Sunday, April 14, 2019

CABARAN INTELEKTUAL YANG MENAKUTKAN SASTERAWAN DAN SARJANA



Entri ini adalah sambungan kepada entri lepas yang telah memberi tamparan intelektual yang hebat kepada para sarjana dan sasterawan, yang terus menerus memperhambakan diri mereka kepada sistem pemikiran Barat dengan menerima secara total teori sastera Barat sebagai satu-satunya yang sah untuk sastera Melayu. Walau pun keputusan ini bodoh dan tidak bertanggungjawab, namun telah dijadikan asas perkembangan sastera Melayu moden, yang menurut para sarjana dan sasterawan sendiri adalah mustahil sastera Melayu moden akan lahir tanpa pengaruh yang besar daripada sastera Barat. Pengakuan ini sangat penting kerana inilah keputusan yang kemudiannya menjadi penghalang kepada sastera yang berasaskan konsep ilmu yang benar, yang ditentang hebat oleh para sarjana dan sasterawan kerana mereka berpendapat kehidupan sastera akan musnah dan hapus jika idea tentang konsep ilmu yang benar itu diterima oleh para penulis dan sarjana Malaysia. Kita lihat seterusnya perkembangan ini.

Dalam entri yang lepas, saya melontarkan (meminjam gaya penulis Indonesia) satu cabaran yang mungkin yang terbesar pernah saya lontarkan kepada para sarjana dan sasterawan, dengan membawa usul paling mengejutkan mereka (??)  apabila saya mengatakan (lebih tepat menegaskan) bahawa Pujangga Melayu lebih bermutu daripada War and Peace karangan Tolstoy. Saya memberikan sebab-sebabnya berasaskan konsep ilmu yang saya gunakan yang tidak digunakan oleh Tolstoy. Adakah perbandingan itu adil?  Sekali imbas nampak macam tidak adil, kerana konsep ilmu yang saya faham dan praktikkan adalah konsep asing bagi Tolstoy, walaupun beliau sebagai seorang Kristian yang taat bolehlah kita katakan beliau mengikut konsep yang diberikan oleh agamanya.  Perkara ini agak rumit dalam kes Tolstoy ini, seperti y diketahui oleh para sarjana sastera dan para sasterawan negara dan lain-lain sasterawan. Saya hanya mahu sebut satu perkara yang sangat menarik antara Tolstoy dan Dostoevsky. Kedua-duanya pengarang besar Russia, kedua-duanya gergasi sastera dunia. Antara dua tokoh ini, para penyelidik dan pengkritik sastera berkata Dostoevsky lebih faham maksud ajaran Kristian, oleh itu beliau lebih kuat pegangannya daripada Tolstoy.  Tetapi beliau adalah kaki judi dan pemabuk, tetapi tidak Tolstoy. Kedua-dua pengarang besar ini menjadi kegemaran saya, tetapi sahabat saya Allahyarham Zaid Ahmad memilih Dostoevsky kerana kefahamannya yang mendalam tentang psikologi manusia, yang menurut para pengkritik Barat Tolstoy tidak sampai ke taraf itu. Nampaknya ada juga benarnya apabila saya membuat perbandingan antara Pujangga Melayu dengan War and Peace, dan memberi kredit lebih besar kepada Pujangga Melayu. Saya yakin tidak seorang pun di  antara sarjana sastera dan para sasterawan negara sendiri dari segi kefahaman mereka sampai ke taraf Allahyarham Zaid Ahmad tentang dua orang tokoh ini, dan saya yakin mereka sangat jauh ketinggalan daripada kefahaman saya sendiri. Sekarang mereka ini dicabar lagi, apabila saya mengatakan perbandingan yang saya buat itu berasaskan kefahaman saya yang tidak ada pada para sarjana dan sasterawan negara sekali pun.  Mengapa persoalan ini penting?

