Thursday, April 4, 2019

BAHASA DAN MATEMATIK ASAS TAMADUN



Dalam tahun 1980-an (tak pasti 1980 atau 1981)  ketika saya di  DBP untuk membeli buku dan majalah, bertemu seorang guru matematik, Melayu, yang datang ke DBP untuk  berunding tentang buku matematik untuk sekolah menengah yang ditulisnya. Lama juga kami berbual, dan saya mencadangkan kepada beliau supaya ditubuhkan Persatuan Matematik Malaysia. Dia tertawa, saya tak pasti sama ada beliau fikir cadangan itu lucu atau main–main. Saya juga tidak pasti sama ada Persatuan Matematik Malaysia itu sudah wujud atau tidak. Semua ini timbul kembali apabila saya membaca buku Prof. Madya Dr. Mat Rofi Ismail yang saya rujuk dalam entri lepas.

Seperti biasa, apabila saya melontarkan (sorry guna perkataan ini yang lumrah dipakai oleh penulis Indonesia) sesuatu idea, maka cadangan itu bagi saya sangat penting difikirkan dan lebih baik lagi diusahakan pelaksanaannya.  Peranan bahasa dan matematik sebagai asas tamadun saya ambil daripada pembacaan saya tentang perkembangan tamadun Islam, yang menurut bacaan saya diasaskan kepada dua bidang ini. Para ulama dan peneliti ilmu dalam Islam ternyata sangat teliti dan mereka benar-benar bijak. Dalam pengalaman saya, matematik amat diperlukan kerana inilah subjek yang memberi kita cara berfikir dengan sistematik. Matematik memberi kita sistem, yang diperlukan jika anda mahu menjadi penulis yang baik. Bahasa pula sangat penting kerana yang difikirkan itu perlu diterjemahkan dalam dokumen untuk diteliti oleh orang lain, selain untuk dibaca secara iseng-iseng.  Dua subjek ini mesti ada pada sesiapa juga yang mahu berada dalam dunia ilmu.  Adakah ini bermakna saya seorang ahli matematik? Tidak, malah tidak perlu pun. Tetapi saya menyebut perkara ini supaya dijadikan mata pelajaran terpenting dalam sistem pendidikan kita. Mahu saya beri contoh? Sekali lagi saya sebut mengenai Menteri Pendidikan Malaysia yang dilantik oleh Dr. Mahathir yang diambil dari partinya sendiri setelah dia yang mahu jadi Menteri Pendidikan dibantah oleh orang ramai. Mujurlah beliau bersetuju melantik orang lain, kerana rekod beliau sebagai Menteri Pelajaran/Pendidikan sangat buruk, tidak salah jika saya simpul sebagai bangsat, kerana sistem yang cuba beliau laksanakan tidak mengarah kepada perkara-perkara yang mencerdikkan bangsa Malaysia, malah sistem yang dilaksanakannya menyekat perkembangan pendidikan dan kebebasan berfikir di kalangan pelajar. Anda tahu maksud saya, tak perlu saya jelaskan. Pilihan beliau untuk menjadikan seorang bekas ahli akademik yang gagal dalam dunia akademik, dan lari dari bidang itu lalu menceburkan diri dalam politik, dan pandai pula mengambil peluang daripada parti baru Mahathir, maka jadilah dia seorang Menteri Pendidikan yang paling memalukan seluruh rakyat Malaysia. Orang ini lebih mementingkan kaki daripada otak. Anda semua tentu tahu maksud saya.  Semua ucapannya mengenai pendidikan tidak cerdik langsung, malah bertentangan dengan konsep pedagogi yang difahami di Barat sekali pun.  Bagi seorang ahli akademik yang mengajar di sebuah universiti terkenal pula, sungguh amat memalukan apabila beliau bertindak sebagai promoter pendidikan picisan (saya ketagih betul menggunakan perkataan ini kerana kedudukannya yang istimewa dalam budaya Malaysia), sama sekali tidak tahu betapa eratnya pendidikan itu dengan konsep ilmu dan konsep adab dalam perkembangan masyarakat. Sahlah beliau meremehkan saja sumbangan besar Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bidang ini; dan bagi saya sangat aneh serta benar-benar biadab untuk melemparkan saja satu falsafah pendidikan negara yang diutarakan oleh seorang ahli akademik dan ahli falsafah Malaysia yang sangat terkenal di peringkat antarabangsa dan dihormati pula.  Kalau begitu, tentulah tidak pantas bagi seorang Menteri Pendidikan mengajar pelajar dan guru-guru menjadi kurang ajar, seperti yang ditekankan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam sajaknya. Kemudiannya saya diberitahu menteri ini peminat sasterawan negara ini!  Bukan urusan saya untuk beliau memilih sesiapa juga yang beliau minati. Tetapi bagi saya seorang menteri pendidikan perlu memberi penekanan kepada konsep pendidikan yang matlamatnya untuk melahirkan masyarakat beradab.

