Sunday, August 16, 2020

DALAM BAHASA POLITIK, PENIPUAN DAN PEMBOHONGAN ADALAH WAJIB

Kalau anda seorang calon pilihan raya, dalam sistem demokrasi Barat yang diamalkan di Malaysia, kejujuran anda dan kepintaran anda diukur oleh pengundi anda dari segi kepintaran anda  berbohong dan menipu untuk mendapat sokongan terbesar dan menang dalam pilihan raya itu. Dalam kajian saya, sebagai seorang pemegang ijazah sarjana dalam bidang political behavior  (University of Essex, 1977), saya tidak pernah bertemu seorang pun tokoh politik Malaysia yang tidak menipu dan tidak berbohong. Mengapa dua aspek politik demokrasi ini penting?  Soalan bodoh ini tidak pernah ditanya oleh sesiapa pun yang menggelarkan dirinya seorang demokrat, kerana dia tidak mahu dilihat sebagai seorang yang bodoh dan naif dalam politik. Saya cabar sesiapa juga yang bergelar tokoh politik Malaysia untuk membuat penafian tanpa memberi sebarang bukti atau jika dia mahu, dia boleh menderetkan kejujurannya yang tidak pernah berbohong dan menipu dalam kegiatan politiknya. Kesimpulan saya itu untuk semua tokoh politik, tanpa kecuali.

Kemenangan dalam politik adalah untuk tokoh yang pandai berbohong dan cekap menipu pengundi, tanpa kecuali.  Bodohlah jika ada tokoh politik menerima cabaran ini, membuktikan beliau bukan ahli politik yang tulen dan lihai bermain politik. Politik adalah permainan, seperti permainan bola sepak. Pemain bola yang baik dan berjaya ialah yang pandai menipu lawannya untuk menyumbat bola ke dalam gol lawannya. Itulah namanya strategi,  dan ini memang kemahiran seorang ahli.

Dalam konteks ini, tidak wajar (walaupun adil) untuk menempelak PM Malaysia ke 8 sebagai pencuri yang mendapat jawatannya dengan “menebuk atap”.  Pencuri pun tahu menggunakan strategi terbaik untuk mencuri, maka tentulah bodoh amat bagi sesiapa pun yang mahu jadi PM tidak tahu menggunakan strategi apa jenis sekali pun yang akan memberi kemenangan kepadanya. Kesimpulan: kejujuran bukan milik ahli politik. Kejujuran mungkin milik seorang ulama; tetapi jika yang bergelar  ulama itu sendiri menipu, maka dia adalah seorang ahli politik yang hebat. Pada pandangan anda, adakah tidak tokoh hebat ini dalam politik Malaysia?

Saya sudah acap kali menyebut bahawa dalam sistem politik demokrasi Barat yang diamalkan di Malaysia, terdapat satu ungkapan yang terkenal, mobilization of bias. Sesiapa yang pandai menggunakan kaedah ini, maka dialah yang menang dan dapat merebut jawatan PM atau apa saja jawatan yang dia pilih. Bodoh sangatlah anda untuk tidak tahu hakikat keunggulan ahli politik dalam penipuan yang disebut mobilization of bias itu?  Berilah satu contoh, satu pun cukup, untuk menafikan bahawa konsep mobilization of bias itu tidak pernah diamalkan di Malaysia di kalangan tokoh politik.  Siapakah orang yang hebat itu?  Dalam politik, seseorang tokoh politik tidaklah hebat jika dia tidak tahu menggunakan teknik mobilization of bias itu dalam kempen pilihan raya. Dalam politik, menipu dan berbohong adalah wajib untuk memastikan anda mendapat kemenangan, walaupun hanya dengan satu undi.

Perbincangan ini sangat penting dalam politik Malaysia pada waktu ini, kerana kini kita “mendapat” sebuah parti baru ciptaan Tun Dr. Mahathir Mohammad yang tidak pernah berbohong itu yang memaksanya menubuhkan parti baru kerana partinya telah disita oleh PM sekarang. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohammad, melalui parti baru itu beliau akan membuktikan pembohongan PM ke 8 yang merebut jawatan itu daripada beliau melalui strategi “menebuk atap”, satu strategi yang kini cukup terkenal di kalangan tokoh politik dan di kalangan rakyat Malaysia. Inilah kehebatan PM 8 yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Beralih kepada bidang sastera. Adakah penipuan dan “pencurian” seperti ini berlaku juga dalam sastera? Pertanyaan ini telah saya jawab dalam bentuk buku, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Kuala Lumpur, Wadi al-Irfan, 2019).  Saya dapat tahu, buku ini diharamkan di universiti, tidak boleh dibaca oleh pelajar sastera kerana kononnya buku ini berasaskan pembohongan intelektual yang penuh dengan penipuan dalam penghujahan dan dalam memberi pandangan kritis terhadap bahan yang disalah tafsir semuanya. Sekiranya kesimpulan ini hasil dari pembacaan yang teliti dan objektif, maka saya boleh saja terima sebagai satu pandangan yang boleh dikupas lebih mendalam lagi dengan mengambil beberapa isu yang dikemukakan oleh para “ulama” sastera yang mengajar sastera di universiti.  Oleh itu, menurut pakar sastera Melayu, tidak perlu diadakan perbincangan tentang buku ini supaya tidak membuang masa dalam perkelahian yang tidak ada kesudahannya.  Novel Hikayat Salim Adil, sebuah novel yang sangat istimewa dari segi pengolahannya. Sila baca entri bertarikh 19 Jun 2020 bertajuk “Membaca kembali Hikayat Salim Adil yang lucu tetapi cerdik.”

