PAS dan PKR yang matang dengan permainan politik yang
penuh dengan manipulasi tentulah berasa pelik mengapa Harakah dan Suara Keadilan
yang diharamkan tiga bulan, tiba-tiba ditarik balik serta merta oleh PM baru. Dia seorang yang
baik hati atau memang telah dirancang awal-awal lagi untuk memberi gambaran
baik kepada rakyat sambil menarik simpati mereka? Semuanya menjadi begitu
murahan dan persendaan yang menyerlahkan kelakuan politik yang tidak boleh
dipercayai. Yang paling gembira
tentulah DAP, yang sejak zaman Tunku hingga ke zaman Hussein Onn menentang
keras slogan DAP “Malaysian Malaysia” yang pada mulanya dilaungkan dengan
lantang oleh PAP ketika berada dalam Malaysia. Pada zaman Mahathir Mohamed,
sebahagian daripada slogan itu dipakai oleh beliau, misalnya ketika membenarkan
semua jenis tarian dijadikan budaya Malaysia dalam upacara rasmi. Pada zaman
Tun Razak, tarian naga dibenarkan untuk perayaan orang Cina saja, tetapi tidak
boleh ditunjukkan dalam upacara rasmi. Kini anak beliau yang baru saja
mengangkat sumpah menjadi PM terbaru, membuat deklarasi lantang bahawa slogan
pemerintahannya ialah “one Malaysia”: satu negara Malaysia dalam konteks
“Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan oleh DAP sekian lama. Seharusnyalah DAP
berasa bangga kerana cita-cita mereka tercapai ketika Najib Tun Razak dilantik
menjadi PM. Makna satu Malaysia itu
ialah “one Malaysia” yang mendaulatkan bahasa Inggeris melalui projek PPSMI
yang kini sudah sah diteruskan dengan
gigih dalam apa yang disebut sebagai kepemimpinan baru. Secara khusus untuk orang Melayu tidak ada
apa-apa yang dijanjikan, mungkin segala janji untuk orang Melayu telah
disempurnakan sejak sekian lama, sehingga tidak perlu diulang-ulang atau
dijadikan agenda utama. Lagi pula, tidak jelas apa yang diminta oleh orang
Melayu. Sebenarnya apakah yang diminta oleh orang Melayu? Mereka bukan golongan
miskin, kerana kini kemiskinan tidak ada lagi, kecuali di Kelantan kerana
dikuasai dan diperintah oleh PAS. Menurut logik para pemimpin UMNO, kehadiran
PAS dalam politik Malaysia bertujuan untuk mengekalkan kemiskinan di kalangan
orang Melayu supaya mereka mudah diperdaya, oleh sebab itulah UMNO masih belum
berjaya menghapuskan sama sekali kemiskinan di kalangan orang Melayu kerana wujudnya
kerajaan PAS di Kelantan. Langkah yang “kelihatan” memihak kepada rakyat pada
hakikatnya adalah sejenis umpan yang disalut coklat, tetapi di dalamnya
berulat. Dalam era merebaknya kencing manis dalam politik Malaysia, umpan itu
tidak boleh memperdaya orang Melayu dan rakyat Malaysia yang sudah lama
menderita “kencing manis dalam janji-janji manis” para pemimpin UMNO/BN.
Apabila pemimpin mendakwa dia tawaduk dan rendah diri,
apa maknanya? Hanya lakonan? Tidak lebih daripada gula-gula kepura-puraan yang
manis didengar, tetapi tidak terbit dari hati yang insaf; malah sebaliknya,
hanya sejenis peragaan kosong yang mungkin memukau rakyat yang kurang arif,
tetapi tidak sekali-kali boleh menipu orang berakal yang sudah muak dengan
lakonan melodrama yang dibuat-buat. Semuanya adalah permainan politik yang
tidak bertunjang kepada keinsafan dan perasaan takut kepada Allah Ta’ala. Yang
nampak hanya undi di tiga pilihan raya kecil dan kemegahan yang akan
mengiringinya jika menang. Ini bukan tawaduk atau rendah diri. Ini bukti jelas
akan keangkuhan seorang pemimpin yang baru diberi kuasa oleh teman-teman dalam
partinya. Ini hanya sejenis permainan politik murahan yang telah ditolak
rakyat. Makna tawaduk dan rendah diri
yang sebenarnya telah ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. Sebelum
dilantik menjadi khalifah, kehidupan Umar Abdul Aziz penuh dengan kemegahan
dunia, kemewahan dan sanjungan teman-teman serta para pegawai dan orang sekelilingnya.
