Tuesday, April 9, 2019

DARI DULU HINGGA SEKARANG PENDIRIAN SAYA TIDAK BERUBAH



Jika anda sudah membaca cerita pendek yang ditulis seorang anak muda yang baru berumur 14 tahun, atau kurang sedikit, yang dipaparkan dalam cerita pendek “Kapitalis Kecil” itu, maka anda tentu agak sukar hendak menuduh saya syok sendiri, memuji karya sendiri, dan meletakkan peraturan sendiri untuk menilai karya kreatif dan teknik menulisnya.  Saya tidak perlu memuji diri saya sendiri, kerana semua karya saya terbuka untuk anda kritik seberapa kritis yang anda mahu. Itulah cabaran saya sebenarnya, yang hingga kini belum ada yang menyahutnya. Mengapa mereka berdiam diri? Salah satu antara dua perkara, atau kedua-duanya. Pertama, mereka tidak mampu membicarakan karya mengikut kehendak hati mereka, kerana mereka pun tahu, setelah diberitahu berkali-kali, karya saya mempunyai gaya dan bicara tersendiri yang tidak ada pada mana-mana karya sastera. Kedua, mereka tidak mempunyai daya fikir yang tinggi untuk melakukannya, oleh itu mereka pun mendiamkan diri. Lebih menguntungkan mereka jika mereka  tidak memberi perhatian, apatah lagi mereka ini sudah pun diberi kedudukan tinggi dan istimewa.

Perhatikan, dalam entri yang lepas saya memberitahu anda bahawa penggunaan konsep stylization of ideas tidak hanya dalam penulisan kreatif, tetapi  juga dalam kritikan sastera seperti yang saya tunjukkan sekarang. Saya persilakan anda membaca al-Quran dan mengesan betapa al-Quran menggunakan gaya itu ketika ingin membuat sesuatu penegasan. Saya tegaskan sekali lagi, saya mendapat idea ini dari kisah Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘A.S. Biarlah saya tidak memberi contohnya dulu bagaimana stylization of ideas itu muncul dalam al-Quran, supaya anda mencari sendiri tempat-tempat yang tersirat dengan stylization of ideas itu.  Saya sekarang sedang tersenyum apabila teringatkan satu contoh yang sangat cantik yang disebut di dalam al-Quran, tentang hubungan suami isteri. Saya harap para sasterawan dan sarjana sastera tahu contoh itu dan boleh memahami dengan jelas konsep stylization of ideas itu. Kalau masih tidak faham atau tidak mahu faham kerana sebab-sebab yang mereka sendiri saja tahu, saya tidak boleh kata apa-apa supaya tidak menyinggung perasaan mereka.  Sebagai contoh mudah yang senang anda dapat, bacalah syair Za’ba yang telah saya salin dalam Pujangga Melayu, “Buatlah baik ayuhai rakan, …. (dan seterusnya).  Perhatikan, mengapa kebaikan mesti dicampak ke dalam laut?  Inilah contoh stylization of ideas yang anda tidak tahu kerana anda tidak membaca Za’ba, walaupun dia digelar Pendeta bahasa Melayu!  Mengapa Za’ba memilih laut? Ada ceritanya dalam Islam, yang anda boleh tanya siapa-siapa yang tahu untuk menjelaskannya kepada anda. Sangat indah, dan keindahan itulah yang mendorong Za’ba memilih laut untuk menyatakan falsafahnya yang indah itu.

