Saturday, May 31, 2014

Hudud dan Kesusasteraan Melayu Moden: Tertegaknya Pandirisme dan Mutual Admiration Club dalam Sastera Melayu Moden



Isu hudud menimbulkan ketakutan seluruh rakyat Malaysia, terutama sekali kumpulan Melayu Islam yang terkenal anti-agama dan berperangai jahat, yang rasuah dan menipu dalam mendapat dan mempertahankan kuasa politik, yang melanggar sewenang-wenang segala hukum Islam dan undang-undang negara walaupun telah disabitkan menipu. Contoh paling baik dalam kes ini ialah betapa sia-sianya Suruhanjaya Penyiasat Diraja dalam kes penipuan perlantikan hakim-hakim Malaysia. Enam orang telah disabitkan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang, salah seorang ialah bekas Perdana Menteri. Dua orang lagi bekas Ketua Hakim Negara.  Hingga sekarang mereka tidak didakwa atau dikenakan apa-apa tindakan, dengan itu membenarkan semua tuduhan selama ini bahawa negara ini tidak berminat untuk menghukum sesiapa juga yang menyokong kerajaan dan kononnya telah berjasa kepada negara. Bagaimana kedudukan mereka di bawah hukum hudud?  Apakah hukuman yang boleh dikenakan terhadap seorang bekas Perdana Menteri yang didapati menipu? Perdana Menteri ini sangat istimewa kerana dia telah bercakap benar dia tidak berada di Malaysia ketika peristiwa Memali 1985 berlaku. Dia ke negeri China. Tiba-tiba Musa Hitam memberitahu kita, dia sebenarnya berada dalam negeri. Sekarang kita diberi pilihan untuk menerima cerita siapa yang betul: cerita Kertas Putih yang menyatakan Mahathir Mohamed berada di China; atau cerita Musa Hitam yang setelah sekian lama menafikannya. Yang ingin ditekankan di sini ialah hakikat bahawa pembohongan boleh terjadi dalam dokumen rasmi kerajaan sekali pun, yang dari segi moralnya dikehendaki bercakap benar. Antara kertas putih Memali dan laporan Suruhanjaya Lingam Tapes, apakah pengajaran moral yang boleh kita ambil? Terdapat sekurang-kurangnya dua pengajaran penting: (1) pembohongan telah dibudayakan dan telah diterima sebagai tindakan paling bermoral di kalangan ahli politik yang memegang kuasa; (2) kita tidak boleh menghukum para pembohong ini kerana mereka telah berjasa kepada negara, oleh itu mereka tidak bersalah dalam apa juga tindakan mereka kerana jasa-jasa mereka yang banyak itu. Jasa, dan kebaikan, mengatasi pembohongan dan kejahatan. Pembohongan dan kejahatan yang telah dibudayakan ini telah menjadi sebahagian daripada falsafah kesusasteraan Melayu moden, yang kini diarus-perdanakan dalam semua kegiatan yang bercorak kesusasteraan. 

Maksud hudud dalam tulisan ini tidak dalam konteks jenayah, tetapi secara umum, hudud sebagai batasan yang ditetapkan Allah Ta’ala, seperti banyak terdapat dalam al-Quran, antara lain:  2:229; 2:230; 9:97; 65:1: 9:112; 2:187; 4:13; 58:4 dan seterusnya. Larangan dalam ayat-ayat itu adalah perintah supaya tidak melakukannya.

Kegagalan Panel Anugerah  Sastera Negara

Pembohongan dan kejahatan telah dijadikan tema agung dalam karya kreatif, dan telah disahkan sebagai nilai utama dalam menentukan kedudukan sesebuah karya kreatif. Nampaknya hudud dalam konteks umum tadi dilanggar sewenang-wenang oleh para sasterawan Melayu beragama Islam; juga di kalangan para sarjana dan pengkritik sastera. Salina, potret seorang perempuan Melayu yang menjadi pelacur, telah diterima sebagai mahakarya di Malaysia, satu-satunya karya yang bertaraf antarabangsa setelah diberi kedudukan itu oleh Prof. A. Teeuw dari Belanda.  Pengiktirafan ini dikukuhkan dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara 1985. Laporan itu memberi pujian tinggi kepada karya ini, sebagai sebuah karya yang membawa pembaharuan kerana berjaya membawa aliran-aliran Barat seperti realisme dan naturalisme, tanpa menekankan soal moral dan tema tertentu, sebaliknya sang pengarang memperincikan setiap   peristiwa sebagai seorang pemerhati yang objektif (hal. 13). Tidak ada dan tidak perlu petimbangan moral, kata Laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Itulah yang dinamakan kemajuan dan pembaharuan. Inilah ciri utama laporan, sehingga untuk yang terbaru sekali pun. Mesti ada eksperimen, mesti ada pembaharuan, mesti ada kelainan. Dari perspektif mana semua ini dinilai?  

Kejahatan diberi kedudukan tinggi dengan memberinya nama realisme; manakala pembohogan pula menjadi salah satu  unsur penting dalam estetik yang difahami dan dipraktikkan oleh para sasterawan dan pembicara sastera yang dikenali sebagai sarjana, pengkritik sastera, dan penilai rasmi dalam pertandingan menulis atau dalam menentukan kedudukan seseorang sasterawan sama ada layak atau tidak diberi hadiah dan gelaran tertentu. Pembohongan dalam karya sastera dan dalam penilaiannya diberi nama unsur kemanusiaan, yang menimbulkan rasa terhibur para pembaca. Dengan itu faham hedonisme dalam budaya diiktiraf sebagai salah satu unsur penting dalam estetik, disalurkan melalui  teknik pemerian terperinci untuk memenuhi keperluan hiburan dalam seni mengarang.  Kita boleh lihat ini dalam keputusan sesuatu peraduan menulis, atau dalam laporan panel penilai yang akan menentukan siapa dan karya mana yang layak diberi hadiah. Pelopornya ialah Laporan Anugerah Sastera Negara, diikuti oleh para penilai dalam peraduan menulis atau dalam laporan panel yang dilantik untuk membuat pilihan buku mana yang bermutu dan sasterawan mana yang layak menerima hadiah. Kita juga dapat melihatnya dalam kertas kerja yang dibentang oleh para sarjana, atau dalam tulisan mereka yang diterbitkan. Terdapat beberapa kajian mengenai aspek ini, oleh itu telah didokumentasikan dengan baik dalam kajian tersebut. Kita boleh membuat andaian yang tepat bahawa kajian itu membicarakan dengan  tepat kejadian yang sebenarnya telah berlaku. Oleh itu, kita tidak bertemu dengan apa-apa tulisan atau sanggahan  yang menafikan kebenaran kajian itu dan kesimpulan yang dibuat oleh pengkaji.

Saya sebut beberapa contoh di sini. Huraian tentang kedudukan realisme dan peranannya dalam penulisan kreatif serta penilaian terhadap karya, telah dibicarakan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam kuliah MASTERA  beliau, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, berjudul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (2009). Buku ini menjadi satu dokumen penting dalam sejarah kritikan sastera di Malaysia, yang menjadikan realisme dalam pemikiran sastera dan teori sastera Barat sebagai landasan kepada pemahaman tentang sastera yang dipegang oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Dalam buku ini, beliau menghuraikan dengan terperinci peranan ilmu dalam penulisan kreatif dan penilaiannya, dengan memberikan satu alternatif yang berbeza dalam cara membaca karya sastera, hujah yang dipakai dalam penilaiannya, dan asas penilaian itu yang dilihat daripada perspektif wacana dalam konteks ilmu dan cerita yang dijadikan wahana untuk menyampaikan wacana berasaskan konsep ilmu yang benar. Buku ini tidak dibaca oleh para sasterawan dan sarjana sastera, seolah-olah tidak wujud, dengan itu mereka tidak dapat melihat impak buku ini terhadap perkembangan sastera Melayu masa depan, apabila konsep sastera itu sendiri dicabar dengan meletakkannya di tempat kedua selepas persuratan. Walaupun cabaran ilmiah ini sangat penting, para sasterawan dan sarjana sendiri tidak memberi perhatian yang serius dengan membicarakannya secara akademik. Sikap negatif ini dapat dilihat dalam ulasan cetek dan sepintas lalu oleh Prof.  Dato’ Rahman Shaari terhadap syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, yang disampaikannya di Universiti Kebangsaan Malaysia tahun 2007. Syarahan perdana itu berjudul, Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita dengan Ilmu. Syarahan perdana yang penting ini diremehkan oleh Prof. Rahman Shaari dalam tulisan beliau yang cetek dan keliru, berjudul “Persuratan Baru: Cerita dan ilmu” (Mingguan Malaysia, 16 Disember 2007). Kesimpulan beliau tentang Persuratan Baru menjadi bukti bagaimana pandirisme diberi tempat istimewa dalam sastera Melayu moden, oleh para sarjana sendiri. Kata Prof. Rahman Shaari: “Gagasan ini mudah, iaitu ringankan cerita dan beratkan ilmu. Pelaksanaanya juga tidak sukar, kerana sebarang karya yang dipenuhi hujahan yang mantap adalah karya yang dikehendaki”. Rumusan cetek seperti ini hanya lahir daripada seorang sarjana yang tidak membaca secara kritis Gagasan Persuratan Baru yang hendak dikritiknya, atau jika beliau membacanya maka kefahaman beliau juga terlalu cetek untuk dapat dijadikan hujah dalam penilaian beliau terhadap Persuratan Baru. Kecetekan pandangan Prof. Rahman Shaari ini dapat anda lihat dengan jelas jika anda membaca huraian mendalam Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam kuliah MASTERA beliau, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. 

