Bayangkan
anda bertemu setongkol kayu buruk yang keras ketika berjalan di tepi pantai.
Kerana anda seorang pengukir yang handalan, anda lihat pada kayu buruk itu
ciptaan seni ukir yang indah. Lalu anda ukir satu ukiran pascamoden yang sangat
abstrak, bukan manusia, tetapi menggapai kedua belah tangan seolah-olah sedang
memanggil atau mungkin juga sedang mengharap pertolongan. Ukiran kayu buruk itu
begitu memikat, sehingga seorang pelancong yang melihat dalam pameran terus
membelinya dengan harga mahal. Pembeli memberitahu, dia tertarik dengan tangan
yang seolah-olah memohon sesuatu, yang dibacanya sebagai isyarat betapa
kehidupan ini masih lagi mempunyai harapan. Adakah anda bangga kerana mendapat
wang yang banyak? Atau anda bangga kerana hasil seni anda mendapat perhatian
yang begitu memukau? Atau kedua-duanya. Katalah anda bangga kerana dapat wang
dan pada masa yang sama bangga kerana anda telah mencipta satu hasil seni yang
tinggi mutunya. Ketika itu, anda mungkin tidak peduli atau tidak sedar bahawa
ciptaan anda itu asalnya setongkol kayu buruk. Bagaimana kayu buruk itu
tiba-tiba bertukar menjadi hasil seni yang berharga? Tentulah kerana daya
kreatif anda yang tinggi yang berjaya mengukir sesuatu yang benar-benar memikat
manusia yang melihatnya. Kayu buruk yang ditemui di tepi pantai, boleh menjadi
hasil seni yang tinggi? Adakah ini suatu perkara yang aneh? Nampaknya sumber
tidak penting; yang penting hasilnya. Kayu buruk, tetapi keras, boleh dijadikan
satu hasil ukiran yang indah. Inilah yang terjadi dalam dunia seni Barat pun.
Seorang ahli seni yang daya seninya mengherankan, mengambil magkuk kencing,
lalu dijadikan hasil seni dan diterima pula oleh masyarakat sebagai hasil seni.
Inilah yang dibuat oleh Duchamp yang memberi nama karyanya Fontaine. (Lihat gambarnya dalam buku estetik atau buku sejarah
seni ukir/lukis). Bagaimana tempat
kencing tiba-tiba diterima sebagai hasil seni? Menurut satu teori estetik
Barat, sesuatu hasil seni perlulah diterima dan diperakui oleh kumpulan pakar
yang ada authoriti dalam bidang itu sebelum dapat diterima sebagai hasil seni.
Asal usulnya tidak penting. Yang penting hasilnya. Di Malaysia pun memang
begitu. Shahnon Ahmad menulis Shit
(Tahi) dan
telah diterima sebagai hasil sastera yang tinggi mutu dan seni
estetiknya. Dia telah berjaya membawa tahi menjadi bahan seni yang dikagumi.
Dalam dunia persajakan, Muhammad Haji Salleh menjadikan Si Tenggang, seorang
penderhaka sebagai wira dan diterima sebagai sajak beliau yang terbaik dan
paling tinggi nilai “intelektual” kerana telah dapat mengubah kejahatan menjadi
kebaikan. Dengan bangga, dan agak
angkuh, beliau berkata, “aku telah belajar/jadi kurang ajar”. “Seni” boleh apa
saja, dan inilah sifat sastera moden yang disanjung di Malaysia.
Daripada perspektif ini, para sasterawan negara sudah
lama hanyut dalam nilai-nilai sastera Barat; malah mereka sebenarnya sangat
bangga kerana pengalaman berhanyut itu memberi mereka peluang untuk meluahkan khayalan
mereka dalam bentuk cereka atau sajak. Mereka disanjung walaupun bahan asal
yang menjadi perhatian mereka adalah tahi, sejenis najis, kemudiannya pujian
itu diukir dalam kata-kata pujian yang amat memikat oleh para penilai mereka,
anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Para sasterawan ini yakin bahawa sastera
Melayu moden tidak mungkin lahir tanpa pengaruh Barat, oleh itu adalah tepat
sekali, menurut mereka, jika karya mereka juga dinilai daripada perspektif
Barat, hatta karya yang mereka namakan karya Islam seperti yang diklaim oleh
Shahnon Ahmad. Kita telah melihat bagaimana Mana Sikana memberi pembelaannya
terhadap Mazhab Sastera Islam Shahnon Ahmad yang serasi dengan nilai-nilai
Barat, terutama yang bercorak pascamodenisme dan yang sejenis dengannya. (Kalau
anda sudah lupa, sila rujuk Mana Sikana, Sasterawan
Negara di Takhta Keunggulan, hal. 38-39).
