Tuesday, July 23, 2013

TALBIS IBLIS DALAM KRITIKAN DAN PENILAIAN KARYA SASTERA MALAYSIA



Antara buku terkenal karangan Ibn Qayyim al-Jauzi ialah Talbis Iblis, membicara dengan terperinci bagaimana pengaruh Iblis dalam kehidupan manusia. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh orientalis Inggeris, D. S. Margoliouth, dengan judul The Devil’s Delusion, disiarkan secara bersiri dalam Islamic Culture mulai jilid 9, Januari 1935 hingga sempurna pada Januari 1948. Universiti Malaya mempunyai versi lengkap terjemahan ini dan saya telah menyalinnya 1979. Dalam tahun 2012, penterjemah terkenal dari Singapura, Syed Ahmad Semait, telah menerbitkan terjemahannya dengan judul Belitan Iblis (Pustaka Islamiyah Pte. Ltd., Singapura). Versi bahasa Melayu lebih mudah didapat daripada versi bahasa Inggeris yang terdapat di dalam Islamic Culture.  Kerana telah ada versi ini dalam tangan, saya tidak tahu sama ada bukunya telah diterbitkan oleh penterjemah ini atau oleh orang lain.

Mengapa buku Ibn Jauzi ini penting dalam kritikan sastera dan penilaian karya kreatif Melayu? Buku ini penting kerana sastera Melayu dikembangkan seluruhnya oleh sasterawan Melayu yang beragama Islam,  sehingga timbul soalan yang perlu dijawab, Adakah mereka dan para sarjana terlepas dari “belitan Iblis” ini? Nampaknya soalan ini tidak penting bagi para sasterawan dan sarjana sastera kerana pada pendapat mereka sastera terlepas dari sebarang pengaruh yang bersifat agama, kerana sastera dan karya sastera mempunyai logik yang berbeza daripada logik yang bersifat keagamaan. Lagi pula, kata mereka dengan penegasan yang kuat, sastera Melayu moden berimej Barat seluruhnya, dan hanya sesuai dinilai daripada perspektif teori dan pendekatan Barat. Inilah yang mereka lakukan ketika menilai pemikiran para sasterawan negara dalam seminar yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Suara Islam tenggelam, yang riuh rendah didebatkan ialah suara  Barat yang pelbagai ragam melodinya dalam membicarakan perihal kesusasteraan. Tetapi adakah penegasan ini boleh diterima dan benar-benar mereka yakini? Nampaknya tidak. Terdapat suara yang mempersoalkan kesahihan teori Barat dalam menilai karya sastera Melayu. Kita lihat satu contoh yang masyhur di Malaysia. Contoh ini diberikan oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh satu ketika yang belum lama ketika mengucapkan ucapan utamanya dalam Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (diterbitkan oleh DBP, 2005).

Inilah penegasan beliau: “Sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri” (hal. 14).

Menggunakan teori sastera Barat satu kesalahan? Nampaknya tidak seorang pun sarjana Melayu bersetuju dengan profesor ini, termasuk beliau sendiri. Rumusan ini tidak pernah diperjelaskannya dalam mana-mana tulisan akademik, malah ketika diadakan seminar tentang “pemikiran” beliau sendiri,  semua yang digunakan adalah teori sastera Barat. Beliau gembira menerima penggunaan teori Barat itu, kerana sesuai dengan corak karya beliau sendiri yang kebaratan. Jadi untuk siapa pendapat itu ditujukan oleh beliau? Tidak untuk siapa-siapa, hanya untuk melengkapkan lakonan dalam sastera Melayu yang penuh dengan peniruan itu, terutama sekali peniruan dari Barat yang dijadikan pasak utama dalam penulisan kreatif. Lakonan ini diulangi dengan bergaya oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika mengemukakan ucap utama beliau dalam seminar pemikiran sasterawan negara Anwar Ridhwan (Julai 2013).

Kata beliau dalam pembukaan ucap utamanya: “Sastera sering menjadikan pengarangnya sebagai manusia yang dirundung kegelisahan. Sastera juga menjadikannya pencari titik-titik samar, dalam bentuk hablur yang lebih kekal, namun menyimpan makna kehidupan itu sendiri. Kegelisahan ialah jalan rusuh untuk dia sampai ke sana. Tapi makna sahaja bukan sastera, itu ruang falsafah. Dalam pencarian makna harus diiringi muzik bahasa dan sekumpulan metafora dan kias, kerana dalam sastera kenyataan itu harus berupa bahasa di atas kertas” (Dalam tulisannya berjudul, “Anwar Ridhwan dan Langkah Depan”: Seminar Pemikiran Saterawan Negara Anwar Ridhwan, DBP 2-3 Julai 2013).