Sebagai satu kompromi, saya ingin mencadangkan kepada menteri pendidikan ini supaya menubuhkan Persatuan Bahasa dan Matematik di setiap sekolah, kerana inilah dua perkara yang kita perlu ajar kepada anak-anak kita untuk memudahkan mereka memberi sumbangan kepada negara sebagai anggota masyarakat yang berfikir, yang cerdik. Boleh saja pakai kasut hitam, tetapi jangan pula hitamkan otak anak-anak kita untuk meneruskan budaya pandirisme dalam masyarakat kita dan dalam sistem pendidikan.  Ketika saya bersekolah 1950-1960-an dulu sudah ada persatuan bahasa Melayu dan persatuan Sains di sekolah.  Tetapi ketika itu matlamatnya sangat mundane, kerana guru-guru sendiri tidak mempunyai kesedaran intelektual seperti yang saya kira sudah mula berkembang pada waktu ini.  Persatuan yang saya cadangkan itu bertujuan untuk memperkenalkan keagungan tamadun Islam dalam dua bidang penting ini. Pelajar kita tidak tahu apa-apa tentang tamadun Islam, tetapi mereka tahu sedikit tentang tamadun Barat.  Guru mereka pun tidak tahu bahawa tanpa perkembangan ilmu yang begitu pesat dalam tamadun Islam tidak mungkin Barat maju seperti sekarang. Barat mencuri dengan bangga prinsip-prinsip kemajuan yang diasaskan oleh cendekiawan dan ulama.

Kalaulah para sarjana sastera kita bijak dan jujur, mereka sepatutnya mengangkat Gagasan Persuratan Baru ke seluruh dunia ilmu dalam bidang ini. Alhamdulillah, usaha ini telah dibuat oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Zariat Abdul Rani.  Bagusnya pula, blog saya mendapat sambutan agak luar biasa di luar negeri berasaskan pageviews setiap entri. Saya agak bahasa Melayu/Indonesia sudah mendapat tempat selayaknya di negara Barat dan Amerika Syarikat.  Yang paling mengecewakan dunia ilmu ialah sikap negatif DBP yang anti-ilmu dan sangat megah menjadi salah satu organisasi yang menentang sebarang kemajuan berfikir dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera.  Adakah anda mempunyai apa-apa cadangan untuk membantu DBP dan menjadikannya relevan seperti di bawah pimpinan Syed Nasir dan Hassan Ahmad? Tentulah aneh sebuah organisasi bahasa bersikap anti ilmu.  Kritikan ini bukan main-main, telah saya sampaikan secara bertulis kepada DBP. Saya tidak mengharapkan akan terjadi apa-apa perubahan kerana kita semua tahu, dan cukup maklum, sebarang perubahan dalam negara Malaysia ini mestilah memberi faedah kepada pihak-pihak yang amat menghargai faedah itu.

Untuk mengakhiri catatan ringkas ini, saya ingin tegaskan bahawa iklim budaya dan kegiatan intelektual kita perlu berubah kepada konsep ilmu yang benar seperti yang ditekankan dalam al-Quran; oleh itu kita hanya mempunyai satu pilihan, yakni untuk mencerdikkan bangsa Melayu berasaskan konsep ilmu menurut al-Quran.  Sesiapa juga yang menentang usaha ini akan menemui kegagalan total betapa besar sekali pun tentangan mereka.   Kebenaran tidak pernah dikalahkan.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4 April 2019.




No comments:

Post a Comment