Prof. Rahman Shaari yang mengejek syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir hanya “copy cat”, secara total gagal memberikan sebuah syarahan perdana beliau sendiri tentang sajak-sajak Melayu, yang dari permulaan syarahan hingga tamat hanya penuh dengan andaian yang tidak dikonkritkan dengan hujah yang mantap. Tajuk syarahan perdana beliau berbunyi, “Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan” (2004). Mengapa baliau menggunakan perkataan “tinjauan”, bukan analisis? Dari segi ini beliau bijak, kerana syarahan perdana beliau memang tidak mempunyai analisis yang mantap, tetapi berserabut dengan kenyataan umum tentang sajak-sajak Melayu, yang tidak pantas mendapat tempat dalam satu syarahan yang sepatutnya membicarakan tajuknya dengan mendalam, berasaskan analisis yang objektif. Setelah berpuluh tahun mengumpul maklumat tentang sajak Melayu, maka amatlah menghairankan apabila beliau masih lagi “meninjau”, tidak membuat analisis yang mendalam. Kerana tidak ada analisis itulah maka beliau mengambil jalan mudah, jalan para mahasiswa tahun satu, untuk mengumpulkan sajak-sajak itu dalam beberapa kategori: ada sajak kabur, ada sajak konfesional (specialty Baha Zain!), ada sajak protes, ada sajak sinis, ada sajak moral dan pendidikan,  ada sajak patriotik (contoh yang diberi sajak Kemala! Ketika itu Kemala belum lagi diberi jolokan pensajak sufi, atau Rahman Shaari memang tidak kenal sajak sufi!! ), dan macam-macam lagi. Cara begini bukan yang pantas dibuat oleh seorang sarjana, yang bergelar profesor sastera pula. Cara begini hanya layak dilakukan oleh para mahasiswa tahun satu yang baru kenal dan baru membaca sajak-sajak Melayu.  Apa kaitannya pembahagian seumpama itu dengan kemantapan sesebuah sajak? Pastilah ada ciri-ciri atau unsur-unsur tertentu yang membuat sajak-sajak itu menjadi mantap. Prof. Rahman Shaari menyentuh sambil lewa ciri-ciri itu, yang diambilnya daripada pendapat Subagio Sastrowardojo, bukannya didapat daripada analisis terhadap sajak-sajak itu sendiri. Pendekatannya seolah-olah kelihatan berciri empirikal, tetapi kesimpulannya diambil daripada orang lain yang tidak tahu menahu tentang sajak Melayu.

Sekarang telah muncul satu “teori” baru dalam kritikan sastera Malaysia, diberi nama Model Rasa Insaniah oleh pengeluarnya, Dr. Shamsuddin Othman.  Beliau memperoleh gelar “doktor” melalui tesisnya yang menggunakan Model beliau sendiri untuk membicarakan tiga orang pensajak (Malaysia, Singapura, Indonesia). Model inilah yang digunakan oleh pengeluar “teori” untuk menilai sajak-sajak Baha Zain. Keputusannya ialah: “Sebagai seorang penyair, Baha Zain dilihat berjaya meledakkan gagasan romantisme (?) dengan bahang sinis yang membara. Pilihan diksi dalam puisi-puisinya adalah metafora dan hiperbola yang mencari akar jati diri puitika sastera Melayu. Muhammad Haji Salleh, misalnya sering menanggapi Baha Zain sebagai seorang pencatat jiwa penghuni kota yang berdosa. Malah sarjana-sarjana lain pun sering menanggapi Baha Zain sebagai seorang penyair yang memiliki diksi ekonomi tetapi inti patinya panas membara.”  Sungguh malang, kerana contoh yang diturunkan oleh Dr. Shamsuddin Othman adalah kebalikan daripada pujian itu. Sajak-sajak Baha Zain yang dianggap oleh Dr. Shamsuddin Othman “sinis membara seorang penyair yang memilik diksi ekonomi,” sebaliknya sajak-sajak pilihan Dr. Shamsuddin Othman rimbun dengan ocehan yang bombastik, tetapi zonder makna yang mendalam, yang panas membara itu.

Apa yang dibuat oleh Dr. Shamsuddin Othman tidak lebih daripada membariskan retorik peragaan yang bombastik pula, kerana itu gagal memberi penilaian yang objektif terhadap Baha Zain. Adakah ini akibat daripada kegagalan Model Rasa Insaniah itu sendiri, yang tidak berupaya membaca karya Baha Zain dengan kritis? Kalau anda melihat contoh pertama yang diberikan oleh beliau, kita akan dapati sajak yang “diolah dengan pengucapan yang halus” itu sebenarnya tidak lebih daripada sejenis kepura-puraan yang dibuat-buat, oleh itu perkara yang dijadikan isi sajak ini  tidak mencerminkan Baha Zain seorang pemikir yang handal, yang meneroka rahsia kejadian insan berasaskan kefahaman yang mendalam tentang peranan manusia sebagai khalifah di bumi, yang terlebih dahulu menerima hakikat kewujudannya sebagai hamba Allah. Apabila Baha Zain berkata, dengan nada yang pura-pura, “Kalau ada sesuatu yang paling sulit difahami sebenarnya ialah diri,” maka ucapan itu menjadi sangat angkuh kerana kejadian manusia itu telah dihuraikan di dalam al-Quran begitu jelas, dijelaskan lagi oleh Rasulullah SAW dalam hadis baginda, disyarahkan dengan terperinci oleh para ulama dalam kita-kitab mereka sejak beribu tahun, malah para ulama Melayu dari Patani dan Nusantara, telah menulis tentang manusia dalam kitab-kitab mereka pula. Antaranya yang terbaik ialah huraian Hadji Agus Salim dalam kitabnya, Keterangan Filsafat tentang Tauhid, Taqdir dan Tawakkal (Tintamas, Djakarta, 1953; juga disisip sebagai bab akhir dalam buku Djejak Langkah Hadji A. Salim (Tintamas, Djakarta, 1954).  Selain dari itu, sebuah lagi buku yang membicarakan dengan terperinci hakikat insan dalam Islam, karangan Abul Quasem, The Ethics of al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (1975). Sudah jelas para sasterawan dan sarjana sastera tidak kenal buku-buku ini, jadi tidak hairan jika mereka “merayau” dalam dunia khayal yang dangkal untuk meluahkan, kononnya, tentang “misteri” dalam kehidupan. Sebut “merayau”, teringat sebuah sajak Muhammad Haji Salleh dalam Aksara Usia (hal. 13), sajak bertajuk “pelancong enggan”.

Walaupun sajak ini tidak bermutu, tetapi penting kerana sajak ini dengan jelas sekali menunjukkan sikap sasterawan negara ini terhadap Islam dan sejauh mana pegetahuannya tentang Islam.  Perhatikan betapa mendalamnya kefahaman beliau tentang Islam.  Sasterawan negara dan sarjana ulung ini bercerita tentang seorang perempuan tua yang sesat di Kaherah, kota yang kotor berabuk. Inilah gambaran SN  sarjana ulung ini tentang azan:  tapi azan pagi/ yang merayau di antara/ gendung kelabu kaherah/ lebih meriah/ dari firaun atau pantai iskandariah. Azan digambarkan sebagai kucing dan anjing liar yang merayau waktu malam/pagi. Azan itu lebih meriah dari firaun! Perempuan itu mencari “kota meriah akhirat”.  Perhatikan perkatan “azan merayau” yang “lebih meriah” daripada firaun. Akhirat dibandingkan dengan sebuah kota. Menurut sasterawan ini, syurga itu sebuah kota yang dicari oleh perempuan tua itu.  Kota yang meriah pula. Apa jenis imej yang ingin dipantulkan oleh pensajak ini? Kerana keinginan yang berlebihan untuk menjadi “original” dan “kelainan ucapan”, dia sanggup meletakkan syurga setaraf dengan sebuah kota, yang menjadi impian perempuan tua itu. Tidak hairanlah jika pensajak ini juga berkata, dia mimilih Mephistopheles yang pintar ketika melawat Muzium Goethe (Sebuah Unggun di tepi Danau, hal. 5). Kita bandingkan ini dengan sajak Baha Zain yang dikatakan oleh Dr. Shamsuddin Othman “penuh bara” itu.

Dalam sajak “Seruan” yang diangkat oleh Dr. Shamsuddin Othman, Baha Zain juga berbicara tentang “azan berkumandang di dalam kesibukan pada tengah hari yang terang benderang”.  Diceritakan orang yang sudah bersih berbaris ke masjid (mungkin tengah hari Jumaat), untuk mengadap Tuhan dan berdoa, kerana di dalam pejabat tidak ada fikiran yang bersih, jernih dan halus. Tidak pasti adakah ini gambaran di Mekah, tetapi dalam bait ketiga diceritakan tentang Mekah, dan betapa terdapat kejujuran yang didamba manusia! Kalau anda membaca sajak ini dengan kritis, anda akan dapati betapa kayanya dengan retorik yang penuh pura-pura, digambarkan seolah-olah hanya di Kota Mekah saja perlunya dan pentingnya sifat-sifat terpuji itu. Lalu dilontarkan permintaan: Tuhan berikanlah kami keberanian untuk melafazkan yang benar... Permintaan/doa ini bertukar menjadi keangkuhan kerana kepura-puraannya yang jelas. Tidakkah kebenaran itu menjadi seruan al-Quran dan para Nabi? Tidak perlu menunggu begitu lama untuk “memohon” keizinan daripada Tuhan supaya “berani bercakap benar”, kerana berani berkata benar itulah ajaran al-Quran. Sajak ini tidak langsung mempunyai ciri kerohanian yang boleh menginsafkan. Kerana semuanya terjelma daripada retorik belaka, bukan lahir dari keinsafan dan komitmen kepada ajaran al-Quran. Tetapi yang lebih menarik ialah ucapan: kita semua seolah-olah dibebani untuk/ menguruskan kemelutan dunia dan manusianya. Tidakkah ini pilihan sendiri, yang membenarkan diri dipengaruhi dan dikelilingi manusia “yang berkunjung adalah para/ tetamu yang terlalu kusut dengan urusan kehidupan.  Kita boleh bertanya, adakah para sasterawan, dan sasterawan negara, sudah bebas dari kekusutan ini, atau merekalah yang menjadi promoternya? Nampaknya itulah yang terjadi, seperti yang pernah dikritik oleh Muhammad Haji Salleh dalam tahun 1973 perihal wujudnya kumpulan yang dipanggilnya “mutual admiration club” di kalangan para sasterawan. Akhirnya kumpulan itu terdiri daripada para sasterawan negara sendiri, disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dan dengan terpilihnya mereka untuk menjadi ahli “mutual admiration club” itu secara rasmi dalam kelompok sasterawan negara itu. Semua peminat sastera di Malaysia tahu siapa mereka sebenarnya. Mereka dari satu kumpulan yang saling memuji satu sama lain. Baha Zain sendiri berkali-kali dilantik menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara itu, termasuk  ketika memilih Muhammad Haji Salleh sebagai sasterawan negara. Sasterawan ini telah dipuji tinggi sebagai seorang penulis intelektual. Sejauh mana Baha Zain tidak terlibat dalam pujian itu? Sejauh mana beliau tidak terlibat dalam menulis laporan itu? Siapakah yang begitu jujur, dan mungkin amat bodoh, untuk  mendedahkan rahsia mereka? Sebenarnya tidak perlu pun berbuat demikian, kerana semuanya tertulis dan terserlah dengan begitu jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri.  Hal yang paling menjengkelkan kita ialah apabila seseorantg sudah dirasmikan sebagai sasterawan negara, maka dengan serta merta semua karya beliau menjadi bermutu. Maka tertutuplah kemungkinan untuk menilai kembali sumbangan mereka dengan kritis, berasaskan suatu analisis dan penilaian yang lebih objektif, jitu dan tepat, seperti misalnya yang cuba dilakukan oleh Gagasan Persuratan Baru. Mengapa gagasan ini begitu ditakuti? Mungkin juga kerana kehadiran “mutual admiration club” itu menjadi tidak selamat apabila para sasterawan negara ini dinilai berasaskan Gagasan Persuratan Baru.  Sepatutnya semua para sasterawan negara menerima hakikat bahawa mereka bukanlah golongan Brahmin sastera Melayu. Tetapi sekiranya mereka yakin mereka adalah golongan Brahmin, kedudukan mereka tidak akan terjejas walaupun dikritik dan dinilai dari sudut mana sekali pun. Mereka harus lebih terbuka, jika mereka betul golongan Brahmin sastera. Oleh itu mereka tidak harus berkata, seperti yang dibuat oleh Muhammad Hj. Salleh, yang memberi amaran kepada Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man supaya menulis yang baik-baik saja tentang dirinya. (Rujuk kertas kerja Dr. Siti Hajar yang dibentangkan dalam Seminar Pemikiran Muhammad Hj. Salleh).  Penulis kertas itu perlu memujinya; dan itulah yang dibuatnya.

