Assalam Tuan,
Saya Noraini Abd. Shukor, dari Bahagian Peyelidikan Sastera, DBP. Pihak kami
ingin mengundang Tuan sebagai penulis kertas kerja dan pembentang dalam Wacana
Teori dan Kritikan Sastera pada 20 Jun 2019 nanti. Boleh saya dapatkan nombor
telefon dan alamat e-mel Tuan untuk saya berikan maklumat lanjut?
Catatan di
atas terdapat dalam entri bertarikh 18/4/2019, di bawah tajuk yang sungguh
menarik: “Samakah kesopanan seorang rakyat dengan kesopanan seorang raja”. Saya memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru;
seorang pekerja DBP memperkenalkan Kesopanan Baru dalam urusan tulis-menulis antara
DBP dan “pelanggannya”. Apabila pegawai
ini meminta maklumat yang dimintanya, jelaslah DBP tidak menyimpan maklumat
saya dalam Bahagian Pentadbirannya, walaupun saya adalah di antara penulis yang
buku-bukunya pernah diterbitkan oleh DBP. Saya juga telah beberapa kali
mendapat Hadiah Sastera, terakhir 21 November 2014 untuk sebuah cerita pendek
yang disiarkan dalam Dewan Sastera
September 2013, “Rumah Impian Polan Cupan”.
Apakah alasan DBP untuk menghapuskan semua maklumat saya di Bahagian
Pentadbirannya sehingga mendorong seorang pegawainya meminta maklumat baru?
Pegawai ini
seolah-olah menganggap saya seorang kaki seminar sastera, seolah-olah
sentiasa menunggu untuk dijemput membentangkan kertas kerja dalam seminar
anjuran DBP. Selama ini saya sering
bercakap tentang perkara-perkara besar dalam sastera Melayu, yang diketepikan
oleh DBP sebagai tidak penting dan mungkin juga mengarut dan mengada-ada. Bagi
DBP, yang berhak membicarakan sesuatu yang penting dan serius hanyalah para
sasterawan negara yang telah diuji dan oleh itu layak diberi gelaran sasterawan
negara. Walaupun saya mungkin dianggap menyusahkan kerana memperkenalkan
fikiran-fikiran yang agak radikal dan boleh dianggap terlalu jauh ke depan
daripada yang mampu diberikan oleh para sasterawan negara, saya tidak fikir DBP
memilih saya untuk dimusuhi kerana saya yakin DBP tidak dapat menolak sumbangan
besar saya dalam kritikan sastera dan dalam program baru untuk memajukan
sastera Melayu yang sebelum ini tidak pernah terfikir oleh para pegawainya dan
tidak juga terlintas dalam imaginasi sarjana sastera dan sasterawan. DBP
mempunyai etika yang berbeza daripada etika kesarjanaan yang menjadi ikutan
saya, iaitu yang memberi penekanan kepada kualiti daripada publisiti. Nampaknya
kelihatan kecenderungan DBP untuk memberi perhatian yang lebih kepada para
sasterawan tertentu yang menjadi pilihannya,
termasuk para sasterawan negara. Kita boleh lihat dalam Dewan Sastera, misalnya. Saya ambil satu contoh yang begitu ketara
sikap berpihak DBP terhadap seorang penulis popular yang kualiti tulisannya
tidak seberapa, dan penulis ini tidak langsung memperlihatkan sikap objektifnya
ketika membicarakan satu tajuk yang
kebetulan menjadi minat saya. Saya rujuk tulisan Mana Sikana dalam Dewan Sastera yang berbicara panjang lebar tentang
perkembangan teori dalam kritikan sastera, seolah-polah sedang membicarakan
perkembangan pelbagai “teori” sastera dalam sastera Melayu, padahal dari segi
akademik tidak pernah muncul apa-apa teori sastera Melayu, sehinggalah muncul
Gagasan Persuratan Baru yang tidak syak lagi layak dianggap satu-satunya teori
sastera kerana PB sajalah yang memenuhi syarat sebagai sebuah teori. Untuk
mengetahui apakah syarat-syarat itu sila baca buku penting yang membicarakan
aspek teori ini, hasil tulisan Robert Dubin (New York: The Free Press,
1969.) Buku ini saya pakai ketika
mengikuti kursus Sains Politik di Universiti Essex sekitar tahun 1975-1977.
Antara subjek yang diwajibkan ialah menulis satu teori politik yang jika sesuai
boleh digunakan untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D. Saya menulis tentang peranan nilai dalam
politik dan kegiatan politik, yang digemari oleh Ketua Jabatan Politik, Prof.
