Friday, August 21, 2020

DARI FAIL LAMA, UNTUK RENUNGAN SANTAI

REAKSI POSITIF!

Oleh Mohd. Affandi Hassan


          Tulisan ringkas tentang Persuratan Baru baru-baru ini (Mingguan Malaysia, 8/1/2006) menimbulkan beberapa kemusykilan dan pertanyaan daripada beberapa orang penulis. Ada yang membuat teguran ikhlas: “Karya anda baru masuk senarai, belum dibuat apa-apa, sudah riuh satu dunia; padahal karya sasterawan negara dan lain-lain sudah diterjemahkan ke dalam berpuluh bahasa, sudah dijadikan bahan tesis MA dan Ph.D. beratus buah, mereka tak bising pun”. Terima kasih. Seorang haji anak seorang haji yang menggelar dirinya Setan/Iblis mengirim e-mail berjudul “Surat Dari Iblis” yang antara lain berbunyi: “Aku membencimu, kerana aku benci Allah”. Tidak sia-sia seorang penulis sajak ternama kagum dengan kepintaran Mephistopheles! Ada yang berasa musykil bagaimana boleh berlaku diskriminasi yang begitu ketara dalam membuat pertimbangan dan keputusan tentang karya-karya saya. Tidakkah ini merugikan sastera Melayu? Saya sendiri berpandangan lain. Saya tidak menganggap semua perbuatan yang kelihatan mengetepikan karya-karya saya itu sebagai satu diskriminasi. Hal ini biasa saja berlaku di mana-mana sekali pun, bukan suatu perkara yang perlu digusarkan apabila menimpa seseorang penulis. Menolak dan menerima sesuatu pendapat, gagasan, karya dan sebagainya adalah pilihan peribadi yang harus diserahkan sepenuhnya kepada sesiapa juga yang membuat pilihan itu. Oleh itu tidak timbul soal diskriminasi. Tetapi perkara begini menjadi masalah dan perlukan penjelasan apabila Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, menolak lebih dari 45 buah tulisan saya sejak tahun 1996. Pada tahun itu saya mengirim 17 buah cerita pendek, tetapi hanya sebuah disiarkan. Selepas itu saya masih mengirim terus karya-karya saya, sama ada cerita pendek mahu pun rencana. Kini tak kurang 45 buah berada dalam simpanan Bahagian Majalah. Apakah yang membuat mereka tidak mahu menyiarkan tulisan-tulisan itu? Saya tidak fikir kerana adanya diskriminasi atau apa juga bentuk penindasan, apatah lagi jika kita sering membaca rencana pengarang dan banyak sekali tulisan yang disiarkan yang memandang berat apa juga perbuatan khianat dan tidak jujur. Ertinya, semua manusia inginkan kejujuran, bersikap jujur, dan mengharapkan orang lain juga jujur terhadap mereka. Jadi mengapa hal ini terjadi? Banyak kemungkinan yang boleh disarankan, tetapi yang paling berhak menjawabnya ialah pihak yang melakukan perbuatan itu, bukan penulis yang mengirim tulisannya.
          Saya tidak fikir ada orang yang ingin berbuat khianat, atau ingin melihat orang lain dinafikan daripada mendapat keadilan dan pertimbangan yang saksama. Jadi saya tolak segala tuduhan yang mengarah kepada perbuatan khianat itu. Adalah lebih tepat jika kita membuat andaian bahawa para editor yang berkenaan melaksanakan sejenis selfcensorship kerana takutkan tindakan yang akan diambil  terhadap mereka, andainya mereka menyiarkan tulisan yang tidak direstui oleh organisasi tempat mereka bekerja. Semua tulisan tidak harus terlalu kritis atau memperlihatkan sikap tidak bersetuju yang agak tegas, yang tidak boleh diterima oleh organisasi berkenaan. Jika inilah masalahnya, maka di sinilah kebijaksanaan para editor diuji. Saya ingin memberikan beberapa contoh untuk diperhatikan. Dalam tahun 1969, Keris Mas mengembalikan cerita pendek saya “Matinya Seorang Pahlawan” dengan nota pendek berbunyi: “Karya ini baik, tapi tak sesuai disiarkan pada waktu ini.” Cerita pendek itu disiarkan dalam majalah Penulis. Dalam tahun 1974, Usman Awang mengirim Ajikik ke pejabat saya untuk meminta persetujuan supaya perkataan “Keling” (yang jadi bahasa basahan di Kelantan) diganti dengan “India”. Saya bersetuju, dan cerita pendek “Nikmat Kemakmuran” (ditulis khusus untuk memperingati wujudnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1974) disiarkan dalam Dewan Sastera dan menang Hadiah Sastera. Dalam tahun 1974, kumpulan cerita pendek Le Masque akan diterbitkan; tetapi Encik Mohd. Nor Azam yang mengendalikan buku itu meminta persetujuan saya untuk membuang tiga buah karya yang dianggapnya agak sensitif. Apabila saya jelaskan, beliau terima dan buku itu diterbitkan. Cerita pendek “Le Masque”, salah satu yang ingin dibuang itu, dianggap oleh Prof. Rahman Shaari dalam Syarahan Perdananya (29 Disember 2004) sebagai sebuah karya yang berhasil membicarakan hipokrasi para penulis (hal. 45). Tiga contoh ini memperlihatkan kebijaksanaan editor yang profesional, yang tidak ada motif tertentu. Mereka ingin selamatkan karya bermutu, yang kerana sebab-sebab di luar sastera dipandang agak sensitif. Sekarang tradisi baik ini tidak lagi dipraktikkan oleh editor baru di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi saya ingin tegaskan di sini bahawa penerbitan buku kecil Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) terjadi kerana usaha dua orang editor muda ketika itu, Rogayah Abdul Hamid dan Mohd.Yussop.