Keghairahan Panel untuk memuji melepasi langit ke tujuh boleh anda baca
dalam laporan tentang Kemala. Beberapa bahagian telah saya salin dalam blog ini
untuk makluman anda (rujuk antara lain entri bertarikh 14 September 2014 dengan
tiga kutipan panjang). Sebagai contoh,
perhatikan sanjungan ini: (Kata Panel) :
“Kemala lebih mengarah kepada persoalan diri dengan gaya bahasa yang
cukup indah dan memukau. Renungannya cukup tajam dalam melihat akan hakikat
kehidupan manusia yang menjelekkan, memualkan dan menjengkelkan. Sajak-sajakmya
bertolak daripada persoalan diri, membawa kepada persoalan keluarga, masyarakat
dan kehidupan manusia seluruhnya dan dikaitkan dengan persoalan ketuhanan.
Nampaknya tujuan akhir penyair adalah untuk mengajak pembaca mendekatkan diri
dengan Yang Abadi.” (hal. 19, Laporan
2012). Semua itu hanya kata-kata,
tidak dibuktikan dari contoh yang konkrit. Semua pujian ini hanya retorik
peragaan yang kosong, tidak pantas ditayangkan oleh sekumpulan “pakar” sastera
yang diberi tugas besar untuk menilai dengan objektif, bukan untuk memuji tanpa
asas. Nampaknya Panel tidak membaca atau memang tidak ada contoh, tetapi pujian
mesti disemburkan untuk mewajarkan pelantik Kemala sebagai sasterawan negara.
Al-Quran menceritakan bagaimana Iblis yang dikutuk Allah
kerana tidak menerima makluk baru, Nabi Adam ‘a.s. dengan tidak mahu
menghormatinya, telah berjaya memperdayakan Nabi Adam ‘a.s. untuk mendekati
pohon terlarang di dalam syurga dengan menggunakan logik bahawa laragan itu
bukanlah larangan, tetapi peringatan jika sekiranya baginda melanggar perintah
itu, maka kekallah baginda dalam syurga. Itu logik Iblis yang digunakannya
untuk memperdaya Nabi Adam dan sekali gus menipu baginda. Sebaik saja Nabi Adam
‘a.s. melanggar larangan itu, maka baginda tidak lagi berhak berada dalam
syurga. (Penjelasan lanjut dalam Tafsir
al-Mishbah, jilid 1, hal. 183-194). Tanpa disedari, prinsip pelanggaran yang dijadikan prinsip
keunggulan dalam seni sastera adalah menghampiri ajaran Iblis, jika tidak pun
diilhamkan sepenuhnya oleh Iblis. Yang penting dalam peristiwa ini ialah
hakikat bahawa manusia tidak bebas untuk melakukan kejahatan dengan melanggar perintah Allah
yang telah mengajar manusia mana yang baik dan mana yang tidak. Orang Islam
diajar prinsip ini kerana inilah yang akan membawa mereka kepada kesempurnaan
amal mereka, yang akan membawa mereka kepada takwa. Mengapa prinsip ini tidak
boleh dipakai dalam teori persuratan dengan berlandaskan konsep ilmu yang
benar?. Jika ini diterima, penulis Islam bebas membuat kebaikan tetapi tidak
bebas untuk membuat kejahatan kerana itu akan menjauhkannya daripada Allah dan
dengan itu menjadi penentang segala larangan Allah. Itulah perbuatan yang
paling biadab. Dan ini dilakukan dengan sewenang-wenangnya oleh para sasterawan
atas nama kebebasan berkarya untuk menggambarkan realiti masyarakat yang tidak
boleh lari dari kejahatan. Di sinilah para sasterawan ini membuat kesilapan
besar, apabila mereka menyamakan kejahatan dan kebaikan, dan tidak lagi
menerima konsep amar makrup yang diajarkan oleh Islam. Dengan melakukan pelanggaran ini, maka mereka
menjadi “berani” menulis untuk menjadikan kejahatan sebagai lambang kelemahan
manusia; padahal mereka telah diajar bahawa yang mereka mesti lakukan ialah
menurut perintah Allah yang diajar di dalam al-Quran. Semua ini tidak dapat difahami jika sasterawan dan sarjana menolak
konsep ilmu yang benar bersumberkan daripada al-Quran, berasaskan ajaran
tauhid dan jatuh ke dalam diri manusia dalam konsep taklif. Jika anda faham
hujah ini, anda akan dapat melihat betapa palsunya karya para sasterawan negara
yang lebih cenderung kepada ajaran Iblis yang memujuk penulis untuk melakukan pelanggaran
untuk menyerlahkan keangkuhan mereka sebagai penulis yang original, kononnya.
