius membicarakan isu-isu mengenai kegagalan sastera Melayu memberi sumbangan yang benar-benar cemerlang dalam perkembangan intelektual dan perkembangan kebudayaan Malaysia. Rasanya baik juga jika tulisan ini diakhiri dengan nada lucu supaya sesiapa juga yang berada di atas bumbung kilang berkarat tidak terpelanting jatuh mencederakan dirinya. Bumbung kilang bukan tempat sasterawan bekerja; sekiranya mereka bosan bekerja di rumah, saya cadangkan DBP atau ITBM memberi mereka tempat untuk menulis, sekurang-kurangnya mereka mempunyai kesempatan untuk berborak dengan para pelawat DBP atau ITBM. Wajar jika mereka diberi keistimewaan itu, lebih-lebih lagi jika karya mereka nanti benar-benar bermutu. Tentu saja lebih baik jika mereka mula menelaah Gagasan Persuratan Baru; manalah tahu mereka akan menjadi lebih cerdik dan bisa menghasilkan karya yang bermutu, yang mengatasi Pujangga Melayu. Malu jika karya sasterawan negara berada di taraf picisan saja!

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27/7/2017.


No comments:

Post a Comment