Sunday, July 28, 2013

IKHLAS MEMPELAJARI DAN MENYEBARKAN ILMU: SATU PERINGATAN TENTANG KEDUDUKAN ILMU DALAM KRITIKAN SASTERA MALAYSIA



Adakah penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara Malaysia berasaskan teori sastera yang benar? Soalan ini tidak pernah ditanyakan, kerana tidak perlu ditanyakan. Tetapi sebaik saja Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, dalam tahun 2005, membuat kenyataan bahawa teori sastera Barat itu tidak sesuai digunakan untuk menilai karya Malaysia yang ditulis dalam bahasa Melayu, oleh itu “kita telah melakukan kesalahan, termasuk saya sendiri” (kata-kata Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri; rujuk Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14), maka pertanyaan itu tiba-tiba menjadi pertanyaan yang amat penting dalam kritikan sastera dan dalam kajian akademik mengenai sastera, yang memang menggunakan hanya teori Barat dalam analisis dan penilaian mereka. Pertanyaan itu penting kerana dua sebab: Pertama, kesedaran tentang kepalsuan penilaian menggunakan teori Barat ini diutarakan oleh seorang anggota Panel Anugerah Sastera Negtara sendiri. Kedua, beliau adalah juga seorang sasterawan negara yang dipilih dalam tahun 1991. (Lihat Laporan 1991 tentang beliau). Bagaimana kedudukan beliau jika penggunaan teori Barat itu satu kesalahan, oleh itu adakah beliau telah dinilai dengan objektif, tepat dan jitu? Pertanyaan ini menjadi lebih penting apabila seorang sarjana sastera yang popular ketika ini, membuat satu kenyataan yang mengundang pertikaian yang perlu diselesaikan secara objektif, dan berani. Saya rujuk tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berjudul, “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan” (Dewan Sastera, September 2005; dan dalam Jurnal Pengajian Media Malaysia, jilid 7, no. 1 (2005); yang diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005).  Tulisan ini disiarkan semula dalam blog beliau bertarikh 23/8/2009 dengan pendahuluan yang menarik. Antaranya berbunyi: “Kalau kita hendak memilih Sasterawan Negara biarlah kita apungkan kekuatan dan keistimewaan karya mereka. Dengan kesedaran itu, maka saya titipkan makalah kritikan saya terhadap karya Sasterawan Negara ke-10, Dato’ Anwar Ridhwan sebagai penghargaan kepada beliau.”

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengapungkan kekuatan dan keistimewaan karya para sasterawan negara?  Dr. Saleeh Rahamad telah melakukan ini dengan menjadikan Naratif Ogonshoto sebagai teks pascamoden multiwacana, dalam konteks sastera rakyat moden, yang dicirikan oleh tiga ciri utama: pascakolonialiti, tekstualisme baru, dan realisme magis. Perhatikan semua istilah itu diambil daripada teori sastera Barat “pascamoden” yang dicirikan oleh, antara lain yang sangat penting diberi perhatian, ialah tiadanya makna yang tunggal dan kebenaran yang mutlak. Semua teks pascamodena boleh “ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran”. Kalau anda memakai istilah yang menjadi inti dekonstruksi, makna tidak wujud, yang wujud hanya tafsiran.  Tetapi Umberto Eco mengingatkan kita adanya kecenderungan untuk melakukan “overinterpretation” (dalam bukunya Interpretation and Overinterpretation, (Cambridge University Press, 1992). Pandangan Eco dibahaskan oleh beberapa orang sarjana, termasuk Jonathan Culler.  Saya tertarik dengan Jonathan Culler (yang amat dikenali di Malaysia) dalam makalahnya dalam buku itu, yang membuat penegasan begini: “Interpretation itself needs no defence; it is with us always, but like most intellectual activities, interpretation is interesting only when it is extreme. Moderate interpretation, which articulates a consensus, though it may have value in some circumstances, is of little interest. A good statement of this view comes from G. K. Chesterton, who observes, ‘Either criticism is no good at all (a thoroughly defensible proposition) or else criticism means saying about an author those very things that would have made him jump out of his boots’” (hal. 110). Di sini Culler memberi  takrif “extreme interpretation” dalam kata-kata G. K. Chesterton, “saying about an author those very things that would have made him jump out of his boots.” Di Malaysia kedua-duanya tidak mungkin terjadi, kerana para sasterawan Malaysia pada umumnya “oversensitive”, oleh itu mereka “over rated” dan  perlukan pujian melambung yang berterusan untuk menyenangkan hati mereka dan para penyokong mereka. Dan inilah yang membuat kritikan sastera di Malaysia meloyakan, kerana terlalu tepu dengan pujian yang berlebihan yang tidak ada dan tidak terserlah di dalam teks, tetapi pujian melambung itu menyerlahkan kehebatan budaya pandirisme di kalangan sarjana dan para sasterawan sendiri. Inilah yang membuat mereka tidak mahu mendengar pendapat yang berbeza yang mereka anggap merendahkan taraf mereka sebagai penulis atau sarjana, padahal itulah kedudukan mereka yang sebenarnya.