Jean Blundel. Ketika saya habis kursus di Essex University, kertas proposal
saya dikirimnya ke SOAS, kepada Prof.
Ruth McVey. Saya dipanggil oleh beliau untuk bertemu di SOAS, dan terus
ditawarkan untuk mengikuti kursus Ph.D. kerana menurut beliau proposal saya itu
sangat menarik. Tapi saya hanya sempat di SOAS selama empat bulan, dipanggil
oleh JPA supaya balik segera ke Malaysia, jika tidak gaji dan apa-apa juga
habuan kewangan saya akan dihentikan. Mana boleh, kebulurlah keluarga saya di
Kg. Seberang Pasir Mas, maka baliklah saya. Tetapi itulah takdir namanya,
kerana idea yang dicantas oleh JPA itulah yang kemudiannya saya kembangkan
menjadi sebuah novel yang saya beri judul Pujangga
Melayu. Itulah satu-satunya novel
yang dapat diketengahkan ke persada antara bangsa sebagai sebuah karya yang
dapat menandingi War and Peace. Pujangga Melayu lebih baik daripada War and Peace?
Usaha para
sarjana dan sasterawan untuk menghalang
PB lebih cepat diterima oleh masyarakat penulis adalah satu usaha yang sia-sia
dan pasti gagal, yang kemudiannya akan dikutuk oleh masyarakat masa depan
sebagai usaha golongan pengkhianat, sebagai golongan yang anti ilmu yang benar,
untuk menjaga kepalsuan karya para sasterawan negar yang menentang pembinaan
budaya ilmu dalam perkembangan intelektual di Malaysia. Golongan yang cetek meraba-raba yang berada
dalam gerombolan Mutual Admiration Club
ini masih boleh bertahan kerana diberi sokongan dan galakan oleh DBP dan ITBM.
Kedua-dua organisasi yang dikatakan bertujuan memajukan perkembangan
intelektual di Malaysia pada hakikatnya menjadi penghalang kepada perkembangan
budaya intelektual apabila kedua organisasi ini menentang Gagasan Persuratan
Baru untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara sebagai projek yang
mesti diteruskan walaupun projek ini adalah penerusan pengaruh Barat dalam
persuratan Melayu yang dipanggil kesusasteraan itu. Kumpulan anti ilmu ini
boleh bertahan paling lama dalam masa sepuluh tahun ini sahaja, selepas itu
dengan kemunculan generasi baru dalam perkembangan budaya ilmu, yang dipelopori
oleh Wadi al-Irfan/Klasika Media, gerakan
intelektual berasaskan konsep ilmu yang benar akan menjadi asas yang kuat dalam
perkembangan ilmu.
Pada umumnya
kita telah melalui tiga fasa (bukan tiga zaman) dalam perkembangan intelektual
dan sastera. Fasa pertama ialah fasa Jahiliah yang melahirkan kumpulan yang
memakai slogan “sastera untuk masyarakat” dan satu lagi yang menentang slogan
itu memanggil slogan mereka “seni untuk seni”. Dua gerakan ini masih
meraba-meraba mencari arah, yang pada umumnya dikuasai oleh Asas 50.
Pentingnnya kumpulan Asas 50 ini ialah sastera menjadi alat propaganda realisme
sosialis, yang ketika itu belum lagi bernama,
tetapi asasnya ialah faham sosialisme yang agak pekat dipengaruhi
Marxisme. Fasa kedua ialah yang berada pada waktu ini, masih bertahan tetapi
telah menghadapi fasa ketiga yang dipelopori Gagasan Persuratan Baru. Fasa
kedua adalah cengkaman teori sastera Barat seluruhnya. Teori Barat menjadi dasar penjajahan teori
dalam kritikan sastera dan dalam konsep kreatif yang berasaskan fantasi dan
sensasi. Inilah fasa kemunculan sasterawan negara. Fasa ketiga bermula sekitar
1990 apabila konsep ilmu yang benar diperkenalkan dalam penulisan kreatif dan
dalam kritikan sastera. Fasa kedua dan
pertama sedang bergabung untuk menghalang fasa ketiga mengambil tempat yang sah
dalam penulisan kreatif berasaskan ilmu yang benar dan kritikan sastera yang
meletakkan ukuran yang boleh diuji berasaskan konsep ilmu, yang diterjemahkan
dalam konsep wacana dan cerita yang nampak seolah-olah berasingan, tetapi
sebenarnya telah diberi definisi baru oleh Gagasan Persuratan Baru. Dalam percubaan untuk menahan
seberapa kuat pengaruh PB, maka kita lihat seolah-olah telah muncul apa yang
boleh dipanggil sebagai “kesopanan baru” yang dipelopori oleh DBP untuk terus
menjadi relevan dalam asakan PB itu. Tetapi yang disebut “kesopanan baru” itu
pada dasarnya adalah kebiadaban ilmu kerana yang disebut “kesopanan baru” itu
masih menolak konsep ilmu yang benar, masih terus berada dalam cengkaman teori
sastera Barat.
