Kita boleh
membuat andaian dengan selamat dengan mengatakan tiba saja bulan Julai Insha
Allah dunia belum lagi kiamat; yang “kiamat” hanya sastera Melayu. Jika
benarlah Ketua Pengarah DBP bercakap
benar, bulan Julai nanti akan lahir seorang lagi sasterawan negara. Sehingga
dibuktikan tidak picisan dengan menggunakan ukuran berasaskan ilmu yang benar,
maka sasterawan negara yang baru dilantik ini pun tetap palsu dan picisan. Jika
di situlah kemegahan kita, maka teruskanlah. Ada sasterawan dan sarjana bilang,
semua yang terjadi hanya berlaku dengan izin Allah, demikian juga kemunculan
para sasterawan negara. Betul, tetapi tidak tepat. Ketika Iblis diperintahkan
supaya tunduk hormat kepada Nabi Adam ‘a.s., Iblis menolak dan bila ditanya mengapa, jawabnya dengan
angkuh, “Aku dijadikan daripada api, sedangkan
Adam dijadikan daripada tanah kering!” Iblis mengajar para sasterawan
dan sarjana bahawa sesiapa juga yang dipilih menjadi sasterawan negara adalah
layak diberi kedudukan itu walaupun mereka menolak konsep ilmu yang benar yang
diajarkan oleh Al-Quran. Adakah ini bermakna hujah saya telah dimatikan? Tidak.
Sebaliknya inilah bukti paling jelas sifat picisan dan sikap anti-ilmu yang
benar itu dibuktikan kewujudannya oleh para sasterawan negara sendiri yang
sangat jelas memihak kepada argument Iblis
seperti yang diceritakan dalam al-Quran.
Jika anda beranggapan ini suatu penghinaan kepada anda, anda semua
terbuka untuk mengemukakan hujah anda dengan tepat dan jelas bahawa anda tidak
cenderung kepada penghujahan Iblis seperti yang terdapat di dalam
al-Quran. Atau, lebih baik lagi,
buktikan bahawa argument saya sendiri adalah palsu dan memang diasaskan untuk
melestarikan kepalsuan PB. Adakah anda
faham? Saya tiada keberatan jika anda mahu menggunakan hujah palsu ini untuk
mempertahankan kepalsuan anda.
Katalah anda
sekarang sedang memandu. Ke manakah anda hendak membawa kereta anda? Kalau anda
orang gila sekali pun anda tahu ke mana anda hendak pergi. Kalau begitu,
bagaimana anda boleh menolak konsep ilmu yang benar yang memberi anda peta perjalanan
intelektual anda dengan begitu terang dan jelas? Tentulah amat aneh apabila DBP dan ITBM yang
ditubuhkan untuk mengembangkan “ilmu” melalui penerbitan buku, menjadi amat
gigih mempertahankan kepalsuan hanya untuk menjaga kedudukan para sasterawan
negara. Sebodoh itukah yang dipanggil intelektual Melayu itu? Saya telah memberi jalan keluar kepada anda
bagaimana hendak mempertahankan kedudukan para sasterawan negara yang palsu
itu, iaitu dengan membicarakan karya mereka sehabis kritis menggunakan apa saja
teori yang anda mahu untuk menyerlahkan kehebatan mereka; tetapi anda yang
diberi kebebasan yang begitu luas, tidak wajar menyekat orang lain untuk
mengutarakan pandangan kritis mereka pula.
Sekiranya anda faham kedudukan ilmu dalam kehidupan manusia berakal,
anda tentu akan menerima dengan terbuka apa juga kritikan atau pandangan kritis
orang lain yang tidak bersetuju dengan anda. Keadaan ini tidak wujud dan tidak ada dalam perbincangan tentang
sastera di Malaysia.
Kalau
begitu, apakah yang ada? Pandirisme.
Itulah yang amat diminati dan diikuti oleh para sarjana dan sasterawan,
tentu saja termasuk sasterawan negara.
