Wednesday, August 14, 2013

BEBERAPA PERKEMBANGAN MENGGALAKKAN DALAM SASTERA MELAYU: Kemunculan Mutual Admiration Club di Kalangan Para Sasterawan Negara dan Penyokong Mereka



Seminar kritikan sastera pertama kali diadakan di Malaysia pada tahun 1973. Seorang penulis kertas kerja menegur agak keras wujudnya apa yang dinamakannya Mutual Admiration Club di kalangan sasterawan dan pengkritik sastera. Dalam tahun 1981, diwujudkan Anugerah Sastera Negara, yang dengan cepat dilantik beberapa orang “sasterawan negara” diikuti beberapa laporan yang memuji mereka. Kemudian Dewan Bahasa dan Pustaka mengadakan beberapa siri seminar tentang “pemikiran” para sasterawan negara. Berpuluh kertas kerja ditulis oleh para sarjana untuk memuji para sasterawan negara ini. Melalui proses ini, terbentuklah dengan rasminya Mutual Admiration Club di kalangan para sasterawan negara dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka dan para sarjana dan pengkritik sastera serta para sasterawan sendiri.  Kini Mutual Admiration Club ini sudah menjadi sebahagian daripada mercu tanda kemajuan kesusasteraan Melayu moden.

Apakah yang dimaksudkan dengan Mutual Admiration Club ini? Inilah pandangan Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh (ketika itu belum ada lagi gelar itu) dalam kertas kerja beliau untuk Seminar Kritik Sastera Malaysia 1973, yang memakai tajuk sensasi “Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia”.  Kertas kerja itu tidak sedikit pun membicarakan masalah kriteria itu, sebaliknya menulis tentang beberapa ciri pengkritik sastera menurut pandangan peribadi  beliau.  Antara ciri penting ialah wujudnya kecenderungan untuk berkumpul dalam Mutual Admiration Club.  Perhatikan kutipan penting ini:

 “Sebagai seorang pengadil, seorang kritikus itu bukanlah manusia yang mudah bertolak angsur di dalam hal nilai-nilai sastera – yang mungkin dilonggarkan untuk kawan-kawannya dan diperketatkan untuk musuhnya. Tulisan begini sebenarnya bukanlah kritikan tapi propaganda: dan ini leluasa sekali pada hari ini. Ada kumpulan-kumpulan penulis yang saling memuji antara satu sama lain sebagai ahli-ahli suatu mutual admiration club. Di dalam kumpulan-kumpulan begini penulis-penulis yang terlalu sederhana kebolehannya dan daya kreatifnya ataupun fikirannya dipuji tinggi-tinggi dan dibandingkan dengan pujangga yang besar di Barat.  Atau pun dicarinya saja sifat-sifat yang baik  dan dibesar-besarkannya, dan dibutakannya mata penilainya kepada keburukannya. Kepentingan kritikan adalah kepentingan sastera dan bukan untuk kritikus itu sendiri atau teman-temannya. Kita dan generasi yang akan datanglah akan rugi jikalau kepentingan perseorangan atau kumpulan-kumpulan kecil ditempatkan di atas kepentingan sastera dan kebudayaan. Dan ini tidak lebih dari rasuah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai yang rakus dan mencuri wang rakyat. Kita tau apa yang akan jadi kepada negeri yang ditulari oleh rasuah, dan kita pun tahu apa yang terjadi kepada sastera yang korupsi, kerana kita sendiri sedang mengalami akibat-akibatnya. Pengarang-pengarang begini bukan saja tidak tenang dan adil di dalam tulisannya, tetapi sudah melanggar terta-tertib dan nilai-nilai sastera.  Seorang kritikus itu harus mempunyai harga diri yang dia tidak akan jualkan untuk sesiapa saja atau tujuan apa-apa pun.”  (Kritik Sastera di Malaysia, KKBS 1975, hal. 66; dalam kertas kerja Muhammad Haji Salleh, “Masalah Kriteria Kritikan Sastera di Malaysia”, dibentang dalam Seminar Kritik Sastera 1973, Johor Baru).