Walaupun jawapannya telah saya berikan di sana sini dalam tulisan saya, dan di dalam blog ini juga, nampaknya kemampuan intelektual para sarjana yang terbatas dan kekerdilan bakat kreatif para sasterawan negara membuat mereka melompat-lompat marah seperti seekor mawas jantan yang sedang berahi. Maka timbullah seranah daripada Prof. Emeritus Dr. Mohammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu, kedua-duanya sarjana besar sastera Melayu dan pensyarah sastera yang disanjung kebolehannya, yang mengatakan saya dan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir adalah “anjing kurap” yang tidak layak ditendang pun kerana kurap itu akan menjangkiti mereka!  Saya kerap menyebut perkara ini untuk memberitahu anda inilah adab dan akhlak para sarjana yang cetek meraba-raba dan sesat dalam belantara ilmu tidak kenal mana cengal mana merbau mana pula kayu jati, bagi mereka semuanya kayu pulai yang tumbuh di tepi tebing sungai.

Kalau anda tahu latar belakang yang saya paparkan ini, maka saya yakin mengapa saya begitu kritis terhadap para sarjana dan sasterawan. Dalam kata-kata yang mudah, mereka ini semuanya pak turut sastera Barat dan tidak seorang pun di antara mereka yang berani menghadapi secara kontan teori sastera Barat. Ada sedikit percubaan daripada SN Muhammad Haji Salleh, yang bersedih mengapa karya sastera Melayu dinilai daripada perspektif Barat yang asing daripada budaya Melayu. Saya pernah mengatakan keberatan ini hanya main-main, tidak lahir daripada kefahaman yang mendalam dalam teori sastera Barat.  Teori itu masih berguna untuk dijadikan perbandingan, terutama sekali ketika menelitinya daripada perspektif ilmu.  Kalaulah kesedihan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh itu jujur, dan beliau juga mengikuti perkembangan pemikiran dalam sastera Melayu, tentulah beliau bertemu dengan Gagasan Persuratan Baru yang telah sampai kepada sarjana seluruh dunia, tetapi tidak diketahui oleh profesor ulung ini yang meremehkan saja apa juga pemikiran baru kecuali jika dicetuskan oleh teman-teman rapat; tetapi teman rapat beliau mandul, bukan jenis pemikir.  Apakah konsep ilmu mereka yang di Barat itu, apa pula konsep ilmu kita? Para sarjana kita tidak pernah bertanya soalan ini kerana kejahilan mereka yang mereka sedar; oleh itu apabila seorang yang tegas dan berterus terang seperti saya memberi mereka sedikit teguran mengenai kejahilan mereka, maka mereka pun marah, padahal mereka tidak tahu yang mereka marahi itu ialah diri mereka sendiri yang memang jahil dan tidak kenal makna ilmu dalam sastera. Oleh itu, siapakah sebenarnya yang layak dipanggil anjing kurap itu?  Pastilah bukan saya dan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang dianjingkan oleh Prof. Muhammad Haji Salleh dan Dr. Fatimah Busu itu.  Mereka telah “menganjingkan” diri mereka sendiri, inilah keadaan yang mungkin memberi makna sebenar konsep tragedi yang digilai para sarjana dan sasterawan Malaysia. (Saya harap mereka faham maksud saya!). 

Walaupun puak ini menyondol ke sana ke mari membawa tempoyak masam mereka yang mereka panggil sastera Melayu, mereka lupa bahawa jika mereka jujur dalam ucapan mereka, mereka akan sedar hanya teori Brat saja yang menerima karya picisan sebagai bermutu tinggi. Sebenarnya semua sarjana dan sasterawan memang tahu perkara ini, tetapi kerana mereka tidak mempunyai kejujuran intelektual, mereka menerima pembohongan sebagai panduan sesama mereka.  Dengan sikap negatif ini, mereka berusaha gigih menyisihkan PB, hatta dengan menggunakan jentera rasmi kerajaan seperti DBP dan ITBM. Tetapi usaha ini tidak memberi kesan kerana kini sudah wujud kumpulan pelajar universiti yang mengambil mata pelajaran sastera untuk menghalusi PB sebagai sebuah teori berasaskan ilmu yang benar. Yang menentang PB kini berada dalam longkang pandirisme bergembira dapat berpesta dalam  lumpur kejahilan dan kebodohan yang menjadi pegangan mereka sejak berpuluh tahun, dimulai oleh gerakan Asas 50.  Dalam kumpulan ini juga para sarjana berpesta di lembah pandirisme bersama sasterawan picisan yang kini terdapat beberapa orang di antara mereka yang bergelar sasterawan negara.

