Hendak
ditolak tidak dapat; hendak diterima terlalu berat. Itulah keadaan yang dilalui
oleh para sarjana dan sasterawan ketika menghadapi cabaran dalam dua entri
terakhir yang lepas. Sebenarnya mereka
tidak perlu memberi perhatian pun, kedudukan mereka telah kukuh di atas busut
intelektual yang mereka daki walaupun seekor katak dengan sekali lompat saja
sudah berada di atas busut itu sambil menjelirkan lidah menyambut kelekatu yang
keluar dari busut itu. Perbincangan
tentang sastera Melayu tidak boleh lagi lembek macam beleda (agar-agar), tetapi
mesti rangup dan pedas seperti sambal daging (serunding daging Kelantan yang
halus dan pedas itu). Keengganan dan
ketakutan para sarjana sastera tidak mahu menghadapi sarjana Barat head on
adalah munasabah dan memang sepatutnya begitu. Ubun-ubun intelektual
mereka masih lembut, tidak akan mungkin menghadapi kepala sarjana Barat yang
keras dan dewasa. Oleh itu tidaklah
pelik jika para sarjana ini tidak peduli pun kepada cabaran yang dilontarkan
dalam dua entri yang lepas. Dalam lembah
pandirisme tempat mereka bergurau senda sesama mereka yang bangga berada dalam
dunia picisan dan cetek meraba-raba dalam kegiatan intelektual mereka, maka
cabaran dalam dua entri lepas tidak menjadi kudis kepada mereka yang tetap
bangga berada dalam lembah pandirisme.
Oleh itu,
kepada siapakah cabaran itu ditujukan?
Apabila saya melontarkan penegasan saya bahawa Pujangga Melayu lebih baik dan lebih bermutu daripada War and Peace, tujuan saya hanya untuk
menyediakan para sarjana ciritan yang cetek meraba-raba ini untuk membaca War and Peace dan Pujangga Melayu sehabis kritis yang terdaya oleh akal mereka yang
cetek meraba-raba itu. Kalau itu pun
mereka tidak boleh lakukan, maka tidak wajar jika ada di antara mereka menjadi
pensyarah sastera jika yang boleh mereka lakukan hanya membohongi para pelajar
universiti dan kolej. Inilah yang
terjadi sekarang. Mereka tidak dedahkan para pelajar mereka kepada perkembangan
terbaru dalam sastera Melayu moden yang sudah hampir 30 tahun membuka dunia
baru dalam kajian dan perbincangan tentang sastera. Kebencian para sarjana ini kepada konsep ilmu
yang benar melonjakkan keinginan mereka untuk berbohong kepada para pelajar
mereka, untuk memudahkan mereka melancarkan penipuan intelektual dalam
pengajaran sastera dengan tidak membicarakan perkembangan terakhir dalam bidang
itu yang diberikan oleh Gagasan Persuratan Baru. Walaupun Pujangga
Melayu telah diterbitkan sejak 1997, tidak seorang pun di antara para
sarjana sastera ini membaca karya agung itu hanya kerana kebencian mereka
kepada konsep ilmu yang benar yang menjadi teras penulisan karya besar
itu. Para sarjana anak belukur ini hanya
boleh merayap di tebing sungai, tidak mungkin berenang ke tengah sungai seperti
yang boleh dilakukan oleh ikan lampan dan sebarau. Inilah jenis sarjana sastera
yang mengajar para pelajar sastera di universiti dan kolej.
Dengan
menghalang kemajuan berfikir dalam sastera Melayu, para sarjana ciritan yang
cetek meraba-raba ini mengaku mereka telah berjasa besar mempertahankan
sasterawan negara yang picisan itu. Mereka tidak peduli kepada hakikat bahawa
semakin lama mereka menipu para pelajar mereka, semakin rosaklah pengajaran
sastera di universiti Malaysia. Walaupun kecelakaan terbesar dalam sastera ini
berlaku dan dilakukan di DBP atas saranan Keris Mas dalam tahun 1981 yang mahu
meletakkan penulis Asas 50 sebagai sasterawan terulung di Malaysia, namun DBP
masih boleh membaiki keadaan tidak siuman ini dengan mengadakan perbincangan
ilmiah tentang sumbangan para sasterawan negara yang picisan ini, dalam satu
perbincangan bersifat perbandingan menggunakan pendekatan berasaskan ilmu yang
benar dan teori Barat. Begitu baculnya DBP takut dikritik dalam majlis
perbincangan itu, sanggup DBP meneruskan dengan sokongan besar supaya
pembohongan intelektual ini dipertahankan dan digiatkan lagi.
Sampai bila
pembohongan intelektual ini mahu diteruskan dan diberi sokongan rasmi oleh DBP
dan ITBM?
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 15/4/2019.
No comments:
Post a Comment