Thursday, April 18, 2019

SAMAKAH KESOPANAN SEORANG RAKYAT DENGAN KESOPANAN SEORANG RAJA?



Saya baru tahu Melayu sekarang terdiri dari pelbagai bangsa. Melayu asli tinggal di dalam hutan. Melayu maju (?) tinggal di bandar-bandar. Melayu miskin tinggal di kampung-kampung bersama ayam itik mereka, kerbau lembu dan kambing biri-biri; kadang-kadang berkeluarga dengan beruk dan kera yang dilatih memanjat kelapa. Satu ketika dulu diberikan subsidi beruk kepada orang kampung, supaya  kelapa yang tinggi-tinggi dipanjat beruk saja. Subsidi beruk ini penting dalam sastera Melayu, apabila saya menulis cerita pendek “Lodeh SPM dan Beruknya”, sebuah cerita pendek yang mengkritik peranan munafik dalam masyarakat.

Saya baru tahu ada sejenis Melayu yang sangat istimewa, yang menjadi penduduk Johor. Melayu itu namanya bangsa Johor. Kita ada bangsa Melayu, yang terus ditipu oleh para pemimpin mereka yang menjadi kaya raya kerana sokongan Melayu kampung ini. Bagaimana pula dengan bangsa Melayu Johor, yang disebut bangsa Johor itu. Sebenarnya tidak ada orang Melayu di Johor. Melayu biasa tidak layak menjadi rakyat Johor yang dengan bangganya dipanggil bangsa Johor oleh raja mereka. Mengapa diperlukan bangsa  Johor? Terdapat banyak teori bagaimana idea bangsa Johor ini timbul. Yang paling popular ialah raja-raja Johor suka berkahwin dengan orang putih. Sejauh mana ini benar terpulang kepada cara anda melihat masalah ini. Bagi saya ini bukan masalah, kerana semua manusia dari keturunan Nabi Adam ‘a.s.; oleh itu semua manusia akan kembali sebagai ahli syurga ataupun sebagai ahli neraka. Dari jenis bangsa mana yang paling ramai masuk syurga dan bangsa apa pula yang paling ramai masuk neraka, hanya Allah Ta’ala saja yang tahu. Tidak perlu pun kita tahu, kerana kita pun tahu antara yang paling mulia di antara manusia yang menjadi sahabat  Nabi SAW ialah Bilal bin Rabah, seorang hamba berkulit hitam, muazzin pertama dalam sejarah Islam, yang terompahnya didengar oleh Nabi SAW di dalam syurga ketika mi’raj. Waktu itu belum ada lagi bangsa Johor, jadi terlepaslah peluang untuk duduk setanding dengan Bilal bin Rabah, seorang bekas hamba berkulit hitam, yang amat mencintai Nabi SAW dan dicintai Nabi SAW pula. Adakah tidak di kalangan bangsa Johor ini seorang tokoh yang setaraf dengan Bilal bin Rabah, bekas seorang hamba?  Pertanyaan ini penting dilontarkan pada waktu ini kerana kini kita dapati manusia yang bergelar bangsa Johor itu amat istimewa, bukan sembarangan. Adakah semua mereka akan masuk syurga kerana keistimewaan mereka? Saya tidak fikir Mufti Johor berani memberi komen. Tercabut nanti gelaran dan jawatannya.  Bohong saja apabila Kerajaan PH berkata era ini ialah era kebebasan rakyat. Mana ada, jika rakyat terlalu berani dia akan jadi pemberontak, penderhaka (?), dan lain-lain gelaran yang diberikan oleh ahli politik untuk membantu mereka mengenakan tindakan yang sesuai menurut mereka, bukan menurut keadilan seperti yang difahami dalam Islam.  Dalam Malaysia Baru ciptaan PH, yang menang memegang semua kebenaran, the truth; yang kalah memegang semua kejahatan dan penipuan. Itulah makna politik demokrasi di mana-mana pun konsep demokrasi itu dipakai. Mesti ada perbezaan, kerana tidak sama kebebasan untuk rakyat dengan kebebasan yang ada pada pemimpin yang berkuasa. Kamu fikir sama? Gilalah kamu kalau ini pun kamu tidak boleh faham.  Saya tidak pasti apa yang sudah berlaku kepada budak Sabah yang mengutuk Tun Mahathir itu dan juga para pemimpin PAS. Masih bebas? Untuk selamat, beliau perlu mendapat kerakyatan bangsa Johor.