Saya ingin tegaskan, para sarjana dan sasterawan perlu sedar bahawa setiap usaha mereka untuk menyekat perkembangan ilmu dalam pembinaan negara ini akan membawa mereka ke kandang golongan pengkhianat, sekiranya mereka berbuat demikian ialah untuk mempertahankan pandirisme dan mediocrity dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia. Dalam hal ini, para pelajar ternyata sudah mempunyai kesedaran dan bersedia untuk membina budaya ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar. Ini telah mereka tegaskan dalam poster yang mereka kirim kepada saya April 2014.

Walaupun DBP masih mahu meneruskan projek sasterawan negara ini dengan melantik seorang sasterawan baru bulan Julai nanti, hakikat bahawa projek ini bertentangan dengan keperluan sebenar negara yang mahukan kemajuan berfikir berasaskan konsep ilmu yang benar, akan tetap menjadi kutukan generasi masa depan yang akan mengutuk para perancang projek sasterawan negara ini kerana telah memberi kedudukan tinggi kepada penulis yang mediocre dan bergelumang dalam lumpur pandirisme.  Jalan keluar kepada masalah penipuan intelektual ini masih boleh diusahakan,  dengan memberi kebebasan kepada para sarjana yang tidak bersetuju  dengan projek ini tampil  membicarakan aspek intelektual dan pemikiran dalam budaya ilmu secara tuntas dalam persidangan besar seperti yang pernah dianjurkan oleh  ITBM yang gagal memberi arah kepada perkembangan budaya dan sastera yang lebih mengutamakan kualiti daripada propaganda.

Dalam entri yang baru lalu, saya melontarkan (gaya sasterawan Indonesia) cabaran saya supaya kesimpulan saya bahawa Pujangga Melayu lebih besar dan lebih berjaya daripada War And Peace sepatutnya disanggah dengan gigih oleh para sarjana dan sasterawan, sekurang-kurangnya untuk mengemukakan karya daripada sasterawan negara sendiri yang dikira lebih baik daripada War And Peace itu. Setelah melahirkan begitu ramai sasterawan negara, yang akan ditambah lagi Julai depan, kita wajar mencabar sastera dunia untuk mengemukakan karya kita sendiri yang jauh lebih baik daripada karya sasterawan dunia seperti Tolstoy dan lain-lain.  Adakah sarjana sastera kita terlalu penakut, atau bacul, tidak berani berdepan dengan sastera dunia? Kita telah mempunyai ramai sarjana yang bertaraf dunia, maka dengan itu kita memang mempunyai tokoh yang boleh mencabar sastera dunia. Lagi pula, kita telah mempunyai novel terbaik sepanjang zaman, Naratif Ogonshoto, yang menurut Prof. Mohammed Saleeh Rahamad inilah satu-satunya novel Malaysia yang bertaraf antarabangsa.  Bagaimana kalau saya tambah satu lagi, Pujangga Melayu? Dalam penelitian saya, Pujangga Melayu itulah novel terbesar Malaysia, bukan novel yang ditonjolkan oleh Prof. Saleeh Rahamad, yang telah saya buktikan hanya sebuah novel picisan. Ada pun akan Pujangga Melayu itu amatlah kaya dengan pemikiran dan pelbagai sisipan yang menarik dimasukkan yang sebelum ini tidak pernah wujud dalam mana-mana karya para sasterawan negara sekali pun. Maka adalah tepat sekali jika Pujangga Melayu itu adalah ratu dan maharaja ulung dalam sastera Melayu. Hingga ini, tidak ada seorang pun sarjana sastera Malaysia tampil menafikan kesimpulan ini.  Berasaskan kesimpulan inilah maka Pujangga Melayu dirasmikan sebagai novel besar dunia mengatasi War and Peace.  Kesimpulan ini didasarkan kepada satu prinsip terpenting, iaitu konsep ilmu yang benar yang menjadi dasar Pujangga Melayu, yang tidak ada pada War and Peace.  Saya perlu memberi sedikit penjelasan, supaya para sasterawan negara tidak tersinggung dengan keputusan ini.  Sebenarnya Pujangga Melayu tidak perlu diiktiraf oleh mana-mana sarjana Barat mengenai kedudukannya sebagai sebuah karya agung dunia yang lebih baik dan lebih bermutu daripada War and Peace. Yang perlu membuat pengiktirafan itu ialah para sarjana Malaysia sendiri, untuk menaikkan darjat mereka sebagai sarjana yang berwibawa.  Adakah ini bermakna jika mereka tidak mengiktiraf Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang lebih baik daripada War and Peace, maka para sarjana Malaysia itu telah merendahkan kedudukan mereka sebagai sarjana yang objektif? Siapa agaknya yang boleh menjawab soalan ini.  Jawapannya telah ada jika kita mengikuti perkembangan yang sudah pun berlaku dalam dunia akademik kita mengenai kedudukan Barat dalam menentukan kedudukan kita. Saya sebut beberapa contoh dengan memasukkan sekali contoh-contoh dari Barat mengenai kedudukan sebenar mereka yang tidak diketahui oleh sarjana Melayu yang kurang membaca.