Pembahas kertas ini, Harry Aveling, membuat kesimpulan kerikut:  “Seorang doktor juga perlu kecerdasan, ilmu pengetahuan, cara pembahasan/kerja yang objektif serta juga kreatif dan imaginatif, kejujuran dan keseluruhan analisa. Lain dari itu, dia perlu pengetahuan yang spesifik tentang anatomi, fisiologi, ilmu psikologi dan lain-lain. Saudara Dr. Muhammad Haji Salleh dan Saudara Yahya Ismail dalam kertas kerjanya (saya belum baca kertas kerja yang lain) mengecewakankan daku kerana mereka tidak berani menjelas kriteria/metode saintifik (atau tidak-saintifik) yang digunakannya dalam kerja sehari-hari mereka, lain dari “ilham” (Poets and critics “alike from Heav’n derive their light”).  Lelucon lama makin memuakkan: kaum kritikus tidak mencincing untuk merebut jiwa seni, kerana karya yang didebat tidak sakit, tidak dapat mati. (Mungkin yang lemah sekali boleh mati, tetapi itu perkara yang lain sekali.) Kerja kritikan punya undang-undang, pendekatan-pendekatan, tujuan-tujuan dan kriteria-kriteria, yang dapat dijelaskan; kerja kritikan bukan misteri yang agung. Mari kita bicarakan dengan spesifik kriteria kritikan sastera di Malaysia” (hal. 76).

Untuk memastikan saranannya itu dilaksanakan, maka beliau (ie Prof. Dr. Muhmmad Hj. Salleh) memberi amaran kepada penulis kertas kerja tentang “pemikiran” beliau supaya menulis hanya yang baik-baik saja tentang beliau.   Saya tidak fikir itu suatu gurauan, kerana seorang sarjana yang tulen dan mempunyai maruah akademik yang tinggi, tidak akan bergurau dengan kualiti akademiknya. Sila rujuk ulasan saya dalam pos bertarikh 1 Disember 2010 untuk melihat betapa persoalan akademik yang serius dipermainkan oleh sarjana yang mendapat sanjungan tinggi di kalangan kawan-kawannya.  Semua ini sebenarnya menjadi bukti betapa Mutual Admiration Club itu dipelopori dan digalakkan oleh seorang “sarjana” yang pernah mengejeknya.  Ketika memberi ucap utamanya dalam “Seminar Pemikiran Anwar Ridhwan”, profesor terkenal ini memuji teman satu kelab dengannya tanpa memberi sebarang bukti, atau penjelasan yang boleh membantu kita memahami maksud retorik peragaannya. Kata beliau dengan tegas, tetapi tidak berasas:  “Sebagai pengarang Anwar Ridhwan selalu mencari - ... Dalam gaya dan naratifnya beliau sering berdiri di depan anak tangga yang memanjat ke atas, ke arah kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali dan diperikan.”  Ini suatu ucapan berani yang tidak mempunyai asas akademik, apatah lagi asas ilmu, yang boleh dipertanggungjawabkan. Semua kertas kerja yang dibentang di dalam seminar itu berbicara tentang perkara biasa yang menjadi tema penulisan Anwar Ridhwan, dengan penegasan bahawa beliau hanya “menghidupkan” kembali cerita rakyat, gaya penglipur lara, dalam bentuk novel moden. Contoh: Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Arus dan lain-lain. Malah novel “terbesar” beliau, Naratif Agonshoto, adalah ditiru daripada cerita penglipur lara (sila baca penilaian Dr. Saleeh Rahamad tentang aspek ini).  Yang “baru”  di situ ialah judulnya, campuran bahasa Inggeris dan Jepun! Adakah ini suatu perkara yang istimewa? Pasti tidak, jika anda berfikir dan bukan berlagak seperti Pak Pandir yang tidak dapat membezakan padi hampa dengan padi berat.  Saya tidak ada masalah dengan pujian, berilah apa juga pujian yang anda mahu, tetapi hendaklah diikuti dengan bukti dan analisis. Jika karya Anwar Ridhwan, seperti karya Muhammad Hj. Salleh sendiri, dibaca dengan objektif berasaskan prinsip yang dijadikan asas penilaian dalam Persuratan Baru, maka karya dua orang sasterawan negara ini amat biasa; yang luar biasa ialah pujian melampau dan berlebihan yang diberikan kepada mereka.   Tidak perlu mencabar saya untuk memberi hujah dan bukti, kecuali jika anda tidak membaca tulisan saya. Tentu saja saya tidak akan melayan orang-orang yang malas ini.  Untuk menguji ketahanan intelektual anda, cuba anda baca dengan teliti kesimpulan yang diberikan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam kutipan di atas. Inilah masalah yang kita hadapi dalam kritikan sastera Melayu: ramai yang memberi nasihat (kadang-kadang amaran) yang dia sendiri tidak ikuti!  (Seterusnya lihat komen saya tentang perkara lain yang disebut oleh sarjana ini yang tidak dibuatnya, dalam makalah saya, “Mengembalikan Peranan Ilmu Yang Benar Dalam Persuratan Melayu,” dimuat dalam Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, UKM 2010; terutama sekali hal. 330-331 tentang “langkah kaedah” dalam kritikan dan penilaian karya sastera.)