Sasterawan negara tidak berhak dipuji dan diberi pujian, apatah lagi meminta dipuji seperti yang dilakukan oleh Muhammad Haji Salleh. Itulah keputusan beberapa buah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim. Ulama besar Nusantara, Abdulrauf Singkel dalam kitabnya Tanbih al-Masyi, menurunkan hadis sahih yang berbunyi: “Bila engkau melihat orang yang selalu memuji-muji, taburkanlah tanah (yakni debu) di mukanya.” Lalu katanya memberi peringatan: “Ketahuilah wahai murid bahawa kesempurnaan itu terdapat jika engkau  mengikuti ajaran-ajaran Rasul, kerana Nabi SAW itu adalah rahmat bagi seluruh alam” (terjemahan kitab itu oleh Oman Fathurahman dengan judul Menyoal Wahdatul Wujud (penerbit Mizan, 1999; hal.139). Apakah yang engkau dapat daripada peringatan ulama besar ini? Itulah maksud azan. Penjelasan ringkas begini saja.

Azan dimulai dengan takbir, Allahu akbar; diikuti dengan syahadah pertama: Aku naik saksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah; seterusnya diikuti syahadah kedua, Aku naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.  Itulah pernyataan tauhid, jika engkau mahu tahu. Kemudian diikuti dua seruan: Marilah mengerjakan solat;  Marilah mencapai al-falah. Bahagian ini adalah komitment kamu setelah mengakui Kebesaran Allah Ta’ala dalam takbir dan mengakui pula ajaran Islam yang dibawa oleh Rasul Nya. Inilah maksud taklif dalam kehidupan manusia beriman. Inilah jalan menuju kemenangan dan kesempurnaan, yang disebut oleh ulama besar tadi. Setelah itu diulangi lagi pengakuan tauhid dengan takbir, dan penegasan: Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Baha Zain menterjemahkan azan menjadi “Seruan”, judul sajaknya. Dr. Shamsuddin Othman tidak berupaya membaca sajak ini dengan betul, membuktikan Model Rasa Insaniah itu gagal secara total untuk memahami dengan tepat dan objektif sajak-sajak Baha Zain yang dipujinya itu. Apakah yang perlu kita buat sekarang? Buang saja “teori”  Model Rasa Insaniah yang gagal tadi, supaya kekeliruan perekanya dan pengikutnya tidak berterusan. Kalau anda mahu, jadikanlah azan asas teori sastera anda, kerana di dalam azan itu terangkum seluruh ajaran Islam yang jika diikuti, akan mencapai al-falah itu. Tidak mungkin teori Barat akan membawa kita kepada al-falah.  Pemahaman anda sendiri terhadap teori Barat pun adalah cetek, manakala anda tidak tahu pula sumber persuratan Melayu. Sekarang anda boleh faham dengan lebih mudah mengapa Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata anda, para sasterawan dan sarjana sastera, adalah golongan “cetek mera-raba”, golongan pinggiran yang tidak tahu warisan budaya bangsanya, tidak juga teori Barat yang menjadi kebanggaan mereka. Kesimpulan: tepat sekali anda adalah golongan yang cetek meraba-raba.

Golongan cetek meraba-raba inilah yang kini membina budaya pandirisme di Malaysia.  Walaupun mereka menulis tentang azan, tetapi mereka tidak mendengar seruan azan itu yang akan membawa mereka kepada kemenangan/kejayaan dunia akhirat. Seruan siapakah yang mereka ikuti? Inilah jawapan yang kita dapat di dalam al-Quran: “Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Tuhannya sama dengan orang yang (syaitan) menjadikan dia memandang baik perbuatannya yang buruk itu dan mengikuti hawa nafsunya” (47: 13). Kita perhatikan tafsiran yang diberikan oleh M. Quraish Shihab dalam tafsirnya, Tafsir al-Mishbah, jilid 12, hal. 457-458.  Saya salin bahagian berkenaan:

Maka, apakah orang yang selalu berpegang pada keterangan yang datang dari Tuhannya  sehingga semua aktivitasnya  berdasar dalil dan bukti yang jelas  dan dengan demikian dia dapat melihat yang baik itu baik dan yang buruk itu buruk -  apakah orang yang keadaannya seperti itu – memeroleh ganjaran atau balasan yang sama dengan orang yang dijadikan oleh setan memandang baik perbuatannya yang buruk dan memandang buruk perbuatannya yang baik kerana keengganannya  mengikuti keterangan yang datang dari  Allah dan selalu mengikuti hawa nafsu mereka  setiap kali melakukan atau tidak melakukan sesuatu? Pastilah keadaan dan balasan mereka tidak sama.

Ayat di atas menggunakan bentuk tunggal ketika menjelaskan rayuan setan kepada siapa yang memandang baik amal buruknya, sedang ketika berbicara tentang yang mengikuti hawa nafsu digunakan bentuk jamak, yakni hawa nafsu mereka. Ini, menurut al-Biqa’i, memberi kesan bahawa keburukan bermula dengan yang sedikit dan, bila diabaikan serta tidak segera dihentikan, ia akan berkembang menjadi banyak.” [Huruf condong asal].