Suara siapakah itu? Kalau anda biasa membaca teori sastera Barat dan karya sastera Barat, anda tidak sukar untuk menyatakan dengan tegas, itulah suara Barat diucapkan dalam bahasa Melayu “dengan wataknya yang khusus pula”.  Pengarang Islam, yang berilmu dan luas pula pengalaman intelektualnya, tidak pernah dirundung kegelisahan, bukan juga “pencari titik-titik samar dalam bentuk hablur yang lebih kekal”, kerana dia tahu siapa dia sebagai hamba Allah dan apakah tugasnya di dunia. Mengapa dia harus mencari yang lain jika dia sudah tahu kehidupannya jelas untuk melaksanakan tanggungjawab taklifnya, bukan untuk berpusing-pusing di jalan rusuh dalam kegelisahan untuk mencari matlamat yang kabur yang penuh dengan “titik-titik samar” yang boleh menyesatkan seseorang.  Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh memuji Anwar Ridhwan sebagai “pengarang yang selalu mencari, menuju ke arah kelainan dan ke arah dunia yang masih belum dikenali atau diperikan”. Lalu dipujinya lagi: “Inilah langkah pengarang yang baik”. 

Semua ucapan profesor ini sebenarnya tidak bermakna apa-apa, malah bertentangan dengan kenyataan yang kita tahu. Kita biarkan seorang sarjana lain berbicara: “Naratif Ogonshoto muncul sebagai sebuah teks sastera rakyat moden yang dapat berdiri sebagai teks pascamoden multiwacana  -  pascakolonialiti (walaupun pascakolonialiti juga termasuk dalam kategori pascamoden), tekstualisme baru, dan realisme magis” (dalam tulisan beliau “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan”, diterbitkan dalam Dewan Sastera, September 2005; Jurnal Pengajian Media Malaysia, Jilid 7, no. 1 (2005)”.  Kalau sarjana ini bercakap benar, dan kita boleh anggap dia bercakap benar, maka apakah yang baru dalam novel itu? Apakah yang ditulis oleh Anwar Ridhwan yang masih belum dikenali? Kita dengar lagi pendapat sarjana ini yang saya kira amat berani. Ini katanya: “Kerancuan makna memang gejala teks pascamoden. Dalam sastera pascamoden tiada makna tunggal, dan tiada kebenaran yang mutlak. Kebenaran dan jawapan makna terletak pada tafsiran pembaca menurut situasi dan kondisi yang mengelilinginya. Oleh itu, teks ini (i.e. Naratif Ogonshoto) dapat ditafsirkan dengan pelbagai tafsiran. ...” (Huruf condong ditambah, sebagai penegasan yang perlu diberi perhatian serius. Apakah makna dan implikasi “tiada kebenaran yang mutlak” bagi seorang pembaca dan peneliti Islam, dan bagi karya itu sendiri yang dianggap sebagai sebuah karya Islam?).

Sekarang kita mempunyai dua jenis pujian, yang nampaknya saling bertentangan: mana satu yang betul? Kedua-duanya salah, kerana kedua-duanya tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, tetapi hanya berasaskan maklumat yang tidak lengkap, yang akhirnya meletakkan mereka dalam keadaan “cetek meraba-raba”.  Kita lihat seterusnya bagaimana hal ini terjadi. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dalam ucap utamanya membicarakan dengan agak terperinci novel Penyeberang Sempadan. Teori apakah yang beliau pakai? Sudah jelas tentulah teori sastera Barat, walaupun secara khusus beliau tidak menyebut nama teori itu. Konsep sempadan itu cukup mencabar jika anda meletakkan “makna” seperti yang diberikan dalam Islam: yakni sempadan antara yang batil dengan yang haq. Profesor ini tidak menampakkan beliau sedar peri pentingnya konsep sempadan itu dalam pemikiran Islam. Adakah novel ini membicarakan sempadan itu dalam konteks ini?  Apabila watak utama novel ini “menyeberang sempadan”, adakah maksudnya beliau cuba melepaskan diri dari “yang batil” kepada “yang haq”? Kalau anda bercakap tentang Islam, dan watak utama ini seorang Islam yang berkecimpung dalam politik, maka sempadan yang ditetapkan Islam itu tetap wujud. Kalau ini tidak jelas, maka yang jelas ialah novel ini hanya sebuah cerita, bukan satu wacana tentang “penyeberangan” sempadan seperti yang difahami dalam Islam. Persoalan ini penting kerana novel ini telah diterima sebagai sebuah novel bercorak Islam. 


