Monday, April 8, 2019

KAPITALIS KECHIL: Cerita pendek zaman muda

Catatan:  Saya siarkan cerita pendek ini untuk makluman pembaca kerana saya akan merujuk kepada karya ini apabila menulis tentang tajuk tertentu yang akan merujuk karya ini. Terima kasih atas sikap baik hati anda.



"KAPITALIS KECIL"
oleh
MABHAS*

SEJAK dia tahu berfikir-tahukan harga wang, cita-citanya hanya satu sahaja, iaitu hendak menjadi seorang kaya. Kalau saya kaya, tentu hidup saya senang, fikirnya.

Menurut pendapatnya, tiap-tiap orang yang kaya itu pastilah senang hidupnya dan pendapat ini telah menjadi darah daging kepadanya sehingga dia lupa bahawa ada orang, kerana terlalu kaya tidak biasa hidup tenteram.

Berbagai-bagai jenis pekerjaaan telah dicubanya- menarik beca, menjadi nelayan dan banyak lagi. Semuanya itu dikerjakannya dengan tujuan dan dorongan yang sama, tugasnya mencari kekayaan.

Sejak beberapa bulan yang lalu, dia berkedai menjual barang-barang runcit atau barang-barang keperluan dapur di kampungnya itu. Ayahnya telah meninggal dunia, begitulah juga ibunya. Kerana dia anak tunggal, maka sebidang tanah peninggalan kedua orang tuanya itu terserahlah kepadanya sebagai tanah pusaka. Dan di atas tanah inilah, dia mendirikan sebuah kedai kecil untuk tempat dia menjalankan perniagaan tadi itu.

Bintangnya mulai terang dengan penghidupan baru ini. Maklumlah di kampung itu hanya itulah sahaja satu-satunya kedai yang ada. Jadi ke manakah lagi orang ramai hendak berbelanja kalau tidak ke sana? Samalah seperti menahan lukah di pergentingan, setiap ikan yang lalu pastilah akan masuk ke dalamnya.

Baru-baru ini tersebar berita mengatakan cukai-cukai telah dinaikkan oleh kerajaan. Pak Mat, orang yang bercita-cita hendak kaya ini, mendengar pula cukai naik harga, barang-barang pun turut sama naik. Jadi dia tidak bertangguh-tangguh lagi, dinaikkanlah harga barang-barang jualannya. Mancis api naik harga. Ikan kering naik harga. Gula naik harga, pendek kata tidak adalah yang tidak naik harga.

Orang-orang sekampungnya itu meluap-luap marah. Walau bagaimanapun bukanlah Pak Mat yang dimarahi mereka itu kerana mereka sedar dalam perkara itu, Pak Mat tidak boleh diletakkan sebagai bertanggungjawab.

Mereka cukup faham naiknya harga barang-barang itu ialah kerana naiknya cukai-cukai. Dan yang menaikkan cukai-cukai itu bukanlah Pak Mat melainkan segolongan orang-orang yang dulu memujuk-mujuk mereka dengan janji akan membela nasib mereka. Sungguhpun mereka tidak bersekolah tinggi tetapi mereka dapat juga mengira-ngira kalau cukai naik, kerajaan tentu banyak dapat wang. Ini mereka mengerti cuma yang mereka itu tidak mengerti ialah bagaimanakah kenaikan cukai itu boleh memberi kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana yang mereka selalu dengar orang mendakwakannya.

Kesempitan hidup kerana naiknya harga barang-barang. Ini bukanlah hanya terasa oleh orang-orang di kampung Pak Mat itu sahaja bahkan di mana-mana juga. Tetapi yang terasa itu bukanlah golongan kaum modal dan orang-orang yang seperti Pak Mat ini melainkan orang-orang kampung yang miskin dan yang hidupnya miskin kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dan mereka itulah yang menyumpah-nyumpah kerana naiknya harga barang itu.

Mak Timah, seorang tua yang miskin dan tinggal berhampiran dengan rumah Pak Mat itu, misalnya semenjak naiknya harga barang itu terpaksa memberhentikan anaknya dari bersekolah.

"Aku tak berupaya lagi hendak membelanjai engkau bersekolah, katanya kepada anaknya itu. Kalau ayahmu masih hidup, dapatlah ia mengikhtiarkan perbelanjaanmu. Tetapi bagiku bagaimanakah hendak mencarikannya? Dan sekarang harga barang-barang sudah naik pula, bererti belanja hidup kita akan bertambah. Lebih baik sahaja engkau bekerja untuk menambah pendapatan kita."

"Baiklah ibu," Yusuf menjawab mengiyakan. Dan dia pun berhentilah dari bersekolah.

Dengan bertopengkan kenaikan cukai itu, Pak Mat menindas dan menghisap darah orang-orang sekampungnya. Hidup di dunia tidak ada belas kasihan, demikian dia pada suatu hari berkata kepada isterinya. Kita jangan peduli cakap-cakap orang. Ada peluang kita tidak boleh lepaskan. Ada can menaikkan harga barang-barang kita naikkan. Sekali ini tentu kita boleh jadi kaya.