Kembali kepada makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kita lihat keseronokannya yang luar biasa  memuji Naratif Ogonshoto sebagai sebuah karya pascamoden, walaupun novel itu  mengambil pengalaman cerita rakyat (yang sudah mati) diberi wajah baru sebagai tekstualisme baru yang memakai baju hitam (biasanya pakaian ahli sihir) realisme magis. Istilah pascamoden memberi makna yang tinggi kepada para sasterawan kerana istilah itu dikaitkan dengan sesuatu yang bermutu, yang bernilai tinggi, walaupun karya pascamoden tidak mementingkan makna, hanya tafsiran. Memang karya pascamoden itu diakui tidak menerima apa juga bentuk kebenaran mutlak, yang akan membataskan tafsiran itu kepada satu jenis tafsiran sahaja. Dengan kata yang mudah, makna bukan matlamat, kerana konsep makna itu sendiri membataskan kemampuan intelektual dan keluasan pemikiran sasterawan yang akan membuatnya tidak bertaraf antarabangsa,  dan mencapai taraf antarabangsa itu merupakan suatu kejayaan yang ingin dicapai oleh para sasterawan. Apakah maksudnya dalam konteks kehidupan beragama?  Maksudnya jelas: kebenaran bukanlah matlamat,  oleh itu makna hanya sejenis permainan dalam tafsiran yang bersifat multiwacana (seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya).  Jika anda biasa dengan gaya pemikiran zaman Jahiliah zaman permulaan munculnya Islam, maka anda akan dengan mudah dapat melihat intipati faham Jahiliah  itu dicerminkan dalam karya sastera moden seluruh dunia, termasuk yang tertulis di Malaysia. Anda tidak perlu pergi jauh untuk mendapat buktinya, anda hanya perlu membaca Laporan Panel Anugerah Sastera Negara untuk melihat bagaimana idea Jahiliah moden itu diberi kedudukan istimewa dengan memberi pujian tinggi kepada aspek perzinaan, keruntuhan moral, kejahatan manusia secara umum, yang menjadi tema agung dalam sastera Melayu. Novel (?) Naratif Ogonshoto juga berada dalam kategori itu, jika benarlah pencirian yang diberikan oleh Dr. Mohamad Salleh Rahamad itu memang terdapat di dalam novel itu. Oleh kerana tidak mementingkan makna, maka yang diutamakan ialah hanya cerita yang mesti dibumbui dengan unsur erotik, unsur-unsur sensasi, dan segala macam usaha untuk menunjukkan adanya kelainan dengan menonjolkan apa yang disebut aspek eskperimen. Semua ini adalah buih-buih kreatif yang tidak bermakna. Jika betullah konsep wacana itu penting dalam karya Anwar Ridhwan ini, maka aspek makna itu perlu ditegaskan dalam konteks yang bagaimana makna itu dikonsepsi oleh pengarang dan apakah matlamatnya. Kalau anda seorang Islam, matlamatnya ialah anda ingin masuk syurga, oleh itu semua usaha anda tertumpu untuk mencapai matlamat itu. Adakah Naratif Ogonshoto menuju ke arah itu? Sebagai sebuah karya pasacamoden, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, sudah jelas bukan itu matlamatnya. Jika matlamat tidak ada kaitan dengan kekuatan dan keistimewaan karya para sasterawan negara ini, maka di manakah mereka mendapat dan meletakkan kekuatan dan keistimewaan itu? Kata Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kekuatan dan keistimewaan itu mesti diapungkan.  Tepat sekali pencirian yang diberikan oleh sarjana ini, kerana memang itulah sifat buih yang mesti terapung di permukaan laut, dan kelihatan mengagumkan, padahal tidak berisi. Yang berisi, tegas al-Quran, ialah logam murni yang berada di bawah. Apakah logam murni itu di dalam Naratif Ogonshoto? Tidak seorang pun penulis kertas kerja seminar pemikiran Anwar Ridhwan ini memberikan contohnya. Mereka memberi pujian berbuih untuk hanya mengangkat buih? Sebagai pemuja teori sastera Barat, anda harus baca kembali sindiran tajam G. K. Chesterton tadi.  Di situlah anda akan faham mengapa karya para sasterawan negara ini hanya buih-buih terapung, sedikit sekali yang berada di dasar laut sebagai logam murni yang dihargai tinggi itu. Jika anda salah baca kenyataan ini, tandanya anda tidak sedar saya menggunaklan alusi daripada al-Quran; atau anda sendiri memang terpesona dengan buih terapung yang berlenggang-lenggok diayun ombak di lautan. Yang kedua inilah yang kini menjadi pilihan anda dan teman-teman anda; oleh itu anda perlu rujuk al-Quran 13:17 untuk mengetahui maksud kenyataan ini.  Aspek ini telah saya sebut dalam tulisan saya yang lepas, jadi bukan suatu perkara baru yang dicari-cari atau diada-adakan. Lagi pula inilah pandangan para pujangga dan pendeta kita, seperti yang ditunjukkan oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam tulisan beliau dan ketika memberi kata-kata sambutan dalam pengurniaan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan 1973 kepada Pendeta Za’ba oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dalam konvokesyen pertamanya.  Za’ba sendiri sering menggunakan perbandingan yang disebut di dalam al-Quran itu. (Ucapan Prof. Syed Naquib dapat dibaca dalam Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu: Esei-esei Penghormatan Kepada Pendita Za’ba (KKBS 1976).  Jadi jika kita perlu “apungkan kekuatan dan keistimewaan” para sasterawan negara, janganlah yang diapungkan itu buih-buih dalam deretan retorik peragaan yang bombastik, tetapi sebaliknya tersirat kemas dalam analisis dan penilaian menggunakan konsep ilmu yang benar. Hanya dengan itu saja karya mereka akan terserlah bermutu atau hanya karya palsu yang dinaikkan tarafnya oleh penilaian yang palsu pula, yang tidak berasaskan ilmu yang benar. Jika ini yang dibuat, maka tidaklah akan terloncat jeritan amaran yang tidak siuman yang berlaku baru-baru ini, “sapa-sapa nak pertikaikan keistimewaan HHTSS, langkah mayat saya dulu.”  (HHTSS ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, novel pertama Anwar Ridhwan yang menang hadiah pertama pertandingan menulis novel. Novel ini bercerita tentang seorang penglipur lara. Judulnya saja pun sudah salah, kerana penglipur lara bukanlah seorang seniman. Dalam pengertiannya yang mudah sekali pun, seniman itu merujuk kepada seseorang ahli seni yang memberi sumbangan asli dalam bidangnya dan ada pula mutu ilmunya atau paling tidak keterampilan seni persembahan seorang dalang wayang kulit yang juga memberi sumbangan asli beliau, seperti yang dilakukan oleh Awang Lah dengan cerita “Nasi Dingin”nya; bukan hanya sekadar penutur cerita lama seperti tokoh utama novel ini.)