Semua ini tidak akan terjadi jika penulis memahami konsep insan yang diajarkan
dalam Islam. Sekarang kita boleh lihat
dengan jelas di mana duduknya para sasterawan negara dan para sarjana yang
menyokong mereka. Bolehkah kita terima, dan pertahankan kedudukan mereka
sekarang? Sekiranya kita masih mempertahankan nilai-nilai palsu sastera Barat
yang bertentangan dengan konsep insan yang difahami dalam Islam, maka mereka masih selamat dalam kandang
sastera Barat. Sebaliknya jika sudah ada kesedaran di kalangan para sasterawan
negara sendiri, juga di kalangan para sarjana ciritan, kedudukan mereka
sekarang tidak wajar dipertahankan kerana sudah jelas mereka berada dalam kekeliruan
yang besar. Sekurang-kurangnya telah ada
kesedaran pada Muhamad Haji Salleh bahawa kita telah lama menggunakan ukuran
yang tidak sesuai dengan sifat kita sebagai sasterawan Melayu (lihat rungutan beliau dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14;
lihat juga komen saya dalam entri 24 Jun 2014), tetapi belum lagi ada
keberanian untuk menerima, atau sekurang-kurangnya cuba memahami konsep ilmu
yang benar yang diajarkan oleh Islam. Seorang yang mendakwa dirinya pelopor
sastera Islam seperti Shahnon Ahmad masih menolak konsep ilmu yang benar itu,
dan terus berada dalam kekeliruan yang diciptanya sendiri yang dipertahankannya
dengan gigih walaupun beliau mungkin sedar beliau berada dalam kekeliruan.
Andainya beliau masih percaya sastera
Islamnya mesti dibumbui dengan unsur erotik dan porno, maka biarkan beliau
mendakap kekeliruannya itu sampaik mati. Tetapi kita yang sedar akan kesilapan
besar beliau, tidak boleh menerima kekeliruan itu sebagai satu standard dalam
sastera Islam. Walaupun kita bersedia mendengar hujah mereka, namun mereka
harus sedar bahawa istilah pelanggaran
yang mereka jadikan asas keunggulan karya mereka, adalah satu kesilapan besar yang menutup
mereka dari kebenaran, dengan itu menggunakan logik yang diajar oleh Iblis
untuk membenarkan apa yang mereka anggap,
sebagai sasterawan bahawa mereka
bebas menulis tentang kejahatan, dengan itu menolak konsep uswatun hasanah yang diajarkan oleh
al-Quran. Dalam konteks inilah peringatan Prof. Fazlur Rahman amat relevan
untuk dijadikan renungan yang serius:
“Given the depth of human
self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature,
to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be
consequential, for upon this depends the
whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (hal. 33). [Major Themes of the Quran].
