Apakah yang
anda dapat dari pembacaan anda terhadap syarahan perdana Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Rahman Shaari?
Seorang sudah mendapat gelaran sasterawan negara; yang satu lagi masih
menunggu, mungkin diberikan kepadanya bulan Julai nanti. Yang sedang menunggu
gelaran sasterawan negara ini adalah seorang anggota jawatankuasa penting DBP,
oleh itu sudah melayakkannya diberi gelaran itu. Semua yang saya sebut ini adalah maklumat,
yang boleh jadi tepat, atau hanya andaian semata-mata. Seseorang yang sedang menunggu gelaran
sasterawan negara adalah maklumat yang tepat kerana memang betul ada yang
menunggu anugerah itu. Siapa mereka kita hanya boleh agak, tidak dapat
menentukannya. Yang kita boleh tentukan hanya mereka ini memang menunggu
giliran, sedang beratur seperti yang kita lihat orang kampung sedang beratur
menunggu giliran untuk mendapat bantuan daripada kerajaan yang baik hati untuk
memastikan kerajaan itu tetap mendapat undi daripada yang mendapat bantuan itu.
Pendahuluan
entri kali ini agak berbeza dari biasa, kerana terdapat unsur lawak yang amat
digemari rakyat Malaysia, jenis Melayu, yang menjadi program utama semua TV
Melayu. Adakah terdapat unsur lawak
dalam sastera Melayu? Kita lihat dulu perkataan lawak. Dalam loghat Kelantan,
seorang pelawak adalah seorang pembohong. Ini banyak terdapat di kalangan ahli
politik, jika tidak semua ahli politik sebenarnya pembohong. Pembohongan
penting dalam politik, kerana para pengundi seronok jika dibohongi. Yang paling
cekap berbohong akan menang pilihan raya, seperti yang orang kata terjadi
kepada Pakatan Harapan. Sejak merdeka orang Melayu dibohongi oleh para pemimpin
mereka dan mereka tidak terkilan kerana mereka faham pembohongan itu penting
untuk mendapat undi dan dari situ mendapat kuasa. Adakah ini juga terjadi dalam sastera dan
kegiatan sastera? Adakah kritikan saya
terhadap DBP satu pembohongan atau DBP itulah yang membohongi penulis dalam
perancangan mereka? Sesiapa yang sudah berurusan dengan DBP tentulah tahu. Satu
ketika dulu berpuluh cerita pendek saya tidak disiarkan, kerana menurut editor Dewan Sastera ketika itu saya berbohong
tentang urusan memilih karya. Cerita pendek itu kemudiannya diterbitkan sebagai
kumpulan cerita pendek oleh satu penerbit lain. DBP sebenarnya telah
menerbitkan beberapa buah kumpulan cerita pendek saya. Malah DBP sangat bermurah hati memasukkan
saya sebagai salah seorang penulis cerita pendek pilihan DBP, jadi terbitlah
kumpulan Biarlah Orang Tahu. Setiap
kali saya lihat buku itu, saya pasti tersenyum melihat judulnya. Judul itu
sangat nakal, sangat tajam sindirannya … Mengapa saya sebut hal ini? Hingga
sekarang belum ada seorang penulis yang membicarakan dengan “nakal” tajuk
cerita pendek dan novel saya yang telah diterbitkan, kerana mereka tidak
perasan unsur “nakal” di situ. Misalnya novel Aligupit, yang amat tajam sindirannya, tetapi tidak terasa oleh
mana-mana sarjana sastera kerana mereka tidak membacanya. Setiap kali saya
lihat judul novel ini saya tersenyum, sambil berbisik, “Bodoh sangatkah pembaca
Melayu, para sarjana sasteranya juga…!”
Sebenarnya
inilah masalah yang kita hadapi sekarang. Para sarjana kita kurang maklumat,
atau maklumat yang mereka tayang sering kali tidak tepat dan lebih mirip kepada
merapu saja. Seseorang telah menulis rencana panjang, yang sudah pun diberi
hadiah rencana terbaik, isinya mengenai pujiannya yang melampau terhadap sebuah
novel picisan. Saya telah memberi kritikan yang kritis terhadap syarahan
perdana Prof. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Rahman Shaari, kerana kedua-dua
syarahan perdana ini hanya satu rencana biasa saja, bukan hasil penyelidikan
dan hasil analisis yang mendalam tentang tajuk yang dipilih oleh dua orang
tokoh besar ini. Mereka menghadapi masalah maklumat dan masalah ilmu. Mereka
menjadi sangat terkenal kerana dua kelemahan besar ini, menjadi pujaan para
sasterawan dan para sarjana sastera. Hingga ke hari ini …
Dua orang
tokoh besar ini sengaja saya tonjolkan kerana kedua mereka sangat besar pengaruhnya
dalam kemelut dan kekacauan yang sedang dihadapi oleh sastera Melayu sekarang.