Air basuhan pakaiannya, menurut cerita yang masyhur, dibotolkan oleh rakyat
untuk dijadikan air wangi, kerana keharumannya. Demikian hebatnya Umar Abdul
Aziz sebelum menjadi khalifah. Tetapi sebaik saja baginda dilantik menjadi
khalifah, seluruh kehidupannya bertukar 360 darjah. Tiba-tiba dia menjadi
seorang yang miskin, yang menolak segala kemewahan dunia dan segala jenis
kepura-puraan hidup yang menjadi amalannya sebelum itu. Dia melantik sekumpulan
ulama untuk mengkritiknya, bukan untuk memujinya. Dia begitu berhemat
menggunakan harta kerajaan, sehingga diceritakan baginda mempunyai dua bekas
lilin: satu yang digunakan untuk urusan rasmi, satu lagi untuk kegunaan
peribadi dan keluarganya. Itulah erti
tawaduk yang sebenarnya. Mana ada ahli UMNO, terutama pemimpin UMNO, yang
bercerita tentang Umar Abdul Aziz. Tidak ada. Yang kita dengar, Ketua Menteri
Pulau Pinang dari DAP yang berkata dia akan menjadikan Umar Abdul Aziz sebagai
model pemimpin sejati untuk rakyat. Mungkin terlalu berat untuk para pemimpin
UMNO mencontohi Umar Abdul Aziz, yang berjaya menghapuskan kemiskinan dalam
empayar Islam selama dua setengah tahun pemerintahannya. Kita maafkan jika
mereka tidak dapat mencontohi baginda, tetapi sekurang-kurangnya sebutlah
namanya dengan penuh tawaduk, jika enggan menyebut nama Rasulullah SAW dan
mencontohi baginda. Tak mengapa. Tetapi kita mahu lihat para penguasa baru ini
mengisytiharkan harta mereka sebaik saja mereka diberi kuasa. Harta peribadi
dan anak-anak, isteri dan adik beradik. Mengapa malu hendak melakukannya? Tidak
ada orang yang kisah jika semua harta itu didapatkan dengan halal dan susah
payah usaha sendiri. Jika sebaliknya, kembalikan kepada Baitulmal, kerana harta
itu milik negara, milik rakyat. Itulah makna tawaduk dan rendah diri. Jika anda
tidak sanggup melakukannya, anda baik diam. James Calaghan telah melakukannya
di England tahun 1976 sebaik saja beliau
dilantik menjadi Perdana Menteri Parti Buruh.
Jadi contoh dari pemimpin Islam dan bukan Islam telah ada. Tidak ada alasan dan
tidak ada sebab untuk tidak dapat dilakukan oleh para pemimpin Malaysia,
terutama dari kumpulan UMNO yang kaya raya itu. Lagi pula, anggota Kerajaan Selangor
dari Pakatan Rakyat telah melakukannya. Anda yang dalam UMNO bila lagi? Rakyat yang anda kasihi dan menjadi tumpuan
kegiatan politik anda sedang menunggu dengan sabar kejujuran dan keberanian
anda melakukan yang terbaik untuk negara. Contohilah Khalifah Umar Abdul Aziz atau Perdana Menteri
James Calaghan.
