Tuesday, April 30, 2019

HILANG ARAH HILANG PEDOMAN BANGGA MENJADI HAMBA TEORI BARAT




Sikap anti-ilmu dan anti-perubahan yang menjadi pegangan para sarjana sastera dan sasterawan Malaysia, dengan sokongan dan dukungan DBP dan ITBM,  memberi kejayaan besar dalam ketandusan pemikiran dalam karya para sasterawan negara dan dalam penilaian sastera yang tidak dapat membezakan karya picisan dengan karya bermutu. Buku terbaru saya, Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019) dinilai oleh sarjana sastera dan sasterawan negara sebagai contoh karya picisan bidang akademik.  Oleh itu mereka tidak berminat hendak membuat kritikan atau ulasan terhadap buku itu, walaupun kandungan buku itu menolak bulat-bulat projek sasterawan negara dan mempersoalkan kemampuan intelektual para penilai dan kaedah yang mereka gunakan dalam membuat penilaian.  Cabaran saya bahawa projek sasterawan negara telah menjadikan karya picisan sebagai asas perkembangan sastera moden, yang anehnya dipersetujui mereka dalam tulisan beberapa orang sarjana sastera, yang telah menghasilkan buku yang mendapat hadiah istimewa. Kalau anda mahu tahu sila rujuk beberapa entri yang membicarakan persoalan ini. Kemuncak dari perkembangan ini ialah lahirnya the aesthetics of adultery dalam kritikan sastera yang menerima perzinaan sebagai tema agung, seperti yang terdapat dalam sastera Barat.  Penulis dan judul buku yang membicarakan the aesthetics of adultery ini telah saya bincang dalam beberapa entri, oleh itu tidak perlu diulang di sini.  Sesuai dengan perkembangan ini, sensasi dalam sebuah novel picisan dijadikan contoh untuk mengangkat novel itu yang membuat perbandingan antara banjir besar Nabi Nuh ‘a.s. dengan tsunami yang berlaku (?) dalam novel terbesar Malaysia, Naratif Ogonshoto.  Novel terbesar Malaysia ini ditakdiskan oleh para sarjana dan pengkritik sastera sebagai karya agung dunia. Sayangnya mereka tidak memberi rujukan yang boleh dijadikan sandaran kepada rumusan palsu dan picisan mereka. Sebagai contoh, saya menegaskan Pujangga Melayu adalah lebih besar dan lebih bermutu daripada War and Peace. Adakah ini bermakna Naratif Ogonshoto juga setaraf atau lebih bermutu daripada War and Peace atau novel-novel Thomas Mann, Luigi Pirandello, dan lain-lain pengarang Barat yang sering disebut oleh sarjana sastera. Mereka perlu memberikan rujukan perbandingan untuk memastikan wujud dua isu penting: pertama, kejujuran intelektual; kedua, ketinggian moral. Kedua-kedua prinsip ini tidak ada dalam pemilihan para sasterawan negara, yang berkisar di sekitar anggota gerombolan yang dinamakan Mutual Admiration Club, nama yang diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri dalam tahun 1973 ketika membentang kertas kerjanya di Johor Baru. Sila rujuk Keritik Sastera di Malaysia, diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan ketika itu.  Penyelesaiannya amat mudah, sekiranya terdapat dua faktor yang saya sebut itu. Bagaimana boleh dilakukan? DBP dan seluruh sarjana sastera serta sasterawan, termasuk sasterawan negara, perlu membuat keputusan yang tegas dan tepat bahawa Pujangga Melayu tidak boleh dianggap sebagai novel terbaik Malaysia. DBP dan seluruh badan penulis dan para sarjana sastera mesti membuat keputusan ini, tanpa memikirkan salah betulnya. Jika ini tidak dilakukan, para sasterawan negara yang anda lantik itu bukanlah sasterawan kelas satu, kerana karya mereka tidak dapat mengatasi Pujangga Melayu, yang ternyata lebih bermutu daripada War and Peace ciptaan Leo Tolstoy. DBP dan para penyokongnya perlu membuat keputusan yang tegas bahawa Pujangga Melayu adalah sebuah karya picisan, sama tarafnya dengan karya para sasterawan negara dan bakal sasterawan negara yang akan dilantik nanti. Keputusan ini mesti dibuat oleh DBP, kerana inilah saja jalan keluar yang boleh menyelamatkan DBP daripada melakukan dua kesilapan besar yang disebutkan tadi.  Tentu saja DBP dan seluruh badan penulis serta para sasterawan tidak akan membuat pengakuan ini, kerana bagi mereka semua karya para sasterawan negara adalah jauh lebih bermutu daripada Pujangga Melayu tanpa memberi apa-apa hujah yang jika dilakukan akan memihak Pujangga Melayu. Hanya satu perkara saja yang mereka perlu tunjukkan: Namakan novel sasterawan negara yang dari segi nilai sasteranya mengatasi War and Peace. Jika tidak ada karya sedemikian, maka semua pelantikan para sasterawan negara adalah batal kecuali semua karya para sasterawan negara lebih baik dan lebih bermutu daripada Pujangga Melayu.  Jika perkara ini tidak diselesaikan, maka semua sasterawan negara tidak layak dilantik sebagai sasterawan negara kerana mereka bukan sasterawan terbaik dan karya mereka tetap picisan selagi tiada yang dapat menyamai Pujangga Melayu.

