Friday, April 5, 2019

PENGKHIANATAN INTELEKTUAL TERBESAR DALAM BUDAYA MELAYU



Sejak tahun 1981 sewaktu  projek sasterawan negara dimulai saya telah mengkritik pengkhianatan intelektual terbesar dalam sejarah kebudayaan Melayu. Sekarang kritikan saya telah diinstitusikan dalam bidang kritikan dan dalam sejarah intelektual Malaysia dengan terbitnya buku mengenai penipuan intelektual terbesar dalam kritikan sastera Melayu. Seperti yang saya tegaskan dalam banyak entri dalam blog ini, pengkhianatan ini akan menjadi kutukan terbesar dalam sejarah kebudayaan Melayu, khususnya dalam bidang sastera. Tidak saja kita dipaksa menerima karya picisan daripada penulis picisan yang sesat meraba-raba dalam konsep ilmu, yang menolak sumber ilmu daripada al-Quran, kita juga menerima sampah sarap dalam kritikan dan penilaian sastera yang dimuntahkan oleh para ahli Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka yang cetek dan picisan dari segi akademik itu.  Kritikan saya dalam buku Anugerah Sastera Negara menjadi bukti kepalsuan penilaian dalam kritikan sastera Melayu.


 


Buku ini dan buku Pandirisme dalam Komuniti Dunia  menjadi saksi kepada kepalsuan intelektual yang diinstitusikan dalam projek sasterawan negara ini.  Penerbitan dua buah buku ini dan kehadiran blog persuratan baru memberi anda kesempatan untuk menilai dengan kritis kegiatan intelektual Melayu dan kedudukan para sarjana sastera yang telah gagal memberikan sumbangan akademik dalam bidang ini berasaskan konsep ilmu yang benar yang menjadi asas tamadun Islam, yang akhirnya diciplak oleh Barat. Hasil pencurian ini kemudiannya diambil dengan gelojoh oleh para sarjana dan sasterawan Malaysia, tanpa menyedari bahawa mereka sedang bergelumang dalam lumpur budaya hedonisme yang kini menjadi tonggak perkembangan sastera Melayu moden.

Ketua Pengarah baru DBP telah mengeluarkan kenyataan bahawa sasterawan negara baru akan diisytiharkan pada bulan Julai ini, membuktikan bahawa projek ini akan diteruskan hingga hari kiamat, selagi ada bulan dan bintang.  Kegigihan ini sangat luar biasa mengingat bahawa DBP yang mendakwa menjadi penjaga kelangsungan karya kreatif yang bermutu, belum lagi berupaya untuk menolak cabaran saya bahawa tidak sebuah pun karya para sasterawan negara ini boleh mengatasi karya kreatif saya,  (seorang yang bukan “sasterawan negara”), baik novel, cerita pendek, atau sajak. Saya telah membincangkan perkara ini banyak kali dalam blog ini. Hingga ini belum lagi kita temui hujah yang menolak cabaran saya, dengan itu mereka semua bersetuju perkara ini lebih baik didiamkan saja kerana jika dibincangkan akan mendedahkan karya para sasterawan negara kepada penilaian semula, yang tidak perlu menurut ahli Panel Anugerah Sastera Negara yang masih hidup. Ini menimbulkan masalah besar yang lebih mencabar dengan terbitnya dua buah buku yang saya sebutkan itu. Jika cabaran saya tidak ditolak, jelaslah bahawa pemilihan sasterawan negara ini dilakukan sambil lewa, tidak berasaskan penilaian yang saksama. Saya telah mengulas pembohongan intelektual ini dalam banyak tulisan, yang akhirnya diterbitkan sebagai buku seperti di atas. Sekarang pembohongan intelektual ini akan menjadi lebih menonjol kerana kini DBP perlu membuktikan karya kreatif saya adalah lebih rendah mutunya daripada karya para sasterawan negara; dan ukuran yang saya cadangkan dalam Gagasan Persuratan Baru tidak boleh dipakai kerana ukuran itu untuk menilai karya persuratan, bukan karya sastera. Jika inilah hujah mereka, maka mereka benar-benar sudah menyerahkan leher mereka untuk disembelih secara akademik. Jika mereka benar-benar percayakan hujah mereka, mereka perlu faham bahawa PB memberikan tiga kategori karya kreatif: karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/lucah.  Bagaimana DBP boleh mempertahankan pilihan mereka nanti jika yang mereka pilih itu karya sastera yang picisan dan cetek meraba-raba jika dibandingkan dengan karya persuratan? Andainya mereka menolak karya persuratan sebagai tidak wujud dan tidak perlu, maka ke mana mereka hendak melemparkan karya kreatif saya yang jauh lebih bermutu daripada karya mana-mana sasterawan negara sekali pun? Inilah cabaran intelektual yang perlu diselesaikan, supaya pemilihan para sasterawan negara ini tidak menjadi bahan cemuhan dan bahan ketawa sepanjang zaman. DBP harus mempunyai sedikit perasaan kasihan belas terhadap para sasterawan negara ini yang kedudukan mereka adalah second class jika dibandingkan dengan karya persuratan. Jika karya persuratan itulah yang second class, yakni karya saya yang sudah dibuktikan jauh lebih bermutu daripada sebarang karya para sasterawan negara mana-mana sekali pun, maka satu penolakan total terhadap karya saya perlu dilakukan, untuk mengelak segala monyet dan orang hutan (mawas) tertawa sambil bergayut di dahan kayu  menyorakkan kita semua!  Inilah tugas berat DBP yang mesti dilaksanakan dengan jujur dan berani.