          Ada juga penulis yang menyatakan tidak senang dengan ungkapan anti-Islam dan anti-ilmu, yang menurut mereka terlalu keras dan tidak adil. Persoalan ini sudah saya bicarakan dalam wacana ilmiah di ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (21 Disember 2004) dalam sebuah kertas panjang berjudul “Kesusasteraan Melayu di Persimpangan Jalan: Anti-intelektualisme, Hasad, Pandirisme.” Apabila saya beri beberapa contoh yang membuat saya merumuskan kesimpulan itu, mereka berkata, hal itu terjadi kerana kejahilan dan rendah harga diri, bukan kerana anti-Islam atau anti-ilmu. Antara contoh yang saya berikan ialah sikap mengada-ada seorang penulis sajak terkenal yang mengingatkan bahawa jika gagasan Persuratan Baru diterima, maka penulis tidak lagi bebas, tetapi terkongkong dalam kerangka sempit. Hasil karya tidak aneka ragam lagi, hanya sejenis saja. Tentu saja andaian ini tidak benar, kerana tujuan gagasan Persuratan Baru ialah untuk membebaskan para sasterawan daripada menghasilkan karya picisan, dangkal, dan berdasarkan kemahuan hawa nafsu saja. Contoh lain pula mengenai sifat sastera yang tidak harus dikaitkan dengan agama atau nilai-nilai agama. Sastera tentang manusia, yang jahat dan baik, yang kuat dan lemah, yang pandai dan bodoh. Jika hanya yang baik-baik saja dijadikan bahan kreatif, maka dunia manusia tidak lagi realistik, tetapi menjadi terlalu sempit dan bertentangan dengan realiti. Sekali imbas, pendapat ini bunyinya seolah-olah cerdik, tetapi sebenarnya keliru dan cetek. Gagasan Persuratan Baru tidak menyekat sesiapa saja menulis karya sastera (berasaskan emosi) dan karya picisan (berasaskan hawa nafsu dan kelakuan lucah), yang lebih rendah kedudukan dan mutunya daripada karya persuratan yang berasaskan ilmu yang benar. Terpulang kepada penulis sendiri untuk memilih mana satu jenis yang mereka mahu, tetapi mereka harus sedar bahawa karya picisan tidak boleh disetarafkan dengan karya persuratan atau karya sastera, demikian juga karya sastera tidak setaraf dengan karya persuratan. Pembahagian begini boleh dan perlu didebatkan jika orang tidak bersetuju. Satu hakikat yang jelas terbentang dengan pembahagian seperti ini ialah kita dapat melihat mutu sebenar sesuatu karya dan dapat pula mengukur kemajuan yang telah kita capai, dengan itu membuat kita lebih arif tentang penilaian karya kreatif. Jika tidak ada kesedaran begini, maka akan terjadilah campur aduk yang sungguh mengelirukan, seperti yang dilakukan oleh panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, yang memang tidak membezakan antara karya picisan dengan karya yang bermutu, malah bagi mereka takrif “karya bermutu” itu boleh apa saja, tidak mempunyai ukuran yang tepat, jitu dan objektif.
Kekeliruan seumpama ini diluahkan lagi oleh SN Prof. Dato’ Dr. Syed Othman Syed Omar dalam kertas kerjanya di satu kolokium, termuat dalam prosiding berjudul Peradaban Melayu Timur Laut (DBP 2005). Pada kesempatan yang begitu baik untuk mengkritik gagasan Persuratan Baru, beliau memilih untuk menyindir, dalam ocehan (istilah Heidegger idle talk) berjela tanpa sebarang analisis, tidak dapat membezakan Persuratan Baru (yang tidak disebutnya) dengan Persuratan Melayu, kerana baginya kesusasteraan dan persuratan sama saja, tidak perlu dikelirukan seperti yang dibuat oleh seorang tertentu (hal. 181). Dalam ocehannya itu, jelaslah beliau tidak tahu menahu tentang gagasan Persuratan Baru, tetapi ingin berbicara tentangnya. Masyarakat dan sarjana sastera serta para sasterawan dinafikan daripada mendapat hasil penelitian yang mendalam berdasarkan analisis yang dihujahkan dengan terperinci dengan memberikan bukti-bukti yang tepat, apabila tokoh besar ini memilih untuk mengelirukan dirinya sendiri dan para pembaca dengan tidak membicarakan