Picisannya karya para sasterawan negara ini jika dinilai daripada perspektif PB yang mementingkan konsep ilmu. Jika sekiranya karya para sasterawan negara ini dinilai dari perspektif “sastera”, maka sifat picisan itu tidak timbul kerana dalam karya sastera yang picisan dari perspektif PB dianggap karya bermutu menurut ukuran sastera. Semua ini akan dapat diselesaikan dengan mudah jika tiga pembahagian karya kreatif itu dijadikan asas untuk membuat penilaian. Seperti yang telah ditunjukkan dalam blog ini dan dalam buku-buku mengenai PB yang telah diterbitkan, tiga pembahagian karya itu ialah karya persuratan, karya sastera, karya erotik/lucah. Jika anda menggunakan sedikit pertimbangan akal, anda akan melihat hanya dalam karya sastera saja kita dapat karya sastera dan sejenis lagi karya erotik/lucah. Dua jenis karya ini ditolak oleh PB, tetapi menjadi sebahagian daripada karya sastera. Dari penjelasan ini, anda dapat lihat dengan jelas bahawa para sasterawan negara menghasilkan dua jenis karya sastera itu, tetapi tidak karya persuratan. Mengapa perbezaan ini penting? Asasnya ialah konsep ilmu yang benar dan cara pengolahannya memberi tumpuan kepada perwatakan yang kuat dan pembentukan nilai-nilai moral yang diterima dalam Islam.  Pembahagian ini saya kira sudah difahami, tetapi mereka yang terlibat dalam penulisan kreatif menolaknya kerana bagi mereka teori sastera Barat tidak meletakkan nilai-nilai moral dan nilai-nilai agama sebagai unsur penting. Yang dipentingkan ialah perilaku manusia yang dilihat sehari-hari, itulah yang menjadi model. Maka lahirlah ungkapan “pelacur yang baik hati”, dengan itu pelacuran tidak lagi sesuatu yang menjijikkan, malah sudah dijadikan satu gaya hidup yang layak dipertahankan jika seseorang pelacur kononnya mempunyai nilai-nilai “kemanusiaan” yang tinggi. Itulah Salina yang kita dapat dalam novel Salina; dan inilah yang dimaksudkan dengan the aesthetics of adultery.  Para penilai sastera yang menganggotai Panel Anugerah Sastera Negara menerima the aesthetics of adultery ini sebagai teknik yang boleh digunakan dan hasilnya tetap bermutu jika penceritaannya mengutamakan “nilai-nilai kemanusiaan” yang menjadi asas kehidupan sosial Barat. Adakah ini cara hidup Islam?  Nampaknya inilah digalakkan oleh DBP dan ITBM, yang melihat karya sastera sesuatu yang istimewa yang berada di atas nilai-nilai agama, atau nilai-nilai Islam; dengan itu watak-wataknya tidak perlu mencerminkan cara hidup seorang Islam, walaupun yang menulis karya itu seorang Islam. Nampaknya inilah yang diperjuangkan oleh para sasterawan, yang saya tolak kerana cara hidup ini asing dalam sistem nilai kita yang beragama Islam. Sekarang sudah wujud slogan baru, “sastera cermin masyarakat yang wujud”, bukan sesuatu yang direka-reka. Bagi para sasterawan, kehidupan para watak dalam Pujangga Melayu tidak pernah wujud dalam masyarakat Melayu, oleh itu Pujangga Melayu bukan karya sastera, tetapi karya propaganda Islam!  Golongan ini tidak menerima gaya hidup Islam sebagai sesuatu yang wujud dan dipraktikkan dalam masyarakat Melayu yang menganut Islam. Bagi mereka, orang Melayu yang mengamalkan Islam seperti yang digambarkan dalam Pujangga Melayu tidak pernah wujud dalam masyarakat Melayu sekali pun, oleh  itu Pujangga Melayu bukan karya sastera, tetapi karya propaganda agama yang murahan!  Bagi para sarjana sastera ini, sesebuah karya kreatif yang tidak mencerminkan the aesthetics of adultery seperti yang digambarkan dalam karya Barat, bukan sebuah karya moden, oleh itu tidak sesuai dengan perkembangan zaman yang sudah jauh berubah.  Demikianlah mereka menerima Salina sebagai sebuah karya yang “realistik” dan menolak Pujangga Melayu sebagai sejenis propaganda murahan yang diada-adakan.  Oleh itu, menurut tokoh-tokoh sastera dan para sarjana sastera ini, PB bukanlah sesuatu yang boleh diterima dalam sastera Melayu, kerana itu PB hendaklah dihapuskan. Inilah pendirian DBP dan ITBM. Inilah yang digambarkan dalam karya para sasterawan negara. Untuk mendapat penjelasan mengapa hal ini terjadi, sila rujuk buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, berjudul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu  (DBP 2009).