Bahagian II
Masalahnya
ialah para sasterawan, terutama sasterawan negara, dan para sarjana ciritan,
tidak boleh terima peringatan Prof. Fazlur Rahman kerana menurut mereka pesanan
itu hanya satu pandangan, yang boleh diterima dan boleh juga ditolak. Sikap
dolak dalik ini tidak ada ketika mereka berhadapan dengan teori sastera Barat,
dengan itu mereka menerima sepenuhnya teori sastera Barat itu sebagai benar dan
sesuai dengan kehidupan manusia biasa. Ketika membaca tulisan mereka
membicarakan “pemikiran” para sasterawan negara, saya tidak bertemu satu pun
tulisan yang kritis terhadap teori sastera Barat, malah menjadi kemegahan
mereka untuk menyatakan dengan bangga bahawa semua karya para sasterawan negara
adalah sesuai dan cocok dengan teori sastera Barat, oleh itu karya mereka
adalah universal. Alasan ini tidak
mempunyai asas akademik sama sekali, dan boleh dipatahkan seperti kita mematah
lidi yang sudah menjadi arang. Tidak ada teori sastera Barat yang universal,
kerana banyaknya teori itu yang saling bertentangan satu sama lain sudah cukup
untuk dijadikan hujah bahawa setiap teori sama ada memberi tumpuan kepada satu
aspek saja atau menjadi sebahagian daripada kritikan umum suatu pendapat yang
pada asalnya dianggap universal. Contoh terbaik ialah kritikan Jacques Derrida
terhadap Ferdinand de Saussure. (Untuk keterangan lanjut, rujuk John M. Ellis, Against Deconstruction.) Tidak mungkin terdapat teori sastera Barat
yang universal kerana setiap sarjana yang mengemukakan sesuatu teori cukup
insaf bahawa tidak mungkin diwujudkan satu teori yang universal sebagai a general theory of literature. Dalam
keadaan sekarang, yang dikatakan dikongkong oleh faham postmodernism, kecenderungan untuk bersikap parokial dan tersendiri
adalah kuat, kerana faham postmodernism
sendiri mengusulkan kepelbagaian yang berbeza sesuai dengan keperluan yang
mendorong timbulnya sesuatu teori. Jadi
hujah universalisme ini tidak saja karut, tetapi juga bertentangan dengan fakta
sejarah dan fakta perkembangan individualisme modern yang menekankan faham
individu, seperti yang dapat kita lihat dalam perkembangan aliran falsafah di
Barat. Jika benar andaian sarjana
ciritan bahawa karya sasterawan negara semuanya cocok dengan semua teori
sastera Barat, maka menjadi tuntutan akademik untuk melihat sejauh mana
penilaian demikian memenuhi ukuran yang biasa digunakan dalam Islam, berasaskan
konsep ilmu yang benar. Tututan ini menjadi sesuatu yang wajib dilakukan kerana
selain semua sasterawan negara klaim mereka menulis dari perspektif Islam, yang
kesahihannya perlu diuji dengan teliti; maka kita juga ingin melihat mengapa
karya para sasterawan negara itu terserlah (?) apabila dikaji daripada
perspektif teori Barat? Tetapi andaian
ini telah dibuktikan silap oleh Prof. Madya Arbak Othman dalam kertasnya yang
membicarakan karya Muhammad Haji Salleh daripada perspektif semiotik. Lihat
entri bertarikh 24 September 2014 untuk
melihat betapa liatnya sajak-sajak permainan bahasa Muhammad Haji Salleh yang
tidak mesra pembaca, yang tidak dapat ditafsirkan dengan memuaskan menggunakan
teori semiotik. Pensajak ini hanya bermain dengan bahasa, tidak bermain dengan
idea, oleh itu beliau bukanlah seorang pemikir, tetapi hanya pemain yang masih
bertaraf amatur. Panel Anugerah Sastera Negara membuat kesilapan besar tidak
dapat mengesan permainan bahasa yang bertaraf amatur ini, dengan membuat
kesimpulan beliau seorang pensajak intelektual. Mana satu sajak intelektual
yang beliau hasilkan? Kita tidak boleh
terima sajak “Pulang Si Tenggang” sebagai sajak intelektual seperti yang
dikatakan oleh sarjana ciritan dan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Saya
tidak perlu ulang hujah saya, kerana telah kerap dibicarakan dalam blog ini.
Antara ciri penting sebuah sajak intelektual ialah terdapatnya visi yang jelas
dalam sajak berkenaan, yang memang tidak terdapat dalam “Pulang Si Tenggang”.