Dalam penjelasan ini terdapat buruk dan baik dalam perilaku dan tindakan manusia; dengan kebaikan itu dilandaskan kepada ketaatan kepada Allah SWT. Tetapi apabila sudah dipengaruhi syaitan, yang baik dikata buruk; sebaliknya yang buruk diperlihatkan sebagai baik. Bagaimana keadaan yang saling bertentangan ini dibayangkan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara ketika membuat penilaian mereka? Sejauh mana mereka tidak terpengaruh dengan godaan syaitan; dan sejauh mana pula mereka terpengaruh dengan hudud Allah (batas-batas yang ditentukan Allah dalam menilai yang baik dan buruk)?  Kalau mengikut bacaan dan analisis saya, ahli panel ini tunduk patuh sepenuhnya kepada teori sastera Barat. Tetapi saya bersedia membetulkan penilaian saya jika terdapat hujah dan bukti sebaliknya. Adakah memilih sepenuhnya teori sastera Barat itu pilihan yang paling baik? Nampaknya tidak. Inilah pandangan salah seorang ahli panel yang lama menjadi ahli, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Ketika berucap merasmikan “Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II” (Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka, 22-24 Mac 2005; diterbitkan 2005 dengan judul Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau), profesor ini menegaskan, “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat... Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri” (hal. 14, Teori dan Kritikan Melayu Serantau). Adakah ini satu pengakuan yang jujur? Saya kira tidak, jika kita baca pandangan beliau seterusnya: “Teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam”.  Ketika kesimpulan ini dibuat, Gagasan Persuratan Baru telah muncul sebagai satu alternatif dalam kritikan sastera, khususnya di Malaysia. Nyatalah profesor ini tidak tahu menahu tentangnya, oleh itu penegasan beliau diasaskan kepada kejahilan beliau sendiri sebagai seorang profesor sastera yang seharusnya berminat mengikuti perkembangan dalam bidang kritikan Malaysia. Dengan yang demikian, kejujuran beliau amat diragui. Dan ini diperlihatkan oleh beliau sendiri, yang sebenarnya terus mempertahankan teori Barat yang dikatakannya tidak sesuai itu. Dalam “Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh, 9-10 Novemver 2010”, Dewn Seminar DBP, beliau telah meminta penganjur meminta Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man menulis kertas kerja tentang beliau. Menurut Dr. Siti Hajar, Muhammad Hj. Salleh berpesan, “untuk seminar nanti, kena tulis elok-elok pasai saya”.  Seperti yang diketahui oleh para sarjana, Dr. Siti Hajar Che Man adalah pengamal tegar teori sastera Barat, feminisme. Dr. Siti Hajar mengaku hubungannya dengan Prof. Muhammad Hj. Salleh sangat rapat, pada mulanya antara murid dengan guru; kemudian sebagai rakan satu universiti di USM. Menurut Dr. Siti Hajar, Muhammad Hj. Salleh adalah aset penting USM, dengan kedudukannya agak istimewa. Tegas Dr. Siti Hajar:  “USM adalah Muhammad Hj. Salleh, dan Muhammad Hj. Salleh adalah USM.” Maka menjadi tanggungjawabnya untuk memuji Muhmmad Hj. Salleh, sehingga dia mencadangkan supaya diberi gelar “Raja Penyair”! Kita lihat, mutual admiration club mencapai kemuncaknya. Sayangnya kertas kerja Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man sendiri tidak bermutu, sekadar catatan yang berselerak,  terlalu tepu dengan retorik peragaan yang bombastik untuk memuji begitu tinggi dua buah kumpulan sajak Muhmmad Hj. Salleh yang juga tidak bermutu, kerana terlalu mirip dengan percubaan penulis muda, mungkin dari kalangan siswa, yang baru belajar menulis sajak. Jika anda baca dengan kritis sajak-sajak ini, anda akan dapati yang dikatakan sajak-sajak bermutu itu tidak lebih dari catatan biasa tentang pokok-pokok pilihan pensajak. Hanya ucapan biasa, bukan puisi seperti yang ditulis oleh Iqbal ketika berbicara tentang alam, atau oleh Rumi. Kesimpulan ini tidak mungkin didapati oleh Prof. Madya Dr. Siti Hajar Che Man dengan menggunakan teori feminisme mengikut fahamannya atau teori Barat lainnya yang sekadar diketahui agak cetek, tanpa pembacaan yang luas tentang karya-karya penyair Islam yang disebut olehnya dalam konteks Muhammad Hj. Salleh sendiri pun sudah sampai ke taraf mereka!  Mungkin anda masih ingat, Anwar Ridhwan pernah meletakkan Muhammad Hj. Salleh seolah-olah Aristotle ketika merumuskan  “puitika sastera Melayu” kerana telah mengkaji 160 buah teks untuk dijadikan rujukan. Walaupun banyak, tokoh besar ini tidak menemui sebarang teks yang membicarakan aspek Islam dalam pembinaan tamadun Melayu, oleh itu dia tidak menyebutnya dalam syarahan perdana beliau, kecuali sedikit tentang syair, terlalu sedikit untuk berlaku adil kepada unsur Islam dalam kebudayaan Melayu. Ketika merasmikan Seminar  Pemikiran SN Anwar Ridhwan, Muhammad Hj. Salleh memberi pujian yang tinggi kepada pencapaian Anwar Ridhwan.  Satu perkara biasa dalam kelompok mutual admiration club yang dikritik dan ditolak oleh Muhammad Hj. Salleh dalam tahun 1973, dalam sebuah kertas kerja beliau.  Kini sudah dibudayakan dengan wujudnya Anugerah Sastera Negara, dengan itu mutual admiration club sudah menjadi sebuah club yang exclusive untuk para sasterawan terpilih dan para pengikut serta  penyokong mereka. Itulah satu-satunya kemajuan yang boleh dibanggakan dalam sastera Melayu moden.  Kesan paling negatif akibat perkembangan mutual admiration club ini ialah tertutupnya pemikiran kritis dalam kritikan sastera dan dalam penilaian karya.

Budaya Pandirisme

Sebaliknya, yang digalakkan dan diberi penekanan ialah budaya pandirisme dalam semua aspek kegiatan sastera, termasuk dalam perlumbaan mencetuskan apa yang disebut sebagai “teori” sastera.  Tiadanya pemikiran kritis ini amat ketara dalam setiap kertas kerja yang ditulis untuk memuji para sasterawan negara. Terbaru ialah sekumpulan kertas kerja yang kaya dengan retorik peragaan, tetapi amat miskin dengan analisis yang teratur yang dapat dijadikan asas untuk suatu perbincangn, atau dialog yang bercorak akademik. Saya rujuk kepada “Seminar Sasterawan Negara II”, 26 April 2014, UPM; tentang Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Noordin Hassan, dan Baha Zain. Membaca kertas kerja ini membuat kita rasa pelik bagaimana kita telah gagal melahirkan para sarjana sastera yang bermutu, walaupun sudah sekian lama pelajaran sastera itu dijadikan salah satu pelajaran penting di universiti. Tidak saja kita sukar mendapat karya yang bermutu, yang melahirkan pemikiran bernas dan berfaedah; malah kita juga sukar mendapat sarjana yang berkualiti. Kita lihat sumbangan mereka dalam seminar itu.

Kertas kerja oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan tentang pengajaran sastera di sekolah-sekolah adalah cukup ironis, dan melucukan.  Kita sering mendengar rungutan tentang subjek sastera terpinggir dan dipinggirkan, semakin tidak digemari oleh pelajar. Kita cuba mencari jawapannya. Kerana kita begitu ghairah melihat di tempat yang salah, para sarjana kita lupa bahawa puncanya ialah di universiti. Sudah jelas pengajaran sastera di universiti telah gagal melahirkan sarjana yang berkualiti, yang dapat menulis dengan baik, jelas dan bernas tulisannya. Jika anda mahu bukti, anda mendapatnya dalam tulisan para sarjana ini untuk seminar tentang sasterawan negara ini. Sebenarnya sudah acap kali kita mengadakan seminar seumpama ini, tetapi hasilnya sama seperti yang disebut oleh Umar Khayam dalam salah satu rubaiyyatnya yang terkenal. Inilah terjemahan saya berasaskan versi terjemahan Edward Fitzgerald.

Waktu muda-muda aku sering mendatangi/ Majlis ulama dan sufi, mendengar bahas berapi/Tentang itu dan ini; tetapi alangkah aneh/ Aku keluar dari pintu yang sama kumasuki.

Kalau ada di antara para sarjana kita belum pernah mendengar rubaiyyat ini dan tidak faham maksudnya, maka patutlah kita kasihani mereka. Tetapi jika mereka sudah tahu dan faham maksudnya, maka lebih-lebih lagi kita perlu  mengasihani mereka kerana masih meneruskan kritikan Umar Khayam itu.

Kertas kerja Prof. Mohd. Mokhtar Hassan membuktikan dengan jelas betapa ceteknya pengertian para sarjana ini tentang masalah sastera yang kita hadapi. Puncanya  berada di universiti, dalam cara kita mengajar kesusasteraan. Sekali imbas nampak seolah-olah ada kemajuan jika deretan nama sarjana Barat dan buku-buku mereka, serta teori sastera mereka, dideret dalam tulisan para sarjana ini. Tapi itu semua tidak lebih daripada sorakan penonton bola yang menjeritkan nama-nama pemain kegemaran mereka, dengan segala  macam komen seolah-olah merekalah pemain bola terhandal dan terbaik dalam dunia. Padahal itu hanya dalam sorakan saja. Begitulah juga retorik peragaan para sarjana ini, hanya berupa peragaan sekadar hendak menunjuk-nunjuk bahawa mereka tahu nama-nama itu dan bangga menyebutnya dalam tulisan mereka.  Tanpa retorik peragaan ini, tulisan para sarjana ini kering kontang, tiada idea bernas yang boleh dibahaskan dengan lebih mendalam. Dalam saranannya untuk membaiki dan meningkatkan lagi pengajaran sastera di sekolah-sekolah, Prof. Mohd. Mokhtar melontarkan beberapa cadangan yang pada hakikatnya akan menyemarakkan lagi kebencian para pelajar terhadap sastera, dan akan lebih berserabut lagi para guru yang tidak begitu menguasai subjeknya.   Beliau menyalahkan pendekatan struktural, yang menekankan perkara-perkara seperti tema, persoalan, plot dan sebagainya. Semua ini masih berguna dan masih perlu diperkenalkan kepada para pelajar untuk membantu mereka mengenal ciri-ciri umum sesebuah karya kreatif. Tetapi semua ini menjadi hanya satu klise yang membosankan jika tidak diberi konteks yang jelas. Memanglah perkara ini membosankan pelajar, kerana caranya tidak menjentik peranan intelek dan emosi mereka. Cara yang dipakai masih berbentuk huraian untuk bercerita, oleh itu konsep-konsep ini  menjadi amat membosankan kerana tidak dikaitkan dengan keupayaan kreatif dan keupayaan intelektual seseorang pengarang. Jika ini dilakukan, maka konsep-konsep tadi akan hidup setelah diberi konteks yang betul. Inilah yang dilakukan oleh Gagasan Persuratan Baru.  Semua konsep tadi dilihat tidak lagi secara berasingnan, tetapi secara menyeluruh dengan meletakkannya dalam konsep wacana berasaskan ilmu yang benar, dengan memberinya bentuk yang dinamakan ruang naratif. Dalam ruang naratif itu, plot akan dibicarakan dalam konteks penggunaan ruang naratif sama ada untuk hanya bercerita, atau mengutarakan dan mengutamakan pemikiran. Dengan itu plot ditundukkan untuk memenuhi matlamat membina ruang naratif yang kemas, padat dan bermakna, untuk mencapai matlamat menghasilkan sebuah karya kreatif yang bernilai dari segi pemikiran dan pengungkapan kreatifnya. Jadi konsep plot, tema,  watak dan perwatakan, dan lain-lain, ditundukkan untuk membina ruang naratif yang kemas dan padat tadi, yang mencerminkan keunggulan pemikiran pengarang dan kecekapannya dalam kreativiti. Para sarjana kita tidak dapat melihat aspek ini kerana cara “berfikir” mereka sudah lesu, penuh klise, dan langsung tidak kreatif dari segi memberi jawapan yang tepat kepada masalah yang mereka lontarkan.  Unsur-unsur yang disebut oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan tentang apa yang disebutnya “aspek baru” seperti unsur pembangunan, pengurusan, dan sebagainya, akan tetap membosakkan jika tidak mencabar pembaca yang kritis. Semuanya akan jadi sejenis klise baru sama seperti klise formalistik seperti plot dan kawan-kawannya.  Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah semua persoalan yang disebut oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan akan dapat diselesaikan jika pendekatan yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru difahami dan dipakai dengan kritis dalam pengajaran sastera.  Dua aspek ini penting diberi penekanan, iaitu kefahaman yang mendalam dan keupayaan kritis yang tinggi.