Dalam
perkembangan inilah saya mengemukakan cabaran yang paling besar yang pernah
dihadapi oleh sastera Melayu, apabila saya menegaskan Pujangga Melayu adalah lebih bermutu daripada War and Peace. Dengan
cabaran ini, saya agak terkejut apabila dua kumpulan pertama itu bermati-matian
mempertahankan kedudukan mereka dengan mendiamkan diri, mempersetankan saja
cabaran yang dihadapkan kepada mereka. Sikap mereka telah berjaya setakat ini
meneruskan kepalsuan kedudukan mereka dengan munculnya projek sasterawan negara.
Mencari dan mengangkat sasterawan negara masih diteruskan, seperti yang
ditegaskan oleh Ketua Pengarah DBP bahawa sasterawan negara baru akan dipilih
dan dilantik bulan Julai nanti. Pada waktu ini, yang jelas terdapat tiga calon
bakal sasterawan negara: Prof. Rahman Shaari (yang tidak mempunyai karya yang
melayakkannya terpilih); Mana Sikana, seorang sasterawan yang paling unggul
dalam kekacauan pendiriannya seperti yang ditunjukkannya dalam buku-bukunya;
dan seorang lagi Dr. Fatimah Busu, yang memang amat mengharapkan beliau akan
dinobatkan sebagai sasterawan negara. Tetapi dalam perhitungan saya, yang
paling layak sebenarnya Faisal Tehrani, tetapi nampaknya ada sedikit masalah
berhubung dengan kecenderungannya kepada faham Syiah. Beranikah Panel Anugerah
Sastera Negara menempuh kontroversi dengan memilih Faisal Tehrani sebagai
sasterawan negara baru? Ada pendapat
mengatakan, jika Faisal Tehrani terpilih, maka karyanya dapat “menewaskan”
dengan mudah Pujangga Melayu. Kalau begitu, melantik beliau sebagai
sasterawan negara baru adalah satu tindakan yang paling tepat untuk menghalang
pengaruh Pujangga Melayu. Tetapi karya Faisal Tehrani yang mana satu
yang dapat menandingi dan mengatasi War
and Peace, dan sekali gus
melenyapkan pengaruh Pujangga Melayu
yang nampaknya semakin diterima sebagai karya terbesar dalam sastera Melayu
yang dapat mencabar War and Peace. Ada pendapat yang mengatakan, seorang
sasterawan negara tidak perlu menghadapi sasterawan dunia dan karya besar
mereka yang mungkin menjadi ikutan atau tiruan para sasterawan Malaysia. Kalau
begitu, di mana hendak diletak Pujangga
Melayu? Ada bisikan yang mengatakan, buang saja ke dalam Sungai Kelang yang
kini sudah dibersihkan. Kotori lagi
Sungai itu dengan mencampakkan Pujangga
Melayu supaya reput menjadi sampah!
Semua
andaian dan khayalan ini dengan jelas menunjukkan kedudukan konsep ilmu yang
benar itu masih menjadi masalah di kalangan para sasterawan; dan sekali gus
berupa penolakan mutlak terhadap Gagasan Persuratan Baru. Dengan meneruskan pengambilan (mungkin lebih
tepat pemilihan?) sasterawan negara, pengaruh Gagasan Persuratan Baru dapat dibendung; tetapi pada masa yang sama
semakin jelas sasterawan negara itu tidak diperlukan dan tidak relevan dalam
perkembangan ilmu yang benar yang ditolak dengan tegas oleh para sasterawan dan
sarjana sastera. Sekali lagi, hujah Anugerah
Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden masih terus utuh dan masih
terus terpakai.
Perhatikan
betapa takdir boleh mengubah cara kita berfikir tentang sastera, memahami lebih
mendalam unsur-unsur penting dalam penulisan kreatif; dan yang paling penting
kita sudah berada dalam satu perkembangan yang amat mencabar untuk mewujudkan
satu sistem penilaian karya kreatif yang boleh dijadikan standard dan boleh
dengan mudah mencabar cara penilaian yang digunakan dalam teori sastera Barat. Saya fikir tidak ada sesiapa yang akan
menentang usaha ini. Apakah
implikasinya? Jika perlu, saya akan menulis untuk menghuraikannya.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 27 April 2019.
No comments:
Post a Comment