Kegemaran Muhammad Haji Saleh bukan berfikir, tetapi membuat catatan dan
memberi komen. Anda perlu baca dengan kreatif dan kritis kumpulan sajak beliau Sebuah Unggun di Tepi Danau dan Aksara Usia untuk memahami mengapa saya
membuat kesimpulan demikian. Jelas tidak ada visi apa-apa dan tidak juga
pemikiran yang menarik tentang sesuatu persoalan, kecuali komen biasa dan
catatan perjalanan biasa juga. Oleh itu, menggunakan teori semiotik untuk
membuat tafsiran sajak-sajak beliau akan sia-sia kerana tidak wujud tanda-tanda
seperti yang diimbaskan oleh al-Quran dalam konteks “memahami tanda-tanda
kebesaran Allah” misalnya. Anda tentu tahu pendekatan al-Quran amat empirikal,
terus kepada pengalaman manusia supaya manusia tahu makna segala perbuatannya
dan amalnya dan kesannya dalam kehidupannya. Saya telah memberi beberapa contoh
dari syair Iqbal dan mathnawi Rumi tentang perkara ini. Baca kembali dan
fahamkan. Ketika itulah anda akan faham makna pemikiran dalam seni mengarang.
Jika anda masih belum dapat memahami maksud saya, baca sajak “Al-Andalus” dalam
Pujangga Melayu dan kaji maknanya
dengan membandingkannya dengan sajak “Pulang Si Tenggang”. Saya kira pendekatan ini akan memberi peluang
kepada anda untuk melihat makna sebenar kedua-dua sajak ini dalam konteks
memahami ayat-ayat Allah yang disentuh tadi. Anda boleh gunakan teori mana saja
yang anda tahu dan lihat hasilnya. Boleh?
Untuk meyakinkan anda, gunakan tidak kurang dari sepuluh teori sastera
yang anda tahu dengan mencukupi untuk digunakan dengan berkesan. Seorang pengkritik yang bertanggung jawab
harus lebih cerdik dan luas pengetahuannya daripada sasterawan yang
dikritiknya. Mudah bukan?
Jika anda
baca dengan kreatif dan kritis makalah empat orang sasterawan negara dalam Sastera Teras Negra Bangsa, anda akan
dapat melihat dengan jelas betapa naif dan ceteknya ilmu mereka yang mereka
peragakan dalam tulisan yang tidak wajar dihasilkan oleh seorang yang sudah
ditakhtakan sebagai sasterawan negara. Sikap bermain-main nampak jelas dalam
tulisan Muhammad Haji Salleh yang menulis dari atas bumbung kilang berkarat;
demikian juga tulisan Baha Zain yang terlalu ghairah hendak membodek kerajaan
yang telah melantiknya menjadi sasterawan negara (baca betul-betul makalah
beliau ini); dari Anwar Ridhwan kita lihat kegopohan yang tak perlu untuk
memuji IB yang tidak difahami dengan betul; dari Kemala kita masih membaca
tulisan seorang penulis yang kegemarannya menggilap dirinya seolah-olah masih tidak
yakin beliau telah diberi kedudukan yang diimpikannya, dengan terus berbicara
tentang dirinya yang membosankan. Apakah sumbangan mereka dari segi pemikiran?
Nil. Nol. Hanya ocehan yang diulang-ulang. Ketika mereka diharapkan boleh
membawa sastera Melayu ke wajah yang diimpikan, seperti dalam tajuk
perbincangan tentang wajah sastrera Melayu akan datang, mereka masih mengomel
tentang klise lama. Baca dengan kritis dan kreatif, nescaya anda akan dapati
betapa sia-sianya kita memberi kedudukan yang istimewa kepada mereka yang
sebenarnya tidak berupaya memberi sumbangan pemikiran yang bernas dan berguna
untuk difikirkan lebih mendalam. Apa gunanya kembali kepada penglipur lara ...
tak ada modal lain lagikah? Ini yang saya maksudkan. Tidak saja klise, tetapi klise yang telah
koyak rabak kerana terlalu kerap diulang-ulang dalam seminar. Mengingatkan saya
kepada rubayat Umar Khayam, yang masuk ke majlis dari pintu yang sama untuk
keluar. Lagaknya lebih, isinya entah apa-apa. Tentulah sangat lucu, dan lucah
dari segi akademik, jika anda perlu memanjat bumbung kilang berkarat untuk
mencari ilham? Inilah wajah sebenar ahli akademik kita.