Dalam keadaan ini, timbul pertanyaan: Adakah yang rosak itu masyarakat beragama, atau para sasterawan sendiri yang tidak menerima kelangsungan hidup cara Islam sebagai sesuatu yang real.  Konsep realiti yang difahami dalam sastera dibuka seluas-luasnya kepada perilaku manusia yang tidak bermoral, seperti yang pernah diakui oleh Azizi Haji Abdullah dan dijadikan bahan oleh A. Samad Said dalam karyanya, yang paling menonjol ialah yang mengisahkan perilaku seorang perempuan Melayu yang menuntut bela (?) dengan mencari kepuasan  seks untuk ditiduri oleh 18 orang lelaki!  Inilah sastera, karya sastera, menurut para sasterawan negara.  Inilah yang mendapat pujian tinggi daripada Panel Anugerah Sastera Negara. Tepat sekali dengan tajuk entri ini.

Satu kekeliruan besar yang menjadi pegangan para sasterawan negara dan dirangkul dengan mesra oleh anggota Panel Anugerah Sastera Negara ialah konsep realiti, yang diberi penjelasannya dalam buku Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.  Konsep realiti yang menjadi pegangan para sasterawan negara dan para sarjana ialah seperti yang dipraktikkan dalam karya sastera Barat, seperti yang kita dapat dalam karya Flaubert, Tolstoy dan sebagainya (ramai sangat, tak perlu disenaraikan di sini).   Kerana terdapat kekeliruan besar mengenai konsep realiti ini, saya bahagi kepada dua jenis: realiti semu, dan realiti hakiki. Perhatikan peristiwa Ratu Balqis dengan Nabi Sulaiman ‘a.s. ketika Balqis memasuki istana Nabi Sulaiman, dilihatnya ada kolam. Dia angkat kainnya dan ini ditegur oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. bahawa yang disangka air itu  bukan air, hanya refleksi marmar hasil tukang yang pandai. Saya selalu berkata, kaki Balqis yang memberinya makna realiti sebenar dan yang membawanya menerima agama tauhid. Balqis pada mulanya tertipu oleh ilusi yang terhasil daripada tukang yang handal yang menurap lantai marmar itu. Ilusi inilah yang menipu semua para sasterawan negara dan sarjana sastera sehingga menerima karya picisan sebagai maha-karya, karya yang bermutu. Contoh yang saya selalu berikan ialah novel Naratif Ogonshoto, yang telah berjaya menipu sarjana palsu dan cetek meraba-raba untuk menganggap karya itu karya agung sepanjang masa, padahal barang siapa yang tahu membaca karya itu berasaskan konsep ilmu yang benar tidak mungkin menerima novel itu sebagai novel terbaik sepanjang zaman. Kesedaran ini penting supaya penilaian yang dibuat itu berasaskan realiti hakiki yang disebut oleh Nabi Sulaiman ‘a.s. Jika perkara ini difahami betul-betul, anda akan menerima kemunculan PB sebagai satu-satunya kaedah yang selamat digunakan supaya anda tidak tertipu.

Sekarang anda mungkin boleh faham, dan diharapkan boleh terima, penegasan saya bahawa Pujangga Melayu lebih baik daripada War and Peace.  Kedua-dua buah novel ini sebenarnya adalah novel mini-ensiklopedia; bezanya Pujangga Melayu didasarkan kepada konsep ilmu yang benar, manakala War and Peace berasaskan keadaan masyarakat Russia dan tafsiran pengarang kepada peristiwa penting yang terjadi dalam sejarah Russia. Tolstoy terkenal dalam aspek ini, seperti yang dapat kita lihat dalam cerita pendeknya yang panjang, bertajuk “Haji Murad”, mengenai seorang pemberontak Chechnya yang terkenal, Imam  Shamil.  Saya sendiri pernah menulis dua buah cerita pendek sebagai kenangan kepada pejuang kemerdekaan, Dr. Burhanuddin Hilmi, untuk menghormati perjuangannya. Saya sempat berkenalan, dari jauh, ketika beliau dan Ishak Haji Muhammad dan Boestamam datang ke rumah Ustaz Wan Ismail Wan Nawang, yang saya anggap sebagai guru saya. Sudah lupa sama ada saya sudah ceritakan kisah saya dengan guru saya ini, yang setiap kali waktu balik sekolah (Melayu), Ustaz akan berdiri di depan rumahnya, dan sebaik saja dia melihat saya, lalu dipanggilnya, dan mulalah dia bercakap selama kira-kira lima minit tentang Shah Wali Allah yang telah dipelajarinya sejak 40 tahun daripada Maulana Abdullah Nuh India di Pasir Putih.   Saya pernah bertanya beliau mengapa dia seperti menunggu saya pulang dari sekolah untuk bercakap tentang Shah Wali Allah. Saya masih ingat jawapannya, “Hanya awak saja yang boleh faham bila saya bercakap tentang ajaran Shah Wali Allah. (al-Fatihah untuk dua orang guru saya ini. al-Fatihah.)

Hanya dalam tahun 1965, waktu saya masuk Universiti Malaya, saya cari siapa tokoh ini dan tahulah saya siapa orangnya. Inilah ulama yang membentuk saya menulis Pujangga Melayu.  Nama Ustaz Wan Ismail saya sebut dalam Pujangga Melayu, sebagai kenangan manis seorang murid yang tidak pernah saya bayangkan satu hari nanti saya akan menulis Pujangga Melayu, berasaskan falsafah dan ajaran Shah Wali Allah yang diperkenalkan oleh beliau.  Saya terima ini sebagai pemberian khusus Allah Ta’ala kerana tanpa izin Nya tidak mungkin saya bertemu dengan tokoh besar ini.