Inilah persoalan yang saya tonjolkan waktu mengkritik tokoh besar kesarjanaan
Melayu ini. Kerana begitu kuatnya pengaruh mereka, maka mereka berasa tidak
perlu mengarahkan anak-anak murid mereka membetulkan kritikan saya, dan sikap
ini telah menjadikan pengajaran sastera di universiti menjadi amat lemah dan
amat besar kekeliruannya akibat mereka tidak menjelaskan makna maklumat dan
bezanya dengan konsep ilmu. Kesalahan paling besar, yang lebih tepat
dipanggil penipuan ilmiah, ialah mereka tidak memberitahu pelajar mereka bahawa
di Malaysia sudah muncul satu teori dan kaedah kritikan yang mencabar tidak
saja sarjana Malaysia, tetapi mencabar seluruh teori sastera Barat. Kalau
betul cabaran itu, tentulah “teori” atau apa saja yang anda panggil memang
hebat dan layak diberi perhatian. Tetapi para sarjana sastera tidak begitu,
mereka berdiam diri dan menjadikan cabaran itu untuk menyisihkan pencabarnya
sebagai “anjing kurap” (panggilan Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, seperti yang
dilaporkan oleh Dr. Fatimah Busu dalam bukunya
Nyanyi Sunyi Salam Maria VS
Sarjana Nasi Dingin, Kuala Lumpur 2007, hal. 162). Ini sungguh hebat,
sampai seorang tokoh dianjingkan saja
setelah mereka sedar kualiti mereka sebagai sarjana dipersoalkan dan
disangsikan, yang amat mereka tidak suka kerana semua tuduhan itu, bukan
sesuatu yang silap tetapi memang itulah kedudukan mereka berdua ini dalam dunia
kesarjanaan Malaysia.
Apakah yang
boleh kita lakukan untuk mencerdikkan bangsa Melayu? Tidak seorang pun di
antara sasterawan biasa dan sasterawan negara yang dapat memberikan jawapan
kepada pertanyaan ini kerana karya mereka tidak sebuah pun dapat memenuhi
permintaan yang tersirat dalam pertanyaan itu. Para sarjana sendiri tidak dapat
membantu, kerana mereka sendiri adalah buntu
termangu-mangu tiada sebarang saranan untuk mencapai hasrat itu. Itulah
keadaannya, tetapi inilah yang dibanggakan oleh mereka. Mereka bangga berada di
dalam kekosongan inspirasi untuk disampaikan kepada bangsa Melayu. Mereka
sedar, karya mereka tidak ditulis untuk mencapai cita-cita dan maksud itu.
Bagaimanakah karya picisan dapat membina bangsa? Apa bila karya-karya picisan ini dipilih
untuk diperagakan sebagai karya besar, maka sepatutnya mereka bersedia untuk
dibahaskan dengan kritis, tetapi ini mereka tolak kerana menurut mereka apabila
sesuatu karya sudah diangkat sebagai mewakili sesuatu bangsa, maka perbahasan
tidak diperlukan lagi. Terima sajalah kerana itu yang sepatutnya berlaku dalam
kritikan sastera. Lama dulu ketika
melawat Sabah dan Sarawak ketika bertugas, saya lihat bagaimana mawas, yang
dipanggil “orang utan” oleh Inggeris untuk menghina bangsa Melayu, bergurau
senda sesama mereka sambil menunggu
pisang atau buah-buahan yang akan dibawa oleh para pengunjung. Adakah inilah sikap para sasterawan yang
menunggu hadiah atau menulis untuk mendapat hadiah dan habuan peribadi? Tidak
sebuah pun karya para sasterawan negara ini boleh dijadikan panduan untuk
membina bangsa dan negara. Sebagai karya hiburan pun gagal kerana tidak ada unsur
hiburan yang bernas seperti yang kita dapat misalnya ketika kita membaca
kisah-kisah Lebai Malang, Pak Pandir dan lain-lain. Kelemahan terbesar dalam
karya para sasterawan negara ini ialah watak-watak yang dijadikan watak utama
adalah watak-watak yang lemah, yang bodoh, putus asa, sadis dan nihilis (dalam Naratif Ogoshoto misalnya) yang tidak
dapat dijadikan contoh untuk membangunkan bangsa dan negara. Jika aspek ini
tidak penting, untuk apa ditulis novel-novel picisan yang dihasilkan oleh para
sasterawan negara ini. Saya telah
membahaskan aspek ini dengan panjang lebar dalam buku Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Tugas anda sekarang ialah menolak kesimpulan
ini sebagai tidak relevan.
Mungkin ada
di antara pembaca yang terkesan bahawa dalam tulisan ini saya menggunakan stylization of ideas, sekadar untuk
memberitahu anda bahawa teknik itu boleh juga digunakan untuk menulis esei,
selain menulis karya kreatif seperti Pujangga
Melayu, Aligupit dan lain-lain karya
saya. Selamat mencuba bagi yang berminat. It
is fun to be smart and intelligent!
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 6 April 2019.
No comments:
Post a Comment