Mari kita lihat sedikit perkembangan yang berlaku dalam persoalan ini, yakni yang berlaku dalam lembah pandirisme ini. Saya telah menyebut perkara ini beberapa kali. Saya maksudkan sebuah buku penting yang diterbitkan oleh USM tahun 2012 berjudul, Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms:  eds. Claude Alvares & Shad Saleem Faruqi.  Buku ini membicarakan kolonialisme ilmu yang berasal dari Eropah dan Amerika mencengkam universiti di Malaysia, yang ukuran tentang kemajuannya berasaskan berapa poin yang mereka dapat dari sumber yang berasas dari dua daerah penjajahan ilmu itu. Universiti Malaysia menjadi sangat bangga jika mereka dipuji oleh kaedah yang disediakan oleh dua daerah besar ini.  Kalau ini bukan slavery (saya sengaja menggunakan perkataan Inggeris untuk mendapatkan ironinya yang tajam), apakah nama yang sesuai yang boleh kita pakai? Tetapi ini tidak perlu, menurut pendapat semua universiti di Malaysia, kerana kata mereka tidak ada sebuah pun universiti di Malaysia menjadi hamba abdi dalam pengambilan ilmu.  Kalau anda setuju dengan penegasan mereka, maka itu tanda yang pasti bahawa anda adalah salah seorang slave yang bangga menjadi slave!  Dalam dunia sastera keadaan ini amat jelas, malah inilah juga yang dipertahankan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang kononnya menolak (?) Barat tetapi pada masa yang sama mendambakan pujian mengikut Barat, seperti yang dimintanya daripada Dr. Siti Hajar Che Man yang menulis kertas kerja tentang beliau satu ketika dulu  dalam seminar tentang “pemikiran” beliau.  Penulis kertas kerja itu diminta menulis yang baik-baik belaka tentang beliau.  Apakah maksud beliau?  Apa pula jawapan Dr. Siti Hajar?  Rahsia, tiada siapa pun yang tahu … Betulkah begitu? Saya tahu, tetapi tidak bersedia memberitahu anda kerana takut dibawa ke mahkamah sekali lagi oleh tokoh besar ini.  Kalau mahu tahu juga tanya beliau, bukan saya.

