Monday, June 2, 2014

MANAKAH KARYA BESAR SASTERAWAN NEGARA? MENGALU-ALUKAN KEMUNCULAN PANDIRISME PROGRESIF DALAM SASTERA MELAYU MODEN.



Sejauh mana silapnya jika kita bertanya, “Manakah karya besar sasterawan negara yang boleh kita banggakan? Tunjukkan kepada saya.”  Saya fikir pertanyaan ini penting kerana kita berhak mengetahuinya. Manakah karya besar sasterawan negara itu? Dalam dunia akademik, pertanyaan begini sangat penting diajukan, kerana dengan pertanyaan inilah kita akan mula berfikir dengan serius dan akan berusaha memberikan pendapat yang benar-benar mantap, bukan pendapat jenis retorik teh tarik yang kita terima selama ini (tidak hanya daripada Baha Zain).  Di Malaysia, teh tarik sangat popular. Penggemar teh tarik tidak tahu kualiti teh yang digunakan untuk membuat teh tarik itu adalah yang paling rendah, atau tidak mempunyai kualiti pun.  Macam-macam kita dengar rungutan dan sungutan tentang status sebenar serbuk teh tarik ini. Paling biasa kita dengar ialah teh tarik itu dibuat daripada teh yang dikitar semula. Beranikah NGO pengguna di Malaysia menolak kebenaran sangkaan ini? Beranikah mereka mengaku itulah fakta sebenarnya? Kita hanya akan mengetahui kedudukan sebenar jika kita bertanya dan mula membuat penyelidikan yang teliti. Kita perlu tahu kedudukan sebenar teh tarik ini, supaya kita tidak tertipu.

Demikian juga dalam sastera dan karya sastera. Manakah karya besar sasterawan negara yang tidak dapat diragui lagi kualitinya dari segi pemikiran dan keterampilan kreatif?          Katalah pertanyaan ini terlalu biadab untuk ditanyakan. Kita akan dapati yang benar-benar biadab bukan pertanyaan tadi, tetapi ialah sikap pura-pura tidak mahu menghadapi kebenaran yang boleh kita dapati melalui pertanyaan seperti yang kita tanyakan tadi.  Jika kita tidak mempunyai keraguan apa-apa tentang keunggulan karya sasterawan negara, kita tidak perlu tersinggung. Setiap sasterawan negara sendiri sepatutnya berasa bangga kerana minat terhadap karya mereka semakin bertambah. Para ahli akademik pula akan berasa dihormati kerana yang boleh menjawab pertanyaan begitu hanya mereka, yang pakar dalam kajian sastera, dan handal pula memberi penilaian yang tepat dan objektif, bukan jenis jawapan dalam bentuk retorik teh tarik yang dipopularkan oleh SN Baha Zain. Tentang Baha Zain sendiri pun amat menarik: sekiranya beliau benar-benar pemikir sastera unggulan seperti yang didakwa oleh Prof. Dato’ Rahman Shaari, Prof. Muhammad Haji Salleh, dan ramai lagi para profesor yang handalan, mengapa beliau begitu lewat diiktiraf secara rasmi dengan memberinya gelaran sasterawan negara? Kalau dulu belum layak, hanya layak menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara saja, maka bagaimana beliau layak pula sekarang? Inilah keraguan yang ditimbulkan oleh Shahnon Ahmad. Saya bersetuju dengan Shahnon Ahmad yang mempersoalkan kelayakan Baha Zain untuk menerima anugerah itu. Tidak wajar Shahnon Ahmad dipersalahkan, kerana beliau seorang pakar sastera, duduk pula sebagai ahli panel Anugerah Sastera Negara. Tentu beliau lebih tahu. Kalau tidak,  mengapa beliau dilantik menjadi anggota panel? Bagi ahli akademik pula, memang menjadi kewajipan mereka mempertahankan Baha Zain, supaya kedudukan akademik mereka tidak terjejas, dan Baha Zain sendiri mendapat pembelaan daripada kumpulan pakar sastera yang jujur dan mempunyai maruah akademik yang tinggi. Kesimpulannya, pertanyaan yang dikatakan biadab itu sebenarnya ingin mengembalikan adab dalam bidang ilmiah dan dalam kebudayaan moden kita. Oleh itu mari kita singkap beberapa perkara yang membolehkan kita memahami pertanyaan itu, dan cuba menjawabnya dengan objektif dan jujur.

