Berapa besar
kesalahannya, atau berapa serius kesilapannya, jika kita membuat andaian, sejak
konsep sastera Barat dijadikan ikutan dan kemegahan oleh para penulis Melayu
maka mereka sudah kehilangan jati dirinya, hilang maruahnya? Kelompok yang kehilangan maruah ini
sebahagian besarnya berada dalam kumpulan Mutual Admiration Club yang dikepalai oleh
seorang yang dimasyhurkan sebagai tokoh
terbesar sastera Melayu moden, yang saya tolak. Kalaulah saya berkata dengan
tegas, sesiapa juga yang berpendapat begitu adalah yang paling bodoh dan tidak
bertanggung jawab, yang tidak ada maruah ilmu, maka saya menyatakan sesuatu
yang benar. Biarkan saya beri sedikit gambaran berupa bahasa bandingan untuk
memudahkan para sarjana yang cetek
meraba-raba dan para sasterawan yang tahap kreatifnya berada dalam kubang
picisan. Tentu saja anda tidak suka dengan bandingan yang saya pakai itu,
tetapi bandingan itu memudahkan anda memahami sesuatu yang tidaklah sukar untuk
difahami, tetapi bagi yang berotak lembap dia akan merasa sukar. Ini mengenai
Persuratan Baru dan hasil dari pemikiran PB itu sebuah novel berjudul Pujangga Melayu. Saya telah memberikan anda
berbagai-bagai kiasan untuk memudahkan
anda memahami persoalan yang sedang kita hadapi, misalnya dengan memberi tahu anda
Pujangga Melayu itu lebih bermutu dan
lebih besar daripada War and Peace
oleh Tolstoy. Tidak penting sama ada
anda terima atau tidak; yang penting anda dikejutkan dengan satu kesimpulan yang tidak pernah
terbayang di kepala anda walaupun anda bangga mempunyai ramai sasterawan negara
dan banyak pula karya mereka, tetapi amat mendukacitakan anda sendiri tidak
sebuah pun karya itu boleh menandingi War
and Peace. Bagaimana perkara serius
ini boleh dipermudahkan supaya otak paling tumpul di kalangan sarjana dan
sasterawan boleh memahaminya.
Di
Semenanjung Tanah Melayu terkenal Banjaran Titiwangsa; dalam Banjaran itu
tercokol Gunung Tahan. Itulah maklumat
yang saya yakin diketahui oleh semua rakyat Malaysia, yang berumur 3 tahun ke
atas, diberi tahu ibu bapa mereka.
Apakah pula Banjaran Titiwangsa dalam sastera Melayu. Tidak lain, itulah
yang semua sudah diketahui sarjana dan sasterawan yang paling bodoh sekali pun,
iaitu Gagasan Persuratan Baru. PB itu Banjaran Titiwangsa dalam sastera Melayu;
dan Pujangga Melayu itulah Gunung
Tahannya. Bila saya menulis ini saya
tertawa, geli hati dan geram sekiranya masih ada sarjana dan sasterawan yang
belum faham atau tidak mahu faham bahawa gambaran yang saya berikan itu amat
tepat, jika anda faham makna analogi dalam penulisan. Cantiknya perbandingan ini ialah ia lebih
memudahkan anda memberi apa saja gelaran buruk yang anda sudah biasa berikan selama
ini; tetapi semua itu tertolak dengan mudah dan anda sekarang terkapai-kapai
kehilangan kata-kata untuk menolak perbandingan itu. Katalah anda masih mahu
mengutuk saya sebagai tak sedar diri membuat perbandingan itu, sambil memuji
diri sendiri. Jika inilah perasaan anda, maka anda telah memberikan saya bukti
yang amat jelas yang saya kritik selama ini tentang kualiti pemikiran anda yang
rendah dan hasilnya karya anda berada dalam lubuk picisan. Tidak boleh dielakkan lagi, anda sekarang
kehilangan hujah kerana anda tidak akan berani mengambil mana-mana karya para
sasterawan negara sebagai Gunung Tahan
dalam sastera Melayu. Mana Banjaran Titi Wangsanya? Saya lupa, gelaran
sasterawan negara itulah Banjaran Titi Wangsanya! Saya biarkan saja di sini, tidak mahu berkata
apa-apa. Apabila kebodohan sudah sampai ke tahap itu, kata-kata tidak perlu
lagi. Ini mengingatkan saya kata-kata yang indah dari Prof. Prijono dari
Indonesia dalam Kongres Bahasa di Johor 1956: “Apabila persahabatan sudah
menjadi percintaan, kata tidak perlu lagi.”
Tidak pasti berapa orang di antara sasterawan dan sarjana masih ingat
kata-kata itu. Ketika itu saya berumur 16 tahun, sedang remaja, tetapi sudah
bijak dan tahu menilai kebijaksanaan orang lain. So nice,
bukan?
Apabila saya
mengemukakan sesuatu pendapat, lebih-lebih lagi jika pendapat itu mengejutkan (controversial), saya sama sekali tidak
mengharapkan anda bersetuju. Malah, jika anda tidak bersetuju itulah yang
terbaik, kerana saya dapat mendengar pendapat yang berbeza, yang mungkin lebih
baik daripada pendapat saya sendiri. Tetapi dalam iklim intelektual Malaysia,
seseorang hanya memberi pendapat, biasanya untuk menyokong, jika yang memberi
pendapat itu dari kumpulan mereka sendiri.