Ada satu soalan aneh yang memerlukan jawapan: karya-karya Anwar Ridhwan dikatakan mendapat perhatian para penterjemah seluruh dunia, sehingga memungkinkan karya itu diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Apakah yang menarik minat mereka sehingga sanggup bersusah payah menterjemahkan karya-karya itu? Ada yang berkata kerana jiwa Islamnya yang kuat, yang membuat timbul rasa kagum para penterjemah untuk menyebarkan aspek Islam itu ke seluruh dunia supaya dapat dinikmati manusia sejagat. Adakah ini sebab yang utama, atau ada aspek lain yang perlu diselongkar? Kalau dilihat dari beberapa buah novel yang mendapat sanjungan ini, tidak pula ketara aspek Islamya, sebaliknya terdapat sejenis “permainan” yang disengajakan oleh pengarang untuk bergurau dengan Islam, seperti yang terlihat dalam Naratif Ogonshoto (antara contoh “permainan” itu misalnya, perhatikan perwatakan Resi dan Gadis yang sering dikaitkan dengan pandangan atau mewakili Islam dalam novel ini).  Adakah  judul Naratif Ogonshoto itu melambangkan sebuah negara Islam di negara antah-berantah (seperti dalam  kisah Pak Pandir) yang menjadikan Islam sebagai prinsip politik pentadbiran negara Ogonshoto itu? Kalau bukan ini, maka apakah yang menarik tentang Naratif Ogonshoto ini? Terdengar bantahan bahawa sesuatu yang istimewa tidak semestinya yang bersifat Islam, kerana sifat demikian hanya terdapat di kalangan orang Islam sahaja, itu pun tidak seluruhnya, kerana terdapat orang Islam, malah sarjana dan sasterawan Islam sendiri yang tidak percaya Islam boleh dijadikan asas penulisan kreatif yang progresif dan mencabar daya kreatif seseorang pengarang.  Kata yang berminat dalam persoalan ini, alangkah baiknya jika yang dibicarakan itu ialah kemungkinan terdapat sebuah negara Islam, oleh itu judulnya berbau Islam, seperti Naratif Darulislam, misalnya.  Jika judul ini yang dipilih, hampir seratus peratus  benar, sudah pasti tidak ada yang berminat untuk menterjemahkan karya ini ke dalam begitu beragam bahasanya. Apakah yang boleh disumbangkan oleh Islam pada waktu ini? Ini pertanyaan sensitif yang tidak dapat dielakkan yang timbul daripada pembaca atau pengkaji yang tidak yakin Islam boleh memberi sumbangan, seperti zaman awalnya, kepada tamadun dunia, khususnya dalam tamadun yang bersifat pemikiran seperti dalam kesusasteraan. Jadi pastilah ada aspek lain yang menarik tentang Naratif Ogonshoto ini, yang bagi orang Islam atau pembaca Islam yang kritis, tidak memberi banyak faedah kepadanya, tetapi cukup menarik untuk diuliti oleh pembaca yang dibelit oleh Belitan Iblis seperti yang dihurai dan dihujahkan oleh Ibn Qayyim al-Jauzi dalam bukunya itu.

Peristiwa yang berlaku dalam seminar itu membenarkan kesimpulan ini, apabila Johan Jaafar dikatakan memberi amaran, “'sapa-sapa nak pertikaikan keistimewaan HHTSS, langkah mayat saya dulu.'   [HHTSS ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, sebuah novel yang begitu dikagumi  oleh peminat Anwar Ridhwan, sampai ada yang sanggup “mati katak” untuk mempertahankannya. Bolehkah seseorang mati syahid dengan mempertahankan sebuah novel? Kalau begitu, samalah tarafnya sebuah novel dengan al-Quran. Di Barat sastera itu lebih “murni” dan lebih tinggi darjatnya daripda agama yang menurut mereka hanya sejenis kepercayaan bersifat peribadi, bukan asas ilmu dan asas tamadun. Adakah ini juga pandangan sasterawan dan sarjana sastera Malaysia?]


Mohd. Affandi Hassan,
23/7/2013.





3 comments:

  1. Sekadar pembetulan, novel AR berjudul Penyeberang Sempadan bukan Menyeberang Sempadan.

    Terima kasih atas kritikan kritis yang segar ini.

    ReplyDelete
  2. Sdr. Anonymous.

    Terima kasih atas pembetulan itu. Insha Allah saya akan contest pandangan para sarjana yang meletakkan karya-karya sasterawan negara, termasuk AR, sebagai istimewa. Kita buka perbincangan serius tentang perkara ini, supaya nanti para pelajar sastera tidak dikhayalkan oleh pendapat yang sebenarnya kabur dan keliru. Lagi pula, jika benar karya itu istimewa, maka kita harus lihat secara kritis keistimewaan itu, tidak hanya bercakap dalam bahasa yang bombastik. Pendeknya, kita harus bersedia untuk menerima atau menolaknya berasaskan ukuran yang objektif, tepat dan jitu. Itulah tuntutan akademik yang perlu dipenuhi.

    ReplyDelete
  3. TK Tuan Affandi. Saya pun hadir seminar, rasa rimas dgn rimbunan puji-pujian. Tak macam seminar pemikiran pun .. sbg pelajar, sy terkejut dgn situasi seminar. namanya gah tapi isinya kosong. kalau terus macam ni, rosak rebahlah sastera melayu.

    -pelajar sastera-

    ReplyDelete