Betapa silapnya cara berfikir dan cadangan yang diutarakan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan menjadi amat jelas apabila beliau membela Si Tanggang. Jelas  dia masih menggunakan pendekatan formalistik yang sudah menjadi klise itu, dengan melihat kisah Si Tanggang hanya sebagai sebuah cerita dongeng, yang akhirnya membawa kejayaan kepada Si Tanggang hingga dapat berkahwin dengan anak raja. Itulah kejayaan Si Tanggang yang pandai mengatur cita-citanya untuk menjadi kaya dan terkenal, untuk berjaya dalam hidupnya. Dengan cara ini, aspek utama dalam cerita ini mengenai penderhakaan seorang anak, dilunakkan dan tidak lagi menjadi aspek utama dalam cerita ini. Yang utama ialah kejayaan Si Tanggang. Kalau anda seorang yang cekap berfikir, anda akan melihat inilah contoh kebiadaban moden yang melihat semua nilai dari perspektif kebendaan semata-mata. Pencerita lama tidak bermaksud begini, kerana tukang cerita itu  jelas bahawa ceritanya mengenai seorang anak derhaka; dengan itu semua kejayaannya menjadi sia-sia dan terkutuk. Mengapa orang tidak boleh terima tema ini? Tidak lain sebabnya ialah kerana para sarjana kita telah diikat oleh teori sastera Barat yang tidak mementingkan nilai, dengan memberi perhatian hanya kepada kejayaan kebendaan sebagai ciri nilai baru berasaskan kebendaan semata-mata. Maka itulah Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, Prof. Muhammad Haji Salleh, Prof. Rahman Shaari dan lain-lain yang serumpun dan sejenis dengan mereka menerima apa yang mereka sebut sebagai Si Tanggang Baru, Si Tanggang Moden yang  enterprising. Inilah contoh kekeliruan nilai yang dibawa oleh teori sastera Barat, jika anda masih belum sedar.

Masalah yang kita hadapi sekarang hanya dapat diubah jika kita tidak lagi melihat “sastera” secara tertutup dengan memberi penekanan hanya kepada aspek cerita. Penekanan begini juga mempengaruhi cara kita melihat persoalan ini dalam bentuk cerita, maka lahirlah kritikan cerita, atau kertas kerja yang memberatkan cerita dan kabur serta keliru tentang peranan ilmu dan wacana dalam kegiatan kreatif. Semua kertas yang dibentangkan ini ditulis dalam konteks kritikan cerita, oleh itu semua masalah yang ditimbulkan dilihat dalam konteks cerita, bukan dalam konteks pemikiran. Huraian Dr. Shamsuddin Othman tentang sajak-sajak pilihan Baha Zain yang dipilihnya masih lagi berlegar dalam kritikan cerita ini, dengan itu “pemikiran” Baha Zain, jika ada, ditenggelamkan begitu saja dalam kritikan cerita yang tidak kritis sama sekali. Untuk memuji memang tidak diperlukan analisis kritis dan penilaian yang objektif; cukup hanya dengan “bercerita” tentang karya Baha Zain seperti yang dilakukan oleh Dr. Shamsuddin Othman ini. Jadi apa yang menjadi perhatian Prof. Mohd. Mokhtar Hassan akan terus dilanjutkan secara tidak kritis seperti yang dilakukan oleh Dr. Shamsuddin Othman ini. Dari aspek lain, Model Rasa Insaniah ini jelas telah gagal untuk membaca dengan betul karya Baha Zain ini, maka dengan itu penilaian yang dibuat lebih tepat mencerminkan kedangkalan pendekatan yang digunakan untuk menilai karya yang juga dangkal. Gelaran “sasterawan negara” tidak boleh dijadikan hujah untuk memuji karya yang dangkal, kecuali jika pendekatan itu sendiri juga dangkal.

Bukan Teori Sastera

Inilah ciri utama kertas kerja seminar enam orang saterawan negara ini.  Dalam kertas kerja Dr. Kamariah Kamarudin, yang menggunakan kononnya “teori” takmilah, langsung tidak kritis dari segi akademik dengan menerima begitu saja bahawa apa yang disebut sebagai “takmilah” itu kononnya sebuah teori sastera Islam. Nampaknya penulis kertas ini tidak pernah membaca tentang bagaimana sebuah teori dibina, untuk mencapai maksud apa, dan mengapa diperlukan. Walaupun beliau mungkin ada juga membaca teori sastera Barat, tetapi beliau tidak memberi perhatian kepada aspek pembinaan sebuah teori, mungkin kerana pengalaman akademik beliau tidak terdedah kepada persoalan ini. Bagaimanakah kita boleh begitu yakin berkata “takmilah” sebuah teori? Ciri-ciri sebuah teori tidak ada di situ. Yang ada ialah sekumpulan petua yang mungkin boleh digunakan secara dangkal dan tidak kritis untuk menentukan inilah sebuah karya sastera Islam jika terdapat beberapa petua “takmilah” di dalam karya itu. Persis inilah yang dilakukan oleh Dr. Kamariah Kamarudin ketika “menilai” karya Shahnon Ahmad. Sebenarnya yang dibuat beliau tidaklah menilai dengan kritis sebagai seorang sarjana yang berwibawa. Yang dilakukan beliau ialah menggunakan kotak-kotak yang diberikan oleh “takmilah” untuk diisi dengan beberapa ciri karya yang dikatakan sesuai dengan petua “takmilah”. Begitu mudah kerjanya, seperti seorang pembantu perpustakaan memilih buku-buku tertentu mengikut jenis dan meletakkannya dalam bahagian yang sesuai. Betullah kerja penolong perpustakaan itu, yang tidak mementingkan kualiti buku, hanya tajuknya dan isinya sesuai atau tidak ditempatkan dalam kategori yang dipilih. Ini bukan kerja seorang ahli akademik yang berwibawa. Apakah yang anda boleh tunjukkan dengan menderetkan petua-petua “takmilah” yang anda jadikan bukti, kononnya, padahal anda tidak mengemukakan hujah akademik yang kritis untuk menilai karya berkenaan? Petua-petua “takmilah” itu mungkin berguna untuk “melihat” (bukan menilai) beberapa aspek yang menjadi tumpuan petua berkenaan; tetapi petua itu tidak dapat digunakan untuk “menilai dengan kritis” karya berkenaan. Petua-petua “takmilah” itu tidak boleh dijadikan ukuran atau standard untuk menilai sesebuah karya kreatif, kerana karya yang “memenuhi” maksud petua “takmilah” itu masih memerlukan kriteria atau ukuran yang perlu diserlahkan oleh pengarang dari segi bagaimna “petua takmilah” tadi diadun dalam sebuah karya yang mencerminkan kematangan berfikir dan kematangan kreatif seseorang pengarang. Ini tidak kelihatan dalam karya Shahnon Ahmad ini, yang penuh dengan ocehan dan lamunan dalam bentuk cerita biasa, tanpa sebarang usaha untuk meneroka aspek pemikiran dan kecanggihan kreatif seorang pengarang. Nampaknya Dr. Kamariah Kamarudin perlu menulis satu sanggahan yang benar-benar akademik untuk menolak kesimpulan ini, jika beliau benar-benar faham maksud “teori” dan bagaimana sesebuah teori befungsi dalam penilaian karya. Sebagai panduan kecil untuk membantu beliau  melihat bagaimana aspek ini dibincangkan dengan mendalam dalam sastera Barat, beliau bolehlah meneliti misalnya mengapa teori Kritikan Baru (New Criticism) diwujudkan, mengapa karya sastera dianggap autonomous oleh teori ini, mengapa teori ini menolak apa yang mereka namakan “affective fallacy” dan “intentional fallacy”, mengapa mereka menitik-beratkan aspek intrinsik, dan apakah pendirian mereka tentang aspek makna dan interpretasinya dalam sesebuah karya. Supaya mudah dapat difahami, bandingkan teori ini dengan teori dekonstruksi, yang menolak adanya makna dalam sesebuah karya, dan mengapa makna tidak boleh dicapai dalam penilaian yang dibuat. Kalau begitu, apakah maksud dan matlamat penilaian dalam teori dekonstruksi? Ini hanya dua buah contoh, yang mudah diikuti kerana kedua-dua teori ini memberi perhatian kepada pembacaan teliti (close reading), tetapi mengapa keduanya berbeza begitu jauh?  Jika anda dapat memahami kedudukan dua teori ini dalam penilaian karya sastera, anda akan dapat melihat dengan jelas mengapa “takmilah” tidak dapat dinamakan sebagai sebuah teori, oleh itu tidak dapat digunakan untuk menilai sesebuah karya secara akademik seperti yang difahamkan oleh para ahli akademik dalam bidang ini apabila mereka berbicara dan mengggunakan teori tertentu. Saya fikir cabaran kecil ini perlu diraikan dengan kontan supaya kita boleh meningkatkan kualiti akademik dalam tulisan kita. Sekiranya cabaran kecil ini diremehkan, maka anda akan terus keliru dan para pelajar anda sendiri akan terus keliru dalam memahami konsep teori dan bagaimana teori itu dibina serta untuk apa diwujudkan.  Mengenai persoalan ini, saya pernah menulis begini:

“Semua kemajuan dalam bidang akademik, dalam bidang ilmiah, seharusnya bermula dengan sikap kritis tetapi positif terhadap ilmu; dan diakhiri dengan usaha yang gigih untuk menghasilkan karya kreatif atau kritikan yang terbaik dan penilaian yang tepat berasaskan konsep ilmu yang benar. ... Sesiapa juga yang memberi pendapatnya harus bersedia untuk dicabar. Itulah hukum alam dan jalan yang mesti dilalui oleh orang-orang berilmu”. (Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, hal. 370-371).