Semua yang disebut di sini hanya bermakna jika berasaskan konsep ilmu yang benar; ikhlas dalam pencariannya dan ikhlas pula dalam menyebarkannya. Itulah dua syarat yang mesti ada supaya yang dicari dan disebarkan bukannya hanya buih-buih kosong yang kelihatan hebat, tetapi tidak berisi. Inilah yang terjadi kepada Pak Pandir, yang melihat padi hampa dan terus kagum lalu mengambilnya. Inilah kemudiannya yang melahirkan pandirisme, tetapi diberi istilah yang hebat untuk menutup kekosongan isi dan maknanya. Dari semangat berkobar pandirisme inilah terloncat kata-kata untuk mati katak mempertahankan kepalsuan. Inikah wajah sebenar sastera Melayu moden?


Mohd. Affandi Hassan,
27/7/2013





2 comments:

  1. Assalamu`alaikum wr. wbt.

    Pak Affandi yang dihormati,

    Bolehkah saya mendapat alamat mel-e Pak Affandi untuk saya mengirim beberapa soalan dan mendapatkan pengesahan satu dua perkara?

    Terima kasih.

    AZ

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum encik boleh sy tahu adakah buku diatas dijual juga secara online???
    jika ada dijual online boleh kah encik memberi detailnya
    sekian terima kasih

    ReplyDelete