Seorang pemimpin mesti berani dan jujur, mesti
bertanggungjawab terhadap setiap perkataan dan janjinya, apatah lagi apabila
telah bersumpah dengan nama Allah. Berani isytihar harta waktu mula-mula pegang
jawatan. Jujur dalam semua tindakan, bukan hanya pandai bersumpah dengan nama
Allah, tapi buat yang bertentangan. Sumpah begitu mungkin dituduh orang hanya untuk lari dari tanggungjawab atau hanya untuk
menepis segala tuduhan. Menurut
kalangan UMNO, kerajaan terbaik dan paling efisien pada waktu ini ialah
kerajaan baru Negeri Perak yang ditadbir oleh UMNO/BN selepas Pakatan Rakyat
gagal membubarkan DUN Perak dalam rampasan kuasa itu. Kerajaan baru ini telah berjaya memberi
semua kemudahan untuk rakyat yang selama 50 tahun ini diabaikan, terutama sekali
di bawah Pakatan Rakyat yang belum sampai setahun memerintah. Jika dakwaan ini benar (sewajarnya benar
kerana UMNO tidak pernah berbohong), maka alangkah cantiknya jika kerajaan
Perak yang baru dirampas UMNO itu bertindak berani dengan melakukan perisytiharan
harta Menteri Besar dan semua anggota kerajaannya. Tambahan pula pada waktu ini
UMNO/BN berhempas pulas berusaha keras untuk merampas Parlimen Bukit Gantang
dalam pilihan raya kecil 7 April 2009 yang jatuh ke tangan PAS dalam PRU 12.
Rakyat akan bersorak gembira meneliti kemiskinan ketua-ketua UMNO yang sanggup
bersusah payah menjadi ahli politik hanya semata-mata kerana cintakan rakyat
dan ingin berkhidmat kepada mereka, tanpa sebarang usaha untuk memperkaya diri
sendiri dan keluarga serta kumpulan sendiri.
Apakah berita baik yang dianginkan oleh PM baru kita? Banyak. Semuanya membuktikan kelihaian UMNO
menggunakan undang-undang untuk memperkuat kedudukan mereka. Penarikan balik ke
atas pengharaman Harakah dan Suara Keadilan adalah bukti jelas
bagaimana undang-undang digunakan untuk maksud politik. Demikian juga pelepasan
(sama seperti hendak terbang dengan penerbangan tiket murah) 13 orang tahanan
ISA, yang tidak wajar dilepaskan kerana mereka dikurung atas kepentingan
keselamatan negara. Mengapa pula ISA hendak dikaji? ISA tidak sama dengan AUKU
yang telah dikaji-kaji dan dirasakan tidak perlu dipinda betul-betul pinda.
Usaha itu bertentangan dengan kemajuan di Amerika Syarikat, England dan
lain-lain negara yang meniru Malaysia (dengan ucapan tahniah) menggunakan
undang-undang dengan bijak untuk menyekat lawan politik. Tidakkah ISA telah disanjung oleh
negara-negara maju yang baru sedar betapa pentingnya keselamatan dalam negeri?
Yang agak pelik, tiga orang yang dikurung selama tiga hari (atau lebih
gamaknya) di bawah ISA, terdiri daripada dua orang wartawan dan seorang Ahli
Parlemen DAP yang secara tiba-tiba menjadi ancaman kepada keselamatan negara,
dilepaskan begitu saja. Tidak mungkin kesilapan telah berlaku di mana-mana oleh mana-mana pihak, mengingat
pentadbiran Malaysia adalah yang terulung di dunia, yang tidak pernah melakukan
apa juga kesilapan walaupun kadang-kadang terbit juga berita ada tahanan yang
mati dalam jail atau yang ditumbuk matanya ketika dalam tahanan. Sebenarnya
semua ini tidak perlu berubah. Yang kita harap berubah ialah orang yang membuat
undang-undang, orang yang melaksanakan undang-undang, dan semangat pelaksanaan
undang-undang itu dilaksanakan betul-betul untuk menyerlahkan keadilan, bukan
kezaliman atau kesilapan perhitungan. Untuk itu, kita perlu mendapat seorang
pemimpin besar yang sehebat Khalifah Umar Abdul Aziz, atau Khalifah Umar
Al-Khattab. Mengapa kita tidak boleh mendapat pemimpin sehebat itu padahal kita
pengamal Islam Hadhari? Tidak mungkin ada sesuatu yang tidak betul dalam
perkataan, amalan dan perbuatan kita yang membuat kita selalu berjanji manis
tetapi sering kali keputusan kita membuat orang tidak berdosa menangis. Biarlah kita tidak usah lagi beri coklat
berulat kepada rakyat. (3/4/2009)
Mohd. Affandi Hassan,
P. J. 10/8/2020
No comments:
Post a Comment