Keadaan yang pelik dan memalukan maruah intelektual (bagi yang ada maruah itu) ini  menjadi kebanggaan bagi para sarjana Malaysia, seperti yang kita dapat lihat dengan jelas dalam tulisan Prof. Dr. Mohammad Saleeh Rahamad (2005, dapat Hadiah Esei Terbaik) yang membicarakan novel Naratif Ogonshoito.  Yang paling istimewa dalam kes ini ialah ulasan dan novel itu sendiri adalah karya picisan, picisan di atas picisan!

Dalam kes ini, kita dapati kesebatian yang amat erat antara pengulas dan karya yang diulasnya, yang kedua-duanya menggambarkan kemiskinan idea dan pencerobohan nilai kebudayaan Melayu yang saya fikir masih lagi menerima nilai-nilai Islam dalam kehidupan bermasyarakat, tetapi telah ditolak oleh para sasterawan dan sarjana jika yang ditulis mereka boleh dijadikan bukti.  Untuk ulasan lanjut mengenai persoalan penting ini, sila rujuk tesis sarjana Nur Fatiha Fadila Abu Bakar, “Intelektualisme Dalam Lima Novel Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan” (UPM, 2014).  Tesis ini memberi analisis mendalam tentang persoalan yang saya timbulkan secara sepintas lalu itu. Sila rujuk ulasan pengkaji tentang pendapat Prof. Mohammad Saleeh Rahamad dalam rencananya dan pendapat  Prof. Madya Dr. Mawar Shafie dalam bukunya yang diberi ulasan dan analisis dalam tesis ini.


Kesimpulan dan Cabaran:

Tulisan ini dan yang sebelumnya saya tujukan kepada para penulis muda yang bersedia untuk berubah supaya seni penulisan dan kritikan sastera akan juga berubah dengan mengambil konsep ilmu yang benar sebagai asas pembinaan persuratan Melayu moden. Penulisan kreatif dan kritikan sastera di Malaysia tertinggal jauh ke belakang apabila diwujudkan projek sasterawan negara, yang dicetuskan oleh Keris Mas untuk mendaulatkan gerombolan penulis dari Asas 50. Sejak awal lagi, tahun 1981 apabila projek sasterawan negara dilancarkan, saya telah menentangnya kerana menurut pertimbangan saya, projek sasterawan negara ini bertentangan dengan perkembangan ilmu di negara kita. Sepanjang hayat persuratan Melayu, yang mereka utamakan dan mereka terima sebagai pencetus budaya ilmu ialah para ulama dan cendekiawan Melayu yang dekat dengan agama. Projek sasterawan negara ini keseluruhannya dicetuskan oleh budaya sastera yang meniru teori sastera Barat yang menolak agama dan menganggap agama sebagai unsur yang menentang aspek intelektual dalam penulisan. Oleh sebab para sasterawan dan sarjana sastera tidak merujuk al-Quran sebagai sumber ilmu (semua jenis ilmu yang boleh difikirkan dan dicetus  oleh otak manusia), maka mereka menjadikan hawa nafsu sebagai asas penulisan, yang mereka beri nama imaginasi.  Penggunaan imaginasi dalam konteks para sasterawan dan sarjana sastera dicetuskan seluruhnya oleh pengaruh Barat yang mengutamakan imaginasi dalam penulisan kreatif. Contoh-contoh perkembangan dalam sastera yang saya bincang sepintas lalu di atas mendesak kita melihat kembali dengan kritis kegiatan sastera berasaskan hedonisme Barat ini.  Jika Barat sudah sedar dan dengan itu menolak hedonisme, maka tidak ada alasan sama sekali untuk kita menerima dan mendewakannya dalam karya sastera.