Maka lahirlah Pujangga Melayu, yang kini menjadi masalah besar kepada para sarjana sastera dan sasterawan negara, yang dengan bantuan dan sokongan dari DBP dan ITBM, sedang diusahakan dengan begitu gigih supaya PB dan Pujangga Melayu tidak diberi tempat yang sewajarnya dalam perkembangan seni mengarang dan juga dalam kritikan sastera.  Bagusnya pula, usaha gigih kumpulan yang berada dalam Mutual Admiration Club ini menjadi bukti yang tidak dapat disangkal akan betapa kuatnya pengkhianatan dalam perkembangan ilmu, yang disertai dengan penipuan terang-terangan daripada organisasi utama dalam bahasa dan sastera, yang disokong pula oleh seluruh persatuan penulis di Malaysia. Pada mulanya saya cuba memujuk PPK memulai satu wacana akademik tentang Pujangga Melayu dan PB, tetapi entah macam mana saya diberitahu PPK tidak ada pengaruh, oleh itu mereka tidak mahu terlibat dalam isu kontroversi mengenai PB dan Pujangga Melayu. Isunya mudah saja, kedua-dua perkara ini benar-benar menjadi halangan besar kepada sasterawan negara dan sarjana sastera yang tidak langsung mempunyai hujah untuk menghadapi PB dan Pujangga Melayu. Selekeh itukah para sasterawan dan sarjana sastera kita?

“Selamatlah jiwa yang sempurna!”,  kata Tok Mindok.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29 April 2019.





Saturday, April 27, 2019

KESOPANAN BARU DALAM BUDAYA MELAYU: KES DBP





Assalam Tuan,

Saya Noraini Abd. Shukor, dari Bahagian Peyelidikan Sastera, DBP. Pihak kami ingin mengundang Tuan sebagai penulis kertas kerja dan pembentang dalam Wacana Teori dan Kritikan Sastera pada 20 Jun 2019 nanti. Boleh saya dapatkan nombor telefon dan alamat e-mel Tuan untuk saya berikan maklumat lanjut?

Catatan di atas terdapat dalam entri bertarikh 18/4/2019, di bawah tajuk yang sungguh menarik: “Samakah kesopanan seorang rakyat dengan kesopanan seorang raja”.  Saya memperkenalkan Gagasan Persuratan Baru; seorang pekerja DBP memperkenalkan Kesopanan Baru dalam urusan tulis-menulis antara DBP dan “pelanggannya”.  Apabila pegawai ini meminta maklumat yang dimintanya, jelaslah DBP tidak menyimpan maklumat saya dalam Bahagian Pentadbirannya, walaupun saya adalah di antara penulis yang buku-bukunya pernah diterbitkan oleh DBP. Saya juga telah beberapa kali mendapat Hadiah Sastera, terakhir 21 November 2014 untuk sebuah cerita pendek yang disiarkan dalam Dewan Sastera September 2013, “Rumah Impian Polan Cupan”.  Apakah alasan DBP untuk menghapuskan semua maklumat saya di Bahagian Pentadbirannya sehingga mendorong seorang pegawainya meminta maklumat baru?