Merayakan Karya Lucah dan Picisan

Sekiranya persoalan in diremehkan, maka terjadilah seperti yang berlaku dalam tulisan Dr. Norhayati  Ab. Rahman yang membawa feminisme dalam membicarakan novel Salina.  Perlukah feminisme dibawa ke dalam kritikan sastera Melayu, dibesar-besarkan dan kemudian diiktiraf sebagai sumbangan penting dalam bidang kritikan?  Penulis kertas kerja ini menerbitkan tesis Ph.D. beliau dengan judul,  Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik. Buku ini telah diberi Hadiah Sastera Nasional, telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Mengapa mereka membela feminisme yang menjadi objek kajian penulis? Jawapannya telah diberikan pada permulaan tulisan ini dalam Quran 2:229 dan seterusnya yang disenaraikan di situ.  Secara khusus telah diulas oleh seorang ahli tafsir Indonesia ketika mentafsirkan ayat Q 47: 13.  Jika anda meneliti feminisme seperti yang dicetuskan di Barat dan dipraktikkan oleh para sarjana mereka, yang kemudiannya ditiru dan  dibawa ke Malaysia untuk dipraktikkan, diajar di universiti dan diberi penghormatan dalam bentuk hadiah sastera, anda akan  dapati faham feminisme ini mengajar wanita (Islam atau bukan Islam) untuk memberontak dan melepaskan diri dari sebarang ketaatan kepada sebarang lelaki, seperti bapa, suami, adik-beradik lelaki dan seterusnya. Yang penting wanita diberi kebebasan mutlak untuk melakukan apa juga bentuk maksiat tanpa sebarang teguran dan cegahan daripada sesiapa juga yang bernama lelaki. Inilah yang ditunjukkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya. Oleh itu karya-karya picisan dan lucah diberi kedudukan yang tinggi kerana karya itu memberi kebebasan mutlak kepada wanita untuk berbuat apa saja asalkan mereka mendapat kepuasan dan kebebasan dengan melakukannya. Antara karya yang mendapat penghargaan tinggi penulis ini ialah sebuah novel dari Indonesia, yang menang hadiah sastera di sana, yang menjadikan wanita sebagai watak utamanya bermaharajalela memuaskan nafsu kebinatangannya. Bagaimana perbuatan begini boleh terjadi, dilakukan dengan begitu angkuh, oleh wanita terpelajar?  Itulah cara hidup Barat yang sangat dibanggakan oleh wanita yang menganut faham feminisme ini, walaupun mereka mungkin tidak melakukannya sendiri. Tetapi perbuatan biadab itu memberi kepuasan kepada mereka kerana tidak saja lelaki boleh bertindak seperti itu, malah golongan wanita pun sepatutnya mendapat kebebasan itu, yakni dalam Islam kebebasan untuk melakukan maksiat. Buku yang menang hadiah ini diberi harapan tinggi oleh penulisnya dengan kata-kata yang bersemangat ini:

“Sebagai sebuah buku ilmiah dalam bidang kesusasteraan dan khususnya yang bersifat teori dan aplikasi, penghasilan buku ini diharap dapat membantu para pelajar dan pengajar kesusasteraan di semua institusi pengajian tinggi, sama ada pada peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah. Hal ini adalah penting memandangkan buku seumpama ini belum pernah ditulis atau dibukukan oleh mana-mana pihak. Apatah lagi teori yang digunakan dalam penulisan buku ini amat kurang dikenali di Malaysia, meskipun teori ini telah lama wujud dan berkembang di Barat. Oleh yang demikian, buku ini dipercayai merupakan satu-satunya penerbitan dalam bahasa Melayu yang khusus memperkenalkan teori ginokritik dan kaedah pengaplikasiannya terhadap korpus kesusasteraan Melayu. Oleh sebab itu, diharap buku ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar, para pengkaji sastera dan pengajar pada peringkat universiti termasuklah peminat-peminat bidang kesuassasteraan di Malaysia.” (Prakata, hal. iii).

Jika kita kembali kepada ucapan Prof. Muhammad Haji Salleh tentang kesalahan menggunakan teori Barat untuk menilai karya sastera Melayu, maka bolehkah kita percaya ucapan itu benar dan teori feminisme ini tidak termasuk dalam kategori teori sastera Barat yang memberi penilaian yang salah itu? Kita harus ingat, guru Dr. Norhayati Ab. Rahman yang menjadi penyelia tesis Ph.D.nya adalah murid kepada Prof. Muhammad Haji Salleh, oleh itu kita boleh membuat kesimpulan dengan selamat bahawa feminisme tidak termasuk dalam teori sastera Barat yang tidak sesuai digunakan dalam menilai karya sastera Melayu. Oleh itu, harapan Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam prakatanya itu mendapat sokongan daripada tokoh akademik terbesar Malaysia, seorang sasterawan negara pula.

Kertas kerja Dr. Norhayati Ab. Rahman yang membicarakan novel Salina daripada perspektif ginokritik adalah contoh “pengaplikasian” feminisme dalam kritikan sastera Malaysia.  Kertas kerja ini tidak memberikan kita apa-apa kesimpulan yang baru berasaskan analisis yang cermat untuk sampai kepada kesimpulan yang munasabah. Dr. Norhayati mengaku, di akhir tulisannya, bahawa “karya besar SN A.Samad Said ini” tidak terjejas kedudukannya walaupun ternyata tidak menepati kehendak ginokritik.  Adakah ini bermaksud pendekatan ginokritik ini tidak dapat menentukan kedudukan karya ini dari segi penilaiannya sebagai sebuah karya sastera walaupun banyak sekali kelemahannya dari perspektif ginokritik? Jika ini benar, maka feminisme jenis ginokritik ini (dan feminisme secara umum) bukanlah satu teori sastera yang berguna yang boleh membantu kita menentukan bermutu tidaknya sesebuah karya sastera. Kalau begitu, bagaimana Dr. Norhayati Ab. Rahman bersikap begitu bombastik dalam kutipan prakatanya itu?  Jelaslah pendekatan ginokritik (dan feminisme secara umum) tidak membezakan karya picisan dan karya bermutu kerana tidak ada ukuran yang mengarah kepada penilaian seperti itu. Kedua, feminisme tidak wajar dijadikan pendekatan penting untuk diajar di institusi pengajian tinggi dalam keadaan yang dihuraikan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman, kerana terlalu besar kekeliruannya dari segi nilai yang menjadi pegangan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Pendekatan ginokritik (dan feminisme secara umum) mengajar wanita Melayu menjadi jahat, biadab, dan menghina agama Islam yang menjadi anutannya.  Kedudukan feminisme dari sudut Islam boleh dibaca dalam buku yang ditulis bersama oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dengan Ustaz Dr. Zulkarnain Mohamed,  Islam, Feminisme Barat dan Sastera Melayu (Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 2013).  Buku ini ternyata memberi gambaran yang objektif dan berguna tentang teori feminisme ini, dengan itu lebih layak dijadikan rujukan di kalangan pelajar universiti dan para ahli akademik yang berminat dalam teori ini.  Kemunculan feminisme dalam kritikan sastera Melayu adalah hasil daripada budaya pandirisme yang menjadi budaya arus perdana, dengan sokongan dan dukungan Panel Anugerah Sastera Negara. Seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dalam bukunya yang mendapat hadiah sastera itu, pandirisme diberi tapak yang begitu mudah oleh panel penilai hadiah sastera nasional. Mereka dengan itu menjadikan hedonisme sebagai salah satu aliran penting dalam kritikan sastera, apabila Dr. Norhayati Ab. Rahman menerima karya lucah dan picisan sebagai sebahagian daripada unsur penting dalam puitika wanita yang dihuraikannya dalam bukunya itu.

Kritikan Yang Hanyut Dalam Hedonisme

Kegagalan secara total  dalam kritikan sastera Melayu yang tidak mempunyai arah yang jelas ditunjukkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam 12 laporan mereka untuk 12 orang sasterawan negara. Tiga ciri penting laporan ini ialah (1) ketergantungan yang total terhadap teori sastera Barat; (2) kegagalan untuk memahami aspek ilmu dalam kritikan dan penulisan kreatif; dan (3)  pembinaan serta penerusan nilai-nilai palsu dalam sastera Melayu moden. Antara nilai palsu yang dipromosi oleh Panel ialah ketegasan mereka menolak aspek moral dalam karya sastera, dengan alasan karya sastera bukan propaganda; mereka juga menolak nilai-nilai Islam sebagai asas penilaian, walaupun semua sasterawan yang mereka nilai beragama Islam; dan yang paling penting dalam konteks budaya pandirisme ini ialah sikap mereka yang anti-ilmu, oleh itu mereka menolak sebarang “teori” yang menjadikan Islam sebagai asas kritikan sastera. Kesan terbesar sikap negatif ini ialah kebanjiran karya picisan di kalangan para sasterawan negara, yang dinaikkan tarafnya sebagai karya bermutu dilihat daripada perspektif teori sastera Barat yang menjadi pegangan mereka. Tentulah sukar untuk diterima oleh kebanyakan sarjana dan pengkritik sastera bahawa Panel Anugerah Sastera Negara, melalui laporan mereka, mempromosikan pandirisme dalam kritikan dan penilaian karya kreatif, dengan itu mereka tidak berasa malu atau berdosa untuk menerima karya picisan dan erotik murahan sebagai karya terbaik untuk Malaysia. Contoh terbaik ialah sanjungan mereka terhadap Salina oleh A. Samad Said, dan cerita pendek Anwar Ridhwan “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”. Mereka juga menerima sajak “Pulang Si Tanggang” sebagai karya besar, padahal karya itu tidak mempunyai nilai intelektual sama sekali jika dinilai dari perspektif konsep ilmu yang benar.

