Tuesday, April 23, 2019

PROSES PERUBAHAN KE ATAS PERKEMBANGAN GAGASAN PERSURATAN BARU



Pada mulanya saya tidak bermaksud untuk melakar satu teori sastera (teori persuratan), tetapi sekadar mengajukan satu kerangka analisis dalam penilaian karya sastera. Kemudiannya saya sedar kita perlukan satu teori baru untuk menghadapi karenah teori sastera Barat yang anti-ilmu seperti yang kita fahami dalam Islam. Setelah melalui banyak pembaikan melalui tulisan dan analisis Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd Zariat Abdul Rani, maka kami terbitkan buku Gagasan Persuratan Baru untuk menjadikannya satu kaedah analisis dalam kritikan sastera dan sekali gus memberi saranan berguna dalam penulisan kreatif. Maka jadilah PB seperti yang ada sekarang, berdiri sebagai satu cabaran tidak saja kepada para sarjana sastera dan kaum sasterawan, tetapi sebagai cabaran kepada teori sastera Barat. Dalam hal ini, tidak timbul persoalan sama ada Barat menerima atau tidak kemunculan PB dalam sistem pemikiran tentang sastera. Kemunculan PB tidak bergantung pada keizinan dari sarjana Barat, seperti yang diharapkan oleh para sarjana sastera Malaysia dan para sasterawan. Mereka bangga menjadi pengikut sarjana Barat dan berasa amat mewah berceloteh tentang sastera tanpa memberi perhatian kepada konsep ilmu. Tentu saja mereka ada teori, malah banyak betul teori sastera Barat. Tetapi apakah yang mereka sumbang dalam usaha kita memahami apa sebenarnya “sastera” dan mengapa sastera itu kita perlukan, atau tidak perlu. Buat pertama kali dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera, persoalan besar ini ditimbulkan dan jalan keluarnya dicadangkan melalui Gagasan Persuratan Baru.  Sekarang para sarjana sastera dan para sasterawan sepatutnya berasa lega dan amat gembira kerana mereka diberi kebebasan untuk menerima atau menolak PB dan terus menerus menjadi hamba kepada para sarjana sastera Barat.  Semuanya menjadi masalah dan nampaknya semakin luas jurang akademik yang dihadapi oleh para sarjana sastera Malaysia dan sasterawan apabila mereka terus dicabar untuk memahami kedudukan sebenar dalam pertarungan akademik ini. Akhirnya perkara ini menjadi masalah kepada mereka apabila mereka secara total menolak konsep ilmu dan tidak menerima kedudukan ilmu sebagai pendorong kepada penulisan kreatif. Mereka tidak pernah bertanya adakah itu pilihan terbaik untuk perkembangan sastera di Malaysia?  Bagi kami yang terlibat dalam bidang kreatif dan akademik yang memberi tempat utama kepada konsep ilmu yang benar, pilihan para sarjana dan sasterawan itu pada hakikatnya mundur seratus tahun atau hampir seratus tahun dalam bidang ini. Mari kita lihat apakah komen seorang sarjana sastera tentang perkara ini, yang termuat dalam buku Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP 2005).  Menurut Sahlan Mohd. Saman dalam tulisannya, berlaku satu “tragedi” dalam sastera Melayu. Inilah kata-kata beliau: “Tragedi polemik kelompok Asraf “Seni Untuk Masyarakat” dengan kelompok Hamzah “Seni Untuk Seni” dalam dunia kritikan sastera dekad itu telah merugikan sejarah sastera dan martabat keintelektualan Melayu”. (hal. 511).