Pegawai ini seolah-olah  menganggap saya  seorang kaki seminar sastera, seolah-olah sentiasa menunggu untuk dijemput membentangkan kertas kerja dalam seminar anjuran DBP.  Selama ini saya sering bercakap tentang perkara-perkara besar dalam sastera Melayu, yang diketepikan oleh DBP sebagai tidak penting dan mungkin juga mengarut dan mengada-ada. Bagi DBP, yang berhak membicarakan sesuatu yang penting dan serius hanyalah para sasterawan negara yang telah diuji dan oleh itu layak diberi gelaran sasterawan negara. Walaupun saya mungkin dianggap menyusahkan kerana memperkenalkan fikiran-fikiran yang agak radikal dan boleh dianggap terlalu jauh ke depan daripada yang mampu diberikan oleh para sasterawan negara, saya tidak fikir DBP memilih saya untuk dimusuhi kerana saya yakin DBP tidak dapat menolak sumbangan besar saya dalam kritikan sastera dan dalam program baru untuk memajukan sastera Melayu yang sebelum ini tidak pernah terfikir oleh para pegawainya dan tidak juga terlintas dalam imaginasi sarjana sastera dan sasterawan. DBP mempunyai etika yang berbeza daripada etika kesarjanaan yang menjadi ikutan saya, iaitu yang memberi penekanan kepada kualiti daripada publisiti. Nampaknya kelihatan kecenderungan DBP untuk memberi perhatian yang lebih kepada para sasterawan tertentu yang menjadi  pilihannya, termasuk para sasterawan negara. Kita boleh lihat dalam Dewan Sastera, misalnya. Saya ambil satu contoh yang begitu ketara sikap berpihak DBP terhadap seorang penulis popular yang kualiti tulisannya tidak seberapa, dan penulis ini tidak langsung memperlihatkan sikap objektifnya ketika membicarakan  satu tajuk yang kebetulan menjadi minat saya. Saya rujuk tulisan Mana Sikana dalam Dewan Sastera  yang berbicara panjang lebar tentang perkembangan teori dalam kritikan sastera, seolah-polah sedang membicarakan perkembangan pelbagai “teori” sastera dalam sastera Melayu, padahal dari segi akademik tidak pernah muncul apa-apa teori sastera Melayu, sehinggalah muncul Gagasan Persuratan Baru yang tidak syak lagi layak dianggap satu-satunya teori sastera kerana PB sajalah yang memenuhi syarat sebagai sebuah teori. Untuk mengetahui apakah syarat-syarat itu sila baca buku penting yang membicarakan aspek teori ini, hasil tulisan Robert Dubin (New York: The Free Press, 1969.)  Buku ini saya pakai ketika mengikuti kursus Sains Politik di Universiti Essex sekitar tahun 1975-1977. Antara subjek yang diwajibkan ialah menulis satu teori politik yang jika sesuai boleh digunakan untuk menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D.  Saya menulis tentang peranan nilai dalam politik dan kegiatan politik, yang digemari oleh Ketua Jabatan Politik, Prof. Jean Blundel. Ketika saya habis kursus di Essex University, kertas proposal saya dikirimnya ke SOAS, kepada Prof.  Ruth McVey. Saya dipanggil oleh beliau untuk bertemu di SOAS, dan terus ditawarkan untuk mengikuti kursus Ph.D. kerana menurut beliau proposal saya itu sangat menarik. Tapi saya hanya sempat di SOAS selama empat bulan, dipanggil oleh JPA supaya balik segera ke Malaysia, jika tidak gaji dan apa-apa juga habuan kewangan saya akan dihentikan. Mana boleh, kebulurlah keluarga saya di Kg. Seberang Pasir Mas, maka baliklah saya. Tetapi itulah takdir namanya, kerana idea yang dicantas oleh JPA itulah yang kemudiannya saya kembangkan menjadi sebuah novel yang saya beri judul Pujangga Melayu.  Itulah satu-satunya novel yang dapat diketengahkan ke persada antara bangsa sebagai sebuah karya yang dapat menandingi War and Peace. Pujangga Melayu lebih baik daripada War and Peace?

Usaha para sarjana dan sasterawan  untuk menghalang PB lebih cepat diterima oleh masyarakat penulis adalah satu usaha yang sia-sia dan pasti gagal, yang kemudiannya akan dikutuk oleh masyarakat masa depan sebagai usaha golongan pengkhianat, sebagai golongan yang anti ilmu yang benar, untuk menjaga kepalsuan karya para sasterawan negar yang menentang pembinaan budaya ilmu dalam perkembangan intelektual di Malaysia.  Golongan yang cetek meraba-raba yang berada dalam gerombolan Mutual Admiration Club ini masih boleh bertahan kerana diberi sokongan dan galakan oleh DBP dan ITBM. Kedua-dua organisasi yang dikatakan bertujuan memajukan perkembangan intelektual di Malaysia pada hakikatnya menjadi penghalang kepada perkembangan budaya intelektual apabila kedua organisasi ini menentang Gagasan Persuratan Baru untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara sebagai projek yang mesti diteruskan walaupun projek ini adalah penerusan pengaruh Barat dalam persuratan Melayu yang dipanggil kesusasteraan itu. Kumpulan anti ilmu ini boleh bertahan paling lama dalam masa sepuluh tahun ini sahaja, selepas itu dengan kemunculan generasi baru dalam perkembangan budaya ilmu, yang dipelopori oleh Wadi al-Irfan/Klasika Media,  gerakan intelektual berasaskan konsep ilmu yang benar akan menjadi asas yang kuat dalam perkembangan ilmu.

Pada umumnya kita telah melalui tiga fasa (bukan tiga zaman) dalam perkembangan intelektual dan sastera. Fasa pertama ialah fasa Jahiliah yang melahirkan kumpulan yang memakai slogan “sastera untuk masyarakat” dan satu lagi yang menentang slogan itu memanggil slogan mereka “seni untuk seni”. Dua gerakan ini masih meraba-meraba mencari arah, yang pada umumnya dikuasai oleh Asas 50. Pentingnnya kumpulan Asas 50 ini ialah sastera menjadi alat propaganda realisme sosialis, yang ketika itu belum lagi bernama,  tetapi asasnya ialah faham sosialisme yang agak pekat dipengaruhi Marxisme. Fasa kedua ialah yang berada pada waktu ini, masih bertahan tetapi telah menghadapi fasa ketiga yang dipelopori Gagasan Persuratan Baru. Fasa kedua adalah cengkaman teori sastera Barat seluruhnya.  Teori Barat menjadi dasar penjajahan teori dalam kritikan sastera dan dalam konsep kreatif yang berasaskan fantasi dan sensasi. Inilah fasa kemunculan sasterawan negara. Fasa ketiga bermula sekitar 1990 apabila konsep ilmu yang benar diperkenalkan dalam penulisan kreatif dan dalam kritikan sastera.  Fasa kedua dan pertama sedang bergabung untuk menghalang fasa ketiga mengambil tempat yang sah dalam penulisan kreatif berasaskan ilmu yang benar dan kritikan sastera yang meletakkan ukuran yang boleh diuji berasaskan konsep ilmu, yang diterjemahkan dalam konsep wacana dan cerita yang nampak seolah-olah berasingan, tetapi sebenarnya telah diberi definisi baru oleh Gagasan Persuratan Baru. Dalam percubaan untuk menahan seberapa kuat pengaruh PB, maka kita lihat seolah-olah telah muncul apa yang boleh dipanggil sebagai “kesopanan baru” yang dipelopori oleh DBP untuk terus menjadi relevan dalam asakan PB itu. Tetapi yang disebut “kesopanan baru” itu pada dasarnya adalah kebiadaban ilmu kerana yang disebut “kesopanan baru” itu masih menolak konsep ilmu yang benar, masih terus berada dalam cengkaman teori sastera Barat.