Sejak tahun 1941 lagi, tahun terbitnya buku beliau The Crisis of Our Age, Pitirim A. Sorokin telah membincangkan dengan mendalam pengaruh hedonisme dalam budaya Eropah dan Amerika.  Buku ini tidak dikenali oleh para sasterawan dan sarjana sastera, walaupun sangat terkenal di Barat. Malah para sarjana sastera dan sasterawan pun tidak tahu makna dan maksud hedonisme dalam kehidupan bermasyarakat.  Hedonisme tidak semata-mata bermaksud budaya hawa nafsu, tetapi tersirat di situ ialah sikap manusia yang menjadikan diri mereka ukuran segala nilai. Inilah yang berlaku dalam sastera Melayu moden, seperti yang dapat dilihat dengan jelas dalam karya para sasterawan negara. Sebagai contoh yang mudah untuk difahami, apakah kebaikan yang didapat dengan mengambil Si Tanggang sebagai ikon manusia Melayu moden yang telah mengenal dan mengalami kehidupan di Amerika Syarikat, yang dialami oleh penulis sajak ini. Segala percubaan daripada para sarjana sastera untuk membela kejahatan perilaku tidak bermoral sebagai budaya baru dalam masyarakat Melayu adalah satu perbuatan yang paling biadab, walaupun ini sudah dijadikan pedoman dan slogan oleh penulis sajak ini, yang menegaskan “Aku sudah belajar/jadi kurang ajar” ketika berada di luar negara mempelajari logik baru yang menjadikan manusia ukuran segala nilai. Menolak al-Quran sebagai sumber nilai yang menurut para sasterawan akan menyekat kebebasan berkarya, adalah satu perbuatan biadab dan tidak seharusnya disebut pun, apatah lagi diperjuangkan supaya diterima oleh masyarakat.  Anda boleh lihat sendiri apa makna novel Ranjau Sepanjang Jalan, Naratif Ogonshoto dan lain-lain karya para sasterawan negara, yang terang-terang menolak nilai-nilai agama, sebaliknya menerima nilai Hindu-Buddha (dalam Ranjau ….) dan nilai-nilai hedonisme dalam Naratif Ogonshoto.

Sebelum meninggal, Jacques Barzun sempat menerbitkan bukunya yang membicarakan aspek decadence dalam kehidupan Barat moden, From Dawn to Decadence: 1500 Years to the Present : 500 Years of Western Culture. (New York: Harper-Perennial, 2000.)   Kekeliruan tentang konsep bahasa, konsep ilmu, dan konsep adab adalah faktor-faktor yang membuat masyarakat Islam hanyut dalam hedonisme, lalu menjadi marah ketika diperingatkan bahawa Islam telah memberi kaedah yang lengkap untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Tetapi para sarjana dan sasterawan menegaskan bahawa mereka adalah golongan celik ilmu, yang menolak Gagasan Persuratan Baru kerana menurut mereka gagasan itu menyekat kebebasan berkarya yang amat penting dalam penulisan kreatif.  Kata mereka, menerima PB bererti menolak sasterawan negara yang menurut mereka menjadi saksi kejayaan berkarya dalam sastera Melayu moden. Sama ada karya para sasterawan negara itu berasaskan hedonisme atau apa-apa juga faham sastera yang wujud ketika ini, bagi mereka adalah tidak penting dan tidak menjadi masalah. Yang penting, menurut para sarjana sastera, sekumpulan karya para sasterawan negara itu telah meletakkan asas yang kukuh dalam penulisan kreatif yang peru dijadikan contoh oleh para penulis baru. Saya menolak sekeras-kerasnya kesimpulan mengarut dan bodoh ini, dengan memberikan hujah-hujah yang mantap, yang telah saya paparkan dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden (Kuala Lumpur: Penerbit Wadi al-Irfan, 2019).  Saya persilakan seluruh sarjana sastera Malaysia dan seluruh sasterawan picisan yang menulis karya picisan bangkit dengan gagah perkasa menolak kesimpulan ilmiah dalam buku itu.  Saya juga mempersilakan mereka menolak kesimpulan saya bahawa novel Pujangga Melayu lebih baik daripada War and Peace dan menjadi mercu kejayaan kreatif dalam sastera Melayu moden.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14 April 2019.

1 comment:

  1. Novel PUJANGGA MELAYU EDISI KE-3 baru saja diterbitkan oleh Wadi-al-Irfan, tebal 849 termasuk Index.

    ReplyDelete