Saya amat bangga menjadi rakyat Kelantan, walaupun asal Bugis dari sebelah bapa dan dari Patani dari sebelah ibu. Menurut kajian tentang orang Melayu yang saya baru dua tiga bulan ini saja saya tahu, orang Kelantan itu telah ada kerajaan sejak 60,000 tahun dulu lagi; malah wali songo yang famous itu pun asal Kelantan, diarahkan oleh Raja Kelantan mengembara ke Jawa mengislamkan orang Jawa. Kata penyelidik, DNA Kelantan sama dengan DNA Jawa. Apa hal?  Menurut berita yang saya tahu, Tun Mahathir bilang orang Kelantanlah yang paling bangsat, miskin, degil, dan sombong menjadi orang miskin. Dia marah kerana PH yang dia pimpin tak laku di Kelantan, jadi bodohlah orang Kelantan. Kerana itulah maka ketika berkuasa kali pertama dulu, ini Tun telah diberi nasihat supaya menjadikan Terengganu yang menjadi pengeluar minyak itu dijadikan pusat kemajuan Pantai Timur, supaya Kelantan dapat faedah dan juga Pahang, tiga negeri Melayu yang bangsat itu. Itu Tun tidak mahu, kerana dia tidak mahu PAS kuat di Pantai Timur jika dia bermurah hati memajukan tiga buah negeri yang bangsat itu, yang paling banyak memberi undi kepada para pemimpin Melayu yang tamak kuasa dan harta.

Sekarang semakin jelas, bukan?, tidak sama kesopanan rakyat yang bangsat dengan kesopanan pemimpin yang angkuh.  Saya benar-benar admire orang Johor yang telah diproclaim oleh raja mereka sebagai bangsa Johor.  Tidak ada orang miskin di Johor, kerana semua mereka mendapat hak dan peluang yang sama rata. Banding dengan rakyat Kelantan, yang semuanya miskin oleh itu terpaksa lari dari Kelantan (termasuk saya yang kini mendiami sebuah banglo di PJ) untuk mencari makan di luar Kelantan. Kalau anda mahu berkata orang asal Kelantan berjaya di luar Kelantan masih juga bangsat, tak sedar diri, saya tidak kisah. Kesopanan Kelantan membuat mereka faham kebiadaban orang lain, oleh itu mereka tidak ambil hati, lagi pula kini sudah diproclaim negeri Kelantan pelopor kemajuan dunia Melayu seluruh Nusantara. Tidakkah itu penemuan sejarah yang aneh? Yang tidak aneh, ketika Ibn Batutah bertemu raja Kelantan di Kuala Kerai, seorang raja perempuan, mereka bercakap bahasa Turki, kerana pengaruh Kerajaan Islamiah Uthmaniah Turki ketika itu sudah meliputi dunia Melayu Kelantan (?) dan Nusantara.  Satu masa dulu ada cemuhan mengapa orang Kelantan lari dari negeri sendiri, cari makan di tempat lain. Saya bilang sama mereka, ini negara Malaysia, untuk semua, bukan untuk Cina dan India dan Melayu terpilih saja. Orang Kelantan boleh ke mana saja, ini negara mereka. Mengapa anti Kelantan? Kelantan Serambi Mekah, tak boleh diperlekeh sangat. Sambil bergurau saya berkata, Pemikir sastera terbaik sekarang berasal dari Kelantan, yang bersedia menentang secara akademik dengan semua sarjana Barat.

Apakah yang hebat tentang Johor? Dulu kita ada empayar Johor-Riau, sampai ke Langkat. Ketika itu Johor patut menakluki semua negeri Melayu, bolehlah beri nama baru kepada Semenanjung ini sebagai Semenanjung Melayu Johor!  Saya setuju sangat nama baru itu, dengan satu Sultan yang maha berkuasa. Masih ada peluang lagi. Sejarah selalu berubah, itu pasti. Kita tunggu saja …

Benarkah Johor sekarang dikuasai Cina, dari Singapura dan juga dari Negeri Cina? Paling tidak, kata yang memberitahu saya, semua Johor Baru sudah dipenuhi Cina. Kini sedang dirancang akan dibuat sebuah universiti baru Cina di Johor.  Saya setuju kerana kita boleh perkenalkan bahasa Arab di universiti itu. Cuba anda rujuk sejarah, betapa besarnya pengaruh ulama Arab di dalam perkembangan ilmu di Cina. Tapi yang pasti, Melayu sudah ada kira-kira 40,000 tahun sebelum negara Cina yang ada sekarang wujud. Anda boleh tanya ahli sejarah untuk mendapat kepastian.