Dalam perkembangan inilah saya mengemukakan cabaran yang paling besar yang pernah dihadapi oleh sastera Melayu, apabila saya menegaskan Pujangga Melayu adalah lebih bermutu daripada War and Peace.  Dengan cabaran ini, saya agak terkejut apabila dua kumpulan pertama itu bermati-matian mempertahankan kedudukan mereka dengan mendiamkan diri, mempersetankan saja cabaran yang dihadapkan kepada mereka. Sikap mereka telah berjaya setakat ini meneruskan kepalsuan kedudukan mereka dengan munculnya projek sasterawan negara. Mencari dan mengangkat sasterawan negara masih diteruskan, seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pengarah DBP bahawa sasterawan negara baru akan dipilih dan dilantik bulan Julai nanti. Pada waktu ini, yang jelas terdapat tiga calon bakal sasterawan negara: Prof. Rahman Shaari (yang tidak mempunyai karya yang melayakkannya terpilih); Mana Sikana, seorang sasterawan yang paling unggul dalam kekacauan pendiriannya seperti yang ditunjukkannya dalam buku-bukunya; dan seorang lagi Dr. Fatimah Busu, yang memang amat mengharapkan beliau akan dinobatkan sebagai sasterawan negara. Tetapi dalam perhitungan saya, yang paling layak sebenarnya Faisal Tehrani, tetapi nampaknya ada sedikit masalah berhubung dengan kecenderungannya kepada faham Syiah. Beranikah Panel Anugerah Sastera Negara menempuh kontroversi dengan memilih Faisal Tehrani sebagai sasterawan negara baru?  Ada pendapat mengatakan, jika Faisal Tehrani terpilih, maka karyanya dapat “menewaskan” dengan mudah Pujangga Melayu. Kalau begitu, melantik beliau sebagai sasterawan negara baru adalah satu tindakan yang paling tepat untuk menghalang pengaruh Pujangga Melayu.  Tetapi karya Faisal Tehrani yang mana satu yang dapat menandingi dan mengatasi War and Peace, dan sekali gus melenyapkan pengaruh Pujangga Melayu yang nampaknya semakin diterima sebagai karya terbesar dalam sastera Melayu yang dapat mencabar War and Peace.  Ada pendapat yang mengatakan, seorang sasterawan negara tidak perlu menghadapi sasterawan dunia dan karya besar mereka yang mungkin menjadi ikutan atau tiruan para sasterawan Malaysia. Kalau begitu, di mana hendak diletak Pujangga Melayu? Ada bisikan yang mengatakan, buang saja ke dalam Sungai Kelang yang kini sudah dibersihkan.  Kotori lagi Sungai itu dengan mencampakkan Pujangga Melayu supaya reput menjadi sampah!

Semua andaian dan khayalan ini dengan jelas menunjukkan kedudukan konsep ilmu yang benar itu masih menjadi masalah di kalangan para sasterawan; dan sekali gus berupa penolakan mutlak terhadap Gagasan Persuratan Baru.  Dengan meneruskan pengambilan (mungkin lebih tepat pemilihan?) sasterawan negara, pengaruh Gagasan Persuratan Baru  dapat dibendung; tetapi pada masa yang sama semakin jelas sasterawan negara itu tidak diperlukan dan tidak relevan dalam perkembangan ilmu yang benar yang ditolak dengan tegas oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Sekali lagi, hujah Anugerah Sastera Negara dalam Kesusasteraan Melayu Moden masih terus utuh dan masih terus terpakai.

Perhatikan betapa takdir boleh mengubah cara kita berfikir tentang sastera, memahami lebih mendalam unsur-unsur penting dalam penulisan kreatif; dan yang paling penting kita sudah berada dalam satu perkembangan yang amat mencabar untuk mewujudkan satu sistem penilaian karya kreatif yang boleh dijadikan standard dan boleh dengan mudah mencabar cara penilaian yang digunakan dalam teori sastera Barat.  Saya fikir tidak ada sesiapa yang akan menentang usaha ini.  Apakah implikasinya? Jika perlu, saya akan menulis untuk menghuraikannya.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27 April 2019.