Saya selalu memberitahu anda persuratan Melayu itu sangat indah, kerana yang memberi keindahan itu ialah tokoh-tokoh yang berilmu, seperti Pendeta Za’ba.  Berilah satu contoh, jika ada, daripada karya para sasterawan negara. Tetapi anda akan dapat banyak contoh di dalam Pujangga Melayu, jika anda membacanya sebagai orang yang celik ilmu.  Supaya anda lebih bersedia untuk berfikir menggunakan sedikit ilmu yang ada pada anda, jika ada, saya ingin menyatakan, novel Pujangga Melayu jauh lebih bermutu daripada War and Peace. Saya menunggu bantahan dan cemuhan anda, para sasterawan dan sarjana sastera. Sedikit ingatan, janganlah hanya tahu mencemuh; anda perlu juga tahu membicarakannya dengan mendalam kesimpulan yang saya “lempar” (sekali lagi, menurut gaya penulis Indonesia) kepada anda. Sekiranya tidak ditepis, besar padahnya kepada maruah intelektual anda.  Inilah cabaran saya yang terbesar, yang memberi peluang kepada anda untuk membaca Pujangga Melayu sehabis kritis dan membuktikan karya itu tidak bermutu dan tidak mungkin dibandingkan dengan karya agung Tolstoy itu.  Tetapi sebelum anda sampai kepada kesimpulan itu, anda perlu meyakinkan pembaca yang sudah agak kritis sekarang, antara dua orang tokoh ini, siapakah yang memahami konsep ilmu dengan memuaskan, jika pun tidak mendalam. Setelah anda berjaya memberikan bukti dan kepastian yang kukuh bahawa Tolstoy mempunyai ilmu yang mendalam, dan saya pula cetek meraba-raba, seperti anda sendiri, maka tentulah tidak siuman untuk membandingkan karya seorang gergasi sastera dunia dengan seorang penulis picisan dari Malaysia. Tetapi tunggu dulu!  Adakah anda telah betul-betul membaca Pujangga Melayu sehabis kritis yang anda mampu, dan anda pun membaca War And Peace dengan teliti, seteliti pembacaan anda terhadap Pujangga Melayu, sehingga membolehkan anda membuat perbandingan dengan wajar. Dari segi apa Pujangga Melayu tidak bermutu jika dibandingkan dengan War and Peace; dan apakah keistimewaan novel Tolstoy itu yang tidak ada pada Pujangga Melayu?  Lebih baik  lagi jika anda mengatakan novel agung Malaysia, Naratif Ogonshoto, jauh lebih baik daripada karya Tolstoy itu, satu-satunya novel Melayu yang bertaraf antara bangsa. Jika penghujahan anda masuk akal, anda telah membunuh dua buah novel besar, dengan itu telah membuktikan kehebatan Naratif Ogonshoto itu sebagai antara karya dunia terbesar. Inilah yang kami semua hendak tahu, supaya segala kritikan saya terhadap para sasterawan negara itu tidak boleh diterima kerana tidak sebuah pun karya saya yang sampai ke taraf dunia, tidak seperti karya para sasterawan negara yang semuanya bertaraf dunia walaupun saya telah membuktikannya karya picisan saja. 

Bacalah baik-baik, dengan kritis, cerita pendek “Kapitalis Kecil” itu.

Benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau. Adakah anda tahu peribahasa ini ditujukan kepada buah kelapa? Perhatikan pulau-pulau yang ada di sekeliling kita, anda nanti akan kagum kepada kebijaksanaan orang tua-tua kita yang memberikan kita peribahasa dan lain-lain kebijaksanaan yang mereka masukkan dalam peribahasa, perumpamaan, dan pantun-pantun mereka. Adakah kita mendapat pengajaran dan kebijaksanaan itu di dalam sajak-sajak para sasterawan negara?  Di sinilah anda akan faham mengapa saya kerap menegaskan setiap karya kreatif yang bermutu itu memang “indah dan bermakna”!  Apa lagi sanggahan dan ejekan yang anda mahu “lempar” kepada saya ketika menolak PB?  Anda hanya menunjukkan dengan bangga kebodohan anda sendiri.

Cerita pendek “Kapitalis Kecil” adalah permulaan kepada PB, yang disempurnakan dalam Pujangga Melayu.  Bagaimana pula perjalanan kreatif Tolstoy yang melahirkan War and Peace?  Jika anda jelas tentang dua keadaan ini, maka lebih mudahlah membuat perbandingan dan memberikan penilaian yang benar-benar saksama. Mudah pula membuat kesimpulannya; tetapi sukar melakukannya.  Saya harap anda tidak tergelincir ke lembah pandirisme  ketika  membuat perbandingan ini. Saya telah memberi anda peluang yang sangat baik untuk membuktikan karya saya tidak bermutu jika dibandingkan dengan karya Tolstoy itu, sedangkan Naratif Ogonshoto jauh lebih bermutu dan lebih baik daripada dua buah novel itu.  Jika ini boleh diterima, maka terbatallah segala kritikan saya terhadap para sasterawan negara, walaupun saya masih berpegang kepada kesimpulan saya bahawa karya mereka adalah picisan dan para sasterawan negara bukanlah pemikir yang tinggi daya kreatifnya.  Mereka sendiri adalah picisan, walaupun karya mereka lebih bermutu daripada karya Tolstoy yang bertaraf dunia itu.

Dengan penjelasan ini, anda sekarang lebih mudah untuk membuat kesimpulan di mana letaknya Pujangga Melayu.  Adakah novel ini setaraf dengan karya Tolstoy, atau lebih tinggi mutunya dari segi pemikiran? Apa pun keputusan anda, kedudukan saya sebagai seorang pemikir sastera tetap utuh; tetapi tidak  begitu kedudukan para sasterawan negara. Mereka tetap picisan dan karya mereka adalah karya picisan.  Adakah kita sekarang menghadapi fasa baru dalam perkembangan sastera Melayu?  Sebenarnya fasa baru sudah bermula lama dahulu dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru.  Saya tidak fikir ada sarjana sastera yang siuman membantahnya atau menafikannya.

Mohd. Affandi hassan,
petaling jaya, 9 april 2019.

No comments:

Post a Comment