Cakap-cakap Pak Mat ini diterima baik oleh isterinya itu dan oleh semua anak-anaknya, kecuali anak gadisnya yang bernama Rosnah. Mereka berfikir tak lama lagi akan menjadi kaya tetapi Rosnah tidak berfikiran begitu. Dia tidak mengharapkan kekayaan yang didapat dengan menindas dan memeras orang lain – orang-orang sekampungnya sendiri. Sebaliknya dia berfikir dalam keadaan yang demikian itu, orang-orang yang seperti ayahnya itu, yang agak berada sedikit, haruslah menolong jiran-jiran tetangganya itu.

Tetapi Rosnah hanya dapat menyatakan kasihannya sahaja atau setinggi-tingginya menyatakan tidak setuju dengan pendapat ayahnya itu. Untuk mencegahnya dia tentulah tak berkuasa kerana dia bukan menteri, hidupnya pun bergantung kepada ayahnya. Dia hanya seorang gadis dan tak lebih dari itu.

Sejak kecil, Rosnah telah dididik oleh ayahya dan ibunya supaya mengasihi harta tetapi didikannya itu tidaklah memberi bekas kepadanya. Dia tidak mengejar kebendaan dan kerana itu dia tidak mengasihi harta atau orang yang berharta. Dan ini dibuktikannya dengan mencintai Hamid, seorang pemuda tani yang miskin dan bergelumang lumpur.

Yang diutamakan Rosnah ialah kejujuran hati dan kesucian jiwa. Dan ini pernah dinyatakan sendiri kepada kekasihnya, Hamid itu.

"Aku tidak mencintai rupa parasmu, demikian dia berkata – kerana walau bagaimana cantik rupa paras seseorang itu akan luntur juga sudahnya. Bunga tidak selamanya kembang. Ia pasti layu dan kemudian gugur ke bumi. Aku juga tidak mencintai harta kerana bagaimanapun kaya seseorang itu, tidaklah ia akan melebihi kaya Tuhannya."

"Biarlah orang mengejek aku kerana mencintaimu, Mid, katanya lagi. Tetapi bagiku kesucian dan kejujuran hatimu yang kuutamakan."

Tiba-tiba, Rosnah hendak dikahwinkan dengan seorang kaya tua bernama Kasim. Rosnah cuba menolak tetapi si ayah marah kepadanya. Anak tak sedar diri, berkata si ayah itu. Kita hendaklah lihat dia hidup mewah, dia tolaknya pula. Apakah engkau tidak mahu hidup bahagia, Rosnah? Siapa yang hendak engkau tunggu lagi? Dewakah?

Ibu dan adik-beradiknya menyokong si ayah. Dia diam tak berkata-kata. Hatinya di dalam remuk redam laksana kaca terhempas ke batu. Putus harapnya hendak hidup bersama-sama kekasihnya, Hamid.

Bila si ayah mengugut akan menghalaunya keluar dari rumah itu kalau dia berkeras juga tidak mahu dikahwinkan dengan orang kaya Kasim tadi, Rosnah terpaksa menganggukkan kepalanya- menerima.

Demikianlah Rosnah menjadi isteri yang nombor tiga kepada wartawan Kasim. Senang hati Pak Mat. Tercapailah sudah cita-citanya bermenantukan orang kaya. Dan Rosnah terpaksa menyerahkan tubuhnya kepada seorang yang layak dipanggil bapa dengan perasaan yang jengkel.

"Tidak berapa lama kemudian daripada itu, Pak Mat memaksa abang Rosnah, Salih supaya keluar dari kampung itu untuk berniaga atau mencari kerja. Tidak ada gunanya engkau duduk di sini dengan tidak ada bekerja Salih, demikian Pak Mat berkata kepada anaknya yang tua itu. Lebih baik engkau mencari kerja ataupun pergi ke lain tempat berniaga. Tentang modal aku boleh beri dan kalau tak cukup, aku boleh minta pada adik iparmu, Kasim itu, bersetujukah engkau?"

Apakah yang boleh dibuatnya selain mengiyakan saja? Dan pergilah Salih meninggalkan kampungnya itu walaupun hatinya begitu berat hendak meninggalkannya.

Kini, tinggallah Pak Mat, isterinya dan dua orang anaknya yang masih kecil lagi – yang masih menunggu akan besar untuk dikorbankannya pula seterusnya.

Demikianlah Pak Mat menjalankan muslihatnya untuk mengejar kekayaan – mengejar kekayaan dengan kerendahan budinya.

Cerita pendek ini disiarkan dalam akhbar mingguan Pedoman, 5 Januari 1957, sebelum merdeka. Akhbar yang diterbit dan diselenggarakan oleh Ahmad Boestamam.

*MABHAS ialah nama pena saya, Mohd. Affandi Hassan pada peringkat awal mula menulis cerpen iaitu ketika berusia 17 tahun. 



Petaling Jaya, 8/4/2019

No comments:

Post a Comment