gagasan Persuratan Baru secara tuntas. Beliau tidak boleh menerima gagasan Persuratan Baru kerana analisis berdasarkan Persuratan Baru akan membenarkan kesimpulan yang pernah dibuat terhadapnya sebagai seorang tokoh yang hanya “pandai menulis, tetapi tidak pandai mengarang”, yang dibuktikannya dengan begitu jelas melalui tulisan itu sendiri. Sebagai seorang sarjana besar dan berpengaruh, beliau seharusnya membantu pembaca memahami persoalan, dengan memberikan analisis yang kritis dan jelas berasaskan penelitian yang objektif. Beliau memang mempunyai kemampuan intelektual yang luar biasa dengan mengemukakan teori Kritikan Melayu yang terkenal itu, yang sepatutnya digunakan untuk menilai gagasan Persuratan Baru. Adakah Kritikan Melayu pun sejenis ocehan  saja?
Kita di Malaysia  sangat beruntung, kerana selain tokoh besar ini, ramai lagi tokoh-tokoh besar lain yang mengemukakan “teori” masing-masing (walaupun pada nama saja), sehingga ada yang berkata bahawa kini sudah terdapat industri teori sastera di Malaysia. Kita tidak saja terkenal dengan produksi budu, pekasam, cencaluk, belacan dan tempoyak, tetapi juga mempunyai begitu banyak “teori” sastera yang hebat-hebat namanya yang baunya tidak kalah dengan produk-produk tadi. Malah ada di antara tokoh besar kita yang “menelurkan” tiga empat buah teori dengan nama hebat-hebat ini, seperti teksdealisme (untuk sastera Melayu), ubudiyyah (untuk sastera Islam) dan lain-lain. Bolehlah rujuk buku Teori Dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP, 2005). Gagasan Persuratan Baru tidak termasuk dalam kumpulan “cencaluk teori” ini, kerana memang bukan teori, hanya sejenis kerangka analisis yang cukup sederhana untuk digunakan oleh orang-orang yang berminat dalam dunia analisis teks yang sederhana pula kemampuan akademik dan keupayaan intelektualnya!
Pemilihan sasterawan untuk diberi hadiah, anugerah dan lain-lain, kuat dipengaruhi pendirian politik yang mesti menyokong pihak berkuasa. Akibatnya, hanya satu jenis sasterawan saja yang terpilih. Mereka tidak boleh disentuh atau dikritik, hanya perlu dipuji saja, dengan alasan mereka sudah terpilih daripada yang terbaik. Sikap begini boleh membekukan pemikiran kerana terdapat unsur  anti-ilmu dan memusuhi perdebatan yang kritis, dengan misalnya melempar tuduhan kononnya sesiapa juga yang mengkritik mereka bersifat sentimen, menyerang peribadi, didorong oleh rasa dendam dan hasad dengki. Secara sedar diwujudkan halangan dan kekangan supaya tokoh-tokoh terpilih dan terpuji itu kekal sebagai berhala hidup yang dikenal dengan nama “the sacred cow”. Sikap positif yang lebih terbuka akan memungkinkan gagasan Persuratan Baru dijadikan asas penilaian dalam satu projek kritikan dan penilaian semula yang ditumpukan kepada peranan ilmu dalam penulisan kreatif, dengan menggunakan karya-karya pilihan para sasterawan negara sebagai ukuran. Apakah yang menghalang pelaksanaan projek seperti ini? Organisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, universiti, syarikat-syarikat penerbitan yang besar-besar, boleh memainkan peranan sebagai penyebar pemikiran baru melalui projek seperti ini. Tetapi ada pandangan yang menarik yang mengatakan bahawa jika projek seperti ini dilaksanakan, maka terjadilah diskriminasi terhadap para tokoh besar kita, yang tidak wajar ditentukan ukuran apa yang akan digunakan kerana karya mereka melangkau semua teori dan tidak seharusnya ditumpukan kepada satu teori saja, seperti gagasan Persuratan Baru. Pandangan ini memang bernas untuk mempertahankan para tokoh besar ini supaya terus berada dalam sarung kebal, seperti kura-kura memasukkan kepalanya ke dalam kulitnya apabila disentuh. Tiada salahnya kita terus memenangkan kura-kura dalam cerita kanak-kanak kita dengan menjadikan kura-kura sebagai ukuran kemajuan kita dalam bidang ilmu dan seni, asal saja kita sanggup menunggu lama (sangat lama) untuk mencapai kemajuan yang betul-betul bermakna, yang boleh kita percepatkan melalui penguasaan ilmu yang benar seperti yang ditegaskan dalam gagasan Persuratan Baru. Tetapi tentulah sangat aneh jika inilah pendirian para sasterawan dan sarjana sastera kita. Selepas dituduh anti-ilmu, kini mereka muncul sebagai golongan yang anti-kemajuan pula. Wallahu a’lam.                  


[Petaling Jaya, 15 Januari 2006].                                                          

No comments:

Post a Comment