Apakah pandirisme? Baru-baru ini saya masih bertanya Pak Pandir apakah
sebenarnya pandirisme? Sambil pada
mulanya tersenyum kemudian tertawa kecil, maka Pak Pandir pun berkata, “Pandirisme
itu ialah apabila anda tidak tahu apakah pandirisme”. Pak Pandir tertawa
seperti bunyi guruh, terhinggut-hinggut keseronokan. Saya hanya memerhati,
hairan dan pelik. Setelah tenang dan saya nampak Pak Pandir tersenyum-senyum,
saya bertanya lagi, “Apakah yang melucukan Pak Pandir tadi?” Pak Pandir terus tertawa, kali ini tertawa biasa
saja. Lalu katanya, “Saya ingat orang Melayu cerdik sebab pandai-pandai saja mereka buat cerita
tentang Pak Pandir yang bodoh. Sekarang siapa yang bodoh?” Sambil tersenyum saya berkata, “Yang bodoh
itu bukan Pak Pandir, tetapi para sasterawan negara dan sarjana sastera yang
tidak tahu dan tidak kenal apakah ilmu yang benar, walaupun konsep itu
berlambak di dalam al-Quran. Betul tak, Pak Pandir?” Saya lihat Pak Pandir kurang senang
dilontarkan pertanyaan itu, lalu katanya dengan merendah diri, “Saya bukan
orang pandai, bukan sasterawan, jadi tak bagus jika saya beri pendapat tentang
para sasterawan negara, yang saya tidak kenal pun siapa mereka…” Melihat dia terbuku di hati, saya memujuknya,
“Tak mengapalah, Pak Pandir. Tidak kenal siapa sasterawan negara tidak
merugikan Pak Pandir. Kenal mereka pun tidak menguntungkan. Bye bye Pak Pandir…”
Lalu kami berpisah.
Pertemuan
dengan Pak Pandir, yang kemudiannya melahirkan falsafah padirisme itu, memberi
saya satu pengajaran yang amat berguna: jangan kita pandang rendah orang yang
tidak bergelar; dan jangan pula terlalu kagum dengan orang yang bergelar. Untuk mendapat pengajaran seumpama ini, anda
perlu dekati Gagasan Persuratan Baru dan belajar daripada gagasan itu. Saya
yakin, jika para sasterawan kita kenal dan faham konsep ilmu yang dibicarakan
dengan mendalam dalam Gagasan Persuratan Baru, kita akan dapat menulis beratus
buah novel sehebat Pujangga Melayu, Hikayat Buyung Lurus dan lain-lain lagi.
Lepas itu
saya berasa segar dapat berbual dengan Pak Pandir yang cerdik itu, yang bagi
saya seorang genius Melayu yang pertama. Mengapakah cerita jenaka kita cerdik, dan mengapa pula karya cerita
para sasterawan negara tidak secerdik cerita jenaka Pak Pandir? Tidak seorang
pun sarjana sastera mahu jawab soalan itu, apatah lagi para sasterawan negara
yang tidak boleh dipersoalkan dan tidak mahu disoal.
Adakah mereka ini para Brahmin sastera yang istimewa?
Pertanyaan
itulah yang mendorong saya mencabar para sarjana sastera dan para sasterawan
untuk membuat perbandingan antara Pujangga
Melayu dengan War and Peace, mana
satu yang lebih baik dan lebih unggul?
Saya tetap mengatakan Pujangga
Melayu itulah yang jauh lebih unggul daripada War and Peace, tetapi penulis novel ini, si Tolstoy, adalah seorang
gergasi sastera dunia, manakala penulis Pujangga
Melayu pula hanyalah seorang penglipur lara dari Kelantan yang banyak
belajar daripada cerita-cerita Wayang Kulit dan Mak Yong, yang tidak dikenali
oleh para sasterawan negara. Kalau anda dibesarkan dalam dua tradisi bercerita
yang agung ini, anda akan dapat memahami dengan lebih mendalam kejenakaan dan
sindiran tajam dalam Pujangga Melayu
dan Hikayat Buyung Lurus, dan tentu saja anda akan enjoy membaca Aligupit yang istimewa itu. Kalau anda ragu-ragu, tidak percaya,
cubalah baca karya itu sehabis kritis yang anda mahu, dan lihat secerdik mana
anda sebenarnya. Ini satu cabaran, jangan dipandang ringan, apatah lagi dipersendakan.
Anda faham maksud saya? Pertanyaan ini pun sejenis sindiran yang sebenarnya boleh
difahami oleh para penonton Wayang Kulit dan Mak Yong. Selamatlah
jiwa yang sempurna!
Sesiapa juga
yang ingin menjadi cerdik perlu membaca Anugerah
Sastera Negara Dalam Kesusasteraan
Melayu Moden (2019) dan Pandirisme
Dalam Komuniti Dunia (2016).
Kedua-duanya diterbitkan oleh anak muda yang mengendalikan syarikat Wadi
al-Irfan. Buku kedua diusahakan oleh Himpunan
Keilmuan Muslim (HAKIM). Inilah dua
buah buku kritikan sastera yang paling istimewa pernah ditulis dan diterbitkan
dalam sastera Melayu. Tidak mengapa jika anda terkejut atau bergelora dengan
cemuhan, kerana itulah saja yang anda boleh lakukan. Anda tidak boleh menghasilkan
karya kritikan sehebat dua buah buku itu. Anda tidak percaya? Kita tunggu
hasilnya. Salam hormat kepada anda yang mengikuti blog yang istimewa ini.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 20 April 2019.
No comments:
Post a Comment