Apakah yang terjadi kepada para sasterawan negara dan kesusasteraan itu sendiri setelah pandirisme diberi status arus perdana?  Kedua-duanya telah mencapai kedudukan “maharaja dengan baju barunya”, yakni menjadi pujaan dan diberi pujian tinggi oleh peminat mereka. Para peminat dan pemuji itu pula mempunyai peranan penting sebagai “pengkritik tukang tenun” yang menganyam dengan teliti pujian dan sanjungan, khususnya terhadap sasterawan negara. (Contoh: Kita boleh lihat ini dalam kertas kerja seminar ini dan seminar-seminar lain mengenai sasterawan negara.) Pengkritik tukang tenun ini diketuai oleh Panel Anugerah Sastera Negara sendiri, diikuti oleh para penulis kertas kerja seminar “pemikiran” sasterawan negara. Gaya mereka digelar “retorik peragaan”, kerana setiap seorang sasterawan negara akan disanjung begitu tinggi (contohnya dalam kertas kerja Dr. Kamariah Kamarudin) untuk digelar “pemikir dan ahli falsafah negara”. Di sinilah timbul pelbagai jenaka yang mengasyikkan. Misalnya, Panel Anugerah Sastera Negara sangat tertarik  kepada “falsafah” yang tersirat  dalam sajak erotik Baha Zain, “Perempuan”, yang memberikan kepada kita ungkapan “metaforikal” yang berbunyi: “Rambutmu hutan-hutan hijau yang tebal” yang menyirat makna bahawa kehidupan yang dapat dilihat secara jelas dengan mata kasar sebenarnya menyembunyikan rahsia yang tidak dapat dilihat secara jelas dengan mata kasar” (halaman 28-29 Laporan 2013). Tidakkah “falsafah” itu begitu mendalam sehingga tidak dapat difahami dan dilihat dengan mata kasar sekalipun? Perkataan “falsafah” ditenun begitu rupa oleh “pengkritik tukang tenun” ini untuk memperlihatkan keindahan sebuah karya picisan yang erotik ini. Contoh-contoh begini sangat banyak dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara ini; dan inilah yang kemudiannya diikuti oleh sarjana seperti Dr. Mohammad Saleeh Rahamad ketika memuji Naratif Ogonshoto dan karya picisan  Abdullah Hussein, Kuala Lumpur Kita Punya.  Kedua-dua makalah Dr. Mohammad Saleeh Rahamad ini adalah contoh terbaik hasil tulisan “pengkritik tukang tenun” ini. Cerita tukang tenun menipu maharaja telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan diterbitkan tahun 1929 lagi oleh Sultan Idris Training College, diterjemahkan oleh Abdulkudus bin Ahmad (ulang cetak 1949), dengan judul Hikayat Taman Ajaib  (sebagai siri no. 2 dalam Malay Home Library Series).  Jadi cerita tukang tenun ini telah diketahui oleh masyarakat Melayu sudah lama, oleh itu tidaklah hairan jika para sarjana sastera Melayu kemudiannya menjadi “pengkritik tukang tenun” untuk memuji keindahan karya para sasterawan negara.  Tetapi sebaik saja “tenunan” itu diperiksa dengan teliti, maka terpampang jelas hakikat sebenar karya yang diberi pujian itu. Ini membuat seorang ahli panel Anugerah Sastera Negara yang dikatakan memberi komen beliau, “Jika pendekatan Gagasan Persuratan Baru digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara ini, semua karya mereka hanya layak dimasukkan ke dalam tong sampah!”  Satu komen yang tidak adil dan melampau serta teburu-buru, kerana para sasterawan negara tidak pernah diuji dan dinilai dengan menggunakan pendekatan Gagasan Persuratan Baru oleh Panel Anugerah Sastera Negara; oleh itu tidak adil pula untuk memfitnah Gagasan Persuratan Baru begitu rupa, satu komen yang tidak bertanggungjawab.

Kita Perlukan Disiplin Baru

Membaca kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar ini, mendedahkan kita kepada  cabaran besar dalam dunia akademik kita yang begitu ketara kualiti penulisannya yang begitu rendah. Di mana silapnya? Sudah jelas pengajaran sastera di universiti kita sudah gagal hampir seluruhnya untuk melahirkan ahli akademik dalam bidang sastera yang pintar dan cekap berfikir.  Mengapa teori sastera Barat yang begitu canggih dan begitu banyak  dalam pasaran ilmiah, yang digunakan begitu meluas di universiti kita, telah gagal melahirkan penulis kertas kerja yang berkualiti hatta di kalangan ahli akademik kita sendiri, yang begitu ghairah menggunakan teori sastera Barat dalam tulisan dan dalam  kuliah mereka?  Saya fikir kita telah dibelit begitu ketat oleh budaya pandirisme yang kita jadikan budaya arus perdana. Kita menggunakan teori Barat dalam konteks pandirisme itu, bukan dengan kritis seperti seharusnya dilakukan oleh para ahli akademik. Moga-moga kesimpulan ini tidak tepat dan tidak betul, walaupun itulah yang sebenarnya berlaku.

Kelemahan  dalam pengajaran sastera di sekolah dan universiti dapat diselesaikan jika kita jelas dalam konsep ilmu, yang menjadi punca mengapa pengajaran sastera itu menjadi hambar dan tidak menjurus ke arah berfikir dengan kreatif.  Para pelajar menjadi bosan mendengar konsep-konsep kritikan dihambur tanpa meletakkannya dalam konteks yang membolehkn konsep-konsep itu berinteraksi satu sama lain dalam ruang analisis  seperti kita meletakkan barang hiasan dan peralatan di ruang tamu di tempat masing-masing supaya kelihatan teratur, cantik dan menyerlahkan fungsinya untuk apa barang-barang itu dimasukkan dalam ruang tamu rumah kita. Konsep ruang naratif yang dipakai dalam Gagasan Persuratan Baru boleh membantu pelajar melihat bagaimana konsep plot, perwatakan, dialog dan sebagainya digerakkan dalam pembinaan cerita. Dengan memberi penekanan kepada mod bacaan intelektual, pelajar diberi kesempatan dan kebebasan untuk melihat bagaimana konsep ilmu disampaikan dalam bentuk wacana melalui cerita yang dikawal dengan cermat dalam ruang naratif supaya pergerakan cerita tidak saja lancar, tetapi juga tersusun tertib tanpa sebarang pembaziran dari segi pengolahan, dengan itu keterampilan kreatif pengarang terserlah dalam caranya menyusun peristiwa, episod, dialog dan sebagainya, supaya semuanya terarah kepada  matlamat dalam seni mengarang untuk menghasilkan sebuah karya yang “indah dan bermakna”.  Maksud indah dan bermakna ini telah dijelaskan dalam sebuah makalah panjang, “Keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan”, dimuat dalam buku Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas (eds. Mohd. Zaidi Ismail dan  Wan Suhaimi Wan Abdullah. Kuala Lumpur: MPH Publishing, 2012; halaman 581-607).  Makalah ini cuba meletakkan ukuran yang tepat dan objektif dalam memahami keindahan bahasa dalam seni mengarang, sama ada yang bersifat akademik mahupun yang bersifat kreatif. Lihat juga buku saya, Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (ditulis bersama Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Mohd. Zariat Abdul Rani. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia/Institut Alam dan Tamadun Melayu, 2008; halaman 19-50). Edisi kedua akan terbit 2014.  Lihat juga tulisan saya, “Mengembalikan Peranan Ilmu yang Benar Dalam Persuratan Melayu” (dimuat dalam Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, suntingan Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia/Institut Alam dan Tamadun Melayu, 2010; halaman 289-379).

Tiga perkara yang perlu ditekankan jika kita betul-betul berminat hendak mencerdikkan para pelajar, yang cekap berfikir, mempunyai citarasa yang tinggi dalam seni, menguasai bahasa Inggeris yang baik untuk memastikan mereka boleh membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris tentang kritikan sastera, estetik, falsafah seni dan yang berkaitan. (Dengar kabar ada pensyarah sastera yang tidak cekap berbahasa Inggeris; bahasa Melayu pun tidaklah baik sangat!). Mereka harus didedahkan sejak sekolah menengah lagi dalam sejarah kritikan sastera dunia, tentang estetik dan falsafah seni, dan mengenal beberapa tokoh penting yang menonjol dalam bidang-bidang ini. Dunia intelek mereka perlu diperluaskan, kerana ini amat diperlukan jika anda mahu memahami kesusasteraan. Membaca kertas kerja seminar ini dan seminar-seminar yang lepas, meyakinkan saya betapa ceteknya pengetahuan para pensyarah ini, kerana hakikat ini terserlah dengan jelas dalam kertas kerja yang mereka tulis. Jadi tidak saja kita menghadapi masalah di kalangan pelajar; masalah lebih besar ialah terdapat ramai para pensyarah yang tidak kompeten dalam bidang mereka. Maka dengan itu mereka harus belajar semula ...

Kedua, yang juga penting difikirkan, kita perlu memperkenalkan kritikan bandingan, meliputi pengalaman kesusasteraan tamadun besar dunia.  Ini subjek baru, yang sebenarnya penting diperkenalkan. Kita harus belajar daripada pengalaman tamadun besar dunia, seperti yang pernah dilakukan oleh nenek moyang kita dahulu. Lagi pula pndkatan perbandingan cepat mendewasakan intelek seseorang. Dia dapat melihat dunia yang lebih luas, dan dari situ dia mungkin berminat hendak mengkhususkan kajiannya. Perlu diingat, dan diberi perhatian serius, asas kita ialah pengalaman intelektual dalam dunia Islam.

Ketiga, kita sudah lama bercakap tentang anjakan paradigma. Sekarang nampaknya sudah reda, mungkin kerana mereka insaf bahawa bukan senang hendak berpindah paradigma. Kalau kemampuan intelek anda terbatas, menghadapi masalah kognitif pula, maka hampir mustahil anda akan berpindah paradigma. Saya fikir orang yang sering bercakap tentang anjakan paradigma ini sudah malu-malu asam sejak munculnya Gagasan Persuratan Baru. Mereka tidak mahu Persuratan Baru, kerana kemampuan intelek mereka agak rendah untuk dapat memahami Gagasan Persuratan Baru itu. Oleh itu mereka memilih untuk berdiam diri, tidak mahu lagi bercakap tentang anjakan paradigma kerana mereka tidak ada pilihan lain, jika mereka jujur dan punya maruah intelektual pula,  selain bercakap tentang Gagasan Persuratan Baru, kalau pun tidak mahu menggunakannya. Gagasan Persuratan Baru tiba-tiba muncul dalam dunia akademik Malaysia untuk menjadi kayu ukur dalam kejujuran intelektual para sarjana sastera. What a pity!  Bunyinya agak lucu, tetapi dalam budaya yang mewarisi cerita-cerita Pak Pandir, mereka tidak keberatan memilih padi hampa seperti yang dibuat oleh Pak Pandir, kerana berasa puas dan bangga dapat meneruskan membuat pilihan sendiri tanpa paksaan. Sekurang-kurangnya mereka jujur dalam membuat pilihan, walaupun mereka tahu pilihan itu bukan yang terbaik. Inilah kumpulan sarjana yang berlagak lebih dalam mempertahankan maruah intelektual mereka, yang menjadi punca mengapa pengajaran kesusasteraan menjadi masalah dan semakin dibenci para pelajar.  Mereka tidak boleh terima jalan keluar yang diberikan dalam buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid; oleh itu mereka berhempas pulas mencari jalan keluar, yang akhirnya berjaya membina budaya pandirisme, dan meletakkan budaya pandirisme itu sebagai ikutan. Inilah budaya bullshit yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya, On  Bullshit  (Princeton University Press, 2005). Buku kecil ini wajar dijadikan bacaan wajib para sarjana, dan mesti diketahui oleh semua calon sarjana dan kedoktoran. Jika buku ini dijadikan asas, atau permulaan, dalam anjakan paradigma itu, maka kesusasteraan Melayu mempunyai harapan cerah untuk diantarabangsakan. Saya berharap para sarjana dan ahli akademik kita tidak keberatan menerimanya.