Wednesday, April 24, 2019

MENGEMBALIKAN JATIDIRI SATU BANGSA YANG KEHILANGAN MARUAH



Berapa besar kesalahannya, atau berapa serius kesilapannya, jika kita membuat andaian, sejak konsep sastera Barat dijadikan ikutan dan kemegahan oleh para penulis Melayu maka mereka sudah kehilangan jati dirinya, hilang maruahnya?  Kelompok yang kehilangan maruah ini sebahagian besarnya berada dalam kumpulan Mutual  Admiration Club yang dikepalai oleh seorang yang  dimasyhurkan sebagai tokoh terbesar sastera Melayu moden, yang saya tolak. Kalaulah saya berkata dengan tegas, sesiapa juga yang berpendapat begitu adalah yang paling bodoh dan tidak bertanggung jawab, yang tidak ada maruah ilmu, maka saya menyatakan sesuatu yang benar. Biarkan saya beri sedikit gambaran berupa bahasa bandingan untuk memudahkan para sarjana yang  cetek meraba-raba dan para sasterawan yang tahap kreatifnya berada dalam kubang picisan. Tentu saja anda tidak suka dengan bandingan yang saya pakai itu, tetapi bandingan itu memudahkan anda memahami sesuatu yang tidaklah sukar untuk difahami, tetapi bagi yang berotak lembap dia akan merasa sukar. Ini mengenai Persuratan Baru dan hasil dari pemikiran PB itu sebuah novel berjudul Pujangga Melayu.  Saya telah memberikan anda berbagai-bagai  kiasan untuk memudahkan anda memahami persoalan yang sedang kita hadapi, misalnya dengan memberi tahu anda Pujangga Melayu itu lebih bermutu dan lebih besar daripada War and Peace oleh Tolstoy.  Tidak penting sama ada anda terima atau tidak; yang penting anda dikejutkan  dengan satu kesimpulan yang tidak pernah terbayang di kepala anda walaupun anda bangga mempunyai ramai sasterawan negara dan banyak pula karya mereka, tetapi amat mendukacitakan anda sendiri tidak sebuah pun karya itu boleh menandingi War and Peace.  Bagaimana perkara serius ini boleh dipermudahkan supaya otak paling tumpul di kalangan sarjana dan sasterawan boleh memahaminya.

Di Semenanjung Tanah Melayu terkenal Banjaran Titiwangsa; dalam Banjaran itu tercokol Gunung Tahan.  Itulah maklumat yang saya yakin diketahui oleh semua rakyat Malaysia, yang berumur 3 tahun ke atas, diberi tahu ibu bapa mereka.  Apakah pula Banjaran Titiwangsa dalam sastera Melayu. Tidak lain, itulah yang semua sudah diketahui sarjana dan sasterawan yang paling bodoh sekali pun, iaitu Gagasan Persuratan Baru. PB itu Banjaran Titiwangsa dalam sastera Melayu; dan Pujangga Melayu itulah Gunung Tahannya.  Bila saya menulis ini saya tertawa, geli hati dan geram sekiranya masih ada sarjana dan sasterawan yang belum faham atau tidak mahu faham bahawa gambaran yang saya berikan itu amat tepat, jika anda faham makna analogi dalam penulisan.  Cantiknya perbandingan ini ialah ia lebih memudahkan anda memberi apa saja gelaran buruk yang anda sudah biasa berikan selama ini; tetapi semua itu tertolak dengan mudah dan anda sekarang terkapai-kapai kehilangan kata-kata untuk menolak perbandingan itu. Katalah anda masih mahu mengutuk saya sebagai tak sedar diri membuat perbandingan itu, sambil memuji diri sendiri. Jika inilah perasaan anda, maka anda telah memberikan saya bukti yang amat jelas yang saya kritik selama ini tentang kualiti pemikiran anda yang rendah dan hasilnya karya anda berada dalam lubuk picisan.  Tidak boleh dielakkan lagi, anda sekarang kehilangan hujah kerana anda tidak akan berani mengambil mana-mana karya para sasterawan negara sebagai  Gunung Tahan dalam sastera Melayu. Mana Banjaran Titi Wangsanya? Saya lupa, gelaran sasterawan negara itulah Banjaran Titi Wangsanya!  Saya biarkan saja di sini, tidak mahu berkata apa-apa. Apabila kebodohan sudah sampai ke tahap itu, kata-kata tidak perlu lagi. Ini mengingatkan saya kata-kata yang indah dari Prof. Prijono dari Indonesia dalam Kongres Bahasa di Johor 1956: “Apabila persahabatan sudah menjadi percintaan, kata tidak perlu lagi.”  Tidak pasti berapa orang di antara sasterawan dan sarjana masih ingat kata-kata itu. Ketika itu saya berumur 16 tahun, sedang remaja, tetapi sudah bijak dan tahu menilai kebijaksanaan orang lain.  So nice, bukan?

Apabila saya mengemukakan sesuatu pendapat, lebih-lebih lagi jika pendapat itu mengejutkan (controversial), saya sama sekali tidak mengharapkan anda bersetuju. Malah, jika anda tidak bersetuju itulah yang terbaik, kerana saya dapat mendengar pendapat yang berbeza, yang mungkin lebih baik daripada pendapat saya sendiri. Tetapi dalam iklim intelektual Malaysia, seseorang hanya memberi pendapat, biasanya untuk menyokong, jika yang memberi pendapat itu dari kumpulan mereka sendiri.