Pada hemat saya, perkara ini masih diteruskan hingga sekarang, melalui apa yang disebut oleh Sahlan Mohd. Saman sebagai kesan pengaruh pendekatan formalisme dalam kritikan sastera.  Saya secara peribadi tidak peduli sangat pendekatan atau kaedah apa pun yang anda pilih, asalkan anda tidak menutup kesedaran intelektual anda dengan memusuhi pendekatan lain yang asing daripada yang anda biasa alami selama ini, yakni bergelumang dalam teori Barat.  Saya sendiri tidak menolak teori Barat kerana banyak yang boleh kita pelajari tentang pemikiran manusia tidak bertuhan ketika membicarakan hasil karya yang pada umumnya anti-agama dan melemparkan terus apa juga yang bersifat agama dalam kegiatan kesusasteraan. Tetapi ini tidak bererti tiada langsung kesedaran kepada peranan agama itu, cuma dalam dunia Barat ini suatu pengecualian. Contoh yang diberikan oleh Sahlan Mohd. Saman itu tepat sekali memperlihatkan betapa kelirunya dua puak ini pada ketika itu; tetapi kemudiannya menjadi masalah besar dalam perkembangan sastera Melayu moden apabila kekeliruan itu diteruskan oleh para sarjana dan sasterawan. Mengapa hal ini terjadi? Saya melihat ada dua perkara penting yang menjadi sebab utama kekeliruan ini. Pertama sekali, kurangnya kefahaman yang agak mendalam tentang peranan teori dalam pemikiran manusia, khususnya dalam penulisan dan kritikan sastera. Kedua, hal ini terjadi kerana mereka ini tidak kenal tradisi pemikiran Islam yang menjadi asas perkembangan kemajuan Eropah dalam semua bidang. Yang ditiru oleh para sarjana dan sasterawan kita adalah perkembangan yang telah dipaluti ajaran karut golongan Marxist dan existentialis. Kalau anda baca karya para penulis kita, dan anda tahu apa yang menjadi persoalan dalam sastera Barat, anda akan dapati inilah dua pengaruh besar yang boleh kita lihat sampai sekarang dalam karya para sasterawan Malaysia.  Dalam konteks ini, tepat sekali bila saya mengatakan Pujangga Melayu lebih baik daripada War and Peace, kerana Pujangga Melayu ditulis tidak lagi dalam pengaruh Barat, tetapi sebaliknya mengangkat konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif, sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam sastera Melayu baru  sebelum munculnya Pujangga Melayu. Sebenarnya hingga kini pun saya belum bertemu sebuah novel yang lebih tebal daripada Pujangga Melayu yang menolak asas penulisan kreatif yang dipakai dalam Pujangga Melayu.  Bagi para sarjana sastera yang cetek meraba-raba dan para sasterawan negara yang menulis karya picisan, peranan ilmu yang benar dianggap sebagai penghalang kepada kreativiti yang seluruhnya, menurut mereka, menjadikan imaginasi dan khayalan sebagai asas penulisan kreatif. Itulah sebabnya kita bertemu begitu banyak unsur sensasi dalam karya para sasterawan negara, dengan contoh utama diberikan oleh Anwar Ridhwan dalam novel beliau yang mendapat pujian seluruh dunia, Naratif Ogonshoto. Dalam dunia akademik pula, sensasi itu ditonjolkan dalam kritikan sastera berasaskan the aesthetics of adultery yang diperkenalkan dan dipertahankan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam tesis Ph.D. beliau yang telah diterbitkan. Untuk mendapat sedikit penjelasan tentang penulisan naratif dalam Islam, sila rujuk  buku terbitan UNESCO di Mesir, berjudul Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance (Cairo, 1977). Lihat penjelasan di bawah tajuk “Narrative Art”, mulai hal. 60-100.  Dihuraikan pengaruh Andalusia yang besar ke atas Eropah dalam seni bercerita. Sebenarnya Andalusialah yang mengajar Eropah makna kemajuan dalam semua bidang ilmu dan lain-lain. Kalau anda masih ingat, saya tidak ragu-ragu klaim sajak “Al-Andalus” adalah sajak terindah pernah ditulis dalam sastera Melayu. Saya menunggu penafiannya daripada para sarjana sastera Malaysia, dengan buktinya sekali jika terdapat sajak lain yang mengatasi “Al-Andalus”.  Bagi saya cukup bagus, dan amat wajar, jika tidak ada mana-mana sarjana yang mahu melayan cabaran saya, kerana itulah yang saya harapkan daripada mereka sebagai bukti kecetekan ilmu mereka. Sesungguhnya amat benar, dan tepat, Pujangga Melayu itu jauh lebih bermutu daripada War and Peace, jikalau anda faham kedudukan naratif dalam seni mengarang para pujangga Islam. Sila rujuk juga sebuah buku Indonesia, Kitab Kritik Sastera, oleh Maman S. Mahayana (Jakarta 2015). Anda carilah sendiri rujukan yang saya maksudkan. Sebagai peringatan untuk diri saya, “kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga”.  Itulah kedudukan para sarjana sastera Malaysia.