Saya sudah menulis mengenai perkara ini, dan telah memberikan pandangan kritis saya. Kesimpulan saya telah saya jelaskan dalam posting yang lepas, bertarikh 31/5/2014. Juga di dalam beberapa posting terdahulu. Saya telah membuktikan, tanpa sebarang keraguan, tentang kemunculan mutual admiration club dalam sastera Melayu, yang dikesan sejak tahun 1973 lagi oleh SN Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, sehingga kemudiannya dilembagakan dalam bentuk Anugerah Sastera Negara. Para penerima adalah dari satu kumpulan yang saling memuji sesama mereka. Ini pun telah saya sebut dalam tulisan yang lalu. Kita tidak ada pilihan untuk tidak bertanya soalan mudah di atas. Pada waktu ini, jawapan kepada soalan mudah itu sudah digariskan dengan jelas, dan terjamin kesahihan akademiknya, dalam Gagasan Persuratan Baru. Pertanyaan di atas boleh diberi jawapan yang memuaskan jika kita menerima Gagasan Persuratan Baru untuk dijadikan landasan dalam menilai karya para sasterawan negara ini secara objektif, berasaskan ukuran yang boleh diuji kesahihannya secara akademik.

Tetapi jika kita berasa keputuan Panel Anugerah Sastera Negara tidak boleh dicabar secara akademik, kerana ini akan menurunkan darjat dan kedudukan karya sasterawan negara, kita boleh tetapkan beberapa prinsip baru yang ketat untuk menyekat kemaraan Gagasan Persuratan Baru dalam sastera Melayu, malah jika perlu, badan-badan penulis boleh meminta kerajaan supaya diadakan sejenis akta yang mengharamkan sebarang kritikan ke atas karya para sasterawan negara sesuai dengan kedudukan karya itu sebagai warisan negara yang terpilih dengan memakai ukuran yang ketat dan benar-benar mencerminkan keterampilan akademik para penilai yang menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Masukkan dalam akta itu peruntukan khas mencegah sesiapa juga daripada mempersoalkan kewajaran pemilihan Panel,  supaya keputusan Panel Penilai Anugerah Sastera Negara tidak dicabar secara akademik untuk mempersoalkan  kewajaran penilaian mereka. Setiap pembicaraan perlulah dalam konteks memuji dan menyokong keunggulan karya para sasterawan negara, seperti yang ditetapkan oleh kerajaan dengan bantuan anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Kita harus menegaskan bahawa inilah corak kritikan sastera yang kita perlu wujudkan dan gunakan dalam membangun sastera Melayu/Malaysia yang dinamik dan mesra kerajaan.  Badan-badan penulis dan universiti boleh memainkan peranan yang aktif untuk menyekat sebarang kritikan terhadap karya para sasterawan negara untuk memastikan kedudukan para sasterawan negara ini terjamin dalam undang-undang negara yang secara khusus mengharamkan sebarang kritikan terhadap karya para sasterawan negara.

Inilah dua pilihan yang perlu mendapat pandangan kritis para sasterawan sendiri dan ahli akademik, untuk menjamin sastera kita tetap maju dalam kekangan akademik dan undang-undang supaya setiap sasterawan negara tetap berada dalam kedudukan istimewa sesuai dengan sumbangan mereka terhadap negara.  Untuk mencapai tujuan mulia lagi mesra adab ini, perlukah kita mengharamkan kewujudan Gagasan Persuratan Baru supaya kedudukan para sasterawan negara tetap utuh, tanpa sebarang kritikan yang boleh menjejaskan kedudukan mereka dan karya mereka?.  Jika itulah pilihan kita, maka kita dapat mewujudkan satu gerakan baru dalam sastera Melayu, yang boleh kita namakan pandirisme progresif. Aspek pandirisme yang kini menjadi arus perdana boleh dikekalkan, dengan diberi suntikan konsep progresif seperti yang diserlahkan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Melalui gerakan pandirisme pogresif di bawah naungan Panel Anugerah Saster Negara ini, kita boleh kekalkan semua konsep yang digunakan oleh Panel, seperti kelainan, eksperimen, modernisme, postmodernisme, avant-garde, liberalisme dan sebagainya. Semua teori Barat boleh digunakan dengan selesa dan terus ditayang di dalam kertas kerja, dijadikan hujah untuk memuji dan mengangkat karya para sasterawan negara. Ini lebih mudah dilakukan kerana kita hanya memberi nama baru kepada gerakan pandirisme yang sudah dimulai oleh Panel Anugerah Sastera Negara lebih 40 tahun dahulu. Nama pandirisme progresif adalah cocok dengan semangat persatuan penulis yang terdapat di Malaysia sekarang, di samping tidak menyentuh kedudukan sastera seperti yang dikehendaki oleh kerajaan dan mendapat dukungan para sasterawan dan ahli akademik. Dalam konteks ini, seminar seperti yang diadakan sekarang, boleh diteruskan tanpa sebarang keraguan dari segi kualiti kertas kerja yang dibentangkan.  Di bawah naungan pandirisme  progresif ini, retorik peragaan dan retorik teh tarik yang dipelopori oleh Baha Zain dan anggota mutual admiration club boleh diteruskan dan diberi wajah intelektual a la Si Tanggang.  Apa yang dinamakan “teori” sastera seperti Model Rasa Insaniah, Pengkaedahan Melayu, Takmilah, teksdealisme dan sebagainya, boleh terus diajarkan di universiti untuk memastikan tidak berlaku perubahan, dan status quo boleh diperkuatkan kedudukannya di bawah pemerhatian pandirisme progresif.