Saya cadangkan  begini: DBP keluarkan satu kenyataan tegas bahawa para sasterawan negara adalah penulis terbaik di Malaysia dan karya mereka adalah yang terbaik yang pernah ditulis.  Dengan kenyataan ini, lebih mudah lagi saya mengemukakan penolakan saya, sekurang-kurangnya dengan merujuk kepada buku yang baru terbit itu. Dengan itu kita memberi peluang kepada sesiapa juga untuk membahaskannya dengan penghujahan yang mantap, supaya para sasterawan negara ini benar-benar terbukti sebagai sasterawan terbaik dan belum ada sesiapa pun dapat menandingi mereka. Tetapi DBP perlu menegaskan, cabaran Mohd. Affandi Hassan tidak boleh diterima kerana beliau syok sendiri memuji karyanya walaupun tidak bermutu kerana tidak pernah diberikan apa-apa hadiah oleh mana-mana organisasi Malaysia mahu pun luar negara.  Ini akan memudahkan saya memberi pandangan kritis saya untuk ditolak oleh mana-mana sarjana yang menyokong manusia, bukan ilmu, yang kita panggil sasterawan negara itu. 

Di sini saya turunkan sebuah poster daripada mahasiswa empat buah universiti di Malaysia yang menegaskan kita mesti menolak pandirisme,  menuju kepada 



penulisan karya berasaskan konsep ilmu yang benar.  Jika cadangan saya diterima, kita memberi peluang kepada para maha siswa ini untuk mengemukakan hujah mereka sekiranya mereka mahu.  Yang penting, kita akan lebih terbuka untuk berbincang dengan kritis mengenai persoalan dalam penilaian karya ini. DBP tidak boleh menyisihkan diri jika badan ini ingin mempertahankan sasterawan negara yang picisan itu, yang menjadi pilihan mereka.  Ruang untuk menolak pembahagian tiga kategori karya, yakni karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan/erotik, kini terbuka untuk dibincang. Jika tidak dibincang, pembahagian itu akan kekal di situ dan setiap penilaian yang dibuat tidak dapat mengelak daripada mengambil perhatian kepada tiga kategori karya itu. Saya sendiri terus mempertahankan pendapat saya bahawa karya para sasterawan negara ini adalah karya picisan yang termasuk dalam kategori kedua, sebagai karya sastera. Penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera sangat longgar, tidak berasas, tiada ukuran berasaskan konsep tertentu walaupun mereka pernah menyebut beberapa ukuran Barat yang hanya disebut tanpa sebarang analisis, dan banyak lagi kelemahan Panel yang telah saya bincang dan memang pun terdapat dalam buku Anugerah Sastera Negara ini. Peranan DBP ialah untuk  membuka gelanggang perbincangan serius mengenai penilaian karya kreatif, dan menentukan dengan tepat dan jitu ukuran yang dipakai. Inilah yang kita tunggu supaya bidang akademik kita benar-benar terbuka untuk perbincangan ilmiah. Kalau ini bukan tugas DBP …!?

“Selamatlah jiwa yang sempurna,” kata Tok Mindok.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 5 April 2019.

No comments:

Post a Comment