Bagi saya, yang pasti orang Melayu tidak bertanah lagi, kecuali di Kelantan dan Terengganu, yang berani mengadakan tanah rizab Melayu yang besar. Di tempat lain sudah hapus, semua sudah dalam tangan Cina! Tanya ahli sejarah, mereka boleh bantu anda. Tak perlu ada tanah pun, tahu pun sudah cukup, boleh cerita kepada anak cucu bagaimana para pemimpin mereka memberi mereka harapan palsu.  Siapa yang punya Putera Jaya? Saya dapati tak pernah orang bertanya, oleh itu semua tidak tahu siapa yang punya Putera Jaya. Saya sendiri pun tidak tahu, kerana masih rahsia!  Sekarang ada macam-macam Akta Rahsia untuk menyimpan rahsia, dan mungkin untuk menutup mulut supaya tidak bercerita. Selamatlah jiwa yang sempurna!

Saya sudah lama ingin bertanya, kali ini rasanya kena tanya juga. Pertanyaannya senang saja. Negeri manakah yang paling ramai ulama? Siapakah ulama besar Persekutuan Tanah Melayu dan mereka itu asal dari mana? Untuk Kelantan telah ada catatan agak lengkap ditulis oleh Ustaz Abdul Razak Mahmud. Yang saya bangga sangat ialah pelopor persuratan Melayu sejak jauh sebelum Perang ialah Kelantan. Walaupun idea tentang PB belum muncul sebelum 1990, novel Abdul Kadir Adabi yang mencapai standard PB sudah diterbitkan 1938 lagi. Majalah Pengasuh terbit 1918, dengan ketua pengarangnya Tok Kenali, ulama besar Nusantara, yang juga menulis cerita pendek dan macam-macam lagi. Tentulah saya bangga berada di negeri sehebat itu, apatah lagi Moyang saya, Tok Guru Haji Taib Abdul Rahman, dianugerah gelaran Pahlawan Kelantan oleh Sultan Ismail. Cucunya yang terkenal ialah Tan Sri Ahmad Noordin Haji Zakaria. Cicitnya yang terkenal siapa lagi, kalau tidak …  (ramai juga, tak elok disenaraikan, mereka tak suka!)

Siapakah di antara raja-raja Melayu yang baca novel, cerita pendek, dan sajak? Pertanyaan ini nakal, tetapi bagi sasterawan negara sangat penting. Mereka telah mendapat restu dan pengiktirafan daripada DYMM Agong yang menyampaikan Anugerah Sastera, jadi tentulah DBP memastikan karya sasterawan negara sampai ke istana. Kalau dibaca oleh jongos istana pun sudah cukup baik, tandanya sudah mendapat berkat di raja. Bagaimana dengan buku-buku saya sendiri? Ini yang lucu. KP Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pengerusi Lembaga Pengurusan DBP pun tidak baca, apatah lagi para kerabat.  Kalau  begitu, siapakah yang membaca buku-buku saya? Yang pasti, anak saya sendiri pun tidak pernah pegang buku-buku saya, walaupun mereka barangkali tahu saya seorang penulis. Kalau begitu, untuk siapa saya menulis? Jawapannya saya berikan di dalam Pujangga Melayu: “Karya-karya ayah untuk orang yang berfikir, bukan untuk si pandir. Profesor Awang Yusuf memperingatkan Fatimah, anaknya.” Ada satu pertanyaan yang lucu, walaupun serius: “Kalau begitu, siapa yang tidak membaca Pujangga Melayu adalah seorang yang pandir?”  Kepada siapakah pertanyaan ini patut ditujukan? Saya memperingatkan yang bertanya, pertanyaan itu sangat angkuh. Kita tidak boleh memaksa orang berak, biarlah dia berak sendiri; begitu juga dalam baca-membaca ini.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18/4/2019

1 comment:

  1. Assalam Tuan,

    Saya Noraini Abd. Shukor, dari Bahagian Peyelidikan Sastera, DBP. Pihak kami ingin mengundang Tuan sebagai penulis kertas kerja dan pembentang dalam Wacana Teori dan Kritikan Sastera pada 20 Jun 2019 nanti. Boleh saya dapatkan nombor telefon dan alamat e-mel Tuan untuk saya berikan maklumat lanjut?

    ReplyDelete