Kesimpulan
saya menolak sasterawan negara sejak 1981 adalah tepat, dibuktikan dengan cukup
jelas pada waktu ini apabila kumpulan ini hanya berjaya membentuk Mutual
Admiration Club, bukan memajukan sastera dan pemikiran tentang sastera.
Mereka bukan golongan pemikir, tidak juga penulis kreatif yang berfikir. Sekali
lagi, teliti kritikan saya dalam “Keunggulan Yang Cacat” dan kritikan saya
mengenai dua buah buku Mana Sikana yang meletakkan para sasterawan negara ini
di atas takhta keunggulan yang bukan layak bagi mereka. Jalan keluar telah saya
berikan dalam tahun 2006 dalam seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka. Sudah jelas kewujudan kumpulan sasterawan negara ini tidak relevan dan
bertentangan dengan sejarah kebudayaan Melayu yang menempatkan ilmu yang benar
sebagai teras, perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana sasterawan
negara pun.
Kesimpulan tegas.
Sesuatu
teori sastera yang bermakna haruslah dapat mengembalikan manusia ke alam alastu, ketika semua manusia masih
berada di alam ruh tetapi sudah bersaksi bahawa Allah adalah pencipta mereka
yang berhak disembah dan ditaati. Inilah ajaran tauhid yang membimbing manusia
dengan taklif. Hanya jalan ini saja yang boleh mencerdikkan manusia seperti
yang ditegaskan oleh Prof. Fazlur Rahman, dalam kutipan yang saya ulang
berkali-kali dalam blog ini. Saya pernah memakai slogan “kembali menjadi
manusia” ketika memperkenalkan idea pentadbiran Islam sebagai menyambut abad
baru Hijrah, 1978. Kini slogan itu
ternyata sangat relevan untuk para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan
yang hanyut dalam khayalan yang dilhamkan oleh teori sastera Barat. Mereka
harus kembali menjadi manusia dengan segala implikasinya.
Gagasan Persuratan Baru Mencabar
Kewarasan Sarjana dan Sasterawan
Maksud
“kewarasan sarjana dan sasterawan” merujuk kepada sifat terbuka mereka untuk
mendekati teori dastera Barat secara kreatif dan kritis dengan memberi
perhatian serius kepada cabaran dari segi ilmu yang benar yang diketengahkan
oleh Gagasan Persuratan Baru dalam dunia akademik dan kreatif Malaysia.
Pengaruh teori sastera Barat tidak mungkin dihapuskan begitu saja; sebaliknya
perlu difahami dengan kreatif dan kritis dalam konteks hakikat ilmu yang
diajarkan oleh Islam. Kita ambil satu aspek daripada dekonstruksi yang menjadi
masalah kepada teori ini, iaitu aspek makna dan tafsiran terhadap sesebuah
teks. Siapakah yang menentukan makna
sesebuah teks, pengarang atau pembaca?
Bagi Prof. Madya Arbak Othman yang meneliti sajak-sajak Muhammad Haji
Salleh daripada perspektif semiotik, pengarang tidak boleh menentukan makna dan
tafsiran karyanya, kerana yang menghadapi masalah makna dan tafsiran itu ialah
pembaca dan pengkaji. Sejauh mana mereka bebas menentukan makna sesebuah teks
dan bagaimana tafsiran yang mereka buat
itu boleh diyakini tepat? Inilah persoalan besar yang dihadapi dalam teori
sastera Barat, yang dihuraikan dengan mendalam oleh John M. Ellis dalam
bukunya, Against Deconstruction
(lihat terutama sekali bab 4 dan 5.)