Orang yang cerdik di kalangan anda, tentu akan bertanya, dengan nakal pula, mengapa Mohd. Affandi Hassan terus “menggoda” para sarjana dengan cabaran-cabaran yang membuat mereka meluat?  Pertanyaan itu sepatutnya ditanyakan kepada Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan sahabatnya si Baha Zain yang tiba-tiba saja diangkat menjadi sasterawan negara, padahal saya lebih berhak mendapat gelaran itu jika dibandingkan sumbangan kerdil si Baha Zain dengan sumbangan tujuh lautan yang saya berikan kepada perkembangan intelektual Malaysia? Di sinilah bijaknya sesiapa juga yang sudah terlanjur mengangkat penulis sajak-sajak kontot (ini istilah Shahnon Ahmad?) yang mendapat pujian tinggi daripada Prof. Datuk Rahman Shaari dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, kedua-duanya adalah peminat Baha Zain, oleh itu tepatlah jika mereka memberikan sanjungan padahal Baha Zain tidak layak mendapat sanjungan begitu tinggi. Tetapi inilah keadaan yang kita terpaksa hadapi dalam sastera Melayu, yang memang dikawal oleh gerombolan yang berada dalam kandang Mutual Admiration Club yang dulunya dikritik oleh orang berkenaan tetapi sekarang dialah yang menjadi Presidennya. Inilah dunia Aligupit, jika anda belum tahu dan belum sedar.  Menurut pandangan Aligupit, suara musik yang merdu yang boleh didengar sekeliling bangunan indah itu adalah suara air longkang yang dialirkan dengan sangat teliti oleh pembina longkang untuk melahirkan suara merdu muziknya. Adakah ini sindiran kepada kualiti karya sastera Melayu yang dibanggakan itu, sebenarnya suara musik air longkang saja? Hingga sekarang belum ada lagi sebarang sarjana membicarakan Aligupit seperti sepatutnya, kecuali satu rencana dalam akhbar yang nama penulisnya saya sudah lupa. Kalau beliau baca blog ini, harap beliau tampil mengaku beliaulah yang menulis rencana itu. Sebagai seorang penulis satira yang mendapat penghargaan tinggi daripada Prof. D’raja Ungku Aziz (bila saya bertanya beliau mengapa beliau terus membaca karya saya),  unsur satira itu sangat besar dalam karya kreatif saya, termasuk dalam Pujangga Melayu sekalipun.  Jika anda perasan bagaimana Awang memberitahu anak perempuannya yang cerdik itu, anda akan faham mengapa saya menulis Pujangga Melayu.  Dan tentunya Aligupit sebelum itu.

Dalam kegiatan penulisan saya, perhubungan antara karya kreatif dengan kritikan sastera amat erat, kerana memang matlamat saya hendak membawa penulis Melayu ke tahap pemikiran, bukan lagi berlegar di sekitar cerita yang kaya fantasi, tetapi tidak berisi. Contoh terbaik ialah Naratif Ogonshoto, yang diisytiharkan sebagai novel terbaik Malaysia seluruh zaman, yang merempuh sastera dunia. Cuma sayangnya, novel picisan ini tidak dapat disandingkan dengan War and Peace, apatah lagi didudukkan sama tinggi dengan Pujangga Melayu. Anda perlu membaca Aligupit sekritis mungkin untuk memahami maksud saya.  Di sinilah Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan teman-teman rapat beliau amat cerdik, apabila beliau dan rakan-rakannya mengelak dari membaca karya saya. Mereka tahu mereka akan mendapat sawan mawas sekiranya mereka membacanya.

Itulah sekadarnya mengenai perubahan dalam perkembangan Gagasan Persuratan Baru sebagai sebuah teori sastera yang istimewa dan amat dibenci oleh para pengikut anggota Mutual Admiration Club sastera Malaysia. Bila menyebut Mutual Admiration Club ini, saya tidak dapat mengelak daripada seolah-olah sedang mendengar musik indah dari air longkang dalam Aligupit.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 23 April 2019.


No comments:

Post a Comment