Meletakkan Pujangga Melayu pada tempatnya adalah sesuatu yang saya perlu lakukan, untuk membolehkan seseorang bersetuju atau tidak bersetuju.  Saya tidak bermain-main apabila saya meletakkan Pujangga Melayu berada di atas War and Peace, supaya anda dapat memberi pandangan anda yang paling baik dan bernas untuk menjadi panduan kepada para penulis dan sarjana sastera. Jika anda seorang pensyarah, saya yakin pelajar anda tentulah ada yang menyokong dan tentu saja ada yang menentang. Inilah yang membuat perbincangan ilmiah menjadi rancak and worth your time and efforts.

Barangkali faedah paling besar dan paling bermakna dalam konteks ini ialah kita dapat meletakkan karya para sasterawan negara pada tempat yang layak, walaupun keputusannya mungkin mengecewakan para sasterawan negara sendiri, seolah-olah darjat mereka telah diturunkan. Pandangan ini tidak boleh diterima, kerana dalam dunia penulisan, yang berhak menentukan kedudukan seorang penulis ialah karyanya sendiri, bukan gelaran yang diberikan kepada penulis berkenaan. Hal ini menjadi masalah dalam kehidupan berkarya di Malaysia, kerana setiap penulis akan mencuba mendapatkan penghormatan tertentu yang boleh mereka gunakan untuk mendapat faedah seterusnya. Contoh, jika anda sudah dilantik menjadi sasterawan negara, maka karya anda akan tertulis, Naskah Khas Sasterawan Negara.  Para sasterawan negara ini dengan itu sudah diangkat menjadi Brahmin Sastera, diberi keistimewaan dan diberikan juga darjat “maksum” (sacral) dalam sastera Melayu. Mereka telah ditakdiskan melalui gelaran itu. Kedudukan mereka sebagai Brahmin Sastera bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan nilai-nilai dalam kebudayaan Melayu. Jika mereka menolak kedudukan sebagai Brahmin Sastera itu, mereka harus menyatakannya dengan jelas, dan ini mesti diikuti dengan tindakan sewajarnya, misalnya dengan tidak mengangkat karya picisan mereka dengan gelaran “naskhah sasterawan negara” padahal karya itu tidak bermutu, picisan.  Karya mereka tetap karya picisan, kerana tidak sebuah pun dari karya itu yang dapat menandingi Pujangga Melayu, dan dalam sajak tidak dapat menandingi sajak “Al-Andalus” dan sajak-sajak lain dalam Pujangga Melayu. Perbuatan seumpama ini  (yakni dalam konteks sebagai Brahmin Sastera) adalah tidak bermaruah, dan wajar dikutuk. Penulis bukan penyanyi pop, yang memang perlu mendapat sokongan ramai untuk meletakkan kedudukannya lebih baik daripada penyanyi pop lain. Tidak demikian dalam dunia penulisan, yang menentukan semuanya ialah karya penulis itu, bukan dirinya sebagai satu peribadi. Jika anda tidak bersetuju dengan kesimpulan ini, anda mesti tampil membahaskannya dengan membuktikan pandangan yang dikemukakan di sini tidak boleh diterima, dengan memberitahu secara jelas mengapa tidak boleh diterima.  Sebelum itu, anda perlu membuktikan karya para sasterawan negara itu bukan karya picisan.

Menurut satu analisis, para sasterawan negara ini telah melanggar batas-batas ajaran Islam, seperti yang ditunjukkan dalam karya Naratif Ogonshoto (untuk memberi contoh paling popular). Saya telah menghuraikan perkara ini dalam entri lain, oleh itu tidak akan mengulangnya lagi di sini. Kegigihan pengarang hendak menonjolkan karyanya sebagai sebuah karya Islam telah ditolak bulat-bulat dalam satu tesis sarjana di UPM, 2014.  Usaha pengarang hendak menyelamatkan karyanya telah gagal bulat-bulat, walaupun disokong oleh para penyokong yang jelas keliru besar dalam analisis mereka. Lihat penjelasannya dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden (2019).

Hanya satu cara saja hendak menyelamatkan para sasterawan negara ini, iaitu dengan membuat pengakuan beramai-ramai bahawa karya mereka tidak mencapai taraf yang membolehkan mereka diberi gelaran sasterawan negara, seperti yang dijelaskan dalam Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden itu.  Jika mereka menolak cadangan ini, maka kekallah mereka sebagai sasterawan yang tidak bermaruah, atau yang hilang maruahnya setelah gagal mempertahankan kualiti sebenar karya mereka.  Jalan keluar dari kedudukan yang dahsyat ini sebenarnya cukup mudah, iaitu dengan menolak segala argument yang saya paparkan dalam buku saya, Anugerah Sastera Negara Dalam Kesusasteraan Melayu Moden itu.  Inilah cara yang terbaik untuk mendapat semula maruah mereka sebagai sasterawan yang mempunyai maruah.  Saya cadangkan supaya buku ini diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kritikan Sastera DBP 20 Jun 2019 nanti.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24/4/2019.