Keunggulan yang Cacat

Akhirnya saya ingin sentuh sedikit kertas yang ditulis oleh SN Baha Zain  dalam seminar ini. Pensajak ini mendapat sanjungan tinggi daripada Prof. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Dato’ Rahman Shaari, sebagai seorang pemikir unggul dalam sastera Melayu moden. Seorang teman yang suka bergurau memberikan komen beliau yang agak melampau dengan menambah huruf “t” di depan “unggul”. Saya fikir tidaklah sampai ke tahap itu kerana beliau bukan tunggul mati yang menunggu reput (walaupun Shahnon Ahmad dalam bantahannya berkata Baha Zain tidak layak diberi anugerah SN kerana beliau hanya menulis sajak-sajak kontot); oleh itu saya masih boleh terima kata sifat “unggul”, walaupun barangkali kurang tepat.  Jikalau anda membaca sumbangan Baha Zain dalam seminar ini, anda tidaklah salah untuk menilai sumbangan beliau sebagai “biasa-biasa saja”, mungkin kerana suasana tidak begitu mendesak untuk beliau melahirkan keunggulan pemikiran beliau. Seperti biasa dengan penulis ini, beliau memang unggul menggunakan “retorik teh tarik” yang tetap enak bagi orang yang sukakan teh tarik, tetapi kita semua tahu teh tarik bukanlah minuman terbaik yang terdapat dalam pasaran walaupun agak popular di kedai-kedai mamak.  Kita lihat contoh “retorik teh tarik” ini.

Perenggan pertama kertas beliau, ayat pertama berbunyi: “Dari waktu ke waktu penulis dan sasterawan perlu menilai zamannya; dan menaksir kedudukan dan tanggungjawab kebudayaannya.” Saya setuju seratus peratus dengan beliau; tetapi adakah beliau sendiri bersetuju dengan pendapat beliau ini? Saya fikir tidak. Keseluruhan tulisannya ini tidak sedikit pun memperlihatkan beliau sedar tentang perkembangan terbaru dalam kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, dalam pemikiran bernas yang boleh membawa kita ke arah pembentukan (atau pertumbuhan) budaya ilmu di negara kita. Adakah beliau tidak membaca karya-karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan usaha beliau melahirkan sarjana Malaysia yang betul-betul dan benar-benar berkualiti? Sudah pasti tidak, kerana jika beliau membacanya dan benar-benar jujur seperti yang diucapkannya, dia tentulah akan tercabar untuk menyebut perihal kehilangan adab di kalangan para sasterawan yang dipanggil oleh Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sebagai golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba”.  Faham ilmu yang dibawa oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas amat wajar diberi perhatian serius oleh para sarjana dan sasterawan, jika benar mereka berminat tentang “pemikiran”. Dilihat dari segi ini, amatlah jelas Baha Zain hanya bermain “retorik teh tarik” saja, bukan benar-benar ikhlas tentang “sasterawan perlu menilai zamannya”.  Jika beliau sendiri tidak mampu melakukan sarannya yang hebat itu, beliau sekurang-kurangnya berani untuk membuat kesimpulan: “kita belum lagi mempunyai sasterawan atau penulis seperti itu”. Dengan itu beliau memperlihatkan  keprihatinan beliau tentang perkara ini, dan dengan ikhlas serta berani memberi sedikit pandangan kritis beliau tentang persoalan ini. Tetapi kerana beliau tidak membaca, dan sudah jauh ketinggalan zaman, beliau tidak dapat melihat apa-apa perubahan yang cuba dilakukan oleh tokoh-tokoh yang saya fikir beliau tidak iktiraf sebagai pemikir. Sekurang-kurangnya beliau mempunyai Muhammad Haji Salleh, yang diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara (yang Baha Zain sendiri pernah menjadi anggotanya) sebagai satu-satunya pensajak atau sasterawan intelektual di Malaysia. Apakah yang istimewa tentang Muhammad Haji Salleh? Tentulah kita mahu tahu, kerana kita memang tahu Baha Zain sangat rapat dengan tokoh besar ini.  Tidak mungkin selama berinteraksi dengn tokoh besar ini, beliau tidak pernah mendengar pemikiran yang dimaksudkan oleh beliau itu. Kita mahu tahu, misalnya, mengapa tokoh besar ini menjadikan Si Tanggang ikon bangsa Melayu, seorang tokoh yang perlu dihormati dan diikuti jejak langkahnya. Apa pendapat Baha Zain apabila saya sendiri menjadikan Pak Pandir sebagai ikon bangsa Melayu dan menulis sebuah cerita pendek tentangnya?  Sudah jelas “retorik teh tarik” tidak mungkin sampai ke situ!  Pendeknya apa yang saya sebut sebagai budaya pandirisme benar-benar menjadi ciri kegiatan intelektual di Malaysia.  Dalam konteks ini, yakni keberanian untuk mengaku kekurangan diri, nampaknya Prof. Muhammad Haji Salleh jauh lebih berani, seperti yang kita lihat dalam pengakuan beliau tentang betapa silapnya menggunakan teori dan pendekatan sastera Barat untuk menilai “diri kita yang bukan Barat”.  Tokoh besar ini juga tidak teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa “kita belum lagi mempunyai teori sastera kita sendiri yang lengkap”.  Sebagai seorang ahli akademik yang cukup unggul  dan dihormati, serta diberi gelaran tertentu oleh para sarjana peminat beliau,  kita boleh maafkan beliau jika kita dapati beliau juga sudah ketinggalan zaman, oleh itu memberi pendapat, atau kesimpulan, tidak berasaskan fakta, tetapi hanya prasangka semata. 

Kita lihat “pemikiran” Baha Zain seterusnya. Tegas beliau: “Bangsa kita juga masih sangat memerlukan pemikiran yang hebat, dan semangat yang besar bagi membangunkan kebudayaan rohaniah, bahasa kebangsaan, persuratan, ilmu pengetahuan, seni dan budaya yang menjurus kepada pemersatuan penduduk, dan jati diri bangsa.”  Saya tidak perlu mengulas pandangan beliau ini, cukup hanya tersenyum sambil menghirup teh tarik yang sekali sekala saya minum.

Nampaknya harapan Baha Zain dalam kutipan di atas tidak dapat diberikan oleh para sasterawan negara, jauh sekali sasterawan biasa, tidak juga para ahli akademik sendiri. Daripada siapakah kita akan peroleh “pemikiran yang hebat” itu? Barangkali inilah cabaran yang dihadapi kesusasteraan Melayu yang mandul ini, yang mungkin boleh dicapai melalui Gagasan Persuratan Baru. Dalam konteks ini, ucapan Fatimah dalam Pujangga Melayu boleh dijadikan panduan. Kata Fatimah, seorang gadis yang cerdik (di akhir novel itu) kepada cita-cita ayahnya: “Kita akan menang, ayah.”

Siapakah kita  dan siapa pula ayah?  Yang pasti tentulah bukan para sasterawan negara dan tidak juga para sasterawan biasa. Teka-teki ini hanya dapat anda jawab jika anda mempunyai konsep ilmu yang benar.  Wallahu a’lam.

Mohd. Affadi Hassan,
Petaling Jaya, 29/5/2014

4 comments:

  1. as salam en. mohd. affandi hassan.. terima kasih di atas pgkongsian tulisan terbaru ini.. tulisan en. mohd affandi telah membantu sya dlm kajian master sya tentang en. mohd affandi... sya byk meneliti tulisn en. mohd affandi dan sya betul2 tertarik sma ada tulisan kreatif mahupun bersifat ilmiah....

    ReplyDelete
  2. Kepada pembaca yang kritis.

    Saya diberi nasihat (amaran?) supaya jangan terlalu keras, nanti orang lari. Rugi PB. Bagus kalau mereka lari. Kita mahu yang berani dan pandai-pandai saja. Tidak ada hak istimewa diberikan kepada sasterawan negara. Kata kawan-kawan lagi, tak ada langsung jasa panel anugerah sastera negara? Negatif sangat, kata mereka. Saya balas lunak: Saya hanya beri pendapat dengan bukti dan hujah, bukan tuduhan melulu. Jasa mereka? Kini ramai yang jadi pengikut mereka. Itulah jasa mereka. Akhir sekali, sambil tertawa mereka berkata, Saudara macam nak bergaduh saja!! Sambil tertawa saya balas: That is pandirisme. Kami berpesta ketawa. Rupanya mereka pun setuju dengan saya ...
    T.

    ReplyDelete
  3. lama betul en affandi tak menulis, sekali pos, macam peluru berpandu. But anyway, memang betul pun. Dalam sastera atau politik atau apa2 saja di dunia (khususnya Malaysia), memang pandirisme yang tuan kata ini semakin menjadi-jadi. kalau terus dibiarkan, dunia kita akan jadi dunia pandir seluruhnya, apalah nasib generasi anak cucu kita nanti ...

    tulisan tuan ni sekali baca memang macam nak cari gaduh, tapi kalau baca betul2, ok saja sebenarnya, fakta, jangan auta.

    ReplyDelete