Sekiranya anda seorang sarjana atau sasterawan yang berminat dalam
persoalan ini, anda harus membacanya sendiri supaya anda sendiri dapat melihat
masalah ini seperti yang dihadapi oleh teori sastera Barat. Persoalan ini tidak dihadapi oleh Persuratan
Baru, kerana konsep ilmu yang benar yang menjadi tunjang PB memberinya laluan
untuk menentukan ukuran yang boleh dipakai secara objektif dalam menentukan
makna sesebuah teks dilihat daripada perspektif ilmu yang benar. Sekali lagi,
saya cadangkan anda sendiri melakukan sedikit eksperimen dengan menggunakan apa
juga teori Barat yang anda suka untuk membaca dan membuat tafsiran terhadap
sajak “Pulang Si Tenggang” atau novel-novel Anwar Ridhwan sperti Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Naratif Ogonshoto, dan Penyeberang Sempadan. Uji tafsiran anda
itu dengan melihatnya daripada kaedah PB. Apakah yang anda dapat? Para sarjana
selalu menegaskan novel Naratif Ogonshoto
itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai makna, atau mereka katakan mempunyai makna
yang berlapis-lapis. Bagaimana anda menentukan ini dan menghujahkan makna yang
berlapis-lapis itu? Saya mengatakan novel-novel itu bukanlah novel yang
bermutu, seperti yang diklaim oleh para sarjana dalam dan luar negeri, dan saya
beri pandangan saya dalam “Keunggulan Yang Cacat”. Sejauh mana saya telah
melakukan kesilapan tafsiran, dan sejauh mana pula tafsiran para sarjana itu
tepat? Dengan menggunakan pendekatan ini, anda akan memberi peluang kepada
karya itu sendiri menentukan kekuatannya yang terserlah dalam kesempurnaan
kreatif sang sasterawan. Saya mengatakan, novel-novel ini menghadapi satu
kelemahan besar, yakni kelemahan dari segi perwatakan, yang dapat pula
dikaitkan dengan aspek pemikiran dan penyerlahan unsur intelektual dalam karya
ini. Sejauh mana saya silap dan sejauh mana pula tafsiran anda dan para sarjana
tepat? Dengan mengadakan ujian ini, anda memberi kesempatan kepada karya itu
sendiri berbicara dan anda juga dapat menentukan ukuran anda adalah tepat
sehingga membolehkan anda membuat kesimpulan bahawa karya itu mempunyai
berlapis-lapis makna. Semua ini memerlukan hujah dan analisis yang padat,
sebelum sesuatu penilaian diketengahkan. Sekarang hal ini tidak berlaku, dan
ini kita akan dapati dalam kertas kerja para sarjana yang menulis tentang
“pemikiran” Anwar Ridhwan dalam seminar khusus untuknya yang dianjurkan oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka (2013). Apakah
penyelesaian terbaik? Diperlukan jawapan konkrit untuk pertanyaan ini. Saya
telah memberinya. Sekarang giliran anda pula.
Saya tutup
entri ini dengan menukilkan kembali kesimpulan dalam entri 14/8/2013 untuk
renungan bersama:
Kemunculan Mutual Admiration Club ini telah menghalang perkembangan ilmu dalam
kesusasteraan Melayu, menggalakkan budaya pandirisme,
dan menjadi gerakan arus perdana yang penuh dengan buih terapung di lautan
sastera Melayu. Sasterawan dan para sarjana menjadi penghalang kepada pemikiran
baru dalam persuratan Melayu, tetapi amat bangga menjadi pengikut pemikiran
Barat yang tidak pun difahami dengan mendalam. Adalah sangat aneh, dan
melucukan, apabila para sarjana yang dulunya mengkritik pendekatan dan teori
Barat dalam sastera Melayu, tiba-tiba muncul sebagai penggerak utama dalam
usaha mempertahankan teori dan pendekatan Barat ini, kerana mereka sedar bahawa
mereka tidak ke mana tanpa teori Barat. Mereka hanya boleh hidup dengan
suburnya teori dan pendekatan Barat dalam sastera Melayu moden. Inilah pilihan
yang terbaik, menurut Panel Anugerah Sastera Negara; dengan itu Panel Anugerah Sastera
Negara ini menjadi pelindung dan pembela Mutual
Admiration Club ini. Itulah, sebenarnya, Naratif Agung dalam sastera Melayu, yang menerima dengan bangga Naratif Ogonshoto, teman setia Si
Tanggang moden itu. Kalau ini bukan kekacauan yang memalukan, yang merendahkan
darjat intelektual kita semua, maka apakah nama yang lebih sesuai dengan
matlamat Mutual Admiration Club yang melahirkan para sasterawan negara ini?
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 13 Julai 2015.
No comments:
Post a Comment