Saya ingin mengambil perhatian pembaca untuk melihat halaman 146-147. Catatan di situ penting dikritik jika anda tidak menerima kewujudan Gagasan Persuratan Baru dalam sastera Melayu yang memberi cabaran besar kepada kepalsuan teori kritikan Barat yang digunakan oleh para sarjana sastera Malaysia untuk menilai karya Malaysia. Saya sebut pengakuan Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh yang menegaskan bahawa teori sastera Barat tidak sesuai digunakan untuk menilai karya Malaysia; tetapi beliau mati di situ saja, tidak memberikan alternatif bagaimana penilaian yang wajar itu harus dilakukan. Sebaliknya beliau dan murid beliau Dr. Fatimah Busu menegaskan bahawa kehadiran Persuratan Baru hanya sejenis salakan anjing kurap saja, tidak sedikit pun boleh dijadikan teori alternatif. Ini pendapat yang tidak siuman: jika Barat tidak boleh digunakan seperti yang ditegaskan oleh Prof. Emeritus Muhammad Hj. Salleh, dan sekiranya Gagasan Persuratan Baru hanya salakan anjing kurap saja,  maka bagaimana pula kedudukan para sarjana sastera Malaysia yang bergelar profesor yang semuanya pengikut dan pendukung teori sastera Barat? Kesannya ialah mereka ini diremehkan sebagai  kumpulan sarjana kambing yang hanya tahu mengembek, yang bersedia untuk disembelih secara akademik tanpa mempunyai pertahanan intelektual. Inikah jenis sarjana dan profesor yang menduduki kedudukan tinggi di universiti, yang mengajar sastera?  Semua ini mesti dijelaskan supaya para pelajar dan graduan sastera tidak hanyut dalam kekeliruan sepanjang hayat.  Jalan keluar kepada kekeliruan ini diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru, yang tidak menolak membabi buta teori sastera Barat, tetapi memahaminya dengan tuntas berasaskan konsep ilmu yang benar yang dijadikan asas dalam Persuratan Baru.  Amatlah aneh apabila geng Prof. Emeritus Muhammad Hj. Salleh terkontang-kanteng dalam belantara akademik, sesat meraba-raba kerana menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Di manakah pendirian sebenar mereka? Kedudukan mereka yang sesat meraba-raba dalam belantara akademik ini boleh dipulihkan jika mereka membaca dengan kritis Hikayat Salim Adil.

Kalau dalam politik kita dapati pembohongan dan penipuan adalah wajib, maka begitu jugakah dalam sastera?  Pertanyaan ini boleh dijawab hanya oleh para sarjana sastera yang menolak konsep ilmu yang benar dan Gagasan Persuratan Baru.  Tetapi mereka tidak perlu menjawabnya, kerana kegiatan mereka dan kefahaman mereka tentang sastera memang berasaskan pembohongan dan penipuan yang setaraf dengan peri laku tokoh politik. Inilah politik sastera, yang satu ketika dulu agak heboh dibicarakan oleh para sarjana sastera. Kalau inilah kedudukannya, maka sastera Melayu akan terus berada dalam hutan rimba kekeliruan yang berlapis-lapis, satu konsep yang mereka pakai ketika menilai sebuah karya sastera, yang menurut mereka karya itu amat bernilai kerana mempunyai makna yang berlapis-lapis. Kesimpulan ini diberikan oleh para sarjana yang berada dalam kekeliruan berlapis-lapis, yang mereka jadikan sebagai ukuran utama ketika memuji karya para sasterawan negara. Mereka tidak sedar, bahawa mereka sebenarnya berada dalam kekeliruan berlapis-lapis akibat menolak konsep ilmu yang benar, kerana perasaan hasad yang menjadi akar kehidupan akademik mereka membuat mereka tidak mahu terima Gagasan Persuratan Baru. Itulah yang sebenarnya yang berlaku.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 Ogos 2020.













No comments:

Post a Comment