Contoh terbaik tentang pandirisme progresif ini ialah kertas kerja Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Hassan tentang pengajaran sastera. Beliau menulis dan menganalisis tajuk itu dalam konteks atau kerangka pandirisme. Pendekatannya kelihatan amat empirikal, seolah-olah berasaskan pemerhatian yang tepat tentang masalah yang dihadapi. Tetapi sebenarnya tidak. Yang dibicarakan beliau tidak mungkin dapat mengatasi masalah yag beliau kemukakan. Mari kita lihat mengapa terjadi demikian.  Saya selalu menyebut bagaimana Pak Pandir menyelesaikan masalah, yang cukup empirikal, tetapi salah. Beliau tidak dapat membezakan padi hampa dengan padi berat, lantas mengambil padi hampa untuk dimasukkan ke dalam guni dan dibawa balik ke rumah. Marahlah Mak Andeh, kerana kerja itu sia-sia.  Tetapi bagi Pak Pandir tidak begitu, kerana dia sendiri pun mempunyai logiknya sendiri. Padi hampa itu ringan, oleh itu tidak berat untuk dipikul, dan beliau tidak penat mengangkatnya. Cukup empirikal dan logikal, bukan? Kita lihat pula masalah pengajaran sastera. Saya telah mengkritiknya sejak akhir 1980-an, lalu menerbitkan Pandidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992), mencadangkan supaya kita tinggalkan saja “pengajaran” sastera yang sudah gagal mendidik para pelajar berfikir. Kita ganti dengan pendidikan estetika, dengan memberi tumpuan kepada konsep ilmu yang benar, dengan itu para pelajar didedahkan kepada pemikiran berasaskan  sumber ilmu yang diajarkan dalam Islam. Para pengkaji dan ahli akademik tidak suka buku ini, kerana selain mereka tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, buku ini juga menggugat kedudukan status quo mereka sebagai sarjana sastera, oleh itu buku ini diremehkan sebagai tidak praktikal dan terlalu ideal, tidak mungkin dapat dilaksanakan. Tentulah aneh apabila orang akademik membuat keputusan tanpa analisis dan penilaian yang kritis, hanya berasaskan perasaan dan cita rasa yang rendah pula. Bayangkan berapa lama kita telah membuang masa menolak sesuatu yang akan membolehkan pelajar kita menjadi cerdik dan hormatkan ilmu. Oleh itu apabila Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Hassan menulis kertas kerjanya, dia tidak dapat bayangkan betapa klisenya cadangan yang diikemukakannya, yang tidak melihat masalah dari sumbernya, tetapi berasaskan persepsi yang salah. Kesilapan sebenar berada di kalangan para sarjana sendiri, yang gagal menimbulkan minat berfikir di kalangan pelajar mereka kerana kaedah yang dipakai tidak mendorong pelajar berfikir. Banyaklah lagi hujah saya mengenai masalah ini, yang telah saya huraikan dalam banyak tulisan saya. Tidak perlu saya ulang di sini. Yang penting, saya hanya ingin menekankan inilah contoh pandirisme progresif yang saya maksudkan. Ada usaha untuk berubah, tetapi berubah dalam lingkungan klise lama, jadi tidaklah berubah sebenarnya, hanya tidak lebih daripada kerja seorang tukang kebun memindahkan pasu ke sudut lain, padahal bunganya masih sama, masih bunga kertas yang tidak berbau. Saya harap mereka faham analogi ini!

Kita harus mendorong pelajar kita menjadi cerdik. Untuk itu guru mereka dituntut supaya mempunyai kecerdikan itu terlebih dahulu. Sangat adil, satu harapan yang boleh dicapai dengan mudah jika guru tidak terlalu angkuh untuk menerima hakikat ini. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling jaya, 2/6/2014.

1 comment:

  1. Kepada Puan Sharatha Ramasamy.

    Harap dapat hubungi saya. Tesis MA anda ada penerbit berminat jika anda bersetuju diterbitkan.

    Terima kasih (hmaffandi@hotmail.com)

    ReplyDelete