Meletakkan Pujangga Melayu pada tempatnya adalah
sesuatu yang saya perlu lakukan, untuk membolehkan seseorang bersetuju atau
tidak bersetuju. Saya tidak bermain-main
apabila saya meletakkan Pujangga Melayu
berada di atas War and Peace, supaya anda dapat memberi
pandangan anda yang paling baik dan bernas untuk menjadi panduan kepada para
penulis dan sarjana sastera. Jika anda seorang pensyarah, saya yakin pelajar
anda tentulah ada yang menyokong dan tentu saja ada yang menentang. Inilah yang
membuat perbincangan ilmiah menjadi rancak and
worth your time and efforts.
Barangkali
faedah paling besar dan paling bermakna dalam konteks ini ialah kita dapat
meletakkan karya para sasterawan negara pada tempat yang layak, walaupun
keputusannya mungkin mengecewakan para sasterawan negara sendiri, seolah-olah
darjat mereka telah diturunkan. Pandangan ini tidak boleh diterima, kerana
dalam dunia penulisan, yang berhak menentukan kedudukan seorang penulis ialah
karyanya sendiri, bukan gelaran yang diberikan kepada penulis berkenaan. Hal
ini menjadi masalah dalam kehidupan berkarya di Malaysia, kerana setiap penulis
akan mencuba mendapatkan penghormatan tertentu yang boleh mereka gunakan untuk
mendapat faedah seterusnya. Contoh, jika anda sudah dilantik menjadi sasterawan
negara, maka karya anda akan tertulis, Naskah Khas Sasterawan Negara. Para sasterawan negara ini dengan itu sudah
diangkat menjadi Brahmin Sastera, diberi keistimewaan dan diberikan juga darjat
“maksum” (sacral) dalam sastera
Melayu. Mereka telah ditakdiskan melalui gelaran itu. Kedudukan mereka sebagai
Brahmin Sastera bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan nilai-nilai dalam
kebudayaan Melayu. Jika mereka menolak kedudukan sebagai Brahmin Sastera itu,
mereka harus menyatakannya dengan jelas, dan ini mesti diikuti dengan tindakan
sewajarnya, misalnya dengan tidak mengangkat karya picisan mereka dengan
gelaran “naskhah sasterawan negara” padahal karya itu tidak bermutu, picisan. Karya mereka tetap karya picisan, kerana tidak
sebuah pun dari karya itu yang dapat menandingi Pujangga Melayu, dan dalam sajak tidak dapat menandingi sajak
“Al-Andalus” dan sajak-sajak lain dalam Pujangga
Melayu. Perbuatan seumpama ini (yakni dalam konteks sebagai Brahmin Sastera)
adalah tidak bermaruah, dan wajar dikutuk. Penulis bukan penyanyi pop, yang
memang perlu mendapat sokongan ramai untuk meletakkan kedudukannya lebih baik
daripada penyanyi pop lain. Tidak demikian dalam dunia penulisan, yang
menentukan semuanya ialah karya penulis itu, bukan dirinya sebagai satu
peribadi. Jika anda tidak bersetuju dengan kesimpulan ini, anda mesti tampil
membahaskannya dengan membuktikan pandangan yang dikemukakan di sini tidak
boleh diterima, dengan memberitahu secara jelas mengapa tidak boleh
diterima. Sebelum itu, anda perlu
membuktikan karya para sasterawan negara itu bukan karya picisan.
Menurut satu
analisis, para sasterawan negara ini telah melanggar batas-batas ajaran Islam,
seperti yang ditunjukkan dalam karya Naratif
Ogonshoto (untuk memberi contoh paling popular). Saya telah menghuraikan
perkara ini dalam entri lain, oleh itu tidak akan mengulangnya lagi di sini.
Kegigihan pengarang hendak menonjolkan karyanya sebagai sebuah karya Islam
telah ditolak bulat-bulat dalam satu tesis sarjana di UPM, 2014. Usaha pengarang hendak menyelamatkan karyanya
telah gagal bulat-bulat, walaupun disokong oleh para penyokong yang jelas
keliru besar dalam analisis mereka. Lihat penjelasannya dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan
Melayu Moden (2019).
Hanya satu
cara saja hendak menyelamatkan para sasterawan negara ini, iaitu dengan membuat
pengakuan beramai-ramai bahawa karya mereka tidak mencapai taraf yang
membolehkan mereka diberi gelaran sasterawan negara, seperti yang dijelaskan
dalam Anugerah Sastera Negara Dalam
Kesusasteraan Melayu Moden itu. Jika
mereka menolak cadangan ini, maka kekallah mereka sebagai sasterawan yang tidak
bermaruah, atau yang hilang maruahnya setelah gagal mempertahankan kualiti
sebenar karya mereka. Jalan keluar dari
kedudukan yang dahsyat ini sebenarnya
cukup mudah, iaitu dengan menolak segala argument
yang saya paparkan dalam buku saya, Anugerah
Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden itu. Inilah cara yang terbaik untuk mendapat
semula maruah mereka sebagai sasterawan yang mempunyai maruah. Saya cadangkan supaya buku ini diedarkan
secara percuma kepada peserta Seminar Kritikan Sastera DBP 20 Jun 2019 nanti.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 24/4/2019.
No comments:
Post a Comment