Kemunculan Mutual Admiration Club ini telah menghalang perkembangan ilmu dalam kesusasteraan Melayu, menggalakkan budaya pandirisme, dan menjadi gerakan arus perdana yang penuh dengan buih terapung di lautan sastera Melayu. Sasterawan dan para sarjana menjadi penghalang kepada pemikiran baru dalam persuratan Melayu, tetapi amat bangga menjadi pengikut pemikiran Barat yang tidak pun difahami dengan mendalam. Adalah sangat aneh, dan melucukan, apabila para sarjana yang dulunya mengkritik pendekatan dan teori Barat dalam sastera Melayu, tiba-tiba muncul sebagai penggerak utama dalam usaha mempertahankan teori dan pendekatan Barat ini, kerana mereka sedar bahawa mereka tidak ke mana tanpa teori Barat. Mereka hanya boleh hidup dengan suburnya teori dan pendekatan Barat dalam sastera Melayu moden. Inilah pilihan yang terbaik, menurut Panel Anugerah Sastera Negara; dengan itu Panel Anugerah Sastera Negara ini menjadi pelindung dan pembela Mutual Admiration Club ini. Itulah, sebenarnya, Naratif Agung dalam sastera Melayu, yang menerima dengan bangga Naratif Ogonshoto, teman setia Si Tanggang moden itu. Kalau ini bukan kekacauan yang memalukan, yang merendahkan darjat intelektual kita semua, maka apakah nama yang lebih sesuai dengan matlamat  Mutual Admiration Club yang melahirkan para sasterawan negara ini?

Mohd. Affandi Hassan,
14 Ogos 2013.


3 comments:

  1. Penjelasan:

    Timbul kemusykilan mengapa saya sebut Anwar Ridhwan dan Muhammad Hj. Salleh sebagai contoh. Jawapannya terdapat dalam pos bertarikh 30/10/2010. Tulisan ini tersiar dalam Harakah bulan Disember 2010 dalam empat siri (ihsan Sutung Umar RS yang menghantarnya, dengan izin saya, untuk disiarkan.) Anwar Ridhwan telah memuji Muhammad Hj. Salleh sebagai sarjana setaraf dengan Aristotle dari segi kaedah ilmu; jadi tidak hairan jika Muhammad Hj. Salleh memuji tinggi Anwar Ridhwan dalam ucap utamanya. Mau bukti apa lagi dalam Mutual Admiration Club yang dibincang dalam pos ini! Contoh paling baik ialah laporan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri. Lain dari itu ialah semua kertas kerja tentang "pemikiran" para sasterawan negara. Dirgahayu pandirisme!!

    ReplyDelete
  2. Wah! Ada juga rupanya sasterawan setaraf Aristotle di negara kita ya? Jika dah dipuji begitu, apa lagi, kita kena balas semula pujian itu. Akhirnya saya puji anda, dan jangan lupa anda kena puji saya ya! Bukankah dunia sastera kita kecil sahaja, pusing-pusing di situ juga sudahnya. Tidak ke mana. Nampak pandir sangat!

    ReplyDelete
  3. Salam Sdr. Misnona.

    Yang pusing-pusing di situ, situ juga ialah keldai di kincir air. Jalan beribu batu, tapi di tapak yang sama. Macam sarjana mengembara beribu batu, tulis macam-macam tentang benda-benda yang dilihat mereka, tapi ceritanya itu itu juga. Jenis kaldai, begitulah. Peribahasa kita ada sebut begini: Cakap berdegar-degar, tahi melekat di gelegar. Tahukah mereka gelegar itu apa? Dakwa diri sarjana besar, tapi takut masuk gelanggang untuk berbahas. Mau dengar orang puji awak saja. Apa jenis sarjana begini? Saya panggil sarjana ciritan, sudah saya buat sajak tentang mereka. Jangan marahkan saya jika bunyinya kasar. Itulah cara orang tua-tua kita kasi tahu sama kita tabiat makhluk yang cakap besdar, tapi nak berak pun takut bila malam, takut suara kucing mengiau!! Ada pula yang mahu dipuji sebagai penulis bercorak Islam, tapi anti epistemologi Islam. Mahu senarai nama-nama mereka? Tak perlu. Tengok tulisan mereka dan kertas kerja mereka pun kita tahu siapa mereka ... Dirgahayu pandirisme!

    ReplyDelete